PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 11
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 April 2014
SUDAH TERBIT FEB 2015......BOLEH DAPATKAN DI KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA....... Untuk makluman semua, edisi cetak novel ini agak berlainan dengan versi ini. Nama Tipah di tukar jadi Effa. Namun ceritanya tetap menarik dan gempak! Jangan lupa dapatkannya di pasaran ya!
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
16499

Bacaan






BAB 11

Buntang mata Rayyan melihat aksi mereka berdua. Tipah pantas bangkit dari tubuh Raimi dan segera menerpa ke arah Rayyan.

Rayyan merintih sayu. “Sampai hati awak, Tipah! Sampai hati awak hancurkan hati saya. Walaupun selama ni saya berkasar dengan awak tapi jauh di sudut hati ni, saya sayangkan awak sepenuh hati, tau!”

Berkaca-kaca bebola mata Tipah jadinya. “Betulkah apa yang saya dengar ni? Selama ini awak pun cintakan saya? Oh Rayyan, I love you.” Tipah sudah mendepangkan tangannya lebar-lebar. Rayyan menghampirinya sambil tersenyum manis. Ya, inilah senyuman Rayyan yang termanis yang pernah di lihat oleh Tipah.

“Wei, Tipah! Apahal yang awak tersengih-sengih macam kerang busuk ni? Eei budak ni, kita cakap dengan dia, boleh pula dia mengelamun entah ke mana!” Tipah bagaikan tersedar dari mimpi. Dilihatnya Rayyan sedang bercekak pinggang dengan wajah yang kelat. Sahlah dia mengelamun tadi!

“Awak! Ni semua salah faham je ni. Kitorang tak buat apa-apa! Tadi kaki saya tergelecok, tu yang saya terjatuh atas abang Raimi tu,” jelas Tipah bersunguh-sungguh.

Bagai hendak pengsan Rayyan mendengarnya. “Mabuk laut ke apa awak ni! Tak payah nak jelaskan apa-apa pada saya. Fefeling konon-konon saya jeleslah tu. Ceh! Jangan nak perasanlah! Sedar sikit diri awak tu!” Memang dasar mulut tak ada insurans betul! Panas pula hati Tipah di buatnya.

Selamba Tipah menukas. “Ahalah! Saya boleh lupa diri pula. Ya, saya sedar yang saya hanyalah seorang gadis biasa yang bakal berkahwin dengan seorang anak Dato’ yang berlagak, cerewet dan takut dengan katak pulak tu!”

Merah padam muka Rayyan. Tanpa sebarang kata pantas dia berlalu meninggalkan Tipah dan Raimi terpinga-pinga. Mungkin sebentar tadi bibirnya megah mengungkapkan yang tiada sekelumit pun perasaan cemburunya apabila melihat Raimi dan Tipah berdakapan erat. Namun mengapakah hatinya terasa bagai di siat-siat pula?

“Takkanlah aku suka kat Tipah sengal ni pulak? Ish tak mungkinlah!” tangkis Rayyan dalam hati. Terus sahaja dia meluru masuk ke dalam biliknya.

Raimi menggerutu. “Merajuk lagilah nampaknya Putera Kodok kamu tu, Tipah! Nasib! Nasib!” Tipah menjeling tajam ke arah Raimi. Dengan kasar dia merampas semula gambar Rayyan dari genggaman abangnya.

Kini kemarahannya pada Rayyan berpindah pula pada Raimi. “Ini semua salah abang! Kalau abang tak rampas gambar tadi, takdelah Rayyan nampak aksi 18 SX kita tadi! Dahlah malas Tipah nak layan abang!” Tipah berlalu pergi sambil menghentak-hentak kuat kakinya.

“Tipah! Tunggulah kejap, Tipah! Tipah!” Teriakan Raimi itu langsung tidak terkesan di hati Tipah. Marahnya membuak-buak terhadap abangnya itu. Pantas di hayunkan langkah ke dalam bilik. Pintu bilik di hempasnya kuat-kuat. Badan langsingnya di hempaskan ke atas katil. Baru sahaja dia hendak merangka strategi untuk menawan hati Putera Kodok kesayangannya namun Raimi telah menghancurkan segala-galanya! Tiba-tiba matanya tertancap pada laptop di atas meja tulis yang sudah beberapa hari tidak di jengahnya. Almaklumlah buah hati sudah ada di hadapan mata, buat apa lagi nak bermadu kasih di alam maya. Ya, idea bernas sudah terbit di minda Tipah. Kalau sebelum ini sessi bermadu kasih, hari ini Tipah akan melancarkan sessi pujuk-memujuk di alam maya pula!

Pantas tangannya membuka laptop. Pakcik ‘google’ menjadi sasarannya. Tidak berapa lama selepas itu akaun ‘facebook’ ‘TIPAH CANTIK’ akhirnya beroperasi semula setelah sekian lama menyepikan diri. Seperti biasa akaun ‘RAYYAN DATO’ KHALID’ di jejakinya. Ya, nampaknya dia sedang ‘online’. Pantas jemari Tipah menaip.

- Salam orang sebelah. Saya ada pantun dua kerat untuk awak.

Sodok taik lembu dengan penyodok

Maafkan tuan hamba wahai sayangku putera kodokJ

Tersentak Rayyan apabila menerima pesanan peribadi dari akaun ‘TIPAH CANTIK’. “Amboi, main pantun kau, yer? Nah ambik pulak dari aku!”

- Salam. Nah ambik pulak pantun tiga kerat ni.

Nama kampung ni kampung delima

Saya tak suka makan buah delima

Harap maklum permohonan maafmu tidak di terima! L

“Amboi! Jual mahal konon. Terimalah ini pula dari aku!” gerutu Tipah.

- Apa barang tiga kerat? Nah ambil pulak pantun empat kerat ni.

Jangan cepat marah nanti cepat tua

Bila cepat tua gerenti dah tak laku

Awaklah satu-satunya di hati tiada dua

Kalau tak percaya tanyalah dekat kawan-kawanku

Tergelak Rayyan membacanya. “Tipah...Tipah...kau memang pandai ambik hati aku. Tapi sayangnya hati aku hanyalah milik Zeta,” getus Rayyan pula. Serta-merta imbasan gadis jelita bertubuh tinggi langsing, berkulit putih gebu dengan solekan yang tebal menerjah ke mindanya. Idea mula mengalir pantas ke saraf neuronnya. Rayyan segera membalas pantun Tipah.

- Pantun lima kerat pulak. Ini kebenaran yang tak dapat di sangkal. Harap awak faham.

Hati ini sudah dimiliki

Oleh si jelita secantik bidadari

Awak dan dia bagai langit dan bumi

Dia sudah terpilih sebagai suri di hati

Awak memang langsung takde peluang walaupun sekali

BAM! Dada Tipah bagaikan di hempuk batu yang berat. Sakitnya sungguh tidak terperi. “Dia dah ada pilihan hati rupanya! Patutlah sebelah mata pun dia tak pandang ke arah aku ni,” rintih Tipah sedih. Dunianya kelam seketika. Hatinya pilu di runtun kalbu. Di kala dia hanya menghitung detik demi detik sebelum berlangsungnya majlis merisik di antara mereka berdua esok perkhabaran buruk yang di terimanya ini merencatkan segala-galanya. Adakah esok bakal menjanjikan sang suria yang terang menyinar atau awan gelap yang menyeliputi kamus hidupnya? Tipah makin gusar. Jemarinya tidak berdaya untuk menaip lagi. Pantas dia menutup laptop. Biarkan Putera Kodok tu tertunggu-tunggu!

Di bilik sebelah segaris senyuman terukir di bibir Rayyan apabila melihat ‘TIPAH CANTIK’ tiba-tiba offline. “Rasakan kau, Tipah Cantik. Kau ingat aku teringin sangat nak beristerikan kau? Kirim salamlah!”

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Dua buah khemah sudah di dirikan di perkarangan rumah Pak Saad. Sejak dari pagi tadi pekerja-pekerja Kak Kiah Katering sibuk menyusun segala kerusi meja untuk para tetamu menjamu selera sebaik sahaja selesai majlis merisik nanti. Keadaan rumah meriah dengan kehadiran orang kampung yang tidak putus-putus sejak pagi tadi. Ikutkan hati Pak Saad cukuplah sekadar majlis kecil-kecilan sahaja di adakan. Namun di atas permintaan Dato’ Khalid dan Datin Khalida sendiri yang begitu teruja untuk menerima menantu maka jadilah majlis merisik ini gah bagaikan majlis perkahwinan pula.

Pak Saad menjengah ke dalam bilik Tipah. Anaknya masih berteleku di atas katilnya. Terkejut Pak Saad melihatkan keadaan Tipah.

“Tipah, kenapa kamu tak siap lagi ni? Kejap lagi kan majlis akan bermula.” Pak Saad menghampiri Tipah. Di labuhkannya punggung ke birai katil.

Tipah terus bangkit dengan mata yang merah dan basah. “Ayah, Tipah...Tipah betul-betul rindukan arwah mak,” pantas Tipah merangkul Pak Saad dalam rangkulan yang kemas.

Hati Pak Saad tersentuh dengan kesedihan anaknya. “Tipah, janganlah sedih. Hari ini kan hari yang bahagia untuk kamu. Bukankah ini yang telah kamu nanti-nantikan selama ini? Kalau arwah mak kamu nampak kamu bersedih macam ni, pasti dia pun akan bersedih juga.” Tipah melepaskan rangkulannya.

Airmata yang masih bersisa segera di kesat. “Betul cakap ayah tu. Maafkan saya, ayah. Entah kenapa tiba-tiba jiwa saya ni rasa kosong. Kalaulah arwah mak ada pasti dia takkan biarkan saya kesepian macam ni.”

Pak Saad tersenyum nipis. “Tipah, ayah kan ada. Bila-bila sahaja kamu rasa nak bercakap atau nak luahkan sesuatu, ayah sanggup mendengarnya. Kalau kamu segan nak cakap dengan ayah Makcik Rosnah kamu kan ada. Kamu boleh luahkan pada dia.”

Tipah menyerigai. “Bini tarzan tu? Hmm takpelah ayah kalau macam tu. Terima kasih banyak jelah yer.”

Melah sudah terjegul di muka pintu. “Tipah! Kenapa kau tak siap lagi? Dah pukul berapa ni sayang? Hai nak tunggu mak andam Melah datang juga baru kau nak bergerak, kan?”

Pak Saad segera bangkit dari katil. “Tipah, ayah keluar dululah. Kamu siap-siaplah dulu, yer? Melah, make-up Tipah lawa-lawa sikit hari ni.”

Melah menunjukkan isyarat bagus. “Beres, pakcik. Jangan risau Melah sedia berkhidmat. Cepat Tipah, duduk kat atas kerusi ni. Aku nak ‘touch-up’ muka kau secantik bidadari syurga sampaikan Rayyan akan terpukau melihat kau nanti.” Bidadari? Serta-merta pantun Rayyan semalam berlegar-legar di mindanya.

Hati ini sudah dimiliki, Oleh si jelita secantik bidadari, Awak dan dia bagai langit dan bumi, Dia sudah terpilih sebagai suri di hati, Awak memang langsung takde peluang walaupun sekali.’

Wajah Tipah berubah suram. Kehairanan Melah melihatnya. “Kenapa ni, Tipah? Monyok je aku tengok? Bukan patutnya hari ni kau kena gembira ke? Ke kau tak nak kahwin dengan Rayyan?”

Lesu Tipah menjawab. “Bukan aku yang tak nak kahwin dengan dia, tapi dia yang tak nak kahwin dengan aku.”

Tercengang Melah seketika. “Hah?! Biar betul kau ni! Nampaknya pelamin angan kau musnah sebelum sempat ia di dirikan! Ku angankan pelamin indah untuk kita berdua singgah...Sayangnya... Semua musnah...” Nampaknya bini tarzan dah ada pesaing baru! Lontaran vokal lantang Melah sudah cukup untuk membuatkan kepala Makcik Rosnah terjegul di balik langsir.

“Apa kena dengan kamu ni, Melah? Kamu ingat rumah aku ni tempat ujibakat Kilauan Emas ke? Perit telinga aku ni mendengar suara sumbang kamu tu, tau?”

Selamba Tipah menukas. “Eh makcik jangan risau. Takhta bini tarzan terunggul Kampung Delima masih tetap menjadi hak mutlak makcik dulu, kini dan selamanya!”

Merah padam muka Makcik Rosnah. Kurang asam punya anak tiri! “Nasib baiklah hari ni hari bahagia kau! Kalau tidak dah lama aku cabai-cabaikan mulut kau tu! Dah tu, cepat siap sekarang! Majlis dah nak mula tak lama lagi.” Makcik Rosnah meninggalkan bilik Tipah dengan muncung panjang sedepa. Terkekek-kekek Tipah dan Melah di buatnya.

“Kelakarlah makcik kau tu! Eh, cepatlah, dah pukul berapa ni? Majlis dah nak start tu. Cepat duduk kat kerusi ni!” Dengan malas Tipah bangkit menuju ke meja solek. Melah mengeluarkan kotak solekan hikmatnya.

Tipah agak terkejut melihat isipadu kotak hikmat tersebut. “Eh, mana kau dapat bedak kompak jenama M.A.C. ni beb? Bukan selalunya jenama ni terlajak mahal ker? Kan selalu kau guna bedak kompak Johnson and Johnson je?”

Melah tersengih. “Hah, tulah kau tak tahu. Aku order online ler beb. Tak delah mahal sangat, siap dapat free gift eyeliner kajal lagi ni hah. Dah biar aku sudahkan kerja aku dulu. Kejap lagi gerenti Rayyan ternganga tengok kau, silap-silap gila bayang terus.”

“Yelah cik puan mak andam Melah ooi! Jangan Rayyan nampak terus jadi gila sudah.” Melah hanya tersengih bagaikan kerang busuk. Cermin mata Tipah di tanggalkannya. Tangannya mula lincah mengalit.

Kali ini dia ingin membuat suatu kelainan. Solekan ‘nude’ menjadi taruhannya kali ini. Ianya seumpama masih bersolek tapi tampak seolah-olah tidak bersolek dengan pemilihan bedak kompak yang senada dengan warna kulit di tambah pula dengan olesan gincu bibir gaya ‘matte’ yang dramatik lagi seksi. Pemilihan pembayang mata, pemerah pipi dan gincu juga terdiri dari warna-warna tanah. Namun solekan sebegini hanya sesuai untuk seseorang yang mempunyai bentuk wajah sempurna. Bibir terukir, hidung mancung, mata berkelopak dan raut wajah bujur sirih milik Tipah tampak sesuai sekali dengan gaya solekan ini. Hasil kerja Melah kali ini memang benar-benar di luar jangkaan!

Makcik Rosnah segera menjenguk ke muka pintu. Kaget seketika dia melihat keanggunan Tipah. “Melah, kamu yang ‘makeup’ si Tipah ni ke? Macam mana boleh jadi cantik sangat ni?”

Melah tersenyum bangga. “Tulah makcik, jangan pandang saya sebelah mata je. Ini Melahlah, mak andam nombor satu di Kampung Delima ni. Kalau makcik nak, saya boleh ‘makeup’ kan makcik ala-ala Che Ta. Mesti meletup!”

Makcik Rosnah mendengus. “Banyaklah kamu punya Che Ta! Dah tu, bawa Tipah keluar cepat. Upacara menyarung cincin nak di langsungkan dah ni.” Melah membetulkan selendang di kepala Tipah. Kemudian dengan penuh lemah gemalai mereka berdua melangkah keluar dari bilik. Semua mata-mata yang memandang terpesona dengan seraut wajah jelita Tipah. Seri bakal pengantin benar-benar terserlah di wajahnya. Melah mengiringi Tipah hingga sampai ke sebuah mini pelamin yang telah di bina khas untuk majlis ini.

Datin Khalida menghampiri Tipah bersama-sama dengan sebentuk cincin berlian di tangan. “Cantiknya bakal menantu mama ni! Bertuah Rayyan.” Belum sempat cincin tersarung di jari, suatu pekikan kuat di muka pintu menyentakkan sekalian tetamu.

“HENTIKAN MAJLIS INI SEKARANG JUGAK!!!!”


P/S : Apa sudah jadi? Siapa pula yang mencetuskan kekecohan tersebut? Tunggu episod seterusnya....



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku