PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 19 - Part 2
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 April 2014
SUDAH TERBIT FEB 2015......BOLEH DAPATKAN DI KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA....... Untuk makluman semua, edisi cetak novel ini agak berlainan dengan versi ini. Nama Tipah di tukar jadi Effa. Namun ceritanya tetap menarik dan gempak! Jangan lupa dapatkannya di pasaran ya!
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
15993

Bacaan






BAB 19 - Part 2

Walaupun majlis hari ni di buat secara kecil-kecilan sahaja demi menghormati arwah Dato’ Khalid dan Datin Khalida namun orang kampung tetap berpusu-pusu datang ke rumah Pak Saad. Mereka tidak mahu ketinggalan menyaksikan majlis pernikahan di antara Rayyan dan Tipah yang telah menjadi suatu fenomena di Kampung Delima ini.

Sedikit kehairanan bertapak di hati Pak Saad. “Beria-ria pula orang kampung datang ke mari, ya? Pelik pula saya rasa.”

Makcik Rosnah tersenyum sinis. “Apa yang nak peliknya? Diorang semua mana boleh lepaskan peluang ni. Yelah kot-kot penganti lelaki nak cabut lari lagi di hari pernikahannya!”

Pak Saad segera menangkis. “Awak ni, Rosnah. Tak baik cakap macam tu. Sepatutnya sebagai ibu bapa, kita patut doakan anak kita yang baik-baik je.”

“Tipah tu anak awak, yer. Dia bukan anak saya!” Bentak Makcik Rosnah sambil terus berlalu ke dapur. Pak Saad hanya mampu mengeluh.

DI DALAM BILIK...

Melah sedang asyik memberikan sentuhan ajaibnya pada wajah Tipah. Kali ini gaya solekan arab menjadi pilihan Melah. Tatarias matanya banyak menggunakan teknik soket dengan warna-warna yang berkilauan. ‘Eyeliner’ warna hitam tebal yang di calitkan pada kelopak atas dan bawah mata Tipah benar-benar merubah wajahnya. Sekali pandang persis Ratu Rania dari Jordan!

Melah tersenyum bangga apabila menatap wajah anggun Tipah. “Lawanya kawan aku sorang ni! Aku harap kau dan Rayyan akan berbahagia sampai ke akhir hayat. Aku akan doakan kau, Insya-Allah,” ujar Melah sambil menahan sebak.

Tipah segera memeluk erat sahabat baiknya itu. “Terima kasih, Melah. Kaulah sahabat aku dunia akhirat. Aku juga doakan kau akan cepat-cepat bertemu jodoh.” Makcik Rosnah terjegul di sebalik pintu dengan wajah yang kelat.

“Tak payahlah nak emo sangat! Sudah tu, keluar ke depan sekarang. Tok kadi dan pengantin lelaki dah bersiap-sedia kat depan tu.” Pelukan mereka berdua terlerai. Melah segera mengiringi Tipah melangkah keluar dari bilik. Semua mata yang memandang nyata terpukau dengan kejelitaan Tipah.

Rayyan juga tidak terkecuali. Tidak berkelip matanya memandang seraut wajah nan jelita itu. Namun segera dia memujuk hatinya. “Rayyan! Tolong jangan tergoda dengan dia. Kau ada misi yang perlu di lakukan. Jangan rosakkan segala misi kau hanya semata-mata kerana dia!”

Tok kadi segera bersuara. “Baiklah! Semuanya sudah bersedia, bukan? Sekarang dengan lafaz bismillahirrohmanirrohim saya mulakan majlis ini.” Tok kadi memulakan mukadimahnya dengan bacaan khutbah nikah. Tipah mendengarnya dengan khusyuk. Lain pula halnya dengan Rayyan. Darah gemuruhnya sudah mula datang. Jantungnya berdegup kencang bagaikan tidak dapat di tahan-tahan lagi. Ngeri dia memikirkan yang bila-bila masa sahaja dari sekarang upacara akad nikah akan di langsungkan. Walaupun sudah puas dia menghafaz akad nikah sejak dari malam semalam namun gementar di hatinya langsung tidak memudar.

Selesai sudah bacaan khutbah akad nikah. Terus sahaja Tok Kadi berkalih ke arah Rayyan. Tangan Rayyan di jabatnya dengann kuat. “Kamu dah sedia, Rayyan? Rayyan Haikal bin Khalid, aku nikahkan dikau dengan Latifah binti Saad dengan berwali hakimkan aku dengan mas kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”

Entah mengapa tiba-tiba darah Rayyan berderau. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. “Err...err...hmm...err..”

Tok kadi tersenyum. “Awak ni gugup sangat ni! Cuba bawak bertenang. Tarik nafas panjang-panjang. Ok mari kita cuba sekali lagi. Rayyan Haikal bin Khalid, aku nikahkan dikau dengan Latifah binti Saad dengan berwali hakimkan aku dengan mas kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”

“Aku terima nikah Pak Saad dengan mas kahwinnya...”

Tok kadi segera menarik tangannya dari genggaman Rayyan. “Itu nama ayahnya! Takkan kamu nak menikah dengan ayahnya pulak?” Seisi rumah pecah dengan gelak-tawa. Rayyan tambah kalut.

“Takpe. Kita cuba sekali lagi. Rayyan Haikal bin Khalid, aku nikahkan dikau dengan Latifah binti Saad dengan berwali hakimkan aku dengan mas kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”

“Aku terima nikah Tipah dengan mas kahwin...” Sekali lagi meletus gelak-tawa seluruh penduduk kampung yang berada di situ.

Tergeleng-geleng kepala Tok Kadi. “Rayyan, kamu kena sebut nama penuh pengantin perempuan, tak boleh sebut nama glemer dia, faham?”

Peluh renik mula terbit di dahi Rayyan. “Err...yer tok. Saya cuba sekali lagi.”

“Baiklah. Rayyan Haikal bin Khalid, aku nikahkan dikau dengan Latifah binti Saad dengan berwali hakimkan aku dengan mas kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”

“Aku terima nikah Latifah binti Saad dengan mas kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”

Secara tiba-tiba Tipah berteriak dengan kuat. “Ya, sah tok kadi! Sah!” Semua orang memandang ke arah Tipah dengan wajah kehairanan.

Tok kadi menepuk-nepuk dahinya. “Astagfirullahalazim! Yang kamu menyampuk tu kenapa? Bukan pengantin perempuan yang sahkan pernikahan! Itu saksi punya kerja! Aduh, pening kepala aku dengan kamu berdua ni!” Sekali lagi rumah Pak Saad riuh rendah dengan gelak-tawa yang berpanjangan.

Tipah menyengeh. “Oh, bukan saya yang sahkan, yer? Sorilah tok, saya ter’over excited’ pulak.”

Tergeleng-geleng sekali lagi kepala Tok Kadi. “Sudahlah tu. Kali ni kita buat betul-betul. Rayyan Haikal bin Khalid, aku nikahkan dikau dengan Latifah binti Saad dengan berwali hakimkan aku dengan mas kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”

Kali ini Rayyan menjawab dengan penuh yakin. “Aku terima nikah Latifah binti Saad dengan mas kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”

“Sah?”

Serentak kedua-dua saksi menjawab. “Sah!” Gembiranya hati Tipah terkira. Akhirnya dia sah jadi milik mutlak Rayyan Haikal Dato’ Khalid. Bibirnya tidak putus-putus mengukir senyuman.

Selepas itu upacara bacaan taklik segera mengambil tempat. Namun fikiran Tipah sudah menerawang-rawang entah ke mana. Asyiknya Tipah dalam lamunan sehinggakan dia tidak sedar Rayyan sudah berada betul-betul di hadapannya!

Merah padam seketika wajah Tipah. Rayyan segera menyarungkan seutas gelang emas bertahtakan berlian ke tangan kanan Tipah. Pantas Tipah mencium tangan Rayyan. Di kucupnya tangan suaminya itu dengan penuh kesyahduan. Sebaik sahaja dia mengangkat muka, Rayyan terus mendekatinya. Sebuah kucupan dari sang suami buat pertama kalinya hinggap di dahi sang isteri. Air mata kegembiraan menitis membasahi pipi Tipah.

‘Ya Allah
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu
Bimbinglah aku menjadi isteri solehah
Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaanMu, Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru

Kerana aku leka dengan keindahan duniamu, Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaranMu, Kerana pendek akal ku mengharungi ujianMu

Ya Allah Tuhanku…
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang dikasihi, Isteri yang solehah, Isteri yang sentiasa dihati

Amin Ya Rabbi Allamin..’



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku