PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 17
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 April 2014
SUDAH TERBIT FEB 2015......BOLEH DAPATKAN DI KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA....... Untuk makluman semua, edisi cetak novel ini agak berlainan dengan versi ini. Nama Tipah di tukar jadi Effa. Namun ceritanya tetap menarik dan gempak! Jangan lupa dapatkannya di pasaran ya!
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
16213

Bacaan






BAB 17

Lepas satu, satu kedai barangan elektrik di jejaki oleh Makcik Rosnah. Dia mahu memilih oven terkini dengan rekabentuk paling canggih membuatkan pencariannya memakan masa yang lama. Soal harga langsung tidak menjadi kudis buat Makcik Rosnah kerana Rayyan selaku ‘bank bergeraknya’ juga turut serta dalam pencarian ini.

Rayyan menggerutu di dalam hati. Naik kematu kaki di buatnya dalam meladeni tingkal laku bakal ibu mertuanya ini. Kalau bukan kerana misinya untuk menawan hati Tipah, tidak ingin rasanya dia melayan karenah Makcik Rosnah. Banyak benar songehnya!

“Rayyan! Mari sini, Rayyan! Cantik tak periuk dan pemanggang ajaib serbaguna ni? Makcik dah lama mengidam nak beli periuk macam ni. Kalau beli sekali oven dengan periuk ni, boleh dapat diskaun,” seru Makcik Rosnah dengan girang.

Rayyan mencempung rasa geramnya padat-padat dalam dada. “Eh, takde masalah. Ambil je apa yang makcik nak. Semuanya saya belanja,” tukas Rayyan sambil tersenyum sinis.

Makcik Rosnah terlonjak kesukaan. “Terima kasih, Rayyan. Baik betul kamu ni. Untunglah siapa yang dapat bersuamikan kamu.”

Bersinar-sinar mata Rayyan mendengarnya. “Suami? Saya nak jadi suami kepada anak makcik, boleh?” Namun kata-kata itu hanya mampu bergema di dalam hatinya sahaja.

Pak Saad menghampiri mereka dengan wajah yang kusam. “Sudah-sudahlah tu, Rosnah. Berapa banyak lagi duit Rayyan yang awak nak habiskan ni?”

Makcik Rosnah tersenyum sumbing. Hatinya puas tidak terperi. Akhirnya dapat juga dia mengikis harta arwah Dato’ Khalid. Namun ini baru permulaan. Segaris senyuman terus mewarnai bibirnya. Dia tidak akan berhenti selagi cita-citanya tidak tercapai!

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Petang yang mendamaikan. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Alunan lembutnya berpupuk lembut di pipi sang dara yang sedang leka menikmati keindahan alam anugerah Ilahi. Tipah, Melah, Tijah dan Lili sedang asyik bersantai di pangkin yang di payungi pepohonan mempelam yang merimbun. Masing-masing terduduk kepenatan setelah hampir seharian mengerah sekalian tenaga yang ada untuk membersihkan dapur Makcik Rosnah hasil dari projek cupcake mereka yang tidak menjadi.

Kata-kata amaran dari Makcik Rosnah masih terngiang-ngiang di gegendang telinga mereka. “Aku mahu dapur ni kemas seperti sediakala sebaik sahaja aku balik nanti. Kalau tidak, nahas korang berempat aku kerjakan!” Atas dasar itulah mereka berempat bekerja dengan bersungguh-sungguh. Hasilnya dapur itu kelihatan berkilau-kilauan dari jauh!

Tiba-tiba sebuah lori berlogo ‘Seng Heng’ meluncur masuk ke halaman rumah tersebut.

“Aik? Ayah aku tak cakap pun nak beli barang elektrik. Salah rumah kot diorang ni,” getus Tipah sambil terus melangkah menghampiri lori tersebut. Melah, Tijah dan Lili segera membontotinya.

Seorang lelaki berbangsa Cina yang berkulit putih melepak turun dari lori tersebut. Dia terus mendapatkan Tipah. “Ini lumah Encik Saad ka? Ada balang mahu kasi antar.”

Tipah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Ini memang rumah Encik Saad tapi kitorang takde order apa-apa barang. Awak ni dah salah rumah, kot.”

“Haiya, mana boleh itu macam. Ini balang memang sini punya tempat woo. Semua balang ini sudah bayar habis woo, talak hutang punya,” bersungguh-sungguh lelaki Cina itu cuba menyakinkan Tipah.

Sejurus selepas itu sebuah teksi menjalar masuk dan berhenti betul-betul di belakang lori tersebut. Makcik Rosnah melangkah keluar dengan penuh bergaya. Pantas dia memberi arahan kepada lelaki Cina tadi. “Leng chai, you tolong angkat semua barang-barang ini naik ke rumah, ya.” Barangan demi barangan mula di punggah dan di angkut ke dalam rumah.

Terbelalak biji mata Tipah apabila melihat barang-barang yang telah di beli oleh Makcik Rosnah. Bukan setakat oven dan periuk pemanggang ajaib, turut serta dalam senarai barangan tersebut adalah mesin pemutar kek, hud dapur dan yang paling memeranjatkan adalah tiga unit penghawa dingin!

Tipah segera menghampiri Pak Saad. “Ayah! Mana ayah dapat banyak duit beli semua benda-benda ni? Kan ladang ayah tengah bermasalah sekarang?”

Selamba Makcik Rosnah menukas. “Tak payah nak beranganlah, Tipah. Kalau nak harapkan ayah kau, alamat sampai aku mati belum tentu lagi merasa nak pakai semua benda ni. Ni ha, si Rayyan ni yang paling berjasa. Dia yang belikan semua ni untuk aku. Bukan macam kau, tahu nak lingkupkan harta aku je!”

Rayyan mengerling sinis ke arah Tipah. Sakit pula hati Tipah melihat Makcik Rosnah memuji-muji Rayyan tinggi melangit.

Melah terlompat-lompat keriangan. “Wah! Semua ni awak yang belikan, Rayyan? Kalau macam tu bolehlah awak belikan saya peti televisyen yang baru pasal peti televisyen kat rumah saya dah rosak.”

Rayyan tersentak namun dia cuba mengawal tingkah-laku plastiknya. “Err...boleh, takde masalah.”

Hati Tipah bagaikan di renjat amarah yang bertubi-tubi. “Hei, tak payah nak berlakon baik sangatlah, putera kodok! Ini semua mesti ada udang di sebalik batu!” Pantas Tipah melangkah memasuki rumah dengan wajah cemberut. Sukar baginya untuk mempercayai kebaikan yang cuba di hamparkan oleh sepupunya itu setelah teruk hatinya di lukai tempohari!

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tipah terkesima melihatkan pelbagai hidangan yang menjentik selera yang terhampar di atas meja malam itu. Beria-ria benar Makcik Rosnah malam ini. Ini pasti penangan rasuah Rayyan petang tadi.

Rayyan muncul di sisi Tipah. Sempat lagi dia berbisik manja ke telinga Tipah. “Untukmu apa-apa sahaja sanggup saya redahi, Tipah.”

Merah padam wajah Tipah di buatnya. Cepat-cepat dia melangkah ke arah Makcik Rosnah yang sedang menceduk lauk ke dalam pinggan. “Makcik, biar saya tolong cedukkan kuah tu. Rayyan tengah tunggu makcik kat meja tu.”

Tergedik-gedik Makcik Rosnah mendengarnya. “Oh, yeke? Nah ambil pinggan ni. Aku kena layan si Rayyan tu baik-baik. Dia sekarang dah jadi tetamu khas aku,” balas Makcik Rosnah sambil terkocoh-kocoh mendapatkan Rayyan.

Malam itu Rayyan mendapat layanan kelas pertama dari Makcik Rosnah. Beria-ria Makcik Rosnah mencedukkan lauk dan menuangkan minuman kepada Rayyan. “Tambah lagi, Rayyan! Kamu kena makan lebih sikit. Semua makanan ni makcik masak khas untuk kamu.”

Meluat pula Tipah melihat layanan terlampau Makcik Rosnah pada Rayyan. Wajah kelat Tipah di sambut dengan senyuman sinis Rayyan. Bertambah panas hati Tipah di buatnya lantas kaki kanannya di hayunkan laju-laju tepat mengenai kaki Rayyan.

“ADOI!!!!” Pekik Rayyan sekuat hati.

Kelam-kabut Makcik Rosnah mendengarnya. “Kenapa ni Rayyan? Afsal kamu menjerit?”

Selamba Tipah menyuap saki-baki makanan dari dalam pinggan ke mulutnya tanpa sebarang perasaan bersalah. Sedaya-upaya Rayyan memekung perasaan geramnya. “Takde apa, makcik. Kaki saya ni kena gigit dengan semut betina,” perli Rayyan sambil menjeling tajam ke arah Tipah.

Mengilai-ngilai Makcik Rosnah ketawa. “Pandai pula semut betina tu cari mangsa, ya? Ada-ada sajalah kamu ni, Rayyan.”

Riuh-rendah di meja makan langsung tidak meresap di jiwa Pak Saad. Seribu satu kerut di dahi Pak Saad sudah cukup menggambarkan betapa kusutnya fikirannya di kala itu. Dia asyik memikirkan mengenai nasib ladangnya yang kian terumbang-ambing. Hanya keajaiban sahaja yang mampu mengheretnya keluar dari kemelut ini.

Tipah mengerling sayu ke arah Pak Saad. Dia seakan-akan dapat membaca fikiran Pak Saad. Namun apakah yang terdaya di lakukannya? Projek cupcakenya petang tadi sudah menemui titik kegagalan. Apa yang patut di lakukannya sekarang?

Rayyan sedar akan riak-riak kekusutan yang melanda Pak Saad dan Tipah. Dia sudah merangka strategi serampang dua mata bagi menangani kebuntuan mereka berdua. Tindakan yang bakal di ambilnya ini bakal memberi impak yang besar. Dia yakin dan pasti kali ini pasti dia akan menjadi hero di hati Tipah!

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Buat julung kalinya Rayyan bangun awal pagi itu. Niatnya sudah di pasang untuk melaksanakan agendanya. Namun ternyata Pak Saad jauh lebih awal darinya. Kelibat Pak Saad serta but keramatnya tidak kelihatan di mana-mana. Terjengket-jengket Rayyan menuruni tangga. Dia tidak mahu Makcik Rosnah yang sedang sibuk mempamerkan skilnya di dapur membaca gerak-gerinya. Sejak dari semalam Makcik Rosnah asyik membontotinya ke mana sahaja dia pergi sampai naik rimas pula jadinya.

Tanpa di sedari sepasang mata di birai jendela sedang asyik menelek gerak-geri Rayyan. “Ke mana dia nak pergi agaknya?” getus Tipah dengan penuh tanda-tanya.

Sebaik sahaja Rayyan menyarungkan kasut dan melangkah keluar dari rumah tersebut, pantas Tipah mengikutinya dari belakang. Makin lama mereka kian menghampiri ladang lembu Pak Saad.

Tipah bertambah bingung. “Apa yang dia nak buat kat sini?”

Rayyan tersenyum penuh makna. Dia dapat membaca kehadiran Tipah di belakang dan memang inilah yang di idam-idamkannya! Langkah kaki Rayyan semakin laju di hayunkan menuju ke arah Pak Saad dan Rahim yang sedang asyik meneliti aliran kewangan syarikat.

“Assalamualaikum, pakcik,” sapa Rayyan sambil terus bersalaman dengan Pak Saad dan Rahim. Tipah kian menghampiri. Dia segera bersembunyi di sebalik tiang. Cuping telinganya mula di pasang besar-besar.

Kehadiran Rayyan di situ benar-benar mengejutkan Pak Saad. “Walaikumsalam! Eh, apa yang kamu buat kat sini, Rayyan?”

Rayyan tersenyum simpul. “Saja je nak melawat ladang pakcik ni. Pakcik, kalau saya cakap sesuatu, pakcik jangan marah, ya?”

Berkerut seketika dahi Pak Saad. “Ada apa-apa masalah ke, Rayyan? Risau pulak pakcik mendengarnya.”

Rayyan menghela nafas. “Beginilah, pakcik. Sebenarnya...saya datang sini sebab saya nak tolong pakcik. Itu pun kalau pakcik tak keberatan. Mungkin pakcik hairan dari mana saya tahu semua cerita ni. Saya mohon maaf banyak-banyak pada pakcik sebab saya curi-curi dengar perbualan pakcik dengan Tipah semalam,” terang Rayyan panjang lebar.

Pak Saad tersenyum hambar. “Rayyan, sebenarnya pakcik tak mahu menyusahkan sesiapa. Ladang ini adalah hasil usaha pakcik dan penduduk Kampung Delima. Jadi walau macam mana perit sekalipun pakcik akan berusaha untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul.”

“Walaupun anak sendiri yang ingin membantu, pakcik tetap menolaknya?” Tersentak Pak Saad mendengar kata-kata Rayyan itu.

“Pakcik, terus-terang saya katakan, sejak arwah papa dan mama meninggalkan saya dan kak Raina, kami dah takde siapa-siapa lagi dalam dunia ni. Cuma tinggal pakcik sekeluarga sahaja dalam hidup kami. Salahkah saya nak menumpang kasih dengan pakcik sekeluarga? Saya dah anggap pakcik macam ayah kandung saya sendiri jadi apa sahaja masalah pakcik sekarang adalah masalah saya juga.”

ZASS!! Kata-kata Rayyan itu menyusup masuk ke tangkai hati Tipah. Hatinya mula berbolak-balik. Adakah Rayyan benar-benar ikhlas terhadap mereka sekeluarga?

Pak Saad menggeleng-gelengkan kepala. “Tak boleh macam tu, Rayyan. Duit RM 10,000 tu bukan sikit jumlahnya. Takkanlah kamu nak bagi macam tu je dengan pakcik? Apa pula kata orang kampung nanti?”

Nampaknya wang ringgit tidak mampu mengaburi mata Pak Saad. Berbeda sekali dengan Makcik Rosnah yang hidup bernobatkan harta benda semata-mata. Ligat otak Rayyan memikirkan ayat-ayat jitu yang mampu mencairkan pendirian pakcik saudaranya itu. Akhirnya satu idea yang bernas tercetus di dalam mindanya.

“Macam nilah, pakcik. Kalau pakcik segan nak terima duit macam tu je dari saya, anggap jelah duit tu saya pinjamkan pada pakcik. Bila pakcik dah ada wang nanti, pakcik bayarlah semula pada saya. Bayar berdikit-dikit pun tak apa.”

Wajah suram Pak Saad terus bercahaya mendengarnya. “Betul ke ni, Rayyan? Kamu tak main-main, kan?”

“Betul, pakcik. Saya tak main-main. Cuma...ada satu syarat yang pakcik perlu penuhi,” ujar Rayyan dengan tegas.

Kaget seketika Pak Saad. “Apa syaratnya tu?”

Rayyan tersenyum lebar. Dia tahu kata-katanya ini dapat di dengari oleh Tipah dengan jelas. “Saya nak pakcik rahsiakan hal ini daripada makcik dan Tipah. Saya tak mahu diorang fikir saya buat macam ni semata-mata nak buatkan Tipah berkahwin dengan saya. Memang niat saya datang ke mari untuk menyunting Tipah tapi saya nak dia terima saya dengan kerelaan hati dia, bukannya sebab terhutang budi atau faktor-faktor lain.”

Tipah terkesima. Rasa cinta yang telah mati dalam diri bagaikan menerima suntikan penawar semula. Masih adakah rasa cinta itu?



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku