PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 7
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 April 2014
SUDAH TERBIT FEB 2015......BOLEH DAPATKAN DI KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA....... Untuk makluman semua, edisi cetak novel ini agak berlainan dengan versi ini. Nama Tipah di tukar jadi Effa. Namun ceritanya tetap menarik dan gempak! Jangan lupa dapatkannya di pasaran ya!
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
17859

Bacaan






BAB 7

Tipah berlari-lari anak ke bilik air. Dengan sekuat tenaga di tolaknya pintu bilik air yang tidak berkunci. Kelihatan Rayyan sedang menutup matanya rapat-rapat. Wajahnya pucat lesi bagaikan mayat!

Tipah segera menyergah. “Kenapa dengan awak ni? Ada apa?”

Rayyan membuka mata. Segera dia berlari ke belakang Tipah. Jarinya menuding ke suatu sudut yang terletak betul-betul bersebelahan dengan kolah air. Terjegul biji mata Tipah melihatnya.

“Lah...Ingatkan apa tadi. Takkan dengan katak kodok pun awak takut?!” Tipah segera mencapai gayung air. Di jirusnya katak itu. Tergedik-gedik katak itu melompat.

Makin seriau Rayyan di buatnya. “Halaulah cepat katak tu! Saya gelilah! Karang dia lompat kat atas kaki saya!” Jerit-pekik Rayyan segera mengundang perhatian semua orang yang berada di dapur. Makcik Rosnah segera menjenguk kepalanya ke bilik air.

“Apa kena lagi dengan korang berdua ni? Tak habis...” belum sempat Makcik Rosnah menghabiskan kata-kata katak tersebut melompat ke arahnya pula.

“Opocot mak kau!” Terkinja-kinja Makcik Rosnah keluar dari bilik air. Rayyan juga pantas membuka langkah seribu. Tinggal Tipah keseorangan di dalam bilik air itu. Dengan cermat Tipah mengambil sebatang penyapu lidi. Di kuisnya katak itu sehingga katak tersebut terjerumus ke dalam lubang yang menyalirkan air mandian ke longkang di belakang rumah. Selamat satu perkara!

Raimi muncul di muka pintu bilik air dengan wajah kehairanan. “Kenapa mak dan Rayyan tu? Tak cukup tanah lari abang tengok?”

Tipah tersengih. “Ada katak kodok tadi. Si Rayyan tu tak biasa tengok katak secara ‘live’ agaknya. Tu yang dia terperanjat berok! Yang makcik tu pulak boleh datang sini masa katak tu tengah melompat-lompat. Apalagi makcik pun melompat sama ler jawabnya!”

Terkekek-kekek Raimi mendengarnya. “La, yeke? Hai si Rayyan tu, dengan katak pun takut ke? Lelaki macam tu ke yang Tipah nak buat sebagai calon suami? Dah macam Putera Kodok je abang tengok.”

Pantas Tipah menangkis. “Alah, Rayyan tu bukannya takut, bang. Dia cuma terperanjat je. Dahlah Tipah nak mandi ni. Baik abang keluar sekarang!”

Raimi tersenyum nakal. “Kita mandi sekali, nak? Best jugak sekali-sekala mandi sama-sama ni.”

Sebuah cubitan terus hinggap di lengan Raimi. “Adoi! Sakitlah!”

“Dah! Jangan nak mengada-ngada! Keluar sekarang!” Tipah sudah bercekak pinggang.

“Yelah! Abang keluarlah ni! Bergurau sikit pun tak boleh!” gerutu Raimi sambil melangkah keluar dari bilik air.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Dato’ Khalid mendengus. Permintaan Makcik Rosnah di rasakannya benar-benar tidak masuk akal!

“Ros, untuk melantik seorang ahli lembaga syarikat tidak semudah itu. Aku tak boleh sewenang-wenangnya melantik Raimi sebagai salah seorang ahli lembaga syarikat. Pasti Khalida akan syak nanti. Lagipun Raimi kan masih belajar, takkanlah aku nak bebankan dia dengan tanggungjawab seberat ini?”

Makcik Rosnah membentak. “Oh, aku baru minta sikit macam ni kau dah tak boleh tunaikan? Selama ni yang aku terkangkang-kangkang besarkan dia seorang diri kau tak fikir pulak?”

“Pelanlah sikit suara tu, Ros. Kau nak satu kampung dengar ke?” getus Dato’ Khalid dengan riak wajah kurang senang. Angin yang bertiup dari celah dedaunan mempelam itu tidak mampu menenangkan amarah di hati Makcik Rosnah. Malam yang singkat itu terasa semakin tegang.

Lain pula halnya dengan Rayyan. Malam terasa panjang bagaikan berada di Copenhagen, Denmark pada musim ‘winter solstice’. Dia pernah berkunjung ke sana atas urusan kerja dan dia mengalami sendiri fenomena malam yang lebih panjang dari siang pada waktu itu. Kini keadaan tersebut seolah-olah berulang di sini. Rayyan kegelisahan di atas katil. Sekejap dia mengesot ke sebelah kanan, sekejap dia mengesot ke sebelah kiri. Sudahlah badannya melekit akibat keengganannya menjejakkan kaki semula ke dalam bilik air. Kini sang nyamuk pula rakus menghisap darah tanpa di undang. Pantas tangannya menampar nyamuk yang makin kemaruk menyerang.

Rayyan mengerutu. “Masaklah aku macam ni! Macam mana nak tidur, nyamuk-nyamuk ni menyemak je! Ish tak boleh jadi ni!” Rayyan segera melangkah keluar dari bilik tersebut. Langkah kakinya di hayun menuju ke luar rumah. Tiba-tiba dia ternampak dua susuk tubuh di bawah pangkin sedang rancak bersembang. Hatinya di gigit kehairanan. Perasaan ingin tahu mula menebal. Jiwa seorang detektif mula bercambah dalam diri. Berjengket-jengket dia menuruni tangga.

Secara kebetulan Tipah sedang melenggang-lengguk dengan sebaldi kain. Hajat di hatinya ingin menjemur baju yang sudah siap di mesin sebentar tadi. Matanya terus tertancap pada sesusuk tubuh yang terjengket-jengket menuruni tangga. Keadaan yang gelap di serambi rumah membuatkan Tipah langsung tidak mengecam kelibat Rayyan. Sangkanya ada orang yang cuba menceroboh rumahnya. Baldi di genggam erat-erat. Tipah sudah bersedia untuk membenamkan baldi tersebut ke atas kepala penceroboh itu!

“BANG!!!!”

Serentak itu Rayyan menjerit sekuat-kuat hatinya. “Adoi! Sakitlah!” Teriakan Rayyan itu memberikan kesempatan pada Dato’ Khalid dan Makcil Rosnah untuk menyusup masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang.

Lampu serambi segera ternyala. Pak Saad sudah terjegul di muka pintu. “Masya Allah! Kenapa dengan kamu berdua ni?”

Terkejut Tipah bukan kepalang. Disangkakannya penceroboh, rupa-rupanya Rayyan! “Err...sori awak. Saya tak sengaja. Ingatkan pencuri tadi.”

Rayyan bertempik. “Awak ni memang suka kenakan saya, kan? Bergegar kepala otak saya ni di buatnya! Eei geramnya!” Terkebil-kebil Tipah. Dia hanya mampu menayangkan muka seposen.

Mujurlah Datin Khalida muncul dan meredakan suasana. “Sudahlah tu, Rayyan. Salah faham je ni. Tipah tak sengaja tu. Dah lewat malam pun ni. Pergilah masuk tidur.”

Rayyan mendengus. “Nak tidur apanya! Dahlah panas, nyamuk pulak tengah bersukaria dalam bilik tu.”

Tipah segera mencelah. “Alalala...kesiannya dia. Takpe biar saya pasangkan kelambu dalam bilik awak, yek?”

Rayyan pantas menolak. “Eh, tak payah sibuk-sibuk. Pandailah saya uruskan sendiri!” Dengan wajah mencuka Rayyan bergegas menuju ke biliknya. Pak Saad, Datin Khalida dan Tipah hanya terpinga-pinga melihat kelakuan Rayyan.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Seawal pukul 6.00 pagi tadi Tipah sudah bangun. Selesai sahaja mandi dan menunaikan solat subuh dia sudah bersidai di atas pangkin. Pagi itu dia sudah berjanji untuk menemani Pak Saad melawat ladang ternakan lembu hasil usahasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan penduduk Kampung Delima. Pak Saad sendiri bertindak selaku mentor kepada projek ini. Setakat ini projek yang beroperasi sepenuhnya di atas sebidang tanah berukuran 10 hektar ini tampak membuahkan hasil. Buktinya hasil ternakan lembu pedaging ladang tersebut sentiasa tidak mencukupi untuk menampung permintaan tinggi terutamanya menjelang Hari Raya Aidil Adha. Pak Saad ingin membuat persediaan awal dengan memilih anak lembu dari baka baik yang bakal di korbankan menjelang hari bahagianya dengan Rayyan nanti.

Pak Saad mendekati Tipah yang sedang enak menikmati angin pagi. “Tipah! Dah siap ke? Eh, takkanlah nak pergi ladang pakai selipar je? Pergi pakai but ayah kat bawah tangga tu,” ujar Pak Saad dengan lembut.

“Baiklah, ayah.” Bingkas Tipah bangun. Segera dia menuju ke bawah tangga. Kasut but Pak Saad itu terlalu besar untuk kaki comelnya. Dengan tidak semena-mena dia terpandang pada sepasang kasut spike jenama Adidas yang berwarna hitam.

“Wow! Cantiknya! Ini mesti kasut abang Raimi. Aku pinjam dululah,” tebak Tipah dalam hati. Dengan selamba dia menyarung kasut tersebut dan berlari-lari anak membontoti Pak Saad dari belakang.

Ladang ternakan lembu pedaging tersebut terletak tidak jauh dari kediaman mereka. Tidak sampai dua puluh minit Tipah dan Pak Saad sudah sampai ke ladang ternakan lembu yang tersebut. Pak Saad segera menemui Rahim yang bertindak selaku pekerja sepenuh masa di ladang ini. Dia juga turut di bantu oleh Ali dan Abu.

Tipah tidak berminat untuk mendengar perbincangan di antara ayahnya dengan Rahim. Dia lebih berminat untuk menerjah lembu-lembu di dalam kandang. Memang itulah kebiasaannya setiap kali dia mengikuti ayahnya ke sini. Pantas kakinya melangkah menuju ke kandang lembu yang menjalankan aktiviti penyerasian lembu di situ. Seekor lembu pun tidak kelihatan di situ. Tipah bingung seketika.

Suatu pekikan di belakangnya hampir-hampir memutuskan urat sarafnya! “Tipah! Jangan pegang pagar elektrik tu! Kena renjatan elektrik nanti!”

Tipah mengurut-ngurut dadanya. “Ish Abang ni! Tergezut Tipah! Nasib baik orang takde sakit jantung, tau?”

Raimi sekadar menyerigai. “Alah takkan itu pun nak terkejut. Abang bukannya apa, takut kalau-kalau Tipah terpegang pagar elektrik tu. Karang tak pasal-pasal adik abang yang comel ni jadi Miss Negro pulak!”

Tipah mencemik. “Hello! Tipah selalu ikut ayah datang sinilah! Pagar ni kalau di hidupkan suisnya barulah tenaga sekuat voltage 12 kilovolt akan mengalir menerusinya. Masalahnya sekarang seekor lembu pun takde kat dalam ni.”

Raimi tersenyum lebar. “Memanglah takde kat sini. Abang Ali dah pindahkan lembu-lembu sekalian ke dalam petak ragutan baru kat kandang sebelah sana. Amboi, pergi ladang pakai kasut mahal yer? Dah tak sayang kasut sangat ke? Kalau tak nak bagi je kasut tu kat abang.” Tipah segera mengerling ke arah kasut spike Adidas yang sudah di selaputi dengan tanah lumpur kering.

Tipah tersenyum sumbing. “Abang ni, tak payahlah sindir-sindir Tipah macam tu. Tahulah ni kasut abang. Takpe balik nanti Tipah basuh elok-elok sampai berkilat.”

Berkerut dahi Raimi. “Kasut abang? Biar betul, Tipah. Abang manalah ada duit nak beli kasut mahal macam ni! Kalau tak silap kasut yang Tipah pakai ni ‘Adidas Porche Design’. Harganya paling kurang dalam RM 400 lebih tau! Mana Tipah dapat kasut ni?”

Tercengang Tipah mendengarnya. “Hah? RM 400 lebih? Mahalnya! Kalau bukan kasut abang ni kasut siapa? Jangan-jangan...” Alamak! Tipah terus terkedu. Serasanya dia sudah tahu siapa empunya gerangan tuan punya kasut yang mahal ni. Sekejap lagi adalah hamba Allah yang akan meroyan!

Bunyi kokokan ayam segera menerjah ke gegendang telinganya. Rayyan bingkas bangkit dari katil. Jam di tangan segera di telek. Sudah hampir pukul 8.30 pagi rupanya! Kakinya melangkah keluar dari bilik dengan malas. Dia menjenguk ke dapur.

Dato’ Khalid, Datin Khalida dan Makcik Rosnah sedang rancak berbual sambil menikmati sarapan pagi. Datin Khalida segera menegur Rayyan. “Dah bangun pun kamu, Rayyan. Meh minum sekali dengan kami.”

Perutnya belum menjerit-jerit minta di isi lagi. Pantas Rayyan menolak. “Takpelah. Mama, papa, makcik minumlah dulu. Rayyan tak lapar lagi.” Rayyan segera menuju ke ruang tamu semula. Mujurlah kelibat Tipah tidak kelihatan di mana-mana. Dia terus menuruni tangga. Hajat di hatinya ingin melepak di pangkin bawah pepohon mempelam sambil menghirup angin pagi yang segar. Ada sesuatu yang tidak kena di situ. Mana pergi kasut Adidas kesayangannya? Sandal Tipah elok sahaja tersadai di situ. Sah! Tak lain tak bukan ini mesti kerja si Tipah!

Tiba-tiba kedengaran bunyi enjin motosikal memasuki perkarangan rumah. Melah sudah muncul di situ sambil tersengih-sengih. “Hai Rayyan! Tipah dah pergi ke ladang ke? Tadi dia cakap nak tunggu saya datang dulu.”

Rayyan menggerutu. “Tak tahu! Bangun je dari tidur tadi batang hidung dia langsung tak nampak-nampak. Eh, tunggu sekejap. Tipah nak pergi ke ladang? Adoi jahanamlah kasut aku!”

Melah kebingungan. “Kasut? Kasut apa pulak ni?”

“Dah! Jangan banyak cakap. Tolong bawa saya pergi ladang tu sekarang jugak!” Rayyan segera menyarung sandal Tipah lantas terus dia membonceng di belakang Melah. Hendak tak hendak Melah terpaksa membawa pemuda kacak itu menuju ke ladang ternakan lembu tersebut.

Sesampainya di ladang, pantas Rayyan turun dari motosikal. Matanya meliar mencari-cari kelibat Tipah. Akhirnya dia terlihat kelibat Tipah dan Raimi dari celah kandang lembu. Mereka sedang asyik bergurau-senda. Menyirap darah Rayyan di buatnya.

“TIPAH!!!! MANA KASUT SAYA???????”


P/S : Tipah..Tipah..tak habis-habis asyik kenakan Rayyan je. Macam manalah diorang berdua ni nak kahwin  kalau langsung tak ada persefahaman? Tapi dalam ketidaksamaan itulah sebenarnya yang tambah mengukuhkan hubungan mereka kerana mereka saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain....



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku