MR. AND MRS.
BAB : 51
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(22 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
11023

Bacaan






RIUH rendah suara Puan Fida dan Widad bercerita menarik perhatian Eilmi Zahrin di muka pantri. Puan Fida pantas memperlahankan tawaan bila ekor matanya menangkap satu figura di muka pintu. Widad pantas berpaling sebelum wajah serius Eilmi Zahrin masuk ke dalam matanya. Gadis itu langsung bingkas. Kopi panas yang sudah siap dibancuh, dituang ke dalam cawan dan dibawa masuk ke dalam bilik CEO.

“Ini kopinya En. Eilmi. Ada apa- apa lagi?” tanya Widad lembut. Eilmi Zahrin tidak menyahut suara itu. Anak matanya terpandang pada sebentuk cincin yang melekat di ruas jari manis Widad.

“Awak nak bagi kopi atau nak tayang cincin tunang?” sindirnya. “Dah hebohkan pada semua orang yang awak terpaksa menolak hati saya sebab awak dah punya pilihan lain?” sambungnya. Widad terpana. Dua mata itu berlaga temu dalam sesaat dua.

“Cerita saya cuma satu, En. Eilmi. Kisah seorang lelaki yang hanya berani meluahkan perasaan tetapi takut untuk berdepan dengan kenyataan,” sindir Widad pula. Eilmi Zahrin bangun. Tapak tangannya memegang kemas bucu meja bila wajahnya dimampirkan dekat ke muka Widad. Renungannya memberingis.

“Kalau awak betul- betul nak saya berjuang untuk mendapatkan apa yang hati saya mahu, kita kahwin lari. Setuju?” pertanyaan itu membidik tepat di muka Widad. Anak gadis itu terkemam terus bila dicabar untuk melakukan sesuatu yang berada di luar jangkaan mindanya.

“Kenapa nak kahwin lari? Tak penat ker? Apa kata kita mudahkan saja. Awak naik kereta kemudian turun di rumah opah saya dan kita pun bernikah. Mudah kan?” suara Widad. Dia cuba mengendurkan ketegangan yang wujud dalam perbualan itu, biar gementarnya tidak terlalu lurus. Eilmi Zahrin masih juga merenung wajah yang sama.

“Habis tu, kenapa awak terima pinangan tu kalau awak mahu kita bernikah?” soal Eilmi Zahrin bingung.

“Bukan saya yang terima tapi opah. Apalah hak saya nak halang sebab pinangan tu bukan untuk saya. Penat jer saya menangis tapi lagi teruk orang tu, siap merajuk bagai padahal hati dia sebenarya cengih tau...” usik Widad. Eilmi Zahrin terpana. Direnungnya muka Widad dengan pandangan yang berkerut.

“Jadi maksud awak... pinangan tu untuk opah?” soal Eilmi Zahrin, nadanya keliru. Widad tidak dapat menahan ketawa. Terasa lucu hatinya dengan pertanyaan itu.

“Widad, tolonglah jujur dengan saya. Pinangan tu untuk siapa sebenarnya?” Eilmi Zahrin tidak mahu lagi berbasa- basi. Widad menukar gelak tawanya kepada senyuman yang paling manis. Renungannya makin dibiarkan memutik. “Pinangan tu bukan untuk saya tapi untuk seseorang yang lain,” akui Widad tenang.

“Habis tu... cincin di jari manis awak tu?”

“Selepas rombongan meminang Puan Hajjah Basra balik. Dua hari kemudian, datang lagi satu rombongan meminang dari keluarga yang lain. Rombongan yang penuh kejutan untuk gadis sedhaif saya. Alhamdulillah... kami menerimanya,” cerita Widad lagi. Riak muka Eilmi Zahrin berubah. Direnungnya cincin permata Zamrud di tangan Widad. Entah kenapa dia teringatkan sepiring kek pandan basah dan wajah- wajah bahagia Puan Julia tempoh hari. Memori itu bagai menyimpan rahsia yang benar- benar sulit!

“Maksud awak, rombongan kedua tu dari ibu saya, Puan Julia?” bibir merah itu melompat tanya. Widad menggugus senyum. Eilmi Zahrin berasa tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Wajahnya berkerut terus bila gadis di hadapannya itu membisu sejenak. “Masih nak kahwin lari?” sinis Widad dengan jelingan manja sebelum langkahnya dibawa keluar.

Eilmi Zahrin tergamam. Bahagia di jiwa melapang senyum yang jernih di bibir. Benarkah? Hatinya menjerit tanya. Langkahnya berlari menuju ke bilik Penasihat PUTIH. Pintu bilik itu, hanya diketuk sekali sebelum dibukanya sendiri dan langkah yang berlari tadi dihayun masuk bersama senyum yang tidak berhenti.

“Mama pinangkan Widad untuk Eilmi, bukan Tengku Adelia kan?” anak muda itu mengasak tanya. Tangan wanita yang dipanggil mama itu dipegang erat. Puan Julia terpempan bila disoal begitu. “Mama, janganlah buat Eilmi tertanya- tanya macam nie,” rayuan anak muda itu sudah pun meruntun hati keibuannya.

“Eilmi ada apa –apa bantahan dengan pinangan tersebut?” tingkah Puan Julia. Eilmi Zahrin menggeleng. Senyum manisnya bertaut.

“Terima kasih, mama tapi Eilmi ada satu lagi permintaan.”

“Apa dia?” laju Puan Julia bertanya.

“Eilmi mahu pernikahan Eilmi dan Widad dicepatkan. Kalau boleh minggu depan.”

“Minggu depan?” ulang Puan Julia. Pemuda itu pantas mengangguk. Anggukan yang bertali hingga air mata ibunya menitik jatuh. Setelah sekian lama, akhirnya... doa seorang ibu dimakbulkan juga olehNYA.

“Eilmi tanyalah pada Widad. Kalau dia setuju untuk percepatkan majlis pernikahan ini, mama dan papa memang tiada halagan. Semuanya terpulang pada pihak Widad,” tutur Puan Julia sebak. Eilmi Zahrin melompat riang. Dikucupnya dahi itu dengan penuh kasih sayang. Langkahnya berlari keluar mencari figura lain.

“Bakal isteri saya mana?” tanya Eilmi Zahrin dengan muka bangga yang tidak dapat disorok. Puan Fida, Che Norazlina dan beberapa orang pekerja lain terpinga bila soalan itu menerpa ke arah mereka.

“Siapa bakal isteri, En. Eilmi?” soal Puan Fida.

“Nak tahu siapa orangnya? Jom ikut saya...” bicara lelaki itu bersama ajakan yang bersungguh. Puan Fida langsung bingkas. Che Norazlina juga malah sekalian yang ada di ruang itu turut bangun. Tiap langkah yang dicatur berpaksi pada jejak –jejak kaki majikan mereka hingga ruangan lif yang pada mulanya kosong, kini nampak padat.

Di sudut lobi, kelihatan Widad sedang berurusan dengan seorang pelanggan tetap PUTIH. Eilmi Zahrin menggugus senyum. Himpunan bunga mawar merah yang terletak di dalam pasu kaca pada sudut meja salah seorang juru rundingnya digapai dan dibawa bersama langkah- langkahnya. Langkah yang ditemani puluhan langkah yang lain. Masing- masing berasa teruja dengan perangai pelik Mr. yang mencari Mrs. nya.

“Sayang...” panggil Eilmi Zahrin tenang. Widad pantas berkalih bila kerjanya diganggu. Dia jadi tidak mengerti bila kehadiran Eilmi Zahrin ditemani rakan- rakan sekerjanya. Malah ada di antara mereka yang telah mula merakam detik- detik sensasi itu. Anak bujang Puan Julia langsung saja melutut di hadapannya bersama kuntum- kuntum mawar merah.

“Saya nak kita bernikah minggu hadapan. Sudikah awak menjadi isteri?” tanya Eilmi Zahrin. Widad terkemam. Bibirnya hilang kata- kata. Pandangannya terbuang pada tiap wajah yang menyaksikan lamaran itu. Masing- masing menampakkan anggukan sedang Widad masih belum dapat membuat keputusan. Dia benar- benar terkesima.

“Tolonglah terima Widad,” pujuk satu suara.

“Siapa yang cakap tu?” tanya Eilmi Zahrin. Matanya mengeliling. Puan Khalida mengangkat tangan bila semua yang ada menuding jari ke arahnya.

“Bonus Puan Khalida tahun ini, saya akan tambah lima puluh peratus,” tegas Eilmi Zahrin. Puan Khalida nampak mengekek. Tangannya pantas menunjukkan isyarat bagus.

“Widad, tolong terima,” jeritan suara mula bergema hingga suasana yang tenang itu menjadi riuh. Puan Khalida cuba menenangkan keadaan.

“Diam semua! Kita nak dengar jawapan dari mulut Widad!” jeritnya. Maka suara- suara yang riuh itu pun hilang entah ke mana. Masing-masing menumpukan perhatian kepada Widad. “Saya terima lamaran En. Eilmi,” ucap Widad lambat. Bunga mawar diraih. Eilmi Zahrin meraup wajahnya. Senyum yang terukir di bibir bagai tiada cacat cela.

Tepukan gemuruh kian kedengaran. Eilmi Zahrin mengangkat tangan untuk meminta semua yang ada bertenang seketika. Sunyi kembali melintasi detik- detik pertemuan. “Bonus tahun ini bagi semua pekerja PUTIH, saya akan tambah lima puluh peratus,” ucap lelaki yang paling berpengaruh di butik itu.

Jeritan gembira kembali bergema hingga ada yang melompat riang kerana terlalu suka dengan berita itu. Nun jauh di satu sudut, dapat dilihat figura Puan Julia. Air mata yang mengalir di wajah itu terlalu besar ertinya. Dalam detik- detik berikutnya, kisah lamaran Mr. And Mrs. tersebar luas di laman sosial hingga ia menjadi viral dan mendapat perhatian pihak Media.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku