MR. AND MRS.
Bab BAB : 63
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3882

Bacaan






SUASANA Keramat Hujung nampak suram dengan gerimis. Deretan kereta yang memenuhi Tanah Perkuburan Datuk Keramat mengganggu perhatian Wafa. Keadaan itu mengingatkannya kepada ayahanda tercinta. Perkhabaran duka yang diterimanya sewaktu sedang menduduki peperiksaan semester akhir di Universiti Malaya. Langkahnya bagaikan terkunci dalam nafas yang seakan terhenti bila peluang terakhir untuk bertemu dengan ayah tercinta tidak dapat direalitikan.

Air mata yang mengalir pada saat itu tidak dapat ditampung bila Widad memaklumkan keadaan ayahnya sangat teruk dan dia terpaksa membuat keputusan untuk mengebumikan jenazah ayah di Kota London memandangkan ayahnya sudah lama bermastautin di negara itu. Maafkan Wafa, ayah kerana hingga ke saat- saat akhir ayah di dunia ini... Wafa masih gagal menghadirkan diri di hadapan ayah!

“Awak menangis?”

“Saya terkenangkan arwah ayah saya. Melihat tanah perkuburan yang dipenuhi orang tadi membuatkan sesal saya mula berbangkit. Saya sedih kerana tidak dapat bersama ayah pada saat- saat terakhirnya,” luah Wafa. Eilmi Zahrin terdiam. Bibirnya terkemam.

Wafa memandang ke hadapan bila kenderaan Maliq al- Mulk yang terletak di pinggir jalan masuk ke matanya.

“Awak nak ikut?” tanya Wafa. Eilmi Zahrin masih lagi berfikir- fikir. Wafa sudah pun menanggalkan tali pinggang keledar. Pintu kereta juga sudah dibuka. Eilmi Zahrin mengalah. Pintu keretanya ditolak sebelum dia bingkas dari ruangan itu.

Wafa melangkah ke satu arah. Langkahnya tidak seperlahan langkah Eilmi Zahrin di belakangnya. Figura Aini yang sedia menanti di laman rumah itu didakap dengan esak tangis. Puan Hajjah Basra turut sama meluru keluar. Tubuh kecil Wafa diraih erat. Eilmi Zahrin hanya memerhati sahaja. Lalu, anak matanya tercari- cari di mana diamnya buah hati Wafa?

“Mari masuk...” pelawa Puan Hajjah Basra. Wafa menggeleng tanda menolak pelawaan itu. Cincin belah rotan yang masih tersarung di jarinya, ditanggalkan lalu diberikan kepada wanita itu.

“Jangan. Wafa ambil saja cincin ini. Anggaplah ianya pemberian dari seorang ibu buat anak perempuannya,” pintas Puan Hajjah Basra. Wafa jadi hilang kata- kata. Mata hitamnya tercari- cari di mana diamnya Maliq al Mulk.

“Wafa nak cakap dengan abang Maliq...” pinta Wafa. Permintaan yang didengari oleh Eilmi Zahrin. Puan Hajjah Basra mengangguk. Dia masuk ke dalam rumah. Tangan Aini turut sama digapai. Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki berjubah kelabu dan berserban dari pintu itu. Wafa cuba untuk memapah senyum tika ucapan salam disambut.

“Abang Maliq,” panggil Wafa. Maliq al Mulk tetap juga senyum seperti biasa. Dia membawa langkahnya ke arah Eilmi Zahrin. Tangan yang dihulurkan segera pula disambut oleh lelaki itu.

“Kenapa menangis Wafa?” tanya Maliq al- Mulk lembut. Wafa terdiam. Dia tidak tahu untuk menjawab apa kerana Eilmi Zahrin ada di sisinya.

“En. Eilmi Zahrin. Tahniah. Saya doakan, moga perkahwinan kalian bahagia hingga ke jannah bersama putera dan puteri yang soleh dan solehah. Amin ya Rabb,” ucapan itu tidak ubah sebagai doa apatah lagi saat ia diucapkan, kedua –dua belah telapak tangan Maliq al Mulk sudah pun terangkat menadah ke langit atas. Eilmi Zahrin turut sama mengaminkan doa itu. Hanya Wafa yang terkujat bersama sedikit rasa yang tidak menentu.

“Wafa. Tiap rezeki, jodoh, pertemuan dan ajal semuanya adalah rahsia ALLAH. Malah milik ALLAH. Bersyukurlah atas pemberianNya kerana ALLAH lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita sebagai hamba,” tutur Maliq al Mulk tetap lembut seperti selalu. Wafa hanya mengangguk.

“Wafa nak cakap sesuatu dengan abang Maliq...”

“Ya. Cakaplah,” pinta Maliq al Mulk terus.

“Sesuatu yang agak peribadi...” tambah Wafa lagi. Pandangan matanya tertangkap ke wajah Eilmi Zahrin seperti memberi sesuatu isyarat. Lelaki itu cuba untuk mengasingkan diri namun segera pula dihalang oleh Maliq al Mulk.

“Bicara saja di hadapan bakal suami kamu, Wafa supaya nanti tidak terjadi fitnah dan buruk sangka,” ucap Maliq al Mulk. Wafa jadi tergagap- gagap terus. Mata hitamnya masih lagi mengerling ke satu wajah. Sungguh, dia berasa kurang selesa untuk membicarakan permintaan Yong Lijah tadi di hadapan lelaki itu.

“Abang Maliq tolong terima kak Widad sebagai isteri abang Maliq. Tolong jangan putuskan hubungan kekeluargaan ini. Wafa minta maaf kerana hubungan kita terpaksa berakhir begini,” tutur Wafa perlahan. Matanya jatuh menunduk. Maliq al –Mulk membiaskan senyum di muka.

“Bukan saya yang menentukan jodoh saya tetapi ALLAH subhanahu wata’ala. Jika jodoh saya ditentukan olehNya dengan mana- mana gadis sekali pun, hubungan kekeluargaan ini takkan terputus Wafa. Berdosa besar jika kita memutuskan silaturrahim sesama kita,” jelas Maliq al Mulk. Wafa mengangguk. Kini, dia mula melangkah... meninggalkan dua orang manusia berbangsa adam itu. Entah apa yang diucapkan oleh mereka berdua, Wafa tidak berminat untuk mengambil tahu.

Tiba- tiba... dia teringatkan Yong Lijah. Pastinya Yong Lijah sudah menceritakan segala- galanya kepada Puan Hajjah Basra. Buktinya... Puan Hajjah Basra seperti sudah sedia maklum akan maksud kedatangannya pada kali ini. Entah apalah yang opah dah cerita pada mereka. Keluh hati Wafa, jiwanya digigit kecewa yang bukan sedikit.

“Wafa...” panggil satu suara. Wafa berpaling ke belakang. Kelihatan, Aini sedang berlari- lari anak mendapatkannya.

“Kau okey tak nie?” tanya Aini. Wafa sudah pun berhenti melangkah. Malah, tubuhnya juga sudah dipusingkan sepenuhnya demi menyambut kehadiran Aini. Gadis itu masih gagal menahan sendu di hati.

“Alah... relakslah. Kau nak nikah dengan tokek jer kut bukan dengan raksasa sampai kau nangis bagai nak rak macam nie,” Aini berusaha untuk menceriakan keadaan. Wafa hampir saja ketawa. Bahu Aini yang basah dengan air matanya, dicubit lembut.

“Kau memang suka usik aku dengan si tokek tu kan...”

Kali ini... giliran Aini pula yang ketawa.

Actually... tokek tu taklah seteruk mana kalau nak dijadikan suami. Hari tu kau juga yang cakap, dia tu romantik orangnya,” bebel Aini. Wafa mengesat air mata yang masih bersisa. Seketika, Eilmi Zahrin melintas lalu di hadapan dua orang gadis itu. Perbualan Wafa dan Aini jadi terhenti terus. Wafa terus masuk ke dalam kereta bila enjin kereta sudah pun dihidupkan. Pandangannya masih menekap di wajah Aini.

“Berapa lama awak bercinta dengan Imam Maliq?” tanya Eilmi Zahrin setelah kereta yang dipandu menuju ke arah Setiawangsa.

“Kami tak bercinta pun. Abang Maliq memilih untuk bercinta selepas nikah.” Eilmi Zahrin mengangguk faham.

“Saya pun akan jadi imam juga,” suaranya bersahaja. Wafa mencebik.

“Imam kepada Puan Wafa Binti Daim,” sambung lelaki itu lagi. Wafa mematikan cebikan di bibirnya.

“Imam sementara mungkin!” tegas Wafa. Dia tahu, dia dengan lelaki itu tidak pernah sebulu. Hakikatnya, dia tidak mengharapkan apa –apa pun dalam perkahwinan ini. Cukup sekadar maruah kedua- dua belah pihak tidak menjadi bahan mulut- mulut jahat.

“Sementara? Sementara tu pada saya boleh jadi setahun atau lebih,” sinis Eilmi Zahrin.

“Setahun mungkin lebih rasional. Kita akan gunakan alasan yang kita tiada zuriat bila kita berpisah nanti. Jadi untuk itu,  awak jangan cuba- cuba menggatal dengan saya!” jelas Wafa secara terperinci. Eilmi Zahrin ketawa kecil dengan penjelasan itu.

“Kenapa ketawa?” tanya Wafa pelik.

“Saya takkan sentuh awak pun!” Eilmi Zahrin memperlekehkan kenyataan Wafa tadi.

“Alah lelaki zaman sekarang nie, bukan boleh percaya. Rakusnya sama macam kucing yang pantang tenguk ikan! Tapi cakap bukan main besar!” sindir Wafa. Eilmi Zahrin tetap juga senyum.

“Tapi setahu saya lah kan... orang lelaki nie, kalau dia nak langgan pelacur sekali pun, perkara pertama yang  perlu ada dalam diri pelacur tu, adalah daya tarikan pelacur tu sendiri. Kalau daya tarikan tu tak ada, dia pun takkan tidur dengan pelacur tu.”

“Lelaki sekarang nie, kebanyakkannya hidung belang awak tahu tak?!” Wafa masih cuba mematahkan sendi- sendi perkataan yang keluar dari mulut Eilmi Zahrin.

“Awak dengan kakak awak sama jer kan? Suka sangat melalut bila bercakap. Saya bercerita tentang daya tarikan bukan tentang nafsu lelaki...”

Wafa terdiam terus bila anak muda itu membangkitkan satu perkara yang masih menjadi rahsia di hatinya. Dia kembali memandang ke luar. Entah kenapa, hatinya sakit bila diperlekehkan tadi. Ish tokek nih! Gerutunya dalam dan jauh.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku