PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 25
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 April 2014
SUDAH TERBIT FEB 2015......BOLEH DAPATKAN DI KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA....... Untuk makluman semua, edisi cetak novel ini agak berlainan dengan versi ini. Nama Tipah di tukar jadi Effa. Namun ceritanya tetap menarik dan gempak! Jangan lupa dapatkannya di pasaran ya!
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
16095

Bacaan






BAB 25

Rayyan mendongkol. Sakit hatinya pagi tadi masih belum pudar. Tergamak Tipah mengenakannya pagi-pagi buta begitu? Sekarang ini bukan sahaja kaki, malah hatinya juga turut sakit. Ini semua gara-gara Tipah!

“Eei geramnya! Tipah!!!!!” Pintu biliknya terus terkuak. Tipah terjegul di situ sambil menatang sedulang sarapan pagi. Di letakkannya dulang itu di tepi meja bersebelahan dengan katil.

Tipah menyerigai. “Kalau iya pun rindukan saya, tak perlulah terjerit-jerit macam ni. Kalau awak berbisik sekalipun pasti saya akan muncul di sisi awak.”

Buntang biji mata Rayyan mendengarnya. “Eei...tolonglah! Kenapa awak ni suka sangat perasan tak tentu pasal, hah? Nak termuntah saya dengar tau!”

Tipah tambah galak mengusik Rayyan. “Apa dia? Nak muntah? Kejap saya ambilkan bekas.” Tipah berlalu ke dalam bilik air. Di capainya baldi kecil lalu segera di hulurkannya pada Rayyan.

Bertambah panas hati Rayyan di buatnya. “Awak ni betul-betul dah melampau! Sekarang ni awak keluar! Saya tak mahu tengok muka awak lagi!” Kali ini Rayyan betul-betul naik angin! Tak pasal-pasal kena buat sessi pujuk-memujuk lah pula pagi-pagi buta begini...

Tipah memaniskan mukanya. “Awak...janganlah marah. Saya minta maaf, yek? Takpelah kalau awak tak nak tengok muka saya pun, sekurang-kurangnya awak jamahlah sarapan ni dulu. Nanti kalau perut tu kosong, masuk angin lagi susah.”

Bertambah mengada-ngada Rayyan jadinya! “Tak nak makan! Biar saya sakit perut! Barulah awak puas hati, kan?”

Meluat pula Tipah melihat putera kodoknya itu. Kuat benar merajuknya! Selamba Tipah menukas. “Hah, bagus jugak kalau awak sakit perut, kan? Boleh kitorang hantar awak kat hospital. Lepas tu saya dengan Melah boleh ronda-ronda bandar Perth dengan kereta canggih awak tu. Aha! Abang Raimi kan belajar kat Universiti Of Western Australia. Bolehlah saya ajak dia ronda-ronda sekali.”

Berubah air muka Rayyan. “Jangan nak mengada, yer? Dah, bagi makanan tu kat saya! Perut ni dah berkeroncong sejak dari pagi tadi.”

Tipah segera duduk di birai katil. Piring yang berisi roti bakar di hulurkannya kepada Rayyan. Rayyan mengunyah roti bakar itu dengan rakus. Sesudah itu segelas susu segar di suakannya pula buat suaminya itu. Lucu pula Tipah melihat beria-ria Rayyan menghabiskan sarapan itu. Dengar nama Raimi sahaja, terus dia kecut perut. Mulut Tipah terkepam-kepam menahan tawa dari meledak.

Kelakuan Tipah itu benar-benar menguji kesabaran Rayyan. “Awak ni dah kenapa? Tersengih-sengih tak tentu pasal. Sakit jiwa ke apa ni?”

Tipah tersenyum sumbing. “Hehe...takde papelah. Awak makanlah dulu, yer. Kalau ada apa-apa hal nanti awak panggil je saya. Saya ada kat bilik sebelah.” Rayyan hanya memerhatikan sahaja Tipah melenggang-lengguk pergi dari situ.

Tiba-tiba akal jahatnya membisikkan sesuatu. Segera dia berteriak. “Tipah! Oh, Tipah! Meh sini kejap!”

Berlari-lari anak Tipah menuju ke bilik Rayyan semula. “Ada apa awak?”

Selamba Rayyan mengarah. “Tolong bukakan langsir kat tingkap tu. Rimaslah duduk bergelap macam ni.”

Tipah hanya akur. “Ok, no problem.” Tipah maju ke arah jendela. Di kuaknya langsir yang berjuraian sebelum menyelitkannya ke telinga jendela. Selepas itu terus sahaja Tipah berlalu dari situ.

Rayyan masih belum puas hati. Isterinya itu harus di kenakan dengan secukupnya! Sekali lagi Rayyan berteriak dengan kuat. “Tipah! Oh, Tipah!”

Termengah-mengah Tipah berlari semula ke bilik Rayyan. “Ada apa lagi ni awak?”

Rayyan tersenyum sinis. “Tolong bukakan tv tu. Boring pula duduk melangut macam ni.”

Tipah hanya mampu mencempung perasaan geram dalam hati. Pantas dia menuju ke televisyen ‘flat screen’ Sony premium LED HDTV yang terlekat di dinding bilik tersebut. Di hidupkannya suis panel televisyen tersebut. Alat kawalan jauh pula di hulurkannya pada Rayyan.

“Ada apa-apa lagi wahai tuan putera kodok?” Sinis Tipah menyindir.

Rayyan menahan tawanya di dalam hati. “Takde apa dah. Awak boleh keluar sekarang.” Tipah pun melangkah pergi dengan hati yang lega. Namun tidak sampai beberapa minit dia melangkah, kedengaran Rayyan memekik-mekik namanya lagi. Aishh, ini sengaja cari pasal namanya!

Tipah muncul di muka pintu dengan wajah ketat. “Ye, tuan putera kodok, ada apa lagi?”

Rayyan tersenyum lebar hingga menampakkan deretan gigi putihnya yang indah tersusun rapi. “Lupa pulak nak cakap tadi. Boleh tak tolong gantikan balutan kaki saya ni? Rasa tak selesalah.” Mujurlah kali ini permintaannya masuk akal. Kalau tidak ada juga orang yang nak mandi susu pagi-pagi buta ni!

Tipah berlalu ke dalam bilik air. Segayung air berserta dengan sehelai tuala kecil sudah berada di tangannya. Dengan berhati-hati balutan di kaki Rayyan di bukanya perlahan-lahan. Tampak bengkaknya kian menyurut berbanding dengan semalam. Tipah mengelap-ngelap kaki Rayyan dengan lembut. Entah mengapa setiap kali Tipah memperlakukannya begini, hati Rayyan terasa bagai di cuit-cuit. Dan setiap kali jugalah naluri keegoaannya akan segera menyedarkannya agar tidak terus terbuai dek mainan perasaannya sendiri.

Setelah selesai mengelap Tipah mencapai ‘bandage’ yang baru. Di balutnya kaki Rayyan dengan cermat. Walaupun Rayyan langsung tidak mengiktiraf kedudukannya sebagai seorang isteri namun itu bukanlah alasan bagi Tipah mengabaikan kebajikan suaminya itu. Segala-galanya yang dilakukannya itu adalah ikhlas demi mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Sesusuk tubuh tinggi lampai tiba-tiba menjelma di muka pintu. Terjegil biji matanya apabila melihat adegan Tipah yang sedang asyik-masyuk mengusap kaki Rayyan. Pantas dia menghampiri Tipah dan di tolaknya gadis tersebut dengan sekuat hatinya.

“Perempuan miang! Apa yang you buat dengan sayang I ni, hah?” Rayyan tergamam melihat tindakan melulu Zeta itu. Tipah bingkas bangkit. Dia segera bertindakbalas. Kali ini Zeta pula terjelepuk jatuh ke atas lantai akibat tolakan kuat Tipah.

“Hei! Suka-suka kau je nak panggil aku perempuan miang, ya? Kaulah perempuan miang!” terhambur kemarahan dari bibir Tipah.

Zeta bingkas bangkit sambil membentak. “Hei, berani you tolak I! You tahu tak I siapa?”

Selamba Tipah membidas. “Entah! Tak kenal pun. Kau ingat kau tu Miss Universe ke sampaikan semua orang kenal kau ni?”

Menyirap darah Zeta di buatnya. Dia segera menghampiri Tipah. Di seretnya tangan Tipah ke hadapan cermin besar yang terpampang di meja solek. “I memang cantik macam Miss Universe. Tapi cuba you tengok muka you dalam cermin tu. Dengan cermin mata bingkai tebalnya, siap dengan tocang kuda lagi. Dah macam rupa maid I je!”

“Apa kau cakap? Rupa aku macam maid kau? Nah ambik ni maid kau!” Laju tangan Tipah di hayunkan ke arah pipi Zeta. Namun pantas pula Rayyan menepis tangan Tipah sebelum sempat ia hinggap ke pipi Zeta.

Rayyan bertempik. “Awak jangan nak melampaui batas, Tipah. Sedar sikit siapa diri awak tu! Jangan sesekali awak berani angkat tangan pada Zeta, ya? Dia amat penting dalam hidup saya dan saya tak mahu sesuatu yang buruk berlaku pada dia.”

Tipah terkedu. Sanggup Rayyan memalukannya di hadapan perempuan ini? Begitu rendahnya martabat seorang isteri di mata sang suami sehinggakan tergamak dia menyebelahi kekasihnya melebihi isterinya sendiri. Tipah terasa maruahnya di injak-injak. Tanpa sebarang kata Tipah terus berlalu pergi dari situ. Hatinya di palu luka yang teramat dalam!

Tangga di turuninya dengan pantas. Kakinya segera melangkah menuju ke biliknya. Di humbankan tubuhnya ke atas tilam yang empuk sambil menangis teresak-esak. Melah dan Makcik Roza yang sedang rancak bersembang di dapur terlihat kelibat Tipah. Terus sahaja mereka menurutinya ke bilik. Terperanjat mereka seketika apabila melihat Tipah berkeadaan sedemikian rupa.

Melah segera melabuhkan punggungnya ke sisi Tipah. Di usap-usapnya tubuh Tipah dengan lembut. “Tipah, kenapa ni? Kau bergaduh dengan Rayyan ke?”

Senyap. Sunyi. Hanya esak tangis Tipah yang menguasai suasana. Melah dan Makcik Roza saling berpandangan. Mereka kebingungan seketika.

“Makcik Roza! Tolong sediakan makanan untuk saya dan Zeta sekarang!” Pekikan Rayyan itu membuatkan Makcik Roza segera faham dengan situasi yang sebenarnya.

Dia terus merapati Tipah. “Tipah! Kamu tak boleh macam ni! Kamu kena kuatkan semangat. Kamu kena lawan balik!”

Tipah segera mengangkat muka. Dia memandang ke arah Makcik Roza dengan wajah sayu. “Nak lawan macam mana, Makcik? Awal-awal lagi saya dah kalah teruk. Makcik tengoklah sendiri, Zeta tu cantik, seksi, tinggi lampai macam model pulak tu. Semua keistimewaan berpihak pada dia. Saya bukan tandingan dia. Dia ada segala-galanya tapi saya tak ada apa langsung.”

Makcik Roza tersenyum. “Siapa cakap kamu takde apa-apa? Tipah, kamu ada hak penuh ke atas Rayyan. Hak sebagai seorang isteri ke atas suaminya. Adakah itu tidak cukup buat kamu untuk berjuang demi meraih kasih sayang Rayyan? Takkanlah kamu nak mengaku kalah macam tu je?”

Tipah terkesima. Ya, kata-kata Makcik Roza itu memang benar belaka. Kenapa dia harus takut dengan perempuan yang langsung tiada ikatan dengan suaminya sedangkan sudah terang lagi nyata yang dia lebih berhak ke atas Rayyan?

Tipah menyeka air mata yang masih bersisa di tubir matanya. Wajahnya yang suram sudah mula bercahaya semula. “Betul cakap makcik tu. Saya takkan mengalah semudah tu je. Jadi sekarang ni apa yang patut saya buat?”

Makcik Roza tersenyum lebar. “Bagus! Semangat macam nilah yang kita mahu. Mari ikut makcik ke dapur. Kita mulakan langkah pertama kita.”

Berdedai-dedai mereka menuju ke dapur. Makcik Roza segera membancuh air kopi yang memang menjadi kegemaran Zeta setiap kali dia datang ke mari. Setelah siap air kopi itu di bancuh, dengan selamba Makcik Roza meletakkan beberapa sudu garam ke dalam air kopi tersebut. Fahamlah Tipah dan Melah. Rupa-rupanya Makcik Roza sudah merangka agenda untuk mengenakan Zeta!

Tipah segera membantu Makcik Roza menyediakan roti bakar. Sebaik sahaja roti tersebut siap di bakar, Melah menghulurkan sos mustard pedas kepada Tipah dengan wajah yang nakal. Nampaknya hari ini Zeta akan bersarapan pagi dengan menu kopi O masin dan roti bakar perisa sos mustard pedas!

“Makcik, biar saya yang hantar sarapan ni ke atas,” ujar Tipah dengan bersemangat.

“Nanti dulu!” teriak Makcik Roza. Segera dia menguraikan tocang kuda Tipah. Rambut panjang lurus Tipah di biarkannya berjuraian menutupi bahu.

“Hah, barulah cantik macam ni. Sekarang kamu pergi hantar makanan ni ke atas.” Dulang yang berisi makanan itu segera di angkat oleh Tipah. Berhati-hati dia mendaki anak tangga selangkah demi selangkah.

Buntang biji mata Zeta apabila melihat Tipah yang muncul di muka pintu bersama sedulang makanan. Rayyan terkesima seketika. Belum pernah dia melihat Tipah membiarkan rambutnya lepas bebas begini. Terserlah keayuan isterinya itu. Namun seperti biasa egonya pantas menidakkan.

“Hei, kenapa awak pula yang bawa makanan ni ke atas? Makcik Roza mana?”

Dengan selamba Tipah menjawab. “Makcik Roza sakit perut. Dia cirit-birit. Dia minta tolong saya hantarkan makanan ni ke sini.”

Zeta sudah ketawa terbahak-bahak. “Kan I dah cakap, you memang sesuai jadi maid je. Susah-susah sayang, you ambil je dia jadi maid you. Hei, ambilkan roti bakar tu. Bawa ke sini!”

Menggelegak hati Tipah mendengarnya. Namun amarah yang hangat menggelodak itu segera di cempungnya padat-padat dalam dada. Tipah meletakkan dulang tersebut di atas meja solek. Dengan wajah yang paling manis di hulurkannya piring yang berisi roti bakar itu kepada Zeta.

Zeta merampas piring itu dengan kasar. Sambil menjeling tajam ke arah Tipah, dia mula mengunyah roti tersebut. Air muka Zeta terus berubah menjadi merah padam.

“Hei! Apa yang you letak dalam roti ni? Pedasnya! Ambil air tu cepat!”

Tipah segera menghulurkan secawan kopi pada Zeta. Dengan rakus dia meneguk air kopi tersebut. Belum sempat kopi itu mencecah kerongkong, air kopi itu sudah terhambur keluar dari mulut Zeta dan tepat mengenai Rayyan! Tipah terus ketawa mengekek-ngekek.

Marahnya Rayyan bukan kepalang. Wajah manisnya sudah bertukar menjadi kelat. “Zeta! Apa kena dengan you ni? Habis kotor baju I!”

Zeta terus menuding jari ke arah Tipah. “Sori....I tak sengaja, sayang. Kopi ni masin sangat. Ini mesti perempuan tu punya pasal.”

Selamba Tipah menjawab. “Kalau tak tahu menari, janganlah nak salahkan lantai yang jongkat-jongket! Sendiri minum, sendiri sembur, sendiri mahu ingatlah!” Pantas Tipah berlalu dari situ meninggalkan Rayyan dan Zeta tercengang-cengang.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku