PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 15
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 April 2014
SUDAH TERBIT FEB 2015......BOLEH DAPATKAN DI KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA....... Untuk makluman semua, edisi cetak novel ini agak berlainan dengan versi ini. Nama Tipah di tukar jadi Effa. Namun ceritanya tetap menarik dan gempak! Jangan lupa dapatkannya di pasaran ya!
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
16661

Bacaan






BAB 15

Bunyi penyaman udara jenama York yang berkeriuk-keriuk dari tadi segera menangkap ke gegendang telinga Tipah. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Wajah Pak Saad dan Melah segera menerpa ke ruangan matanya. Ya, dia masih lagi berada di dalam balai polis ini. Namun seraut wajah yang seringkali mencuri ketenangannya siang dan malam tidak kelihatan di mana-mana. Sah! Pasti dia mengelamun lagi!

Tipah cuba bangkit namun tubuhnya yang lemah tidak membuatkan kakinya tidak berdaya untuk berdiri.

“Duduklah dulu, tak payah bangun. Badan awak tu masih lemah lagi.” Tipah terpana. Suara yang datang dari belakangnya itu amat-amat di kenalinya! Takkanlah dia benar-benar ada di sini? Tipah segera berpaling ke belakang. Rayyan sedang berdiri di situ sambil berpeluk tubuh. Bibirnya tidak henti-henti menguntum senyuman. Baru sahaja Tipah ingin memengsankan dirinya apabila tiba-tiba terasa dahinya di tunjal dengan keras.

“Adoi!! Sakitlah!” Gerutu Tipah sambil menggosok-gosok dahinya.

Melah menggerutu. “Padan muka kau! Jangan nak buat-buat pengsan lagi, yer? Nak tercabut pinggang aku ni angkat kau, tau tak?”

Tipah hanya menyerigai. “Alah, nak manja-manja sikit pun tak boleh.”

Pak Saad segera menyampuk. “Sudahlah tu. Semuanya pun dah selesai. Nasib baiklah ada Rayyan. Kalau tidak kamu tu tidur dalam lokap malam ni. Ucaplah terima kasih kat Rayyan tu.”

Acuh tak acuh sahaja ungkapan tersebut terletus dari bibir Tipah. “Terima kasihlah. Dahlah ayah, jom kita balik. Punggung Tipah ni pun dah naik kematu duduk atas simen kat dalam lokap tu tadi.”

“Yelah. Jomlah kita balik.” Pantas Tipah menarik tangan ayahnya dan Melah sebelum menghayunkan langkah kakinya laju-laju meninggalkan Rayyan terpinga-pinga. Tidak sanggup rasanya dia bertentangan mata dengan Rayyan. Luka di hatinya masih belum pulih sepenuhnya.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Jam di dinding menunjukkan ke angka lapan. Rayyan melangkah keluar dari bilik. Kelibat Tipah tidak kelihatan di mana-mana. Makcik Rosnah sedang sibuk berperang dengan pinggan mangkuk di dapur. Dengan perlahan-lahan Rayyan menghampiri Pak Saad yang sedang khusyuk membaca suratkhabar. Begitu lekanya Pak Saad sehinggakan tidak di sedarinya yang Rayyan sudah melabuhkan punggung di sebelahnya.

Rayyan sengaja mendehem kuat. Taktiknya untuk memancing perhatian Pak Saad ternyata berjaya. Terus sahaja Pak Saad melabuhkan suratkhabar di tangannya ke atas meja.

Rayyan mengumpul segala kekuatannya untuk berkata-kata. “Err..pakcik...sebenarnya ada perkara yang saya nak bincangkan dengan pakcik. Saya harap pakcik boleh menimbangkan permintaan saya ini dengan sebaik-baiknya.”

Pak Saad merenung tajam ke arah Rayyan. “Ada perkara apa sebenarnya ni, Rayyan? Cuba kamu terangkan pada pakcik.”

Rayyan menarik nafas panjang. “Pakcik, sebenarnya tujuan saya ke mari adalah untuk...untuk meminta keizinan dari pakcik. Saya ingin menyunting Tipah sebagai isteri saya yang sah.”

Tersentak seketika Pak Saad. “Hah? Kamu nak kahwin dengan Tipah? Bukan ke aritu kamu yang beria-ria tak mahu kahwin dengan dia? Apa yang telah membuatkan kamu berubah fikiran tiba-tiba ni?” Bertalu-talu Rayyan di tebak dengan soalan demi soalan oleh Pak Saad. Namun di kuatkan hatinya untuk meneruskan misi penting ini!

“Pakcik, memang betul tempohari saya yang beria-ria tak nak kahwin dengan Tipah. Tapi keengganan saya tempohari bukanlah bermakna saya tidak sukakan Tipah. Cuma saya sendiri yang belum bersedia untuk menepuhi alam perkahwinan itu sendiri.”

Pak Saad menghembus nafas kasar. “ Dahlah Rayyan. Tak payahlah ungkit benda yang dah lepas. Pakcik sekeluarga tidak pernah marahkan kamu. Kita lupakan saja peristiwa tempohari, ya? Anggap saja benda tu tak pernah berlaku.”

Rayyan menggaru-garu kepala. “Itu yang tak boleh tu pakcik sebab sekarang saya betul-betul nak kahwin dengan Tipah. Saya harap pakcik akan benarkan.”

Pak Saad menyandarkan badannya ke kerusi. Pada hematnya Rayyan benar-benar bersungguh kali ini. “Macam ni jelah Rayyan. Pakcik memang takde apa-apa halangan. Sekarang ni pakcik nak Rayyan tanya sendiri pada Tipah. Rayyan pun tahu kan peristiwa tempohari telah memberi tamparan yang hebat buat Tipah. Pakcik nak Rayyan sendiri dapatkan persetujuan dari dia. Setuju Tipah, setujulah Pakcik.” Rayyan terkedu. Misinya tampak bertambah sukar. Sejak pulang dari balai polis Tipah langsung tidak mahu bersemuka dengannya. Nampaknya dia harus merangka strategi baru demi memenangi hati sepupunya itu!

Rayyan bingkas bangun. “Baiklah pakcik. Saya sendiri akan bercakap dengan dia.” Pantas Rayyan melangkah menuju ke bilik Tipah.

“Rayyan, Tipah takde dalam biliknya. Dia pergi ke surau dengan kawan-kawannya. Tunggulah dia balik nanti.”

“Oh, yeke? Takpelah kalau macam tu saya pergi cari dia kat sana.” Terkocoh-kocoh Rayyan menuruni tangga. Dalam sekelip mata dia sudah menghilang di celah kepekatan malam. Pak Saad hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

Bunyi burung hantu yang bersahutan memecahkan keheningan malam yang semakin kelam. Namun ianya sedikit pun tidak mampu menggentarkan jiwa Tipah, Melah, Tijah dan Lili. Mereka berempat berjalan beriringan dan melangkah keluar dari surau Kampung Delima dengan hati yang cekal.

Melah memecahkan suasana dengan lontaran soalan cepumasnya. “Hei Tipah! Kenapa si Rayyan tu datang balik ke sini, hah? Bukan ke aritu dia yang beria-ria tak nak kahwin dengan kau?”

Tijah mencelah. “Dia gila talak kot!” Mereka berempat ketawa terbahak-bahak.

Tipah menggeleng-gelengkan kepala. “Gila talak apanya? Nikah pun belum. Tuler, aku pun rasa macam ada sesuatu yang tak kena je. Sejak dari petang tadi dia cuba nak bercakap dengan aku tapi aku buat bodoh je. Malas aku nak layan perangai dia tu."

Lili pula menukas. “Lah, kenapa kau tak nak layan dia pulak? Patutnya kau kena buat baik dengan dia kalau kau nak tahu rahsia dia.”

Tipah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Ye tak ye jugak kan. Tak terfikir pulak aku tadi.”

Melah mangacum Tipah. “Hah, inilah masanya kau nak tunjukkan skill Charlie’s Angel kau tu! Jangan risau kitorang akan backup kau baik punya! Yang penting kita mesti selidik apa tujuan sebenar putera kodok tu datang balik ke sini.”

Tipah tersenyum sinis. “Jangan risau kawan-kawan. Kalau betul putera kodok tu ada niat tak baik aku akan pastikan dia akan menyesal seumur hidup!” Azam Tipah makin menebal. Walau apa pun yang terjadi muslihat Rayyan akan di bongkarnya!

Sejurus selepas itu kelibat sesusuk tubuh yang sedang melangkah menuju ke arah mereka.

“Hei! Itu Rayyanlah! Menyorok cepat!” Kelam-kabut Tipah, Melah, Tijah dan Lili bersembunyi di sebalik pokok sena yang tumbuh merimbun.

Gugup seketika Melah dibuatnya. “Kita nak buat macam mana ni, Tipah? Rayyan dah dekat nak sampai tu.” Fikiran jahat Tipat segera membetikkan sesuatu di mindanya.

Tipah menenangkan Melah. “Relaks, jangan gabra. Kata nak jadi Charlie’s Angel! Serahkan je semua pada aku.” Tangkas Tipah mengeluarkan telekung daripada beg sandang PowerPuff Girl kesayangannya yang di belinya dari Kedai Buku MPH. Di sarungkan telekung itu ke tubuhnya. Melah, Tijah dan Lili seakan-akan dapat mengagak agenda Tipah.

“Kau biar betul, Tipah! Karang kalau tiba-tiba dia pengsan, macam mana?” ujar Melah sedikit cuak.

Pantas Tipah menangkis. “Kau jangan risaulah! Takkanlah sampai dia boleh pengsan, kot? Ini pun kira berlapik ler jugak aku kenakan dia, tau? Kalau nak lagi ganas boleh je aku culik dia pastu aku campak kat tengah-tengah bendang tu.”

Tijah mendesis. “Korang! Jangan bising! Dia dah dekat dah tu!” Tipah segera mengambil tempat yang strategik. Terlihat kelibat Rayyan yang terkocoh-kocoh melangkah menghampiri pokok tempat mereka berempat bersembunyi. Sebaik sahaja Rayyan sampai ke situ, terus sahaja Tipah melompat keluar dari sebalik pokok dengan kostum telekungnya.

Tipah memekik sekuat hati. “WARGHH!!!!”

“Alamak! Ada hantu! Tolong!!!” Pucat lesi muka Rayyan. Dia benar-benar terkejut. Terus sahaja dia berpatah balik dan membuka langkah seribu. Melah, Tijah dan Lili berguling-guling ketawa dari celah pokok tersebut.

Entah bagaimana Rayyan tersilap langkah. Kakinya terseradung sebiji batu besar dan tubuhnya terus melayang-layang ke atas rumput. Dia terus terbaring tidak sedarkan diri.

Tipah tersentak. “Wei korang! Dia pengsanlah! Jom kita tengok dia!” Tipah sudah berlari-lari menuju ke arah Rayyan. Terus di pangkunya kepala Rayyan di atas ribaannya. Melah, Tijah dan Lili menyusul di belakang sejurus selepas itu.

Menitik air mata Tipah melihatkan Rayyan terbujur kaku di situ. “Rayyan! Bangunlah, Rayyan! Jangan takutkan saya! Tadi saya main-main je! Tolonglah buka mata, Rayyan!”

Melah, Tijah dan Lili terkelu seketika. “Apa yang kita nak buat ni, hah? Kita kena dapatkan pertolongan orang kampung.”

Tipah segera menghalang. “Jangan panggil orang kampung! Kalau perkara ni sampai ke pengetahuan orang kampung, habislah aku kena dengan makcik aku nanti.”

Melah segera membebel. “Hah, tahu pun takut. Kau kan tahu betapa penakutnya putera kodok kau ni. Yang kau nak kenakan dia juga afsal? Habis tu takkan kita nak biarkan si Rayyan ni terbongkang sorang-sorang kat sini?”

Tipah menghembus nafas kasar. “Yelah, aku yang salah. Macam nilah. Melah, kau teman aku kat sini. Tijah dan Lili pulak pergi patah balik kat surau, ambil air dalam baldi kecil kat tandas perempuan tu, bawa ke sini. Manalah tahu lepas sapu air kat muka dia ni, dia akan sedar dari pengsan.” Tijah dan Lili bingkas bangkit. Bergegas mereka berlari-lari anak ke arah surau yang terletak berdekatan dengan tempat kejadian tersebut.

“Aku nak pergi ambil telekung aku kat belakang pokok tu sekejap,” ujar Melah pula. Dia bingkas bangkit dan terus menuju ke arah pokok persembunyian mereka tadi.

Kesempatan ini di ambil oleh Tipah untuk menelek-nelek wajah putera kodok kesayangannya. Dia bermonolog sendiri. “Tengah pengsan pun hensem lagi, kan? Kenapalah awak ni hensem sangat, Rayyan? Sampai susah betul saya nak lupakan awak. Kan bagus kalau awak sudi kahwin dengan saya, mesti kita dah berbahagia sekarang ni.”

Serta-merta mata Rayyan terbuka. Selamba dia menjawab. “Siapa cakap saya tak sudi kahwin dengan awak? Pasal tulah saya datang balik ke sini. Sudi tak awak jadi isteri saya?” Tipah kaget. Pantas dia menolak kepala Rayyan dan bingkas bangun. Mujurlah malam yang kelam berjaya menyembunyikan rona wajahnya yang sudah bertukar kemerah-merahan!

Rayyan segera menghadangnya. “Awak nak lari ke mana lagi ni, Tipah? Kalau awak lari sampai ke hujung dunia sekalipun saya tetap akan cari awak. Kalau awak tak kahwin dengan saya harta tu takkan jadi milik saya.” Opps! Rayyan terus terdiam. Macam mana dia boleh tersasul pula ni?

Berkerut dahi Tipah. “Harta? Harta apa pulak ni? soal Tipah kebingungan.

Akal Rayyan pantas membisikkan sesuatu ke mindanya. “Err...tak...maksud saya...err...hah...awak ni seumpama harta yang tak ternilai bagi saya.”

Tipah mencebik. “Saya ni umpama harta tak ternilai bagi awaklah? Kenapa saya rasa macam tipu je, macam kelentong je kata-kata awak tu yek?”

Dengan tidak semena-mena tubuh Tipah dan Rayyan basah lencun di hujani sebaldi air hasil dari lontaran padu Tijah dan Lili!

Tipah terus memekik sekuat hati. “Wei! Afsal korang jirus aku dengan air, hah?”

Tijah dan Lili sudah mengekek-negekek ketawa. “Padan muka korang berdua! Suruh kitorang ambil air konon kat surau. Rupa-rupanya korang seronok bercengkerama kat sini!”

Tipah berang. Segera dia menghambat Tijah dan Lili dari belakang. Sepantas kilat mereka berdua berlari sambil ketawa terbahak-bahak.

“Jagalah korang! Kalau aku dapat korang, aku siram korang dengan air lumpur pulak!” Rayyan hanya memerhatikan sahaja Tipah berkejar-kejaran dengan rakan-rakannya sambil tersenyum. Meskipun bibirnya mengukir senyuman namun hatinya di palu kebimbangan. Selagi Tipah tidak memberikan persetujuan selagi itulah jiwanya tidak akan pernah tenang!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku