PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 24 - Part 2
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 April 2014
SUDAH TERBIT FEB 2015......BOLEH DAPATKAN DI KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA....... Untuk makluman semua, edisi cetak novel ini agak berlainan dengan versi ini. Nama Tipah di tukar jadi Effa. Namun ceritanya tetap menarik dan gempak! Jangan lupa dapatkannya di pasaran ya!
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
16043

Bacaan







BAB 24 - Part 2

Tipah mempamer wajah cemberut. “Sakit-sakit macam ni pun masih nak berlagak tak hengat dunia lagi! Eei ikutkan hati nak je aku tinggalkan dia kat tepi jalan ni,” gerutu Tipah dalam hati.

Sudahnya Tipah hanya memerhatikan sahaja Rayyan bangkit dari kerusi dengan penuh kesukaran. Rayyan cuba berdiri namun kesakitan pada kakinya tambah menjadi-jadi. Hampir-hampir sahaja dia jatuh terjelepuk. Mujur Tipah pantas menggenggam lengannya.

“Kalau dah sakit tu buatlah cara sakit. Tak payahlah nak sombong tak bertempat,” selamba Tipah memulangkan paku buah keras. Segera di papahnya Rayyan menuju ke tempat duduk penumpang di sebelah hadapan. Kemudian dia sendiri mengambil tempat di bahagian pemandu.

Muncung Rayyan sudah bertambah tajam. Silap-silap boleh sangkut penyidai baju kat situ! “Sudah tu! Jangan banyak cakap. Sekarang ni awak ikut arahan saya. Hidupkan enjin tu sekarang!”

Terkial-kial Tipah seketika. “Err...macam mana nak start kereta, yek? Takde pun kunci keretanya.”

“Kereta ni mana pakai kunci, cik adik Tipah ooi! Tu ha, tekan je kat butang ‘start’ tu,” sela Rayyan dengan perasaan yang geram.

Tipah hanya menyerigai. Segera di tekannya butang ‘start’. Enjin kereta mula mengaum. Rayyan menghidupkan aplikasi ‘Waze’ dari telefon pintarnya. Kemudian telefon tersebut di letakkan atas ‘Grip Go’, sebuah alat pemegang telefon serbaguna.

“Masuk gear sekarang. Awak ikut je arah yang di tunjukkan oleh ‘Waze’ ni.” Tombol gear di tekan dan cuba di gerakkan oleh Tipah namun dia gagal. Tombol itu hanya statik sahaja di situ. Peluh renik mula terbit di dahi Tipah.

“Tak boleh tolak pun gear ni. Kereta ni dah rosak kot,” gumam Tipah kaget.

Leher Rayyan segera di panjangkan ke arah kaki Tipah. “Bertuah betul lah awak ni! Macam mana kereta ni nak gerak, awak tak tekan brek kaki tu. Sekarang ni tekan brek kaki pastu terus masuk gear.”

Tipah tambah bingung. “Aik? Kita kan nak jalan, buat apa pulak nak tekan brek?”

Bergumpal-gumpal perasaan geram Rayyan di dalam hati. “Tekan jelah! Jangan banyak cakap! Siapa cikgu sekarang ni? Saya ke awak?”

Tipah menyengeh. “Hehehe...janganlah marah. Kan saya dah cakap saya tak reti bawak kereta. Ok mari kita gerak sekarang!” Usai sahaja memasukkan gear, pedal minyak di tekan dengan sekuat hati. Terhenjut-henjut kereta itu di buatnya.

Hati Rayyan tambah bengkak. “Woi! Bawaklah elok-elok sikit! Dah macam naik kereta kuda je rupanya!”

Serta-merta kereta tersebut berhenti mendadak. “Kalau awak tak puas hati, bawak sendiri kereta ni sekarang! Saya dah tolong bawak ni pun patutnya awak dah bersyukur, tau?”

Bunyi deruman enjin yang kuat segera menerjah ke gegendang telinga Rayyan dan Tipah. Sejurus selepas itu sebuah kereta Ford Mustang V6 berwarna biru metalik muncul di sisi kereta mereka. Dua orang pemuda berkulit putih melempar pandangan tajam pada Tipah. Salah seorang daripada mereka sengaja menekan pedal minyak berulangkali, bagaikan mengundang cabaran buat Tipah!

Dengan berani Tipah juga turut menekan pedal minyak berulangkali. Kaget Rayyan di buatnya. “Awak jangan nak buat gila pulak! Jangan layan diorang tu!”

Inilah masanya Tipah Schumacher mempamerkan skill pemanduan bertaraf perlumbaan F1! Erat jemari Tipah menggenggam tombol gear. Sekali lagi dia menekan pedal minyak tersebut berulangkali. Berkepul-kepul asap termuntah keluar dari ekzos kereta tersebut.

Rayyan bertambah cuak. “Apa awak nak buat ni, hah? Jangan cuba buat sesuatu yang...”

Belum sempat Rayyan menghabiskan ayat, Tipah sudah menekan tombol gear. Pedal minyak di tekan sekuat hati. Kereta tersebut meluncur laju membelah malam yang hening namun ianya bukan maju ke hadapan sebaliknya ia mundur ke belakang! Rupa-rupanya Tipah tersalah masuk gear ‘Reverse’!

Pucat muka Tipah di buatnya. “Eh, kenapa kereta ni berundur pulak! Macam mana ni?”

Rayyan bertempik. “Tekan brek kaki tu! Cepat!” Kali ini Tipah akur. Kereta tersebut terhenti serta-merta.

“Lain kali jangan nak tunjuk pandai sangat! Dah, sekarang masuk gear ‘D’ balik. Jangan nak buat ikut suka hati je, yer. Dah tak reti bawak kereta tu buatlah cara tak reti!” bebel Rayyan tak henti-henti. Tipah terpaksa tadah telinga jelah jawabnya!

Bunyi enjin kereta yang menderum-derum di perkarangan kediaman mewah itu sekali lagi membuatkan Raina, Melah dan Makcik Roza terpacak semula di muka pintu. Terbeliak biji mata mereka bertiga apabila melihat kereta tersebut di pandu oleh Tipah. Yang lebih memeranjatkan Rayyan turun dari kereta dengan terhenjut-henjut sambil di papah oleh Tipah.

Mengucap panjang Raina melihatnya. “Astagfirullahalazim! Apa dah jadi ni?”

Tipah menukas. “Panjang ceritanya, kak. Sekarang ni yang penting saya kena balut dulu kaki Rayyan ni. Teruk benar dah bengkaknya.”

“Yelah! Makcik Roza, pergi ambil kotak First Aid kat dapur tu. Mari akak tunjukkan bilik Rayyan kat mana.” Makcik Roza dan Melah bergegas ke dapur. Raina pula terus memapah Rayyan di sebelah kiri. Mereka bertiga menaiki anak tangga dengan perlahan-lahan.

Rayyan merintih kesakitan. “Adoi, kak! Sakitlah. Pelan-pelan ler sikit!”

Raina menggerutu. “Tuler! Takde penyakit, pergi cari penyakit tu buat apa? Nasib baik ada si Tipah ni, tau? Kalau tidak tak tahulah apa akan jadi pada adik tadi.”

Bungkam Rayyan mendengar bebelan Raina. Namun malangnya kata-kata Raina itu benar belaka!

Sesampainya di bilik Rayyan, terus sahaja Raina dan Tipah membaringkan Rayyan di atas katil. Pantas Tipah berlalu ke bilik air. Tuala kecil dan segayung air segera di bawanya keluar. Di selaknya seluar panjang Rayyan. Kaki lelaki itu di lapnya dengan lembut. Rayyan terkesima seketika. Buat pertama kalinya seorang perempuan memperlakukannya sebegitu! Makcik Roza dan Melah tiba sejurus selepas itu dengan kotak First Aid. Raina, Makcik Roza dan Melah saling berpandangan. Senyuman penuh makna terukir di bibir masing-masing.

“Tipah! Ni kotak First Aid. Tipah balutkanlah kaki Rayyan tu. Akak turun dulu yer.” Raina memberikan isyarat mata kepada Makcik Roza dan Melah agar meninggalkan Tipah dan Rayyan berdua-duaan di situ.

Tipah sekadar menganggukkan kepala. Dia masih leka menelek-nelek kaki Rayyan. Sesudah kaki Rayyan di lap hingga bersih, Tipah segera membuka kotak First Aid. Di sambarnya minyak gamat lalu di buka penutupnya. Segera dia menyapu minyak tersebut ke kaki Rayyan dan mengurut-ngurut kaki lelaki itu dengan lembut.

Rayyan merungut sambil merintih kesakitan. “Adoi! Sakitlah! Kasar sangatlah awak ni!”

Tipah tersenyum sinis. “Apa awak cakap? Kurang kasar? Meh sini saya tambah lagi dos kasarnya!” Sengaja Tipah memicit-micit buku lali Rayyan dengan lebih kuat. Terjerit-jerit lelaki itu di buatnya.

“Woi! Sakitlah! Awak sengaja buat macam tu, kan?” Mengekek-ngekek Tipah ketawa.

“Awak ni macam perempuanlah. Sakit sikit pun tak boleh tahan. Dah tu, duduk diam-diam. Saya nak balut kaki awak ni.” Segulung ‘bandage’ segera di keluarkan dari kotak tersebut. Dengan cermat Tipah mula membalut kaki Rayyan dari bahagian buku lali hingga ke bahagian keting.

Sementara Tipah leka membalut, Rayyan pula leka menelek wajah isterinya itu. Cantik! Paling mencuri perhatian Rayyan sudah pastilah pada sepasang mata bundar berwarna hazel kecoklatan milik gadis jelita itu. Kalau di ikutkan wajah Tipah jauh lebih cantik dari Zeta.

Zeta hanya bersandarkan pada bantuan solekan semata-mata untuk membuatkannya kelihatan anggun. Kerap kali Rayyan melihat wajah comot Zeta di waktu pagi tanpa sebarang solekan. Memang menakutkan! Berlainan sekali dengan si jelita di hadapannya ini. Tanpa sebarang solekan, wajahnya tetap nampak menawan.

Renungan tajam Rayyan itu menggusarkan jiwa Tipah. Berdegap-degup jantungnya menahan panahan asmara yang semakin bergelora di dalam jiwa. “Awak, saya dah balut kaki awak ni. Jangan banyak bergerak, ya? Malam ni awak nak saya temankan awak tidur kat sini ke?”

Spontan Rayyan menjawab. “Nak!”

Namun naluri keegoaannya tiba-tiba menjetik minda. “Err...tak payahlah! Sakit sikit je ni. Bukannya saya tak boleh nak bangun langsung. Dahlah, tunggu apa lagi? Dah siap balut kan? Tak reti-reti nak keluar ke?”

Tipah terkedu. Kurang asam keping betul lah dia ni! Pantas Tipah membungkus segala peralatan dan menyusunnya semula di dalam kotak First Aid itu. Kemudian kotak itu di letakkannya di sebelah bawah katil Rayyan. Sejurus selepas itu tanpa sebarang kata-kata terus sahaja Tipah berlalu dari situ. Namun dia sudah menyimpan suatu azam untuk kembali semula ke sini sebaik sahaja Rayyan sudah melelapkan mata. Ada agenda penting yang harus di laksanakannya!

Perlahan-lahan Tipah menuruni tangga. Raina, Makcik Roza dan Melah sedang bersantai-santai di hadapan peti televisyen. Terus sahaja Tipah mendekati mereka.

“Kak Raina, ada jam loceng tak?”

Makcik Roza segera mencelah. “Makcik ada jam loceng. Tapi jam tu bunyinya kuat betul. Kamu nak ke?”

Tipah tersenyum lebar. “Oklah tu makcik. Lagi kuat lagi bagus.”

“Kalau macam tu meh ikut makcik kejap.” Tipah segera membontoti Makcik Roza ke biliknya. Sebaik sahaja jam itu berada di tangan, pantas Tipah menaiki tangga semula.

Pelik Raina melihatnya. “Apa dia nak buat dengan jam tu, makcik?”

Makcik Roza menjungkit bahunya. “Entahlah, Cik Raina. Cik Tipah tak cakap-cakap apa pulak.”

Tipah terintai-intai dari balik pintu. Seperti yang di duganya Rayyan sudah hanyut di alam mimpi. Perlahan-lahan dia masuk. Jam tersebut di letakkan di atas meja bersama-sama sekeping nota. Kemudian perlahan-lahan dia keluar dari bilik itu.

“Esok pagi mesti ada orang yang meroyan punya,” getus Tipah sambil tergelak kecil.

Tepat seperti di duganya. Jam menunjukkan genap pukul 6.30 pagi. Jam loceng itu terus memuntahkan bunyi yang amat-amat kuat. Terpisat-pisat Rayyan bangkit dari tidur. Dia tercari-cari dari manakah arahnya bunyi yang memekak dinihari begini. Matanya segera tertancap pada sebuah nota yang tertulis betul-betul bersebelahan dengan jam loceng.

“SAYANG, JANGAN LUPA BANGUN SOLAT SUBUH YA! HEHE JANGAN MARAH...”

Mendidih darah Rayyan pagi-pagi buta begini. “TIPAH!!!!!!”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku