Dia Mimpi Indahku
Bab : 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Mei 2014
Novel ini telahpun diterbitkan dalam naskhah cetak dan digital. BELI SEKARANG!!!
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
948

Bacaan






KITA nak ke mana ni, Syam?” Rifhan bertanya sebaik sahaja menyarung topi keledar yang dibawa Hafsyam. Terkial-kial dia memijak pedal motosikal untuk naik. “Alah... macam mana ni? Han tak biasa naik motorlah...” Dia kaku di belakang Hafsyam. Dijarakkan sedikit tubuhnya daripada Hafsyam. Nafas dihela perlahan. Terasa berdosa pula dia kerana inilah kali pertama dia membonceng motosikal dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya. Sepatutnya dia menolak apabila Hafsyam mengajaknya membonceng motosikal itu. Mereka boleh saja duduk berbual di restoran yang berdekatan tetapi motosikal sudah mula bergerak.

Hafsyam ketawa mengekek. Itulah kali pertama dia menunggang motosikal dan Rifhan menjadi pemboncengnya.

Rifhan terus memaut kedua-dua bahu Hafsyam. Takut dia apabila motosikal mula bergerak. Hafsyam pula masih terus mentertawakannya. Geram pula dia. Serasa mahu terjun, namun bila difikirkan, teruk dia nanti. Terbaring di atas jalan dengan luka sana sini.

Hafsyam memecut laju. Lelaki itu sengaja mengambil kesempatan. Itu kesimpulan yang dibuat oleh Rifhan apabila Hafsyam terus ketawa ketika dia mencengkam erat bahunya.

“Syam ni teruklah. Dah tahu Han takut, sengaja bawa laju-laju,” rungut Rifhan sebaik sahaja Hafsyam memberhentikan motosikal di kawasan meletak motosikal yang disediakan untuk pengunjung taman selera yang pernah dikunjungi mereka sebelum ini.

Mereka turun lalu menanggalkan topi keledar.

Rifhan membetulkan rambutnya yang tidak kemas.

Hafsyam senyum. Sungguh-sungguh dia sayangkan gadis itu. Bukan setahun dua dia berkawan dengan Rifhan tapi sudah terlalu lama. Sejak mereka sama-sama belajar di sekolah berasrama hinggalah masing-masing melanjutkan pelajaran. Biarpun dia di Kuala Lumpur dan Rifhan di Kelantan, hubungan mereka tidak pernah terputus. Surat-surat yang dikirim oleh gadis itu sudah menimbun dikumpulnya. Penuh satu beg. Itu pun sampulnya sudah dibuang, cuma isinya yang masih tersusun kemas.

Kalau dahulu mereka cuma keluar dengan menaiki bas, ada kalanya menaiki teksi. Apabila dia sudah bekerja, dia membeli sebuah kereta Viva terpakai. Ikutkan hati mahu saja dia membeli motosikal tapi Rifhan tidak membenarkan. Rifhan tidak akan keluar dengannya jika dia membawa motosikal tapi malam ini Rifhan sudah memecahkan tradisi.

Tersenyum-senyum Hafsyam merenung buah hatinya. Rifhan yang manis, yang comel dan baik hati. Rifhan sanggup berkongsi wang belanja yang dihantar oleh ayahnya ketika dia kesempitan. Rifhan turut sama mengikat perut kerana hendak membantunya membayar yuran peperiksaan. Pengorbanan Rifhan tidak mungkin dilupakannya. Rifhan adalah segala-galanya.

“Kenapa senyum-senyum ni?” tanya Rifhan.

Hafsyam masih tersenyum. Terus-terusan merenung wajah si manis hingga Rifhan akhirnya menunduk ke lantai. Malu dia direnung begitu.

“Han dah pecah tradisi.”

Rifhan merenung wajah Hafsyam di hadapannya. Tidak mengerti.

“Kan dari dulu Han tak nak naik motor? Han tak benarkan Syam beli motor.” Hafsyam mengingatkan Rifhan.

Rifhan tergelak. Dia sendiri sudah lupa tentang perkara itu. “Kenapa tak cakap tadi?”

“Buat apa nak cakap? Han dah nak naik. Syam lagi suka.” Hafsyam mengenyit matanya.

Rifhan mencebik. Hafsyam memang suka mengusiknya. Bila bersama Hafsyam, dia akan menjadi kekasih yang lembut dan manja. Cukup senang dengan layanan dan kemesraan Hafsyam tapi bila berada di rumah, dia akan menjadi seorang kakak yang baik, namun ada masanya agak garang, apatah lagi bila berhadapan dengan Anita yang tidak makan saman. Tidak pernah memikirkan perasaan orang lain.

“Lepas ni, Syam nak beli motor besarlah. Biar tertonggek Han kat belakang... sedap aje Syam kena peluk.”

“Syam!” Rifhan menjegilkan matanya.

Hafsyam sudah tergelak besar. Sudah bersedia hendak melarikan diri apabila Rifhan mengangkat tangannya, memberi amaran hendak memukul namun gadis itu menjatuhkan tangannya semula.

“Alah... usik sikit dah nak merajuk. Syam bawa lari karang, pergi terus rumah tok kadi.” Lelaki itu masih terus mengusik. Suka dia melihat wajah Rifhan yang merah padam itu.

“Syam... eeii... geram Han tau.” Rifhan menggeleng-geleng. Lelaki itu memang pandai mengusik dan mengambil hatinya. Mana mungkin dia menolak kasih yang dihulurkan oleh lelaki itu biarpun suatu ketika dulu mereka cuma berkawan? Kawan karib yang berkongsi apa saja cerita. Baik suka atau duka, sama-sama berkongsi rasa.

“Han, kita kahwin,” bisik Hafsyam tiba-tiba.

Rifhan mendongak. Merenung wajah Hafsyam. Gadis mana yang tidak ingin berkahwin, apatah lagi dengan kekasih hatinya tapi usianya masih muda. Baru empat tahun dia bekerja. Masih banyak perkara yang ingin dilakukannya. Jika dia berkahwin, tentu pergerakannya akan terbatas dan senarai perkara yang ingin dilakukannya tidak akan terlaksana. Salah satu daripada impiannya... dia ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah. Jika hendak mengerjakan haji, dia harus menunggu gilirannya, suatu tempoh yang cukup lama.

“Kenapa nak tergesa-gesa?” soal Rifhan.

“Bukan tergesa-gesa tapi dah lama sangat kita berkasih. Kata orang... jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama dia dikebas orang.” Hafsyam mengenyit matanya.

Rifhan tersenyum. “Siapalah yang nak kebas Han? Ke hulu ke hilir Han dengan Syam. Mak cik-mak cik kat kawasan rumah Han pun tak berkenan. Mengumpat adalah,” ujarnya.

“Tau pun. Sebab tu Syam ajak kahwin. Orang tak akan mengata lagi.”

“Nantilah... Han fikirkan.”

“Kenapa, Han tak sayangkan Syam?” duga Hafsyam.

Pantas Rifhan menggelengkan kepalanya. Tidak senang dengan tanggapan Hafsyam. Usah dipertikaikan kasihnya itu. Tidak ada seorang lelaki yang disayanginya melainkan Hafsyam.

“Jangan cakap macam tu.”

“Kalau Han sayangkan Syam. Han mesti nak kahwin dengan Syam.”

“Bukan Han tak nak, tapi nantilah dulu. Han nak berbakti pada ibu dan ayah. Mereka yang besarkan Han, sekolahkan Han sampai Han bekerja dan dapat menyara hidup Han sendiri.” Rifhan memberi alasan.

“Han sindir Syam, ya?” Hafsyam terasa hati.

Rifhan merenung wajah Hafsyam. Kenapa pula Hafsyam terasa dengan kata-katanya. Adakah dia sudah melukakan hati Hafsyam?

“Han tak berniat pun. Han cuma bercakap tentang diri Han.” Langsung tiada niatnya mahu melukakan hati Hafsyam.

“Yalah... Syam sibuk ajak Han kahwin sedangkan Syam pun ada mak dan ayah juga. Mereka yang besarkan Syam... yang sudi terima Syam ketika keluarga Syam singkir Syam dulu.” Kata-kata Hafsyam terhenti di situ. Ada keluhan yang dilepaskan. “Apalah salahnya kalau mereka bela Syam, jaga Syam? Bukannya Syam nak menyusahkan orang,” sambungnya lagi.

Rifhan terdiam. Ke situ pula perginya Hafsyam. Masih berdendam dengan kedua-dua ibu bapa kandungnya kerana menyerahkannya kepada emak dan ayah angkat.

“Syam, dari dulu lagi Han dah cakap. Setiap apa yang mereka lakukan dulu tentu ada sebabnya. Tidak ada ibu bapa yang mahu memusnahkan hidup anaknya. Kita tak tahu keadaan mereka waktu tu. Mungkin waktu tu, menyerahkan Syam pada orang lain adalah jalan yang terbaik. Jangan terlalu berprasangka, Syam.” Rifhan cuba memujuk.

“Tapi hidup Syam tak senang juga, kan? Syam terpaksa menyusahkan Han. Berkongsi wang ringgit dan segala-galanya dengan Han. Kalau Han tak ada... mungkin Syam dah berhenti sekolah,” luah Hafsyam. Itulah kenyataannya.Terlalu banyak budi Rifhan padanya. Tidak mungkin dia mampu membalasnya kecuali Rifhan menjadi isterinya. Akan dia bahagiakan gadis itu sehingga ke akhir hayatnya. Itu janjinya pada diri sendiri. Janji untuk menyunting si gadis manis dan hidup bahagia bersama.

“Jangan kesal apa yang berlaku, Syam. Tengoklah sekarang. Syam dah berjaya. Dah mampu pakai kereta tapi hari ni... bawa Han naik motor... tak aci.” Rifhan memuncung. Masih tidak percaya hari ini dia sudah memecahkan janjinya sendiri.

Hafsyam tergelak mendengar kata-kata Rifhan. Cemberut macam mana sekalipun, Rifhan tetap cantik di matanya. Rifhan manis dan memikat. Kata orang, waktu bercinta memanglah, semuanya cantik tapi baginya, perasaannya pada Rifhan tidak mungkin berubah.

“Syam akan sayang Han sampai bila-bila. Syam akan nantikan waktunya bila Han dah bersedia untuk menjadi isteri Syam. Syam berjanji Syam akan menjaga Han sampai akhir hayat Syam.” Itu janjinya. Manis senyuman Rifhan menyejukkan hatinya. “Han, Syam laparlah... asyik mengayat Han dari tadi, bukannya kenyang,” rungutnya selepas itu.

Rifhan tertawa kecil. Burger yang dibeli tadi juga ada pada Azira, perutnya juga sudah berbunyi. “Jom kita makan, Han pun lapar juga.”

Hafsyam tersengih. “Han belanja ya sebab penat Syam tunggu tadi.”

“Mana aci? Bukan salah Han pun.” Rifhan sudah bercekak pinggang di hadapan Hafsyam. Lelaki itu hanya ketawa.

“Okey... okey... Syam belanja.”

“Hah... macam tulah. Terima kasih,” ucap Rifhan kemudian mendahului langkah Hafsyam menuju ke arah gerai yang menjadi kegemaran mereka bila berkunjung ke taman selera itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku