MR. AND MRS.
Bab BAB : 60
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3745

Bacaan






MALAM. Nafasnya menggulung sunyi yang panjang bila rembulan berada di tengah- tengah dada langit. Dan Wafa masih lagi di sudut itu. Sudut yang menjadi pilihan Widad saat tangisnya berlagu bila rencana pernikahannya dibatalkan oleh pihak lelaki. Di mana harus aku tadah rasa malu aku? Ini adalah majlis pernikahan Widad yang tertunda dulu! Rungutan perit Yong Lijah mengacau keadaan.

Getaran telifon bimbit Widad mencuri ruang dan perhatian. Wafa meraih alat peranti itu bila nama Eilmi terpapar di mata. Bagaimana aku harus memulakan bicara? Ucapnya bersama linangan air mata.

“Sayang dah tidur? Lambat jawab call,” mesra suara Eilmi Zahrin menyapa di telinga.

“En. Eilmi,” panggilnya lemah malah langsung tidak kedengaran.

“Sayang nie kan... memang nak kena cubit tau. Dari petang tadi, saya tunggu awak call sebab baju nikah awak tertinggal di tempat duduk belakang tapi awak boleh buat tak kisah. Awak nie ikhlas ke tak, nak jadi isteri saya?”

Wafa tergamam. Sungguh, dia terlupa sungguh dengan baju tu!

“Esok pagi- pagi saya terpaksa datang semula ke kampung awak untuk hantar baju nikah awak. Awak jangan sesuka hati nak halau saya,” tempelak Eilmi Zahrin manja.

“Mungkin awak kena datang sekarang,” ujar Wafa, suaranya serak. Detik jam di dinding dipandang sekejapan. Malam masih tidak terlalu jauh.

“Sekarang? Awak nie biar betul. Datang siang pun kena halau. Inikan pula nak datang malam- malam buta macam nie,” sindir Eilmi Zahrin.

“Tolong datang sekarang!”

“Kenapa nie? Apa yang tak kena?” Wafa tidak dapat menjawab soalan itu bila esakannya makin sukar untuk didiamkan. Sedu sedan ritmanya membuatkan Eilmi Zahrin tidak lagi menunggu.

Dan Wafa menangis semahu- mahunya. Segala kisah ini akan dibentangkan di hadapan lelaki itu. Dan untuk merungkai kekusutan yang ada, dia harus menerima sebarang kemungkinan! Dari tepi pintu bilik itu, kelihatan dengan jelas figura Yong Lijah. Sudah pasti, wanita itu mendengar dengan jelas bicaranya tadi.

“Kau nak kahwin sangat dengan lelaki tu kan? Kalau itu yang kau mahu, aku sendiri yang akan aturkan nanti! Tapi aku nak kau telifon Imam Maliq untuk batalkan pertunangan kau dengan dia malam ini juga!” tengking Yong Lijah tiba- tiba. Raut mukanya masih belum puas. Seperti ada bias- bias dendam yang belum terbalas.

Hampir dua jam, Wafa hanya merenung dinding yang kosong di depannya. Nama Widad sudah dipinggir jauh. Hatinya tidak lagi tertarik untuk memikirkan soal gadis itu. Bunyi deruan enjin kereta Eilmi Zahrin menggamit ruang. Dari pintu bilik yang renggang itu, dapat dilihat figura Yong Lijah melangkah laju ke muka pintu sedang Wafa masih tidak berganjak dari tempatnya biarpun rintihan Yong Lijah sudah kedengaran dengan sadisnya.

“Kenapa opah?” tanya Eilmi Zahrin. Dahinya berkerut. Bahu wanita yang hampir rebah segera disambut dan dipapah naik ke tingkat atas.

“Apa yang berlaku?” suara Eilmi Zahrin menyelusup ke telinga Wafa dengan lebih jelas. Yong Lijah terduduk di atas lantai. Pandangannya masih merenung ke satu wajah.

“Widad dah lari! Widad dah lari tinggalkan kampung nie, Eilmi...” suara Yong Lijah makin perit di kerongkongnya. Tangisan tuanya bergema dalam sayu. Eilmi Zahrin kelihatan terkujat. Langkahnya terpempan di situ.

“Tapi tadi...”

“Tadi dia ada tapi sekarang, dia dah lari. Kenapa Widad buat opah macam nie? Mana opah nak letak muka opah nie Eilmi? Apa lagi alasan yang opah nak gunakan bila orang kampung bertanya, kenapa majlis pernikahan ini terpaksa dibatalkan lagi?” suara Yong Lijah makin hiba.

Wafa yang duduk menyudut di dalam bilik Widad, tidak dapat menahan sebak. Air matanya bertambah bila luahan hiba Yong Lijah itu membeku pada titik- titik waktu. Eilmi Zahrin masih terpaku di situ tanpa ada kata.

“Mana opah nak letak maruah opah nie? Kalau begini, biarlah opah mati daripada menanggung malu yang tidak mampu lagi opah tanggung. Hancurnya hati opah nie, Eilmi. Hancur...” rintihan itu masih lagi bersisa. Eilmi Zahrin cuba menenangkan Yong Lijah. Telifon bimbitnya dibawa keluar dari poket seluar. Nombor telifon Widad ditekan sebelum telifon itu dibawa ke telinga. Nyanyian Salley Bassey- If You Go Away, mencelah suasana. Langkah Eilmi Zahrin bertapak sebelum bilik pengantin itu dijengah.

“Widad?” panggil lelaki itu dengan wajah yang keliru. Yong Lijah turut sama meluru ke pintu sebelum berdiri kaku di belakang Eilmi Zahrin.

“Dia bukan Widad tapi Wafa, adik kembar Widad,” ujar Yong Lijah. Wafa hanya menggetap bibir. Segala apa yang keluar dari mulut Yong Lijah itu tidak mampu untuk disangkal. Dia tidak tahu, kenapa opahnya sanggup berbohong sebegitu rupa dalam keadaan yang sudah sedia rumit.

“Eilmi...” panggil Yong Lijah seraya melutut di sisi lelaki itu.

“Opah tak sanggup lagi menanggung malu jika pernikahan ini tidak berlangsung. Pastinya opah akan dicerca oleh orang kampung. Opah merayu pada Eilmi, terimalah Wafa sebagai isteri Eilmi demi untuk menutup malu. Kalau Eilmi tidak suka dengan dia, Eilmi boleh lepaskan dia selepas sebulan bernikah. Opah merayu sangat pada Eilmi. Tolonglah selamatkan maruah opah. Jangan biarkan orang- orang kampung menghina opah,” rayuan itu benar- benar meruntun hati lelakinya. Eilmi Zahrin segera membangunkan kelibat Yong Lijah yang duduk melutut di kakinya.

Ketika itu, pandangannya berperang dengan renungan Wafa. Gadis itu terhinggut- hinggut menangis. Eilmi Zahrin kematian kata- kata. Akal fikirnya makin mengusut dengan permintaan Yong Lijah. Bisakah? Hatinya masih juga bertanya. Semua orang dah tahu aku akan bernikah. Kat mana aku nak sorok muka aku nie, kalau pernikahan tu tak jadi? Kali ini, hatinya pula bertanya.

Papa dan mama, tentu akan sama menanggu malu. Katering sudah ditempah. Baju nikah, baju resepsi semua dah siap. Hantaran, bunga pahar dan bride giftdah ada. Kad jemputan dah dihantar. Media dah dijemput. Khidmat jurugambar sudah dibayar. Eilmi Zahrin mengeluh. Keluhan yang mengecewakan seluruh hati dan perasaannya.

“Apa buktinya yang Widad benar- benar sudah lari?” tanya Eilmi Zahrin. Yong Lijah pantas saja mengambil sehelai nota yang terletak di atas meja solek bersama sebentuk cincin. Kedua- dua barang itu diberikan kepada lelaki yang bertanya tadi. Melihat bait- bait kata yang tertulis dalam nota itu, hati lelakinya jadi makin hampa. Renungannya terbungkam pada figura lain.

“Opah, izinkan saya bercakap dengan Wafa,” pinta Eilmi Zahrin. Yong Lijah mengangguk. Tangannya menyentuh sisi lengan anak muda Puan Julia.

“Jangan kecewakan opah. Kalau Eilmi menolak permintaan opah kali ini, biarlah opah mati daripada menanggung malu seumur hidup!”

Eilmi Zahrin tidak pula memberi sebarang harapan. Setelah figura Yong Lijah keluar dari ruangan itu, langkahnya maju ke sudut. Kini, dia pula yang duduk melutut di sisi kanan Wafa.

“Wafa,” panggilnya perlahan. Gadis itu tidak pula berpaling.

“Kalau Widad tak balik sehingga waktu yang ditetapkan, boleh tak awak menggantikan tempat Widad? Saya janji, saya takkan ambil kesempatan ke atas awak dan awak takkan terikat dengan hubungan kita. Apa yang kita lakukan ini hanyalah untuk menjaga maruah keluarga kita. Dan bila tiba saatnya nanti, saya akan lepaskan awak,” luah anak muda itu. Wafa berpaling kerana kata- kata itu.

Eilmi Zahrin tergamam terus. Wajah itu persis kali dengan wajah Widad. Tiada apa yang berbeza walau seinci. Renungannya mendebarkan jiwa. Seperti dia sedang berhadapan dengan gadis yang sama walau dia tahu, keadaan tersangatlah berbeza.

“Wafa. Saya merayu pada awak. Tolong selamatkan maruah saya...”

“Jangan! Jangan merayu pada saya!” pinta Wafa. Rasa bersalah yang ada di jiwa tidak dapat diluah. Eilmi Zahrin keluar dari bilik itu. Langkahnya turun ke laman rumah. Baju nikah yang dijahit untuk Widad, diambil dan dibawa naik ke atas rumah. Di ruang tamu, matanya bertembung lagi dengan mata Yong Lijah.

“Wafa, ini baju nikah Widad. Cubalah pakai. Kalau tak muat, kita cari saja baju yang sesuai untuk awak di butik saya nanti,” suara Eilmi Zahrin. Wafa tidak punya pilihan. Dia bingkas saat figura lelaki itu menapak ke luar pintu. Baju t shirt bersama seluar panjang ditanggalkan dari badan. Baju kurung moden yang pernah dicubanya beberapa hari lepas, disarukkan semula ke badan. Jari jemarinya cuba untuk menarik zip di belakangnya hingga habis namun kesakitan yang dirasainya menghalang zip yang ditarik untuk sampai ke atas.

Wafa langsung berkalih ke hadapan saat bunyi pintu dikuak ke dalam mengganggu suasana. Pandangannya menumpuk ke wajah Eilmi Zahrin. Lelaki itu membantunya menarik zip yang masih terbuka separuh. Kerut di wajahnya berselirat bila mata hitamnya menatap biritan- biritan merah pada kulit yang putih mulus itu. Yong Lijah yang perasan dengan hal itu langsung saja beredar.

“Siapa yang pukul awak sampai macam nie?” tanya Eilmi Zahrin. Nadanya menggambarkan riak di muka. Wafa tidak mahu membuka mulut. Dan Eilmi Zahrin sudah dapat mengagak, ianya angkara siapa tetapi kenapa? Hatinya tertanya. Apakah kerana Widad yang melarikan diri, dia pula yang jadi mangsa?

Eilmi Zahrin merenung gadis di hadapannya dengan simpati yang berbekas. Baju itu sangat padan ukurannya. Seperti, ia dijahit khas untuk dia. Apakah takdir telah menulis sesuatu yang sangat luar biasa jangkaannya dalam takdir hidup aku? Hati kecilnya masih jua bertanya, masih lagi mengintai - intai wajah takdir yang dianggapnya serupa walau hakikatnya, ia terlalu jauh berbeda.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku