PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
EDISI PUASA SPECIAL - Part 1
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 April 2014
SUDAH TERBIT FEB 2015......BOLEH DAPATKAN DI KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA....... Untuk makluman semua, edisi cetak novel ini agak berlainan dengan versi ini. Nama Tipah di tukar jadi Effa. Namun ceritanya tetap menarik dan gempak! Jangan lupa dapatkannya di pasaran ya!
Penilaian Purata:
(11 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
15781

Bacaan






EDISI PUASA SPECIAL – Part 1

Malam 29 Sya’ban.

Sesuap demi sesuap nasi di tala ke mulut. Ayam masak serai, sambal tempoyak pucuk ubi dan sirap limau ais benar-benar menggamit seleranya. Sebutir nasi pun tidak bersisa dalam pinggan tersebut tatkala Rayyan menatang pinggan tersebut ke singki.

“Saya kena makan banyak-banyak untuk bekalan esok hari. Kalau tidak esok mesti saya tak bertenaga nak melaksanakan rukun Islam yang ketiga. Rayyan! Rayyan! Yakin boleh, Rayyan!” berkobar-kobar Rayyan melontarkan kata-kata semangat buat dirinya sendiri.

Terkemam-kemam bibir Tipah menahan tawa dari terhambur keluar. Geli hatinya melihat telatah Rayyan yang saling tak tumpah macam budak darjah satu yang baru nak belajar berpuasa.

“Hmm...kalau macam tu kenapa awak tak habiskan je nasi satu periuk tu? Awak nak kena simpan banyak tenaga, kan? Perabihkan jelah semua lauk-pauk tu. Nanti saya bancuhkan air sirap limau satu jag lagi untuk awak,” perli Tipah sambil menyengeh.

Sentap Rayyan di buatnya. Mulalah muncung ala-ala Pistachio-nya berlumba-lumba maju ke hadapan. “Amboi! Sedap je mulut tu kutuk suami sendiri, ya? Cik Tipah ooi, ingat sikit. Esok kita nak melangkah ke bulan yang penuh barakah, penuh rahmat. Kalau awak rasa nak mulakan bulan yang penuh kerahmatan tu dengan mengutip dosa kering dari suami, di persilakanlah! Buat banyak-banyak sikit, ya?”

DUSH!! Kan dah kena sebijik. Tulah, siapa suruh cari pasal dengan suami sendiri, kan?

“Alah, sorilah. Saya main-main jelah. Janganlah marah, sayang,” pujuk Tipah dengan gaya ala-ala gyiyomi yang paling comel di alam semesta.

Muncung Rayyan makin tajam. Geram pula dia dengan gelagat Tipah yang makin menjadi-jadi.

“Hish! Orang serius, dia main-main pulak! Dahlah! Malas nak layan perangai bengong awak ni,” bentak Rayyan sambil terus berlalu dari situ.

“Alahai suami aku ni! Kuat benar merajuknya. Takpe, aku tahu nak buat macam mana,” gumam Tipah sambil tersengih-sengih seorang diri.

Pantas dia berlari-lari anak ke bilik stor. Tangannya segera mencapai beberapa helai kertas A4 yang elok tersadai di situ. Tidak lama selepas itu jemarinya mula ralit mencatat dan menulis sesuatu di atas kertas tersebut.

Rayyan sudah melabuhkan punggungnya di sofa. Jemarinya mula menari-nari di atas alat kawalan jauh televisyen. Satu demi satu saluran televisyen di tekan namun satu siaran pun tidak berjaya menambat hatinya. Hai, dahlah perangai isteri menyakitkan hati, siaran televisyen pun ala-ala sendu je.

“Ehem! Ehem!’ Tipah berdehem dari belakang.

Rayyan segera berpaling. Terkujat dia apabila melihat sesusuk tubuh yang lengkap dengan apron dan senduk di tangan. Yang paling tak boleh blah adalah topi ala-ala Masterchef Selebriti yang tersarung di kepala Tipah!

“Eh, dah kenapa dengan awak ni? Sawan ke meroyan ni?”

Tipah sudah melemparkan senyuman semanis madu. “Selamat datang ke restoran Tipah Katering Sdn Bhd. Kami ada menyediakan menu hidangan istimewa untuk bersahur pagi esok. Encik Rayyan boleh tandakan pada mana-mana menu yang Encik Rayyan berkenan,” ujar Tipah sambil mengunjurkan kertas A4 yang telah di lipat ala-ala buku menu.

Nampaknya usaha Tipah membuahkan hasil apabila segaris senyuman sudah mula terlukis di bibir Rayyan. “Awak ni, ada-ada je cara nak redakan kemarahan saya, kan? Ni yang buat saya bertambah sayang kat awak ni,” ungkap Rayyan sambil mencuit hidung mancung bak seludang milik isterinya itu.

Tipah menyeringai. “Alah, awak takkan marah saya punyalah! Rekod awak setakat ni pun dalam setengah jam je awak marah kat saya. Pastu mesti awak cair punya.”

Selamba Rayyan menukas. “Yelah! Apa taknya? Mestilah saya cair kalau hari-hari awak buat lawak setaraf dengan lawak badut sarkas kepala dungga.”

“Ceh! Badut sarkas kepala dungga? Badut pun badutlah, janji dia dah tak marah kat aku lagi,” gumam Tipah dalam hati.

“Yelah Encik Rayyan! Badut pun badutlah. Eh, cepatlah tanda kat menu tu. Saya dah tak sabar-sabar nak buat persediaan ni. Almaklumlah ini kan kali pertama kita menyambut ibadah puasa bersama-sama. Jadi sahur pertama kita esok mestilah menu gempak-gempak!”

Teruja Rayyan mendengarnya. “Wah! Betul ke awak nak masak special untuk saya ni? Oklah kalau macam tu saya nak nasi putih. Lauknya pula telur bungkus, tomyam campur dengan air sirap bandung. Esok kejutlah saya awal sikit, ya? Boleh kita masak sama-sama.”

Pantas Tipah menggelengkan kepala. “Eh, jangan susah-susah! Takkanlah saya nak menyusahkan awak pula, kan? Jangan risau, biar saya yang sediakan semuanya untuk awak. Saya akan pastikan sebaik sahaja awak bangun nanti, semuanya dah siap terhidang atas meja. Dah, sekarang ni awak pergilah naik atas dulu. Basuh kaki. Jangan lupa baca niat puasa tau. Nanti kalau lambat tidur esok awak mengantuk pulak.”

Berkerut dahi Rayyan. “Lah, takkan saya naik sorang-sorang je? Jomlah kita naik sekali.”

“Takpe, awak naiklah dulu. Saya nak usha barang-barang kat dapur tu dulu,” tukas Tipah pula.

Berat pula hati Rayyan nak meninggalkan Tipah keseorangan. “Takpelah, awak pergilah siapkan apa-apa yang patut kat dapur dulu. Saya tunggu kat sini. Kalau dah siap nanti kita naik sama-sama yer.”

Tak upaya Tipah nak memujuk nampaknya. Dia sudah masak benar dengan sikap suaminya itu. Kalau dia dah kata hitam, alamat hitamlah jawabnya. Jangan harus di bangkang kata-katanya. Bak kata orang utara, ketegaq!

“Yelah. Kalau macam tu awak tengoklah tv dulu yer. Kejap lagi klaau dah siap saya panggil awak,” ujar Tipah sambil terus berlalu ke dapur.

Tangan Tipah mula lincah mencapai bawang putih, bawang merah dan cili di dalam bakul. Hajat di hatinya ingin mengupas dan menghiris dahulu segala bahan-bahan mentah. Esok pagi tidaklah dia terkocoh-kocoh sangat nak menyediakan segala menu-menu istimewa yang bakal di sajikan buat suaminya yang tercinta. Setelah punggung di hempaskan di atas kerusi, jemarinya mula ralit mengopek dan menghiris bawang putih.

Sempat lagi matanya mengerling pada jam dinding yang sudah berganjak ke angka dua belas tengah malam. Tipah mula terkuap-kuap. Matanya bagaikan di tarik-tarik ke bawah. Luar biasa pula sifat mengantuknya malam ini!

“Ah, aku baring sekejaplah. Dalam sepuluh minit pun jadilah. Kejap lagi aku bangun sambung balik,” getus Tipah dengan wajah sangap. Pisau di tangan sudah di pinggirkan ke tepi. Kepalanya segera di labuhkan ke atas meja.

Krooh...Krooh...Krooh...

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Rayyan tersedar dari mimpi indah yang erat mendakapi diri. Matanya terbuntang pada siaran televisyen yang sedang enak menyanyi ria. Masya Allah! Azan subuh sudah berkumandang. Dah masuk waktu subuh rupa-rupanya. Macam mana dia boleh tertidur kat depan televisyen ni? Eh, mana Tipah? Bukan semalam dia janji nak sediakan hidangan istimewa ke?

Rayyan bingkas bangkit. Kakinya menapak menuju ke dapur. Bagai nak pengsan Rayyan tatkala melihat Tipah sedang asyik-masyuk beradu di atas meja sambil di temani oleh bawang putih, bawang merah dan cili!

Meruap-ruap amarah Rayyan. Geram sungguh dia tak terperi.

“TIPAH!!!!!!!! Mana masakan special yang awak cakap semalam??????

Lolongan Rayyan yang tak ubah macam tarzan itu segera menyedarkan Tipah dari lena yang panjang. Terpisat-pisat dia bangun.

“Eh, awak tunggu jelah kat depan tu. Biar saya siapkan makanan dulu, yek?” ujar Tipah sambil terkocoh-kocoh mencapai bawang.

Rayyan makin menyinga. Kalau duduk sebelah singa kat Zoo Negara tu memang dah macam kembar siam je rupanya!

“Banyaklah awak punya makanan! Dah azan subuhlah! Mana sempat nak sahur dah! Kenapa awak tak kejutkan saya tadi?”

Tipah terkedu. Aduh! Lain di rancang, lain pula jadinya! Tak bersahurlah jawabnya

diorang berdua hari ni.


P/S : Alhamdullilah..Kita dah sampai ke 10 malam terakhir Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan barakah. Khas untuk korang semua, di persembahkan edisi khas kisah Tipah dan Rayyan berpuasa buat pertama kali. Moga-moga terhibur...



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku