MR. AND MRS.
BAB : 55
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5019

Bacaan






WIDADmenggapai beberapa buah beg kertas pelbagai jenama sebelum badannya dibawa turun dari kenderaan Eilmi Zahrin. Senyum di bibir merah itu dibalas dengan secubit rasa sebelum ia berlalu pergi. Widad segera mengunci pintu pagar. Barang- barang hantaran yang ada di tangan dihitung jumlahnya supaya cukup semua.

“Hai sayang! Wah banyaknya sayang beli barang. Sayang nak kahwin ye?” sapa satu suara. Widad mengangkat muka. Renungannya berlaga dengan mata Ungku Aaron. Renungan yang menyentap segala perasaan dari musim- musim luruh hinggalah ke waktu- waktu dingin. Raut mukanya yang bahagia tadi dibunuh dengan rasa- rasa sengsara dalam sekelip mata.

“Di sini sayang bersembunyi rupanya? Satu Kuala Lumpur nie, abang cari sayang! Baru hari nie, abang jumpa sarangnya. Itu pun sebab satu dunia dah kecoh tentang rencana pernikahan sayang dengan CEO yang berlagak perfect tu!” tutur Ungku Aaron bersama cebikan di muka. Wajah Widad direnungnya lagi. Kali ini, renungannya nampak lebih tajam dan menakutkan.

“Haryati, mudahnya sayang melupakan abang. Mudahnya sayang kuburkan cinta kita tanpa nisan yang tidak bertanda. Mudah pula sayang menerima hati yang lain dalam hidup sayang tanpa berfikir buruk dan baiknya. Cinta kita tidak semurah itu untuk sayang akhirinya dengan cinta baru. Sepuluh tahun kita membinanya, bukan masa yang sedikit. Semua orang ada buat silap. Abang pun manusia biasa yang tak dapat lari dari kesilapan tu...” nada Ungku Aaron menyisip kecewa bila matanya melurut pada beg - beg kertas yang ada di tangan Widad.

“Kau nak apa, cari aku?” suara Widad kasar. Jelingannya menujah. Ungku Aaron senyum lagi. Tangannya mengusap belakang tengkuk.

“Abang nak sayang kembali pada abang. Buktinya abang dah minta Mak wan dan Pak Kudus pinang sayang semula untuk abang tapi pinangan tu ditolak mentah- mentah oleh Puan Yong Lijah!” tutur lelaki itu dengan wajah kecewa. Widad mencebik. Cebikan yang diekori dengan tawaan kecil.

“Kau dah buat ujian mental kat Tanjung Rambutan tak? Aku rasa otak kau dah senget,” cemuh Widad bersahaja. Langkahnya dicatur menuju ke muka pintu. Ungku Aaron masih lagi berdiri di situ. Tangannya menggenggam pagar besi yang memisahkan dirinya dengan Widad. Bunyi bising yang terbit dari gegaran besi itu mencuri perhatian orang sekeliling.

“Abang nak sayang balik dengan abang. Abang nak kita bernikah. Abang nak hidup dengan sayang hingga ke akhir hayat abang!” tempik lelaki itu. Widad berdiri di belakang pintu dengan senyum sinis. Segala perasaan yang mencanak di jiwa dihambur keluar. Ternyata kebenciannya pada lelaki itu masih tidak setara mana. Rindu yang menyorok di balik kisi- kisi kebencian, menyisip jatuh ke dalam teratak hati hingga ada simpati yang terbiar merempat.

“Jangan Widad... jangan mudah terpengaruh dengan lelaki bodoh tu. Ingat! Kau bukan lagi Haryati! Kau adalah Widad, bakal isteri Eilmi Zahrin! Kau harus pertahankan hubungan yang baru kau bina nie. Jangan lemah Widad!” Widad cuba mencari keyakinan diri.

Di tepi jendela, kain bidai itu dikuak sebelum mata hitamnya memanah tempat pertemuannya dengan Ungku Aaron tadi. Lelaki itu sudah tiada di situ. Widad menarik nafas lega. Dia masuk ke dalam bilik tidur. Beg- beg kertas yang sedari tadi memaut di jarinya diletakkan ke atas meja bacaan. Penghawa dingin diketik membuatkan hawa panas bertempiaran lari.

Widad duduk di bibir katil. Hatinya masih termanggu. Apakah aku akan bahagia dengan pernikahan ini? Apakah dendam aku pada Aaron akan terbalas dengan hubungan yang bakal terjalin ini? Apakah aku dapat melupakan segala kenangan silam kami dengan takdir yang sengaja aku cari? Mengambil kesempatan atas perasaan orang lain yang benar- benar tulus dengan cinta pandang pertamanya? Kata- kata itu terhimpun dalam satu keluhan yang sarat.

“Aku takkan benarkan kau kahwin dengan orang lain Haryati! Takkan!” tempikan itu nyata tidak menggetarkan seluruh jiwa raganya. Widad ketawa lagi. Turun naik nafas lelaki itu menguasi rongga- rongga telifon bimbitnya.

“Siapa kau nak mengatur perjalanan hidup aku? Kau bukannya TUHAN! Kau cuma seorang lelaki kaya yang menagih simpati pada seorang gadis miskin yang telah kau lukakan hatinya dan kau pijak maruahnya tanpa ada sekelumit pun rasa kasihan pada hari dia bergelar seorang pengantin!” sinis Widad di hujung talian.

“Macam nielah Haryati, aku nak kau pilih antara dua, samaada batalkan atau teruskan niat kau untuk bernikah dengan si malaun tu tapi kalau kau berdegil untuk teruskan juga, aku terpaksa menyibuk di majlis pernikahan kau nanti. Aku tak akan teragak- agak untuk menceritakan pada semua orang, kenapa aku batalkan majlis pernikahan kita. Aku juga akan ceritakan pada mereka semua, siapa diri kau yang sebenarnya! Fikirkanlah Haryati,” tekan Ungku Aaron. Widad ketawa lagi. Ketawa yang sengaja dijejerkan.

“Kau jangan cabar aku, Haryati. Kau jangan ingat aku tak berani nak buat! Atau kau nak aku bunuh jer bakal suami kau tu? Aku pernah cuba sekali, Haryati! Hampir- hampir saja dia menjadi tetamu maut. Kau nak aku buat lagi sekali?” suara itu lebih berbaur ugutan pula. Widad makin ketawa. Hatinya yang selama ini sakit, kini bagaikan terubatkan bila kata- kata Ungku Aaron itu nampak tersepit dan tergugat. Tut... tut... talian segera dimatikan. Widad masih lagi merasa tenang. Telifon bimbitnya, diletakkan ke sisi sebelum tubuhnya direbahkan ke atas tilam.

Cincin permata Zamrud di jari manis, dilihat dengan air mata yang berlinang. Dia tidak berniat untuk mencarik duka- duka semalam namun segalanya begitu mudah terimbau di ingatan bila lelaki itu muncul dimatanya. Widad bingkas bila bunyi enjin kereta masuk ke dalam gara. Langkahnya menerpa ke tepi tingkap.

Dia melihat Wafa melangkah keluar dari keretanya bersama satu cup besar chocolate mocha. Langkah itu langsung masuk ke biliknya.

"Dalam sekelip mata saja, Widad sudah ada pengganti lelaki tak guna tu! Dia ingat anak gadis arwah Daim nie tak laku? Memang silap besarlah!” bicara Wafa sambil mengunjuk chocolate mocha kepada Widad.

“Wafa... akak tak boleh terus tinggal di sini. Akak nak balik kampung.”

“Ada orang tu tak sabar nak jadi pengantin baru. Bila akak nak balik?”

“Sekarang.”

“Sekarang?” ulang Wafa bertambah hairan. Widad mengangguk. Dia bingkas dari duduknya. Pintu almari baju ditarik dan beberapa helai pasang baju digapai sebelum diletakkan ke atas katil.

“Kenapa secepat ini kak?” tanya Wafa.

“Aaron dah tahu akak tinggal di sini. Tadi dia datang buat bising. Wafa balik esokkan? Nanti tolong bawakan sekali barang- barang hantaran nie ya. Kereta akak tu dah penuh dengan barang- barang akak,” pinta Widad seusai penjelasannya.

Wafa mengangguk. Dia nampak terkejut dengan berita itu. Langkahnya turut bingkas demi membantu Widad berkemas apa yang patut. Di ruang itu, hati mereka seperti kehilangan sudut dan paksi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku