MR. AND MRS.
Special Teaser - 1
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 April 2014
IRONINYA SAYANG... MEMILIKIMU LEBIH SUKAR DARI MEMBUNUH SETERU!
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4027

Bacaan






YONG LIJAH memandang ke jalan raya. Langkah para tetamu disambut dengan senyum lebar. Rawan yang bermukim di hati sejak malam kelmarin disembunyikan jauh- jauh. Dia tidak dapat melupakan Widad. Hatinya resah memikirkan gadis itu. Sehingga ke saat ini, figura Widad masih tak muncul- muncul.

“Eh Lijah! Dengar cerita, Widad dah selamat bernikah di Kuala Lumpur semalam?” tanya mulut becok Yah Semah. Beberapa kerat orang kuatnya turut sama merenung mata hitam Yong Lijah.

“Betul. Adik lelaki saya tak dapat nak walikan dia di sini sebab dia baru buat pembedahan buah pinggang minggu lepas. Tak dapat nak berjalan jauh kerana luka bedahnya masih belum sembuh. Jadi terpaksalah Widad ke Kuala Lumpur dan bernikah di sana, dekat tempat Pak Su nya,” cerita Yong Lijah. Sudah berkali- kali, ayat itu terbit dari mulutnya bila ada yang menanyakan perihal pernikahan Widad. Yah Semah tersenyum sinis.

“Alah, jauh apanya! Kuala Lumpur dengan tempat kita nie berapa jam lah sangat atau sebenarnya, pengantin lelaki yang fobia? Takut terjadi kemalangan lagi? Orang kata, kalau kali kedua pun tak jadi bernikah, sial namanya tu!” sindir Yah Semah terang- terangan. Yong Lijah langsung naik angin.

“Hei Semah! Apa yang kau tak puas hati dengan cucu aku?! Kau sakit hati sebab cucu aku tak layan anak bujang kau yang berlagak bagus tu kan?!” tempikannya nyaring. Lengan baju kurung disinsing hingga ke paras siku. Sambal belacan yang masih belum terusik, digenggam sebanyak yang dapat sebelum ditenyeh ke mulut Yah Semah.

Suasana hingar bingar kian tercetus bila Yah Semah menggigit jari tengah Yong Lijah. Sekumpulan ibu- ibu yang menyaksikan kejadian itu pantas meluru mendapatkan Yong Lijah. Mereka cuba untuk meleraikan kekecohan yang sedang berlaku.

“Mulut kau tu Semah, memang dari dulu patut dicili! Disebabkan mulut jahat kaulah, ramai orang kampung kita bermusuh sesama sendiri!” marah Yong Lijah. Yah Semah meludah – ludah ke tanah, membuang sisa- sisa sambal belacan yang masih berbaki dalam mulutnya. Nafasnya terasa berapi hingga lidahnya terjulur keluar seperti anjing yang kelaparan. Orang kampung yang melihat wajah lucu Yah Semah yang merah terbakar memburai tawa. Ada seguni rasa puas dalam hati mereka bila perempuan yang suka membawa mulut itu dicilikan mulutnya.

Yong Lijah menggenggam jari hantunya yang masih berdenyut. Matanya tidak lagi memperdulikan langkah pulang isteri kepada pengerusi jawatan kuasa kampung itu yang beredar pergi bersama orang kuatnya. Serentak itu, rombongan mempelai lelaki pun tiba. Paluan kompang mula bergema dan keadaan kembali meriah. Ramai yang terjenguk- jenguk untuk melihat ahli baru keluarga Yong Lijah yang dikhabarkan datang dari golongan orang berada dan ada nama.

Eilmi Zahrin mengemaskan tanjak di kepala. Gemuruh di dada bagai turut sama dipalu. Pandangannya berlaga dengan wajah tetamu bila langkah Wafa disaing cermat. Senyum di bibir gadis itu terpantul di mana- mana bila teman seperjuangan Widad melambai- lambai ke arahnya. Gentar di hati kian berirama tika Yong Lijah terpacak di depan mata. Mahu tak mahu, tangan wanita itu diraih dan dikucup hormat.

“Kau kena berlagak sebagai Widad. Semua orang kat sini fikir yang kau adalah cucu aku! Lagipun, ini yang kau nakkan?” bisik Yong Lijah saat tubuh Wafa diraih dan dibawanya ke dalam pelukan. Wafa tidak membantah. Dia jadi tak tentu rasa bila Yong Lijah tidak henti- henti memandangnya. Di mana Widad sekarang? Apakah yang telah berlaku? Ya ALLAH, lindungilah Widad dari bahaya dan dengki khianat manusia!

Detik- detik minit berlari meninggalkan waktu. Khemah tetamu yang sedari pagi dipenuhi orang, kini sudah mula lengang. Malah rombongan dari pengantin lelaki sudah beransur pulang. Wafa kembali merenung muka Yong Lijah yang masam mencuka. Dia tahu, wanita itu masih menyimpan rasa tidak puas hati.

“Bila kamu nak ceraikan dia, Eilmi?” tanya Yong Lijah jelas. Wafa berkalih pandang. Matanya berpadu dengan mata suaminya. Lelaki itu terkejut dengan pertanyaan sinis Yong Lijah.

“Saya tak fikir lagi soal tu,” jawab Eilmi Zahrin. Matanya meluru ke wajah Yong Lijah bila janda beranak satu itu mendengus kasar dengan jawaban yang diberikan. Sepertinya, dia tidak suka dengan jawapan itu tetapi kenapa? Hati kecilnya bersoal jawab.

“Terima kasihlah Wafa sebab sudi selamatkan maruah dan nama baik aku. Sepertinya baru terbalas segala jasa –jasa aku pada ayah kamu!” tegas Yong Lijah. Wafa masih membisu.

“Ada Widad telifon kamu?”

Wafa menggeleng. Gelengan yang membuatkan kerja- kerja tangan Yong Lijah terhenti.

“Eilmi, tolong ambilkan opah air suam kat dapur. Rasa kering pula tekak opah nie,” pinta Yong Lijah. Eilmi Zahrin tidak pula keberatan untuk melakukan hal itu.

“Aku nak tahu di mana kau sorokkan cucu aku! Di mana Widad?!” tegas Yong Lijah. Pandangannya mencerlung.

“Wafa tak tahu. Bukan Wafa yang sorokkan Widad, opah.” Yong Lijah menggeleng kasar.

“Kau nak aku pukul kau lagi? Baru kau nak buka mulut untuk cakap hal sebenar? Atau kau nak aku letak racun dalam minuman suami baru kau tu dan buat polis percaya... kau yang meracuni dia hingga mati? Aku boleh buat mereka semua percaya yang kau kahwin nie hanya untuk kaut harta dan wang ringgit keluarga dia jer!” ugut Yong Lijah bersungguh. Wafa terpana. Raut muka Eilmi Zahrin yang muncul di belakang wanita itu dipandang dengan cemas di dada.

Benarkah Yong Lijah sanggup berbuat demikian atau ia hanya untuk menakutkan dirinya? Hati Wafa tertanya- tanya. Terkebil- kebil dia di halaman itu mengenangkan kejadian malang yang bakal berlaku di dalam hidupnya kelak andai itulah yang telah dirancangkan oleh Yong Lijah dalam perkahwinan ini. Hukuman bagi seorang pembunuh dengan niat adalah gantung sampai mati! 

Maka, berbaloikah aku mengorbankan impian aku untuk hidup bersama abang Maliq hanya untuk menjaga nama baik dan maruah Yong Lijah?



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku