MR. AND MRS.
BAB : 58
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(63 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
19193

Bacaan






HENTIAN rehat Tapah. Eilmi Zahrin berhenti di stesen minyak untuk membeli air tin yang dipinta oleh Wafa. Peluang yang ada ini, haruslah digunakan sebaik mungkin oleh gadis itu untuk menghubungi Widad di kampung. Nombor telifon rumah opah segera ditekan. Pandangannya melekap pada pergerakan Eilmi Zahrin. Dia tidak mahu, perbualan itu masuk ke dalam anak telinga pemuda itu.

“Hello...” kedengaran suara Yong Lijah di hujung talian. Wafa pantas melangkah ke arah lain bila sapaan Yong Lijah bergetar di telinganya.

“Err... opah. Widad...”

“Hah Widad, nasiblah kamu telifon opah. Kamu kata nak balik sini? Majlis kamu tu dah tak lama dah. Risau hati opah bila kamu tak muncul- muncul,” sampuk Yong Lijah dengan leterannya. Wafa terpana. Widad masih belum pulang ke kampung? Hatinya membungkam tanya. Saat itu, langkah Eilmi Zahrin sudah pun berada di belakangnya. Oleh itu, dia tidak dapat bertanya lanjut perihal Widad kepada Yong Lijah.

“Widad dalam perjalanan. Nanti Widad sampai,” Wafa mengakhiri perbualan dengan segera. Air tin yang dihulurkan Eilmi Zahrin diraih laju. Langkahnya masuk semula ke dalam kereta. Lelaki itu tidak lagi menunggu. Pedal minyak ditekan hingga kenderaan yang dipandu kembali menyusur ke lebuh raya.

“Tadi kata, dahaga sangat. Kenapa awak tak minum air tin yang saya beli tu?” tegur Eilmi Zahrin setelah dilihatnya gadis itu lebih banyak melamun. Wafa berpaling. Tin air berkarbonat ditarik penutupnya sebelum dia meneguknya hingga puas.

“Lusa kita nak menikah. Awak dah bersedia?” tanya Eilmi Zahrin. Wafa terdiam. Keningnya berkerut menjadi satu.

“Bersedia apa?” soalnya sememangnya tidak faham.

“Bersedia nak jadi isteri saya,” jawab anak muda itu. Senyum yang terukir di bibir, dibiarkan bertali. Wafa mencebik. Pandangannya tercampak ke sisi luar. Hatinya jadi tepu bila soal nikah kahwin dibangkitkan.

“Mama dah tempah tiket kapal terbang untuk kita. Mama nak kita honeymoon di Venice, tempat honeymoon mama dan papa dulu,” bunga- bunga ceria kian menabiri percakapan itu. Wafa sekadar mengangguk. Anggukan yang datang bersama sebuah senyuman yang boleh disukat kemanisannya. Wah, jauhnya Kak Widad berbulan madu. Italy lagi. Hati kecilnya berbisik.

“Nanti awak hantar saya jer tau. Awak tak payahlah singgah,” tegas Wafa. Eilmi Zahrin menunjuk riak kurang senang. Kepalanya digelengkan tanda tidak setuju. Gelengan yang membangkitkan resah di hati kecil Wafa.

“Sayang nie... bagilah saya peluang untuk berjumpa dengan opah sekejap. Nanti apa kata opah. Macam tak ada hormat pula,” bidas Eilmi Zahrin. Wafa menarik nafas dalam- dalam tika kereta itu memasuki kampung kelahiran ayahnya. Tiba- tiba, dia gagal mengawal emosi. Cemas yang memutik di wajah tidak dapat disusun kemas hingga bercelaru nafasnya dalam menantikan satu wajah. Yong Lijah!

“Kenapa awak tak bagi saya singgah?” tanya Eilmi Zahrin bila Wafa bersikap mendiamkan diri. Gadis itu hanya menggeleng. Dia tidak punya alasan yang kukuh melainkan bimbangnya, bimbang kalau- kalau Eilmi Zahrin terserempak dengan Widad yang sebenar. Pelbagai perkara datang mencemuh fikiran. Mengejek- ngejek sikapnya yang suka menyamar sebagai Widad. Figura Yong Lijah yang berdiri di laman rumah bersama sekumpulan ahli rewang masuk ke dalam mata hitamnya.

Wafa memandang wajahnya ke cermin sisi. Alat solek yang masih menebal di muka membuatkan gementarnya mula berkurangan. Mungkin aku terpaksa menyamar sebagai Widad di hadapan Yong Lijah dan rakan- rakannya. Eilmi Zahrin tidak lagi menunggu setelah enjin kereta dimatikan. Langkahnya laju mendapatkan Yong Lijah.

Wafa masih kematian langkah kerana dia dan Yong Lijah tidaklah semesra mana. Namun dia bingkas juga. Pandangannya masih melilau. Mencari- cari figura kakaknya. Ternyata, Widad tiada di situ. Wafa pantas meluru ke arah Yong Lijah. Tangan yang dihulurkan, disambut kemas dan dicium dengan perasaan yang luru.

“Wah. Kacaknya bakal suami kamu, Widad. Memang padan dengan kamu,” puji seorang makcik bertubuh gempal, berkulit cerah. Wafa gagal mengingati wajah itu. Al- maklumlah... dia dibesarkan di Kuala Lumpur. Lain pula halnya dengan Widad. Gadis itu dibesarkan di sini, di kampung halaman ayahanda mereka. Dan Yong Lijah lah yang memeliharanya sedari kecil. Maka, tidak hairanlah jika kakaknya yang dipilih untuk menjadi cucu kesayangan wanita itu.

“Kali nie jangan tak jadi lagi tau!” tegas seorang lagi rakan baik Yong Lijah. Tangannya menepuk- nepuk belakang Wafa. “Nanti... kalau ke mari, bawa keretanya jangan laju- laju. Jangan sampai kemalangan lagi. Kesian dengan Widad. Kesian dengan kami yang menanti penuh harap di sini,” tambahnya kemudian. Eilmi Zahrin mengangguk. Senyuman manisnya mula berterabur. Siapa yang kemalangan? Hati kecilnya bertanya.

“Naiklah ke atas rumah. Minum kopi dulu,” ajak Yong Lijah yang sedari tadi mendiamkan diri. Eilmi Zahrin mengangguk. Langkahnya berpusing arah. Mahu tak mahu, Wafa terpaksa juga menemani figura itu. Opah nie... ajak naik pulak! Gerutu hatinya tidak selesa. Dia bimbang kalau- kalau Widad muncul dengan tiba- tiba. Air kopi yang masih panas, dituang ke dalam cawan hingga penuh.

“Siapa yang kemalangan sayang?” tanya Eilmi Zahrin sebaik sahaja, cawan kopi ditalakan ke arahnya. Wafa sedikit tergamam. Pandangannya terbaling ke laman rumah. Dari tingkap kayu yang memanjang ke bawah itu, dapat dilihat kemesraan yang bertamu dalam hubungan Yong Lijah dengan rakan- rakan rewangnya.

“Widad?”

“Dulu bila Ungku Aaron membatalkan pernikahan kami, saya terpaksa menggunakan alasan yang Ungku Aaron terlibat dalam kemalangan, semata- mata untuk menutup malu,” jelas Wafa perlahan. Eilmi Zahrin mengangguk faham. Tiba- tiba dia teringatkan kata- kata Kak Zaimah dua minggu lalu. Kini, dia mengerti... kenapa pengusaha Tekad itu bertanyakan soalan yang sebegitu kepada Widad.

“Minumlah cepat. Pastu boleh balik,” paksa Wafa.

“Amboi, awak halau saya ker?” suara Eilmi Zahrin. Wafa mencebik.

“Malulah pada orang kampung. Lainlah kalau awak tu dah sah jadi suami saya,” Wafa menggunakan alasan yang paling rasional. Eilmi Zahrin mengungkap senyum. Sisa kopi di dalam cawannya segera dihabiskan sebelum tubuhnya bingkas dari kerusi rotan. Kakinya kembali mendapatkan Yong Lijah. Wafa pula kembali mengekori jejak itu.

“Nak balik dah?” tanya Yong Lijah.

“Widad halau saya, opah...” jawab pemuda itu berterus terang. Wafa jadi kaget terus bila dia dikaitkan dalam satu jawaban. Sekalian yang ada, turut memandang ke arahnya.

“Ada baiknya Widad yang halau sebelum kami yang buat macam tu. Bukan lama pun lagi! Lusa kau orang dah bernikah. Bila dah halal, tak adalah orang nak mengata, mengeji itu ini,” tutur Yong Lijah, menyokong perbuatan cucunya. Makcik Semah dan makcik Khaltum menyambut bicara itu dengan anggukan yang panjang. Eilmi Zahrin turut sama mengangguk. Langkahnya mula menyisih.

Wafa menghantar anak muda itu hingga ke hujung halaman. Pandangannya terpaku pada wajah itu. Eilmi Zahrin menggarit senyum yang luas. Dia masuk ke dalam kereta. Kelibat Wafa digamit sejenak. Gadis itu melangkah pula ke arah yang lain saat tingkap kereta ternganga luas.

“Sebelum saya pergi, boleh tak saya nak dengar ungkapan I Love You dari mulut awak,” ucap Eilmi Zahrin manja. Wafa terpempan. “Jangan nak mengada –ngada. Pergi balik cepat!”balas Wafa kasar, hujung matanya tajam mereling. “Awak nie tak romantik langsung!”bebel Eilmi Zahrin. Dia berlalu pergi dengan wajah yang ceber.

Wafa langsung naik ke atas rumah. Langkahnya masuk ke dalam bilik pengantin. Bilik yang sudah pun dihias dengan cantiknya. Set tempat tidur juga sudah ditukar lain. Wafa duduk di birai katil. Jam di dinding sudah menjangkau angka lima. Beberapa jam lagi, malam akan menyusul dan siang akan berubah menjadi gelap. Lalu, ingatannya kembali menumpuk pada satu wajah. Widad! Di manakah dia?



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku