MR. AND MRS.
Bab BAB : 59
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2905

Bacaan






NYANYIAN cenderiang selalu saja sumbang. Namun Wafa tetap betah dengan situasi itu. Ahli rewang yang berkampung di rumah Yong Lijah sejak petang tadi sudah beransur pulang. Wafa mengunci pintu kayu itu dari dalam. Dulang berisi cawan- cawan kotor dibawa ke ceruk dapur sebelum dicuci bersih. Kehadiran Yong Lijah di ruangan itu, membuatkan mulutnya ingin membuka cerita tentang siapa dirinya yang sebenar.

Sejak kepulangannya di kampung itu petang tadi, nama Widad tidak pernah lekang dari bibirnya dan mulut orang kampung. Mereka menyangka yang aku ini, Widad! Hati kecil Wafa berkata- kata. Dia ingin membetulkan keadaan. Langkahnya lurus ke meja makan.

“Kenapa Widad masih belum sampai lagi, Wafa?” tanya Yong Lijah. Oh! Mujur saja opah mengecam dirinya sebagai Wafa! Getus Wafa sendiri. Senyum di bibirnya sedikit terbuka. Dia berjalan beberapa langkah sebelum duduk di kerusi makan. Wajah tua Yong Lijah yang dipaut rasa bimbang itu ditenung sejenak dengan senyum nipis.

“Mungkin kak Widad ada hal yang masih belum dapat diselesaikan opah,” jawab Wafa lembut. Senyum manis di bibirnya terulit lagi. Yong Lijah terdiam. Wajahnya tetap juga serius. Senyum di bibir Wafa tidak diendahkan langsung. Dia bingkas ke satu sudut. Matanya tercari- carikan sesuatu.

“Tadi ada posmen hantar surat. Aku nie bukan tahu baca. Buta huruf!” tegas Yong Lijah. Tangannya menarik sampul surat berwarna putih oren di atas almari kayu separas dadanya. Surat itu langsung diberikan kepada Wafa. Dan Wafa mula membaca tiap nama yang tertera. Wafa Binti Daim. Itu nama aku! Detiknya hairan. Pandangannya berkalih pula ke bahagian belakang. Nama yang tertera di belakang sampul itu membuatkan dahinya berkerut seribu.

“Surat untuk siapa tu?” tanya Yong Lijah setelah lama dia menunggu buah bicara dari Wafa, berkaitan kenyataannya tadi. Wafa mendongak. Wajah keliru Yong Lijah dijamah dengan resah yang berburu.

“Surat untuk Wafa, opah...” jawabnya kemudian.

“Cuba kamu telifon Widad. Kamu tanya kat dia, bila dia nak balik!” arahan itu kedengaran di hujung telinga Wafa.

“Telifon Widad ada pada Wafa. Dia tertinggal kat rumah.”

Yong Lijah mengangguk. Resah di wajahnya kian berbaur. Langkahnya tidak lagi menunggu. Dia naik ke atas rumah, menuju ke ruang tengah. Suara televisyen tidak lagi kedengaran setelah alat teknologi itu dimatikan suisnya.

“Kalau Widad balik, kejutkan aku!” pesan Yong Lijah sebelum langkah wanita itu masuk ke dalam bilik tidur. Wafa mengangguk walaupun anggukannya tidak dilihat oleh Yong Lijah. Dia masuk ke dalam bilik Widad. Pintu kayu dirapatkan dengan kemas sebelum langkahnya makin berayun. Barang- barang hantaran yang cantik tersusun dipandang dengan hati yang keliru.

Wafa duduk di hujung katil. Beberapa helai kertas putih ditarik keluar dari sampul. Sebentuk cincin permata yang tersimpan di dalam plastik kecil berwarna putih dibawa ke dalam pegangan. Debar di dada, kian berkocak bila nota yang cukup ringkas itu menjamah mata hitamnya.

Pandangan Wafa meluru pula ke kertas putih yang kemas tersusun mengikut abjad dan perkataan. Ini borang nikah! Resah di dada kian mencengkam bila cincin tunang yang sepatutnya berada di jari manis Widad, terpacul di mata. Wafa seakan mengerti maksud yang ingin di sampaikan. Dia berlari keluar dari bilik itu bersama nota di tangan. Pintu bilik Yong Lijah dikuak kasar membuatkan sekujur tubuh yang sedang baring bingkas duduk dengan matanya terpacu ke pintu.

“Opah...” panggil Wafa bersama tangisan yang tidak dapat lagi ditahan. Bahu Yong Lijah ditarik dan dibawa ke dalam pelukannya. Yong Lijah terpana. Resah yang berbondong itu mulai pecah dalam retak- retak bimbang.

“Kenapa Wafa? Kenapa?”

“Widad tak akan balik, Opah. Widad tak mahu teruskan pernikahan nie,” tangis gadis itu. Yong Lijah terpempan. Direnungnya wajah Wafa yang kelejuhan itu dengan muka yang memucat.

“Kenapa? Widad di mana Wafa? Mana Widad? Mana cucu aku!” Yong Lijah mengasak tanya. Bahu Wafa digoncang kasar. Gadis itu hanya menggeleng lemah. Cincin pertunangan Widad diletakkan dalam telapak tangan Yong Lijah. Setelah melihat cincin pertunangan itu, dia yakin ada sesuatu yang tidak kena. Tangan Wafa ditarik kasar bersama langkah yang laju menuju ke ruang tengah.

“Kau tenguk sendiri, Wafa. Semuanya dah ada! Kenduri nikahnya hanya tinggal dua hari saja lagi! Satu kampung dah tahu, Wafa! Bilik pengantin pun sudah dihias. Khemah untuk rewang juga sudah dipasang. Jemputan telah dihantar! Mana Widad?! Mana!!!” tempik Yong Lijah. Wafa terkejut dengan situasi yang itu. Dia cuba untuk menenangkan Yong Lijah.

“Apa yang kau dah buat dengan Widad? Kau cakap dengan aku, mana kau simpan cucu aku!” tempik Yong Lijah lagi. Wafa tergamam. Dia tidak menyangka, seburuk itu tingkahnya di mata Yong Lijah.

“Cakap Wafa! Cakaaapp!!!” Yong Lijah bagai orang naik hantu. Bilah rotan yang terselit di tepi dinding digapai sebelum dihayun laju ke belakang Wafa.

“Kenapa Eilmi panggil kau Widad?! Kenapa kau berlakon jadi Widad di hadapan Eilmi dan orang kampung?! Mana cucu aku?! Apa kau dah buat dengan dia!!!” tempik Yong Lijah tanpa henti. Wafa hanya mampu menahan sakit bila belakangnya dilibas dengan buluh rotan.

“Opah. Ampun opah. Wafa tak bermaksud nak jadi Widad. Ampun opah. Wafa tahu Wafa salah. Ampun...”

“Mana kau sembunyikan Widad! Telifon dia. Hantaran pihak lelaki, semuanya ada pada kau! Kau jangan macam- macam Wafa. Kalau kau apa- apakan cucu aku. Aku sendiri yang akan bunuh kau!” ugutan Yong Lijah bergema dalam nada yang paling gerun untuk didengar. Wafa terjelepuk di lantai kayu itu. Air mata yang mengalir menjadi saksi akan kesakitan yang dirasai pada saat itu.

“Wafa tak buat apa- apa pada Widad. Wafa berani bersumpah,” tutur gadis itu.

“Widad yang opah kenal, tidak akan pernah memalukan opah! Dia sentiasa menjaga hati dan perasaan opah malah dia juga akan menjaga nama baik dan maruah opah! Entah- entah surat tu... kamu sendiri yang tulis dan hantar ke mari!”

“Tidak opah. Tidak... demi ALLAH! Tidak...” tangisan Wafa kian berekor.

“Apa kurangnya Imam Maliq? Apa yang kau nak sebenarnya? Lelaki kaya? Berduit? Kau cemburukan Widad kerana bakal suami dia orang kaya dan ada nama?!” Yong Lijah tidak habis- habis menuduh. Wafa jadi makin lemah. Dia tahu, suaranya pada saat ini penuh dusta di telinga Yong Lijah.

“Kalau malam esok, cucu aku tak balik juga. Aku akan laporkan pada polis. Biar polis sendiri yang bongkar kejahatan kau tu!” ucap Yong Lijah sebagai satu amaran. Buluh rotan di tangan dicampak ke arah Wafa. Gadis itu cuba untuk bingkas tetapi kesakitan yang dirasainya membuatkan setiap sendinya menggigil. Sudahnya, dia merangkak menuju ke kamar depan. Telifon bimbit diraih. Nombor Aini ditekan laju. Saat panggilan itu dijawab, tangisannya meluru jatuh tanpa dapat ditahan.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku