MR. AND MRS.
BAB : 52
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3796

Bacaan






FIGURA Ungku Aaron di ruang tamu, ditenung dengan perasaan yang dibelah- belah. Antara kasihan dan keegoan, kedua- duanya berlari selari di jiwa Ungku Shamrin. Langkahnya mara, majalah Maskulin digapai sebelum dia meletakkan berat tubuhnya pada kerusi Jati. Wajah itu ditenungnya lagi.

“Kau dah dengar berita?” tanya Ungku Shamrin setelah agak lama dia mematikan diri di kerusi kayu yang tegap berukir. Matanya mengerling ke wajah adiknya. Ungku Aaron masih jua dengan lagaknya. Pertanyaan itu hanya dijawab dengan gelengan yang singkat. Sepertinya, dia tidak punya minat untuk duduk bercerita dengan lelaki itu.

“Lembablah kau nie! Satu dunia dah kecoh tentang pernikahan Putri Haryati kau tu dengan CEO PUTIH! Kau tak pergi ucap tahniah kat mereka berdua? Well, memandangkan mereka berdua tu dah nak bernikah minggu depan, aku rasa eloklah kau bawa hati kau yang lara tu ke luar negara. Aku dah cadangkan dengan ibu untuk kita semua bercuti. Dan kau harus move on. Banyak lagi gadis cantik di luar sana yang tergila- gilakan kau,” suara Ungku Shamrin serius dengan apa yang dituturkan.

Ungku Aaron yang berasa tersinggung dengan kata sinis itu langsung bingkas. Kelibat Ungku Shamrin diterpa sebelum tangannya mencekak kasar kolar t –shirt lelaki itu. Renungan matanya membelingas. Tumbukan padu di tangan sudah pun diangkat tinggi. Hanya menunggu masa untuk dilepaskan pada sasarannya.

“Apa hal dengan kau orang nie!” tempik Datin Aulia dari satu arah. Langkahnya bergegas mendapatkan dua orang anak bujangnya. Ungku Aaron pantas melepaskan cengkaman tangannya.

“Biasalah ibu, ada orang cemburu bila bekas tunangnya diambil orang. Laku juga si Haryati tu... macam goreng pisang panas! Maklumlah orang cantik,” kata sindiran Ungku Shamrin semakin pedas. Datin Aulia mengambil nafas yang baru. Renungannya tersekat di wajah anak bongsunya.

Ungku Aaron tidak lagi menunggu. Dia melangkah pergi dari ruangan itu dengan muka mencuka. Langkahnya meluru naik ke tingkat atas. Langkah yang dijejaki oleh Datin Aulia sendiri. Kebimbangannya pada kemarahan Ungku Aaron mula memuncak. Pintu kamar itu diketuk sebelum dedaun Nyatoh ditolak. Di sudut balkoni, kelihatan figura yang dicarinya sedang duduk menyudut.

“Kenapa Aaron nak marah tak tentu fasal nie? Kan Aaron dah janji dengan ibu untuk lupakan perempuan tu,” tegur Datin Aulia. Dia duduk di salah satu kerusi. Wajah anak bujang kesayangannya ditatap dengan secubit rasa benci. Benci yang masih bersisa buat seorang yang bernama Haryati.

“Aaron nak ibu pinang Haryati semula untuk Aaron!” tegas lelaki itu. Datin Aulia terpempan mendengarnya.

“Tidak! Ibu tak nak si penipu tu jadi menantu ibu!”

“Tapi Aaron cintakan dia. Aaron tak boleh hidup tanpa dia! Aaron dah cuba tapi tak boleh!” luah anak muda itu bersama ratapan pilunya. Datin Aulia tetap juga menggeleng. Hatinya tidak akan selembut dulu walau perempuan itu datang menyembah di kakinya.

“Aaron tak ingat ker dengan apa yang dia dah buat pada keluarga kita?” Datin Aulia mula membuka lembaran semalam. Lembaran yang tak akan terpadam dari hidupnya. Ungku Aaron meraup wajahnya yang sudah basah dengan air mata.

“Ibu, semua orang ada buat silap. Semua orang tak dapat lari dari kesilapan. Itu lumrah kita sebagai manusia. Ibu maafkanlah Haryati. Ibu izinkanlah kami bersatu sebagai suami isteri yang sah.” Aaron merayu. Datin Aulia bingkas. Wajahnya mengusik cengis yang bukan sedikit. Sambil mencekak pinggang, dia menghampiri Ungku Aaron.

“Cukup Aaron. Ibu tak nak dengar lagi! Kau dengar sini baik- baik, mulai saat ini, ibu nak kau lupakan Haryati walau dengan apa cara sekali pun! Jangan harap ibu akan terima dia semula seperti dulu. Kalau ibu dah ludah, ibu takkan jilat balik!” tingkah Datin Aulia bingit. Ungku Shamrin yang berdiri di balik pintu ketawa mengekek.

“Kau tenguk- tengukkan adik kau tu Sham! Kalau dia jumpa lagi dengan budak tak tahu malu tu, kau beritahu pada ibu. Biar ibu ajar dia cukup- cukup!” pesan Datin Aulia. Langkahnya menurun ke tingkat bawah. Ungku Shamrin masuk ke dalam bilik itu. Sebuah telifon bimbit diletakkan di hadapan adiknya. Ungku Aaron tidak memperdulikan kehadiran itu. Pandangannya disusurkan ke arah lain.

“Boleh tahan juga romantiknya CEO PUTIH tu,” sindir Ungku Shamrin lagi setelah video berkaitan lamaran Eilmi Zahrin kepada Widad dipasangkan dan diletakkan di hadapan Ungku Aaron. Pembesar suara juga sengaja dikuatkan. Mahu atau tidak, Ungku Aaron terpaksa membawa matanya ke skrin telifon itu. Kisah yang berlaku di antara Mr. dan Mrs. itu ditatap dengan linangan air mata.

Tepukan yang berkumandang saat Widad menerima lamaran Eilmi Zahrin cukup menyakitkan perasaan. Samsung Galaxy 5 itu digapai dan dibaling terus ke laman bawah. Balingan yang dikira cukup kuat. Sekuat rasa cemburunya pada lelaki itu. Ungku Shamrin kembali mengekek. Langkahnya dicatur turun ke tingkat bawah. Dari dulu lagi aku dah cakap... perempuan tu nak duit jer tapi kau degil! Suaranya cukup jelas kedengaran.

Ungku Aaron masih lagi di situ. Bunyi pancuran air di halaman bawah mengocak telinga. Pandangannya menjeling ke bawah. Wajah Pak Kudus bersama Mak Wan masuk ke dalam pandangan. Aku mesti minta bantuan mereka kalau ibu masih berkeras untuk menunaikan permintaan aku! Desis anak muda itu dengan bibir yang bergetap. Segala kenangan yang membelenggu di ingatan masih tidak dapat ditanggal buang.

Melihat wajah Pak Kudus, dia terkenangkan sesuatu. Masih segar di dalam ingatan, titik- titik pertemuan yang merantai tiap kenangan. Wajah itu benar- benar memukau kalbunya, mencarik satu rasa dari dalam sanubari. Direnungnya tanpa berkedip hingga gadis itu mula perasan sendiri. Senyum yang terukir di bibirnya tidak sudi dibalas. Ungku Aaron rasa tercabar.

Dia tangkas membisikkan sesuatu di telinga pemandunya. Pak Kudus mengangguk faham sebelum turun dari Mercedes Benz. Myvi merah di sebelahnya dihampiri. Gadis itu langsung menurunkan cermin tingkapnya. “Tuan saya minta nombor telifon Cik...” tutur Pak Kudus sopan. Widad menggeleng. Saat lampu isyarat mula bertukar hijau, keretanya memecut laju, meninggalkan wajah- wajah kehampaan di belakangnya.

Cubaan kali pertama untuk dia mengenali gadis itu ternyata gagal. Siang malam dia tidak dapat tidur dengan jenak, hanya kerana bayangan wajah itu. Namun takdir telah menulis sesuatu yang sempurna bila mereka dipertemukan sekali lagi. Figura gadis yang memperagakan gaun pengantin potongan klasik dari material jenis moden benar- benar mencuri perhatian.

Tatkala seisi peragaan itu selesai, dia langsung ke belakang pentas. Tangan Widad ditarik lembut membuatkan gadis itu tergamam tanpa dapat berkata apa. Dia tahu sebagai tetamu jemputan untuk kerusi VVIP, sudah pasti tiap pergerakan dan kelakuannya menjadi perhatian ramai malah perhatian Widad juga... dia tahu itu dan kerana itulah dia menggunakan kesempatan yang ada untuk memikat hati si gadis.

“Awak nak apa?” tanya Widad bila langkahnya lari dari mata- mata yang memandang. Ungku Aaron senyum lagi. Jejaknya turut terhenti di bawah lampu neon yang tidaklah seterang mana. Keayuan wajah gadis di hadapannya dihayati dengan perasaan yang paling indah. “Awak tak ingat saya?” ungkapnya bersama senyum manis. Widad menggeleng.

“Sampai hati awak... saya minta nombor telifon jer pun,” nada itu jelas berisi hampa yang luas. Widad terpempan bila kisah di lampu isyarat kembali bermain di ruang ingatan. Dia jadi kehilangan langkah. Dia tahu, dia tidak bisa lari dari lelaki itu lagi. Malam itu, bulan adalah saksi bila dua hati itu memulakan langkah perkenalan mereka. Langkah yang ditaburi dengan janji- janji manis dan harapan yang indah belaka.

Tapi kenapa takdir yang datang menguji membuatkan aku tewas mempertahankan sebuah perasaan yang tumbuh mekar dalam sanubariku selama ini? Ungku Aaron merengkuh kesal yang paling jauh. Nafasnya membungkam tangis yang pilu. Sungguh… dia mahukan Haryati semula seperti dulu. Aku bersumpah atas cinta ini, aku harus mendapatkan dia kembali walau dengan apa cara sekalipun!

Ungku Aaron tidak mahu melepaskan hakikat yang ada dalam sebuah kenangan. Dia mahu setiap kenangan yang wujud dalam hidupnya bernafas dengan nafas Haryati. Demi lara ini, hubungan yang putus semalam akan disambung semula walau detik dan waktu mengingkarinya. Kalau ibu tak mahu meminang Haryati sekali lagi, tak apa! Pak Kudus dan Mak Wan kan ada... suaranya perlahan dengan harapan yang dijulang setinggi langit.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku