MR. AND MRS.
Bab BAB : 64
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(20 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
11498

Bacaan






TEPAT jam dua belas tengahari! Loceng bilik hotel itu berbunyi lagi. Eilmi Zahrin mengangkat muka memandang Wafa. Gadis itu langsung bingkas. Hidangan tengaharinya nampak terganggu. Dia sudah dapat mengagak siapa yang sedang berdiri di luar pintu bilik itu. Wajah Reena, teman sekerjanya terbayang di minda. Tetombol pintu dipulas dan wajah itu mula menjelma dengan nyatanya.

“Hello babe...!” jerit gadis itu riang. Jeritan yang berjaya mencuri perhatian Eilmi Zahrin. Pandangan lelaki itu berlaga sesaat dua dengan mata hitam Reena. Wafa pantas saja menarik tangan rakan sekerjanya itu membuatkan langkah Reena menyasar laju ke ruang tengah. Suara televisyen sengaja dikuatkan  agar perbualan sulitnya tidak didengari oleh orang lain kecuali Reena.

“Itu bukan Eilmi Zahrin ker? CEO PUTIH?” bisik Reena ke telinga Wafa. Pandangan matanya masih jua melekat di wajah kacak itu.

“Mana dokumen yang aku minta tu? Kau dah siapkan semuanya?” gesa Wafa. Dia hanya mahu mengalihkan perhatian Reena dari terus melekap ke muka Eilmi Zahrin. Gadis itu pantas mengeluarkan sampul surat berwarna putih dari beg tangannya. Dokumen sebanyak lima muka surat itu diserahkan kepada Wafa. Kini, pandangannya kembali hinggap di wajah seorang CEO.

“Dekat luar, dia lagi hensem kan?” tutur Reena melonjak rasa- rasa yang mesra. Wafa hanya mencebik dengan pujian itu.

“Aku rasa kau kena tambah power lagi kat cermin mata kau tu!” sinisnya bersahaja. Reena tersengih bila diperli begitu.

“Apa yang berlaku sebenarnya Wafa? Hari tu, kau minta cuti, kau kata kakak kau nak kahwin tapi sekarang kau cerita kat aku, kau sendiri yang nak kahwin. Mana satu yang betul nie?” Reena mula membuka kertas siasatan. Wafa tidak mengendahkan pertanyaan itu. Dia begitu tekun meneliti kertas- kertas putih yang ada di tangannya hingga dia berpuas hati dengan apa yang dibawakan oleh Reena untuknya.

“Eh... apsal muka kau bengkak sampai macam tu? Kau menangis ker? Ini mesti kes, kau kena kahwin paksa kan? Kalau tidak, taklah kau minta aku siapkan memorandum nie?” tebak Reena.

“Dari tadi kau datang, baru sekarang kau perasan yang muka aku sembab macam nie? Kan aku dah kata, kau kena tambah power cermin mata kau tu,” ejek Wafa. Reena tersengih lagi. Mata hitamnya kembali terarah kepada Eilmi Zahrin.

“Apa mamat macho tu buat kat sini? Kau tempah baju pengantin dekat butik dia ker? Wah... kelas kau Wafa! Teruja pulak aku nak tenguk kau bersanding dengan gaun rekaan PUTIH. Pasti kau akan nampak sangat cantik,” pujian Reena melambung tinggi. Mendengar saja kata pujian itu, Wafa segera pula mengangguk. Kini, dia tidak perlu bersusah payah untuk mencari alasan, kenapa CEO PUTIH itu berada sebilik dengannya pada saat – saat begini.

“Oklah. Aku tak boleh lama nie. Nanti kau tolong cakap kat dia yang aku memang dah lama minat kat dia. Minat gila- gila tau. Kalau boleh, kau bagi nombor telifon aku pada dia. Manalah tahu kut- kut sangkut pula dia dengan aku,” bisik Reena. Wafa terdiam sekejap sebelum kepalanya diangguk. Dia bingkas semula setelah Reena bangun dari duduknya.

“Eh, kau tak jemput aku makan nasi minyak kau?” tanya Reena hairan.

“Tak kut, aku kalau boleh nak rahsiakan perkahwinan nie daripada pekerja lain. Nantilah aku belanja kau makan nasi minyak terbaik punya dekat BB Plaza ya.”

“Kau takut sangat nak beritahu semua orang yang kau nak kahwin esok, kenapa? Kau kena tangkap basah dengan abang imam kau?” soal Reena dengan mata terbeliak. Wafa menahan kata- kata bila langkahnya melintasi figura Eilmi Zahrin.

“Mulut kau nie, memang tak ada insuran tau!” marah Wafa di muka pintu saat gadis itu sedang menyarungkan kasut tumit tinggi ke ruas kakinya. Gadis Muar itu pantas membuat muka selamba. Wafa merapatkan semula dedaun kayu itu setelah Reena beredar pergi dengan hati yang masih berteka- teki.

Di mata hitamnya kini, dia dapat melihat susuk tubuh Eilmi Zahrin yang baru duduk di sofa satu sambil menonton buletin tengahari. Wafa duduk semula di meja makan. Mee goreng daging yang masih berbaki separuh dihadap dengan selera yang sudah tipis. Kunyahannya jadi perlahan bila permintaan Reena tadi berlegar- legar di ingatan. Sudahnya, kata- kata itu direnyuknya jauh- jauh dari lubuk fikiran.

“Esok, bila kita dah bernikah, saya nak awak duduk saja di rumah. Tak payah sibuk- sibuk nak kerja,” putus Eilmi Zahrin. Wafa menggeleng. Kunyahan mee di mulutnya jadi terhenti.

“Jangan degil. Saya mampu nak sara awak bulan- bulan,” bebel Eilmi Zahrin kemudian setelah anak matanya menangkap gelengan kepala Wafa.

“Saya tetap nak kerja!”

“Awak tu isteri saya. Isteri CEO PUTIH. Nanti apa pula kata orang...”

“Biarlah! Saya kan cuma isteri di atas kertas? Bila sampai masa dan ketikanya, saya akan dilepaskan. Jadi saya mohon, jangan kurung saya dalam sangkar kuasa awak tu! Saya pun ingin terbang bebas seperti wanita- wanita lain,” bicara itu lebih kepada bertekak pula. Eilmi Zahrin berkerut dahi kerana kata- kata itu.

“Isteri di atas kertas? Maksud awak?” ulangnya sekali lagi. Wafa mengangguk. Dia bingkas dari meja itu bila seleranya sudah patah. Gerak kakinya yang lambat itu membuatkan Eilmi Zahrin jadi tertunggu- tunggu. Sampul surat putih yang dibawa oleh Reena tadi diberikan kepada anak muda itu. Sebatang pen turut diletakkan di tepi kertas.

“Mana awak dapat memorandum nie?” tanya Eilmi Zahrin setelah muka surat pertama dibacanya hingga habis.

“Dari mana saya dapat, itu tak penting. Apa yang penting sekarang nie, awak kena baca satu persatu perenggan yang ada, kemudian fahamkan. Dan bila awak dah faham, tolong turunkan tandatangan awak pada helaian keempat. Cukup saja setahun kita berkahwin, saya nak awak lafaz cerai tu,” ujar Wafa sejelas- jelasnya. Eilmi Zahrin mengangguk. Pen yang disediakan oleh Wafa tadi langsung digapai. Helaian keempat diselak dengan cermat sebelum tandatangan diturunkan.

Wafa bertambah lega setelah perjanjian itu berjaya dimaterai. Kertas memorandum di tangan Eilmi Zahrin diambil dan dimasukkan semula ke dalam sampul sebelum disimpan di dalam begnya.

“Saya nak keluar. Ada hal yang perlu saya uruskan lagi. Ambil air batu, tuam kat muka awak tu biar sembabnya cepat baik. Nanti, bila tok kadi tenguk muka awak yang sembab tu, mesti dia fikir yang awak kena nikah paksa dengan saya,” rungut Eilmi Zahrin. Wafa menarik muncung sedepa.

“Memang betul pun kan? Saya terpaksa akur dengan pernikahan ini untuk menjaga nama baik opah dan nama baik awak,” bilasnya. Eilmi Zahrin berhenti melangkah. Beg sandangnya digapai. Dia mengeluarkan sesuatu dari beg itu. Kertas cek bernilai lima puluh ribu ringgit diletakkan di hadapan Wafa.

“Anggap saja ianya sebagai upah atas jasa baik awak menggantikan tempat Widad untuk tempoh setahun. Tolong jangan ungkit lagi kata- kata awak tadi sebab awak sudah pun dibayar untuk memegang peranan sebagai isteri upahan saya!” tegas Eilmi Zahrin. Wafa cuba berlagak tenang walau angka kosong yang tertulis di kertas putih itu menunjal- nunjal perhatiannya. Cek yang terletak di atas meja dijeling  bersama riak muka yang tidak berminat.

“Dan setiap bulan, saya akan masukkan tiga ribu ke dalam akaun awak. Itu pun kalau awak sudi menjadi suri rumah sepenuh masa saya. Kalau tidak, angka tiga ribu tu akan menurun kepada satu ribu sebulan,” jelas Eilmi Zahrin lagi di hadapan pintu itu ketika tali kasut diperkemaskan. Biji mata Wafa hampir terkeluar mendengarnya. Dia cuba membuat kira- kira mengikut angka yang dinyatakan oleh bakal suaminya itu tatkala pintu sudah pun dirapatkan.

Beberapa saat kemudian, Wafa mula menjenguk- jenguk pintu bilik itu hanya untuk memastikan Eilmi Zahrin benar- benar sudah pergi. Cek bernilai lima puluh ribu ringgit itu diterpa laju. Angka kosong yang tertera di dalam cek itu ditelitinya dengan betul. Betul- betul lima puluh ribu nie! Wow! Seumur hidup aku, ini kali pertama aku menerima wang sebanyak ini! Senyum di bibir Wafa makin meleret. Dia menari- nari keriangan dengan cek di tangan.

Dalam gambarannya kini, tidak lain dan tidak bukan... duit- duit kertas berwarna ungu sedang jatuh dari langit dan bertaburan di sekelilingnya. Figura Eilmi Zahrin yang entah bila munculnya, direnung dengan muka yang berkerut. Pandangannya meluru ke arah pintu bilik yang sudah pun terbuka sepenuhnya. Anak muda itu pantas mendapatkan telifon bimbit di sudut katil sebelum langkah kakinya tersusun melintasi figura Wafa.

“Awak bayangkan duit lima puluh ribu tu tengah jatuh dari langit ker? Tadi, bukan main berlagak lagi. Cek lima puluh ribu tu macam duit lima sen jer awak pandang!” sinis Eilmi Zahrin sebelum langkahnya diteruskan dan pintu kayu itu dirapatkan semula. Wafa masih lagi terkebil- kebil di situ. Masa bila pulak si tokek tu masuk? Dia bertanya- tanya sendiri dengan raut muka terpinga- pinga.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku