MR. AND MRS.
BAB : 57
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(40 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
7198

Bacaan






BAJUnikah yang direka khas dan dijahit sepenuhnya oleh CEO PUTIH, kelihatan tidak begitu cocok ukurannya di badan Wafa. Kesimpulan itu tertera jelas di mata kasar Eilmi Zahrin. Namun bagi Wafa, imej yang terlantun di balik cermin panjang itu nampak cukup sempurna. Cantiknya baju nie! Senyum yang terukir bagai menceritakan perasaan yang sedang menjalar di dalam diri. Sekejap- sekejap, dia berpusing tiga ratus enam puluh darjah demi melihat keseluruhan baju rekaan itu.

“Alamak, kenapa baju nie macam besar jer? Saya potong ikut ukuran yang awak bagi hari tu atau Puan Insyirah tersalah ambil ukuran?” keluh Eilmi Zahrin dengan muka berkomot. Wafa terpana. Dia tahu, baju itu dipotong mengikut ukuran badan Widad, kerana itu ianya nampak tidak cocok di badannya. Wajah keromot Eilmi Zahrin itu, direnung juga dengan rasa bersalah.

“Erm sebenarnya, saya yang minta Puan Insyirah ukur longgar sikit,” Wafa cuba mencari alasan yang munasabah. Eilmi Zahrin menggeleng.

“Ini longgar sangat. Saya kena kecilkan dalam satu inci setengah lagi, baru baju nie akan nampak cantik di badan awak,” bilas anak muda itu. Wafa ternganga? Apa? Nak kecilkan? Alamak, nanti tak muat pulak di badan Widad! Wafa makin dipungut gelabah.

“Err... tak apalah. Saya tak kisah. Macam nie pun dah ok,”dia cuba mempertahankan hak Widad agar ia akan terus kekal begitu. Eilmi Zahrin merenung wajah itu dengan seribu satu rasa.

"Saya nie kan ikon fesyen. Segala yang saya hasilkan harus nampak sempurna di badan awak. Tak apa, masih ada masa lagi, jangan risau. Nanti saya kecilkan sedikit mengikut saiz badan awak. Esok, saya nak jahit maniknya pula. Banyak kerja lagi nak buat,” ujar Eilmi Zahrin.

Wafa tewas terus. Dia cuma mengangguk bersama getap di bibir. Langkahnya masuk semula ke dalam kamar. Baju nikah yang dipakainya, ditukar. Langkahnya keluar dari bilik itu dengan muka yang resah. Dia bimbang kalau- kalau baju nikah itu dikurangkan incinya. Pasti, ia tidak akan cocok di badan Widad nanti. Mahu tak mahu, material French Lace dan Satin Duchess itu diserahkan semula kepada tukang jahit.

“Awak macam tak suka jer dengan baju yang saya jahitkan untuk awak nie atau awak nak Ungku Aaron yang jahitkan?” nada sinis itu bergema di hujung telinga Wafa. Gadis itu terkemam mendengarnya. Mungkin saja, Eilmi Zahrin perasan dengan ragam di mukanya tadi. Dek kerana itu, senyuman yang paling manis terpaksa dibawa keluar, meniti mekar di bibir merah mudanya.

“Saya suka dengan baju nie, cuma saya tak suka kalau ianya terlalu melekap di badan. Biar longgar sikit, tidak mengapa,” suara Wafa perlahan. Dia masih lagi mencuba nasib dalam mempertahankan sesuatu yang akan menjadi hak eksklusif Widad pada hari pernikahan gadis itu nanti.

“Saya cuma nak kecilkan sedikit saja supaya ianya nampak lebih kemas di badan awak, bukannya sampai awak tak boleh nak bernafas. Hari tu, awak pakai baju kebaya yang Aaron jahitkan tu, elok jer melekap di badan awak. Tak ada pula, awak nak mengomel itu ini!” rajuk Eilmi Zahrin. Wafa terkemam.

“Awak buatlah mana yang terbaik. Saya ikut jer,” akhirnya Wafa mengalah namun anak muda itu tetap dengan riaknya. Aduhai merajuklah pulak! Dia jadi serba salah. Aku bukannya pandai sangat nak pujuk!

“Jomlah saya hantar awak balik,” langkah itu sudah menyusur turun ke tingkat bawah. Wafa terpana. Jejak Eilmi Zahrin dikejar dengan hati yang bersegi. Setelah bersalaman dengan Puan Julia dan saudara mara, dia masuk ke dalam Skyline. Wajah yang muncung sedepa itu dipandang dengan senyum lucu.

“Awak merajuk ker?” entah kenapa soalan itu yang ditanya. Eilmi Zahrin tetap membisu. Pandangannya lurus saat pedal minyak ditekan.

“Orang tua selalu kalau merajuk, buruk tau tapi saya tenguk awak nie kalau merajuk, bertambah- tambah hensem pulak,” usik Wafa lagi. Usikan yang berjaya merubah muncung di wajah itu. Ada bibit- bibit senyum yang cuba ditahan dari menggelupas keluar. Uik... pantang dipuji si tokek nie! Wafa cuba menahan rasa meluatnya yang hadir dengan tiba- tiba.

"Nasiblah awak tak kenal dengan adik perempuan saya. Dia memang tak suka dengan lelaki yang kuat merajuk. Bosan katanya."

“Saya bukan merajuklah! Saya geram bila awak tak suka dengan baju yang saya jahit! Kalau baju Aaron tu, awak ok jer."

"Ok. Saya minta maaf. Salah saya," akui Wafa kerana tidak mahu lagi bertekak.

"Awak tak pernah cerita pun pada saya yang awak ada adik perempuan!”

“Nanti saya kenalkan dia dengan awak,” Eilmi Zahrin mengangguk. Kereta yang dipandu sudah pun memasuki arah simpang rumah sewa Wafa. Kelibat perpisahan sudah pun menunggu di hadapan bila pertemuan itu begitu hampir dengan titik hujung.

“Terima kasih sebab hantar saya balik.”

“Upah saya mana?” tanya lelaki itu selamba. Wafa tidak jadi melangkah. Pandangannya terhenyak ke wajah nakal Eilmi Zahrin. Anak muda itu pantas menunjukkan pipi kirinya dengan jari telunjuk.

“Ada. Awak nak saya pakai siku ker pakai kaki?” tanya Wafa. Geram dan sinis. Eilmi Zahrin langsung ketawa. Tiba- tiba Suzuki Swift menyusur dari belakang sebelum berhenti di hadapan Skyline. Wafa kenal dengan kereta itu. Wajah Widad mula bergentayangan di minda. Resah yang datang bertamu, tidak dapat dihalau pergi apatah lagi, saat itu pintu keretanya sudah pun terbuka.

Wafa masih berfikir- fikir. Apa yang harus aku buat sekarang nie? Figura Widad yang sudah pun jelas berada di mata, dipandang dengan bibir yang bergetap. Langkah itu terlalu laju untuk diterpa. Eilmi Zahrin pantas saja menurunkan cermin keretanya bila langkahseseorang kian menghampiri kereta. Wafa digisai kalut. Aduh... bagaimana nih!

“Erm... tak masuk ke dalam dulu?” sapa Widad. Gadis itu pantas saja mengubah ayat sapaannya bila kelibat Wafa yang duduk di sebelah Eilmi Zahrin menguasai pandangan. Anak bujang itu pantas menggeleng. Wajah yang tebal dengan solekan itu dipandang sekejapan. Apsal diorang nie suka sangat make up macam badut! Hatinya mengutuk dalam diam.

“Awak tentu Wafa kan? Kami baru saja bercakap tentang awak, tadi. Tak sangka pula dapat jumpa awak kat sini,” tegur Eilmi Zahrin mesra. Widad memanjangkan senyum di bibir. Matanya masih terpaku ke arah Wafa yang tunduk membisu.

“Ya. Saya Wafa,” Widad bersuara dengan penuh yakin. Eilmi Zahrin mengangguk. Pandangannya terbuang lagi ke arah Wafa yang sebenar. Gadis itu hanya terkebil-kebil sendiri. Bagai ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.

“Kenapa diam jer? Tadi kata, nak kenalkan saya dengan adik awak?” Wafa mengangkat muka. Matanya terperosok masuk ke dalam mata Widad.

“Tak jadi balik kampung?” tanya Wafa dengan perasaan bersalah.

“Wafa patah balik sebab nak ambil telifon,” ujar Widad. Wafa mengangguk. Telifon itu ada dalam tas tangannya dan untuk memberinya terus kepada Widad di hadapan Eilmi Zahrin adalah tindakan orang yang dungu. Wafa cuba mencari jalan.

“Itu kereta Ungku Aaron kan?” tanya Eilmi Zahrin. Pandangan Wafa mencanak ke satu sudut, sesuai dengan arah yang ditunjukkan oleh lelaki itu. Makin dipandang terasa makin bulat mata hitamnya. Widad juga turut melakukan hal yang sama. Dua beradik itu saling berpandangan sesama sendiri.

“Apa mamat tak guna tu buat kat sini?” Wafa terdahulu melenting. Dia seperti ingin bingkas tetapi segera dihalang oleh Eilmi Zahrin.

“Tak payah nak layan orang gila tu. Sekarang nie, awak masuk dalam rumah, awak ambil baju- baju awak, awak tidur kat rumah saya. Esok siang, saya hantar awak balik kampung!” tegas Eilmi Zahrin. Sisi- sisi bimbang turut mengepung percakapannya. Wafa terpana. Pandangannya terbuang lagi ke muka Widad dengan resah yang berbelah.

“Tidur rumah awak?” ulangnya kemudian. Eilmi Zahrin mengangguk.

“Bukannya saya suruh awak tidur dengan saya. Saya taklah sejahat itu. Saya tahu hukum – hakam, mana yang boleh, mana yang tidak! Rumah mama kan ada banyak bilik!”

“Pergilah. Untuk keselamatan Widad juga,” celah Widad kepada Wafa. Dia turut masuk ke dalam keretanya sebelum beredar pergi meninggalkan Wafa dalam keadaan terpinga- pinga. Anak gadis itu mengeluh terus bila edisi penyamarannya terpaksa dilanjutkan. Habislah aku kali nih! Itulah Wafa! Tadi, kau nak sangat kenakan si tokek nie kan? Sekarang, baru padan dengan muka kau! Hatinya menyumpah.

“Tunggu apa lagi, cepatlah!” perintah Eilmi Zahrin. Wafa bingkas. Langkahnya nampak terkocoh- kocoh. Lima minit kemudian, dia menampakkan diri dengan beg garfield dan barang- barang hantaran Eilmi yang perlu dibawa pulang ke kampung. Eilmi Zahrin tidak lagi menunggu. Pedal minyak ditekan kasar, membuatkan kenderaan itu mengaum pergi.

“Saya nak tanya sikit boleh?” suara itu kembali bergema bila kenderaan yang dipacu sudah pun memasuki lebuh raya Duke menuju ke Taman Tun Dr. Ismail. Wafa hanya mengangguk. Fikirannya masih lagi berfikir- fikir tentang kakaknya, Widad. Cemburukah dia? Hatinya mengulit pertanyaan. Mengenangkan pertanyaan itu, entah kenapa, gementarnya datang lagi.

“Awak cinta saya tak?” tanya Eilmi Zahrin. Renungannya terkalih ke wajah Wafa. Gadis itu menelan kalut yang makin membukit. Aku nak jawab apa nie? Cinta ke tak? Tapi kalau tak cinta, kenapa nak kahwin pula? Kalau aku cakap cinta kang... macam- macam pulak dia tanya. Wafa makin dijerut keliru.

“Boleh tak kita cakap benda nie lepas nikah nanti?” Wafa mengutarakan permintaan yang dikira dapat menyelamatkan keadaan. Eilmi Zahrin membias senyum. Lambat laun, kepalanya diangguk juga. Perjalanannya menuju ke kediaman Tuan Zakarian terasa lebih bahagia bila gadis yang dicintai, sentiasa ada menemani. Dalam membilang detik dan waktu, hatinya diculik rindu yang memabukkan tiap perasaan.

“Tadi... saya hantar awak balik. Sekarang, saya bawa awak balik semula ke rumah saya. Upahnya tak dapat lagi nie. Lama dah saya tunggu...” bebel Eilmi Zahrin saat keretanya memasuki halaman rumah.

“Eh... tadi macam ada terdengar orang tu bercakap tentang hukum hakam,” sinis Wafa tepat. Eilmi Zahrin menyungkit senyum nakal.

“Awak tunggulah lagi tiga hari... memang satu rumah nie, saya kejar awak minta upah,” bilang anak muda itu bersama ugutan manja. Wafa mencebik. Mukanya merah padam bila diajak bergurau begitu.

Tiba- tiba dia terkenangkan tunangnya, Maliq al Mulk. Jejaka Terengganu yang lebih dikenali sebagai abang imam itu, selalu saja menjaga tutur dan kata. Jika ditanya soal cinta, dia memilih untuk bercinta selepas nikah. Kalau nak diikutkan, mereka amat jarang berhubung. Setiap hal yang ingin diketahuinya, disampaikan melalui orang tengah. Siapa lagi kalau bukan Puan Hajjah Basra, ibunya sendiri. Wafa tidak kisah dengan perkara itu. Dia tahu, sebagai seorang imam dan manusia yang taat pada ALLAH dan agama, inilah cara yang terbaik buat mereka berdua.

“Awak nak tidur dalam kereta ker?” tanya Eilmi Zahrin setelah Wafa masih lagi mendiam di ruangan itu. Wafa bangkit dari lamunan. Enjin kereta sudah tidak bernyawa lagi. Pintu keretanya juga sudah terbuka. Beg garfield yang dibawanya tadi sudah pun berada dalam pegangan Eilmi Zahrin.

“Menung apa? Menung yang tiga hari tu ker?” usik Eilmi Zahrin saat langkahnya dicatur keluar. Wafa tidak dapat menahan malu.

“Ini nampak? Kalau berani, buatlah!” ugut Wafa seraya menunjukkan ruas penumbuk tangannya. Eilmi Zahrin tersenyum walau tingkah Wafa yang kasar dan tidak romantik itu berlalu pergi dari pandangannya.

“Saya bukan maksudkannya sekarang. Lepas tiga hari nanti, bila awak dah halal untuk saya...”

“Cukup! Jangan cakap lagi atau penumbuk saya nie akan melekat di muka awak!” tekan Wafa serius. Dia tahu, gurauan yang dimaksudkan oleh anak muda itu tadi adalah gurauan yang biasa buat mereka yang bakal bergelar pengantin. Aku bukan pengantin kau! Hatinya menjerit.

Eilmi Zahrin terdiam. Langkahnya jadi terhenti. Gerak matanya hanya mengikuti jejak langkah Wafa yang sudah laju ke depan. Gengster nya bakal bini aku nie but i like! ucapnya kala rembulan yang jauh bersinar umpama kesuma di hati.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku