MR. AND MRS.
Bab BAB : 62
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
2917

Bacaan






MALAM itu, Eilmi Zahrin tidak dapat melelapkan mata. Pelbagai perkara bermain di fikirannya. Wajah Widad dan Wafa datang bersilih ganti. Kenapa dia sanggup buat aku macam nie? Pertanyaan itu sudah terlalu lama dibiar mengemis di jalanan fikirnya demi sebuah jawapan yang dia sendiri tidak tahu. Namun apa yang pasti, tiap titisan air mata yang mengalir jatuh di wajah itu telah meruntun hati lelakinya.

Waktu subuh sudah tiba. Yong Lijah yang baru usai berwudhu segera menampakkan diri di ruang tamu. Melihat kepada tiga buah sejadah yang siap terbentang. Eilmi Zahrin mula mengerti maksud yang tersirat di balik perlakuan Yong Lijah itu. Dia bingkas dari kerusi rotan. Laju langkahnya menuju ke bilik air. Di ruang dapur, dia berselisih pula dengan Wafa.

Anak gadis itu hanya tunduk membisu. Matanya yang nampak sembab menarik perhatian Eilmi Zahrin. Anak muda itu langsung saja membersihkan diri sebelum mengangkat air sembahyang. Langkahnya menapak semula ke atas rumah. Yong Lijah dan Wafa sudah pun menunggu di atas sejadah masing- masing. Eilmi Zahrin langsung saja mengambil tempat sebagai imam.

Lafaz yang tertera dengan jelas di mulut lelaki itu mengusik jiwa nurani Wafa. Inilah kali pertama, dia mendengar lelaki yang dipanggilnya tokek mengalunkan bacaan ayat- ayat suci al- quran dalam rakaat pertama. Bacaannya kedengaran baik. Air matanya mengalir lagi. Entah kenapa, solatnya jadi tidak kusyuk pula bila dia terkenangkan tunangnya, Maliq al Mulk.

“Eilmi, kamu bawalah Wafa pulang ke Kuala Lumpur hari nie. Kamu nikahlah di sana esok petang. Nanti opah berikan alamat dan nombor telifon adik lelaki opah yang tinggal di sana. Biar dia yang menjadi wali,” ucap Yong Lijah setelah bacaan doa dari mulut Eilmi Zahrin selesai. Anak muda itu merenung ke muka Wafa.

“Pergilah ikut bakal suami kamu nie, Wafa. Opah tak nak orang kampung tenguk muka kamu yang sembab dek air mata tu,” suara Yong Lijah seraya bingkas. Kain sejadahnya dibawa bersama.

Eilmi Zahrin turut bingkas. Kain sejadahnya diletakkan ke atas meja rotan. Wafa masuk ke dalam bilik pengantin. Dia bersiap dan mengemas apa yang patut. Bunyi deruan enjin kereta Eilmi Zahrin bagai memanggil dirinya untuk turun dari teratak itu. Langkahnya terhenti di ruang pintu bila tubuh Yong Lijah menghadang jalannya.

“Wafa!” panggil Yong Lijah keras.

“Pulangkan cucu aku! Dan aku nak, kau merayu pada Maliq al Mulk supaya bernikah dengan Widad. Kau mesti merayu pada dia hingga dia dapat menerima Widad sebagai pengganti kau. Kalau tidak, sampai mati pun... aku takkan maafkan kau!”tekan Yong Lijah. Wafa turun ke tingkat bawah. Langkahnya masuk ke dalam kereta Eilmi Zahrin.

“Wafa, saya minta maaf kerana melibatkan awak dalam masalah ini. Saya minta maaf,” suara Eilmi Zahrin setelah sunyi makin terbiar di sudut pertemuan.

“Jangan minta maaf dengan saya,” balas Wafa. Renungannya masih terpaku di luar. Malah dia tidak ubah seperti orang yang sedang termenung mengenangkan nasib diri.

“Awak tahu kenapa Widad melarikan diri? Mungkin dia ada cakap sesuatu pada awak sebelum dia lari?” Eilmi Zahrin meluahkan pertanyaan lain. Wafa diam semula. Sebenarnya, dia tidak tahu kenapa Widad melarikan diri dari pernikahan ini. Apa sebenarnya yang membuat gadis itu berubah fikiran?

“Awak nak jumpa tunang awak dekat mana?”

“Di Keramat Hujung,” ringkas Wafa.

“Kalau lapar, kita boleh berhenti sarapan.”

Wafa menggeleng. Dia tidak punya selera. Akal fikirnya penuh dengan segala macam pertanyaan dan perasaan. Dia ingin menangis namun air matanya seperti sudah kering. Sembab di wajah masih belum surut, mahu ditambah lagi? Eilmi Zahrin tetap juga berhenti di hentian rehat Tapah. Langkahnya bingkas dari kereta itu. Tidak lama kemudian, dia muncul bersama dua cawan kopi o panas dan sandwich.

“Saya tak lapar,” ungkap Wafa saat sandwich disuakan ke arahnya.

“Jangan biar perut tu kosong, nanti masuk angin. Makan sikit.”

Wafa mengeluh. Dia terpaksa juga membuka mulutnya bila cebisan sandwich di tangan Eilmi Zahrin sudah sedia menanti untuk disuap masuk. Kunyahan gadis itu nampak perlahan. Air matanya bergenang jatuh dengan tiba- tiba.

“Saya risaukan Widad. Entah- entah ada perkara buruk yang berlaku pada dia,” luah Wafa. Eilmi Zahrin terdiam. Suapan tangannya ke mulut Wafa nampak terhenti. Mata gadis itu direnung juga sesaat dua. Dan hingga ke saat itu, dia tidak dapat menafikan bahawa wajah yang ditatapnya persis sekali dengan wajah Widad.

“Dia bukan budak- budak lagi. Dia sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan tentang hidup dia. Lari dari rumah bukanlah satu hal yang besar tetapi menghilangkan diri pada saat– saat akhir begini adalah satu perkara yang tidak dapat dimaafkan! Ini bukan perkara main- main. Ianya melibatkan maruah dan nama baik kedua – dua belah pihak!” tegas Eilmi Zahrin. Jelas sekali, lelaki itu memendam rasa tidak puas hati kepada Widad.

Wafa terdiam terus. Hakikat yang sebenar terlalu jauh bezanya dari apa yang sedang difikirkan oleh lelaki itu. Widad bukan lari dari rumah tapi Widad tidak pulang ke rumah! Pasti ada sesuatu yang berlaku. Mungkin Widad menjadi mangsa culik Ungku Aaron. Hati kecil Wafa terus – menerus bersuara.

“Mungkin Widad tak lari dari rumah. Mungkin Widad kena culik,” suara Wafa perlahan. Eilmi Zahrin menggeleng tanda kurang setuju.

“Habis nota yang dia tulis tu,” tukas Eimi Zahrin. Wafa terdiam semula. Kata- kata anak muda di sebelahnya itu ada juga benarnya. Tapi kenapa? Kenapa Widad membatalkan pernikahan ini tanpa alasan?

“Mungkin dia diugut untuk menulis nota tersebut.”

“Diugut? Tapi tulisan dia kemas dan teratur!” bidas Eilmi Zahrin, Perbualan itu jadi terhenti bila telifon di sisinya mengeluarkan bunyi. Anak bujang itu nampak teragak- agak untuk menjawab panggilan itu. Wafa langsung saja memandang ke luar tingkap. Sepertinya dia tidak mempunyai minat untuk mengintip perbualan telifon yang bakal berlaku.

“Mr. Hussein,” sapa Eilmi Zahrin. Matanya terlari sekejap ke arah Wafa.

“Batalkan semuanya.”

Lelaki itu masih lagi bercakap- cakap di telifon dalam saat- saat berikutnya.

“Yup. Everything’s good,” jawab Eilmi Zahrin seraya ketawa kecil. Wafa mula mencebik. Everything’s good konon! Kau nie memang pandai berlagaklah tokek! Hatinya menempelak.

“Sure. Thanks Hussein.”

Perbualan itu berakhir di situ. Telifonnya sudah kembali ke tempat asal. Wafa tidak pula bertanya tentang apa yang dimaksudkan oleh lelaki itu. Renungannya terbaling ke luar bila kata- kata terakhir Yong Lijah tadi menyesak di dada. “Kau mesti pujuk Maliq al- Mulk untuk terima Widad sebagai pengganti kau!” Persoalannya lagi, di manakah Widad?



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku