PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 1
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 April 2014
SUDAH TERBIT FEB 2015......BOLEH DAPATKAN DI KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA....... Untuk makluman semua, edisi cetak novel ini agak berlainan dengan versi ini. Nama Tipah di tukar jadi Effa. Namun ceritanya tetap menarik dan gempak! Jangan lupa dapatkannya di pasaran ya!
Penilaian Purata:
(11 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
28242

Bacaan






BAB 1

Sawah padi yang terbentang luas menjadi saksi. Petang itu sekali lagi Tipah dan ‘Rayyan tiruan’ bersanding di atas pelamin olok-olok. Susah payah Tipah dan Melah memujuk si Ali agar menjadi pengantin lelaki bagi majlis persandingan yang di rancang dengan teliti oleh mereka berdua semenjak dari malam semalam lagi.

“Kepak kepak kepak gebum gebum gebum!” Berbuih mulut Tijah, Syikin dan Lili meniru bunyi kompang. Yelah, tak berserilah pengantin yang tengah bersanding kalau kompang tak di palu. Zura dan Din pula bergilir-gilir menepung tawar pasangan pengantin tersebut. Kembangnya hati Tipah hanya tuhan sahaja yang tahu!

“Tipah! Oh Tipah! Bertuah punya budak! Kau buat perangai lagi, Tipah! Kau balik sekarang!” Tipah tersentak. Makcik Rosnah sudah berdiri di hujung bendang sambil mengacum-acum parang kontotnya. Sahlah mak tirinya a.k.a bini tarzan sedang naik angin. Tipah dan rakan-rakannya bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Jaga kau, Tipah! Siap kau kat rumah nanti!” Selaju yang mungkin Tipah menghayun langkah ke rumah. Dalam hati dia hanya mampu berharap agar ayahnya sudah pulang ke rumah. Sengihnya melebar hingga ke telinga tatkala terpandang motosikal ayahnya sudah tersadai di tangga rumah. Pantas dia menerpa ke dalam rumah. Pak Saad sedang leka membaca suratkhabar.

“Ayah! Tolong saya, ayah! Bini tarzan tu mengamuk lagi!” Adu Tipah.

Berkerut dahi Pak Saad. “Tak baik kamu cakap makcik kamu macam tu, Tipah. Ini mesti kamu buat lagi perangai tak senonoh tu, kan?”

Tipah menyerigai. “Alah ayah, takkan itu pun nak marah? Biasalah tu. Tipah kan kena bersedia dari sekarang.”

“Bersedia kepala hotak kau! Memalukan aku je! Satu kampung dok heboh bercerita, anak si Rosnah gila nak berlaki. Mana aku nak taruk muka aku ni?” Herdik Makcik Rosnah yang sudah tercegat di belakangnya.

Selamba Tipah menjawab. “Alah taruk jelah kat pajak gantung!”

Naik angin Makcik Rosnah di buatnya. “Abang, tengoklah perangai anak dara kesayangan awak ni! Menjawab je kerjanya. Ikutkan hati nak je aku cili-cilikan mulut kau tu, tau?”

Tipah menggerutu perlahan. “Ingat mulut aku ni lesung batu ke apa? Nak letak cili konon.”

Telinga Makcik Rosnah segera menangkap ayat sarkastik Tipah. “Apa kau cakap? Kau ni memang cari nahas dengan aku, kan?”

Pak Saad segera meredakan keadaan. “Sudahlah tu! Tak malu ke dah senja-senja begini terpekik terlolong macam orang hilang akal? Tipah, minta maaf dengan makcik kamu sekarang!”

Muncung Tipah sudah panjang sedepa. “Alah, kenapa pula Tipah nak minta maaf? Bukannya Tipah ada buat apa-apa salah pun.”

Makcik Rosnah menunjal kepala Tipah. “Tak buat salah kata kau? Hei Tipah, mana ada anak dara dalam kampung ni yang berperangai macam kau? Umur dah dekat dua puluh tahun tapi masih lagi main kahwin-kahwin! Itu kan permainan budak-budak kecil. Kita suruh sambung belajar, dia sibuk nak kahwin pulak. Sia-sia je keputusan cemerlang STPM yang kau dapat tempohari, tau?”

Tipah membidas. “Siapa cakap kahwin tu permainan budak kecil? Makcik, tak lama lagi saya dah nak kahwin jadi saya kenalah berlatih dari sekarang. Lagipun untuk pengetahuan makcik, STPM tu bermaksud Sijil Tunggu Peminangan Malaysia! Jadi saya sedang tunggu orang pinang sayalah ni.”

Makcik Rosnah mencebik. “Pinang konon! Jangan nak perasanlah! Siapa yang nak kahwin dengan kau?”

“Rayyanlah yang nak kahwin dengan saya! Siapa lagi, kan?” Berseri-seri wajah Tipah setiap kali nama pemuda itu di sebutnya.

“Kau jangan nak perasanlah! Si Rayyan tu tak hadapnya perempuan kampung macam kau ni. Tolong sedar diri sikit, ya,” bidas Makcik Rosnah dengan nada benci.

Tipah tersengih-sengih. “Apa yang makcik tahu? Lembu di pegang pada hidungnya tapi manusia di pegang pada janjinya. Janji tetap janji. Walau apa pun yang jadi Rayyan tetap akan kahwin dengan saya!”

Pak Saad menggeleng-gelengkan kepala. Sah anaknya memang tak makan saman! “Tipah, janganlah menaruh harapan terlalu tinggi. Ayah takut nanti kamu akan kecewa.”

Dengan yakin Tipah bersuara. “Ayah jangan risaulah! Memang Rayyan telah di takdirkan untuk jadi suami saya. Tiada siapa yang boleh menidakkan kebenaran itu.”

Makcik Rosnah berteriak. “Rayyan! Rayyan! Rayyan! Takde nama lain ke? Telinga aku ni dah naik jelak dengar kau dok sebut nama tu tiap-tiap hari.”

“Takpe makcik jangan risau. Tak lama lagi makcik dah tak payah nak dengar suara saya lagi pasal saya dah nak kahwin dengan Rayyan. Nanti saya pindah jauh-jauh dari sini. Sayonara ler makcik. Mesti makcik rindukan saya nanti.”

“Baguslah kalau macam tu! Tak payah aku nak sakit otak memikirkan perangai kau yang tak berjenis tu,” Makcik Rosnah merengus sambil berlalu ke dapur.

Pak Saad merenung wajah anaknya dengan perasaan hiba. “Tipah, kita ni orang miskin. Kita kena sedar di mana taraf dan kedudukan kita. Bak kata pepatah jangan jadi macam hidung tak mancung, pipi yang tersorong-sorong.”

Tipah tersenyum sinis. “Ayah ni suka risau tak bertempatlah! Ayah tengok jelah nanti, Rayyan pasti akan datang. Kami memang dah di takdirkan untuk hidup bersama. Percayalah, ayah.”

Tak mampu Pak Saad menepis kata-kata Tipah. “Suka hati kamulah, Tipah. Dahlah pergi mandi. Kejap lagi sampailah si Melah tu. Kamu dah janji nak solat kat surau dengan dia, kan?”

Tipah tersentak. “Ahalah! Betul juga tu. Saya nak pergi mandilah.” Tipah menyentap tuala yang tersidai di tingkap rumah lantas berlari-lari menuju ke bilik mandi.

Pak Saad mengeluh. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukannya pada anak tunggal kesayangannya itu. Kalaulah arwah isterinya masih hidup. Tiba-tiba fikirannya terimbau pada kisah dua belas tahun yang lepas.

“Saad! Aku harap kau akan berpegang pada janji. Aku betul-betul harap Tipah akan jadi menantu aku suatu hari nanti,” ungkap Khalid dengan penuh harapan.

Pak Saad tersengih. “Insya Allah! Aku memang takde halangan.”

Muka Mak Munah agak suram. “Khalida, kau dah betul-betul pasti ke? Ialah bila anak-anak kita dah besar nanti, mungkin pada waktu mereka ada pilihan hati sendiri. Patut ke kita nak tetapkan jodoh mereka berdua seawal ini?”

Khalida tersenyum. “Kau sepupu aku, Munah. Siapa lagi yang boleh aku harapkan? Lepas ni kami akan berhijrah ke Australia. Anak-anak aku pasti akan mengalami kejutan budaya di sana. Kau sendiri boleh bayangkan apa yang akan terjadi pada anak aku pada masa hadapan. Pasti kehadiran seorang gadis dari Malaysia akan mengingatkan anak aku pada asal-usulnya nanti. Cuba kau tengok anak-anak kita tu. Nampak serasi kan?” Mereka membuang pandangan ke halaman rumah. Tipah, Raina dan Rayyan sedang leka bermain kahwin-kahwin. Tipah dan Rayyan duduk di atas pangkin sementara Raina pula mengipas mereka berdua dengan kipas plastik.

Muka Rayyan masam mencuka. “Afsal asyik aku kena kahwin dengan kau, hah? Aku tak sukalah kahwin dengan kau!”

Tipah tersengih. “Tapi aku suka kahwin dengan kau. Kan mak ayah kita cakap bila dah besar nanti kita kena kahwin.”

Raina mengejek. “Yeye Rayyan nak kahwin dengan Tipah!” Merah padam muka Rayyan. Raina sudah membuka langkah seribu. Rayyan bingkas bangun dan mengejar Raina di sekeliling rumah. Gelak tawa mereka bertiga memecahkan keheningan Kampung Delima.

“Abang! Dah dekat azan Maghrib ni. Abang tak nak mandi ke?” Lamunan Pak Saad terus terhenti. Pak Saad menepuk dahinya.

“Masya Allah! Tak perasan pula saya,” sahut Pak Saad sambil bergegas menuju ke bilik air.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Malam yang hitam pekat di serikan dengan bintang-bintang yang indah bergemerlapan. Tipah dan Melah melangkah keluar dari surau Kampung Delima dengan hati yang girang. Gelak tawa yang datang dari dua sahabat baik itu memecah keheningan malam.

“Melah! Kau rasa bila si Rayyan tu nak datang meminang aku, yek?”

Melah yang terkenal dengan sikap lurus bendul menggaru-garu kepala. “Oh, aku rasa tak lama lagi datanglah dia tu. Dengar cite dia baru dapat ijazah, kan? Eh tapi macam mana dia nak balik Malaysia, yek? Setahu aku Australia tak bina lagi jambatan sampai ke Malaysia.”

Tipah ketawa berdekah-dekah. “Melah, Melah. Memanglah takde jambatan dari Australia sampai Malaysia. Kalau betul ada jambatan, tahun depan pun belum tentu Rayyan sampai ke sini. Mestilah Rayyan datang sini naik kapal terbang.”

“Oh, yer? Eh tapi kat kampung kita ni mana ada landasan kapal terbang. Macam mana kapal terbang tu nak mendarat.”

Mengekek-ngekek Tipah ketawa sampai keluar air matanya. “Apalah kau ni Melah! Takkanlah kapal terbang tu nak mendarat kat kampung kita ni? Mestilah ia mendarat kat KLIA. Lepas tu barulah Rayyan datang sini naik bas ke, teksi ke. Eh dia tu anak orang kaya, mesti dia datang sini naik kereta besar punya.” Terus terbayang di fikiran Tipah sebuah kereta mewah yang menjalar indah di perkarangan rumahnya. Bibirnya segera mengukir senyuman.

“Oh, macam tu. Tipah, kalau Rayyan datang nanti, boleh tak kau bawa aku jalan-jalan naik kereta dia? Aku selalu tengok kereta besar-besar kat pekan. Teringin sangat aku nak naik tapi takde sapa pun yang nak kasi tumpang.”

“Memanglah takde sapa nak kasi tumpang sebab orang-orang tu semua mana kenal kau? Ok nanti kalau Rayyan datang sini aku bawak kau ronda-ronda naik kereta dia, yek? Kau jangan risau.”

Melah menjerit keriangan. “Yeye dapat naik kereta besar! Eei tak sabar rasanya! Tipah, kau suruhlah Rayyan tu balik cepat!”

Tipah menggerutu. “Nak suruh macam mananya? Masalahnya nombor telefon dia pun aku takde? Macam mana aku nak cakap dengan dia?”

“Alah apa susahnya? Kau carilah dia dalam facebook pastu kau add ler dia. Lepas tu korang boleh chatting-chatting.”

Tipah melonjak gembira. “Aha kan! Ye tak ye jugak. Kenapalah aku tak terfikir sebelum ni, kan? Dalam bendul-bendul kau ni, ada jugak geliganya otak kau ni kan? Malam ni aku akan mulakan misi pencarian bakal suamiku Rayyan Haikal bin Dato’ Khalid,” seru Tipah dengan semangat waja.

“Ok! Cantik! Jomlah balik cepat! Lagi cepat kau jumpa dengan Rayyan, lagi cepat aku dapat naik kereta besar,” sahut Melah pula. Langkah kaki mereka semakin di percepatkan. Masing-masing tidak sabar untuk menjalankan misi yang telah di rancang. Sampainya di simpang jalan di hadapan mereka berpisah. Kelibat rumah Tipah sudah kelihatan dari kejauhan. Tipah segera menuju ke rumahnya dengan pantas.

Sampai di muka pintu Tipah segera menerpa masuk. Makcik Rosnah yang sedang asyik menonton televisyen terkejut dengan tindakan Tipah itu. “Hei, budak ni! Terperanjat aku! Kau ni tak reti nak bagi salam ke?”

Tipah sekadar menyengeh. Malam ni malas pula dia nak bertekak dengan bini tarzan tu. Langkah kakinya pantas menuju ke bilik. Sebaik sahaja melangkah masuk pintu bilik segera di katup rapat-rapat. Sebarang gangguan di saat-saat genting seperti ini amatlah tidak di alu-alukan. Laptop HP Pavilion DV2 series kesayangannya yang terletak di atas meja terus di buka. Celcom Broadband segera di sambungkan ke laptopnya. Pantas dia menekan butang ‘connect’.

Sesudah itu segera dia mencari laman sosial ‘facebook’ melalui khidmat pakcik Google. Mujurlah talian internet malam itu sepantas kilat! Dia terus memasukkan e-mail dan kata laluan rahsianya. Terpampang di dinding ‘facebook’ nama komersialnya : TIPAH CANTIK. Tersengih dia sendirian. Senarai kawan : 546 orang.

“Hmm...boleh tahan jugak glemernya aku ni,” detak Tipah dalam hati. Dia segera memasukkan nama Rayyan di ruangan carian. Terus terpampang lambakan pelbagai jenis Rayyan di situ. Matanya tertancap pada suatu nama. RAYYAN DATO’ KHALID. Yup! Pasti inilah orang yang di cari-cari. Tanpa membuang masa Tipah menekan butang ‘Add Friend’. Tidak di sangka-sangkanya Rayyan terus menerima permohonannya itu!

- Salam. Do I know you, Cik Tipah Cantik?

“Tak kenal aku yer? Nanti kau,” desis Tipah dalam hati. Pantasnya tangannya membalas mesej itu.

- Salam. Ni Tipah Kampung Delimalah, anak Pak Saad. Takkan tak kenal kot?

- Ooo...Tipah rupanya. Ooi lama tak dengar cite. Afsal tiba-tiba awak cari saya yek?

- Saja je. Sebenarnya saya dah tak sabar ni. Jadi suami saya, boleh?



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku