Dia Mimpi Indahku
Bab : 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Mei 2014
Novel ini telahpun diterbitkan dalam naskhah cetak dan digital. BELI SEKARANG!!!
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
813

Bacaan






HAJAH SAODAH tidak bersetuju, tetapi Haji Ahmad terus mengangkat tangan, berdoa kemudian mengaminkan. Mungkin suaminya gembira kerana anak gadis mereka akan menamatkan zaman bujang.

“Han kan muda lagi? Yang si Syam tak sabar sangat, kenapa? Baru sangat bekerja, dah nak kahwin.” Dia meluahkan ketidakpuasan hatinya. Tidak bersetuju apabila Rifhan menyampaikan hajat Hafsyam sekeluarga yang mahu menyunting Rifhan sebagai menantu mereka.

“Biarlah... saya setuju kalau Han berkahwin dengan Syam. Nak tunggu apa lagi? Dah lama mereka berdua berkawan.” Haji Ahmad menyokong keputusan Rifhan. Dia yakin Hafsyam mampu membahagiakan anak gadisnya.

“Tau pun... kalau selama ni boleh bersabar, kenapa sekarang tak boleh?” Hajah Saodah tetap tidak berpuas hati.

“Han dah setuju, ibu. Minggu depan keluarga Syam datang. Han akan siapkan semuanya, nanti Han bagi duit untuk ibu buat kenduri sikit,” tegas Rifhan. Itu keputusannya. Dia tidak akan berpaling ke belakang lagi kerana ibu tidak akan mengerti. Dia tahu selama ini dia yang banyak mengorbankan wang ringgitnya untuk mereka sekeluarga tapi Anita juga yang dibangga-banggakan oleh ibu. “Pasal duit hantaran, Han dah bincang dengan Syam. Nanti Han beritahu ayah,” sambungnya.

Haji Ahmad tersenyum. Senang hatinya mendengar kata-kata Rifhan. Anak itu tidak pernah melupakan tanggungjawabnya tetapi dia kesal kerana isterinya tidak tahu menghargai perngorbanan Rifhan.

Rifhan sudah bersedia untuk meninggalkan ruang tamu. Malas dia menghadap wajah ibu yang masam mencuka. Dia sudah menduga, ibu pasti menentang hajatnya. Ibu memang begitu, ada waktunya ibu melayannya seperti orang asing. Tetapi Anita mendapat layanan istimewa dari ibu, seolah-olah hanya Anita satu-satunya anak ibu.

“Lepas kahwin, tinggal kat sini.” Tiba-tiba Hajah Saodah bersuara.

Kata-kata itu mengejutkan Rifhan dan Haji Ahmad. Apa hal pula? Kenapa disuruh tinggal di rumah itu? Rumah yang biliknya cuma tiga. Anita berkongsi bilik dengan Azira dan Razila pula lebih senang tinggal sebilik dengannya. Masakan ibu hendak menyuruh Razila tinggal sebilik bersama Anita dan Azira? Anita pasti tidak akan bersetuju.

“Kenapa pula kena tinggal kat sini? Han pun nak hidup macam orang lain. Ada rumah sendiri, ada keluarga sendiri,” tekan Rifhan. Dia tidak pasti apa niat ibu menghalangnya keluar dari rumah itu setelah berkahwin nanti.

“Kalau nak kahwin jugak, ibu tak benarkan Han keluar dari rumah ni.” Hajah Saodah masih dengan pendiriannya.

Rifhan mengetap bibirnya, geram. Ibu pentingkan diri sendiri. Dia dapat mengagak kenapa ibu tidak membenarkan dia keluar dari rumah itu. Ibu takut tidak ada orang yang hendak membayar perbelanjaan di rumah itu.

“Itu hak Han. Lepas kahwin... Han kena ikut cakap suami. Mana boleh ikut cakap awak,” marah Haji Ahmad. Tidak bersetuju dengan kata-kata isterinya. Masakan semuanya hendak dibebankan pada Rifhan.

“Banyak mana sangat gaji Syam tu. Mampu ke nak sewa rumah. Kereta pun kereta buruk,” gumam Hajah Saodah.

Itu satu penghinaan. Ibu tidak berhak untuk menghina Hafsyam. Dia tahu kemampuan Hafysam, jumlah gaji bulanan Hafsyam juga sudah dihafalnya tapi Hafsyam bukan orangnya yang suka menunjuk-nunjuk. Hafsyam mampu berkereta besar malah Hafsyam pernah menyuarakan hajatnya hendak menukar kereta tapi dia yang menghalang. Cukuplah dengan apa yang ada.

“Kalau Syam tak mampu pun, Han kan ada. Bila dah kahwin kenalah saling bantu membantu. Mana boleh bebankan dia sorang,” ujar Rifhan.

“Habis kat rumah ni macam mana?” potong wanita itu.

Rifhan tersenyum sinis. Sudah dijangka itu masalahnya. Ibu bimbang dengan perbelanjaan di rumah itu.

Haji Ahmad menggelengkan kepala. Sampai ke situ sekali pemikiran isterinya. Sanggup menyekat hak seorang anak dengan mementingkan diri sendiri.

“Han akan tanggung Zira belajar sampai habis. Cukup bulan Han bagi duit belanja pada ibu tapi tak adalah sebanyak sekarang. Han pun ada tanggungjawab Han sendiri.”

“Tak payah, Han. Biar ibu kamu minta dengan Nita.” Haji Ahmad mencelah.

Rifhan terdiam. Dia tahu ayah memihak kepadanya namun tidak ibu. Ibu tidak bising bila Anita tidak dapat menghulurkan wang kepada ibu, tetapi ibu akan membebel jika dia terlewat memberi wang belanja kepadanya.

“Suruh keluarga Syam datang. Kita sambut tetamu kita,” ujar Haji Ahmad. Dia jatuh simpati pada si anak yang tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya kepada orang tua.

Rifhan mengangguk lalu mendaki anak tangga ke tingkat atas. Masuk ke biliknya kemudian menghempaskan tubuhnya di atas katil. Razila belum pulang daripada bercuti. Entah di mana adiknya itu bercuti, dia sendiri tidak diberitahu. Aman sedikit hidupnya apabila Razila tidak berada di dalam bilik. Razila suka berbual. Ada saja cerita yang dibukanya.

Telefon bimbitnya berbunyi. Dilihatnya pada skrin panggilan daripada Hafsyam. Nampaknya lelaki itu tidak sabar untuk mengetahui keputusan keluarganya. Dia menjawab panggilan itu.

Mereka berbual seketika sebelum Hafsyam bertanya tentang keputusan keluarga Rifhan.

Rifhan tertawa kecil. “Ayah okey tapi ibu lorat sikit.”

“Kenapa, ibu masih tak setuju Han pilih Syam. Sebab Syam tak ada kereta besar macam pakwe Nita tu.”

Rifhan tahu Hafsyam berkecil hati. Dia pernah bercerita tentang omelan ibu tentang Hafsyam. Bukan niatnya hendak mengecilkan hati Hafsyam tapi dia perlukan seseorang untuk mendengar curahan hatinya.

“Tak... pasal Han muda lagi,” ujar Rifhan, tidak mahu Hafysam terus melayan perasaannya.

“Mesti ada sebab lain?” tanya Hafsyam, tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Rifhan.

Rifhan terdiam seketika. Teringat akan kata-kata ibu sebentar tadi. Siapa yang hendak menanggung keluarga itu jika dia berkahwin dan meninggalkan rumah itu.

“Han!” Hafsyam menyeru nama Rifhan.

“Ya.”

“Kenapa ni, apa yang ibu cakap sampai Han hilang suara. Sampai tak boleh nak cakap.”

“Entahlah Syam, susah juga macam ni. Han ni anak... bukannya jahat sangat. Nak buat benda tak baik pun Han tak sampai hati.”

“Sayang, kenapa cakap macam tu? Bukan ke setiap ibu bapa akan gembira mendengar berita perkahwinan anaknya?”

“Ayah gembira Syam... tapi tidak ibu.”

“Ibu bencikan Syam.” Ada keluhan yang dilepaskan dari hujung talian.

“Bukan itu masalahnya. Syam pun tahu kan... perbelanjaan rumah ni siapa yang tanggung. Kebanyakannya Han... Nita memang susah nak tolong. Kos belanja Zira pun Han juga. Ila pun kalau nak beli apa-apa mesti minta dari Han. Sebab tu ibu tak setuju. Ibu bimbang Han akan lupakan tanggungjawab Han bila Han dah kahwin dengan Syam nanti,” ujar Rifhan.

“Han ni perempuan... Han berhak ada kehidupan Han sendiri. Bila kita berkahwin nanti... Han isteri Syam tapi Syam tak akan menghalang Han untuk bantu keluarga Han. Cuma sebagai suami... Syam rasa Syam berhak untuk bersuara atau menegur kalau apa yang Han sumbangkan pada keluarga sampai menyusahkan diri Han sendiri.” Hafsyam memberikan pendapatnya.

Rifhan terdiam. Tersentuh hatinya mendengar kata-kata Hafsyam. Ibu seharusnya bersyukur kerana dia memilih seorang lelaki sebaik Hafsyam sebagai suaminya, sebagai menantu ibu.

“Han.”

Rifhan masih mendiamkan diri.

“Syam janji Syam akan jaga Han selagi Syam hidup di bumi ALLAH ini melainkan ALLAH yang tidak mengizinkannya.”

“Kenapa cakap macam tu?” Tidak senang Rifhan mendengar kata-kata Hafsyam.

“Yalah... ditakdirkan Syam yang mati dulu. Tak pun accident ke... terlantar atas katil ke... Han pula yang kena jaga Syam.” Hafsyam ketawa kecil.

Hati Rifhan terusik dengan kata-kata tersebut. “Kenapa minta yang bukan-bukan,” marahnya. Hafsyam bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu.

“Bukan minta, sayang. Syam cuma cakap saja.”

“Jangan cakap macam tu lagi. Han tak suka,” tegas Rifhan.

“Okey... okey... Syam janji Syam tak cakap lagi. Syam sayang Han. ”

“Esok Syam jemput Han, ya?” ujar Rifhan. Malas pula dia hendak bersesak di dalam bas. Ada kalanya terpaksa berdiri sepanjang menuju pusat bandar. Kalau jalan raya sesak, panjanglah tempoh dia berdiri. Itu yang dia tidak tahan, apatah lagi bila pulang dari kerja. Macam-macam bau akan dihidunya.

“Hari-hari jemput pun tak apa. Biar Syam susah, asalkan Han senang.”

“Han menyusahkan Syam.” Rifhan bersuara. Bimbang andai dia bakal menyusahkan Hafsyam pula.

“Bukan macam tu. Syam sanggup buat apa saja untuk menyenangkan hati Han. Lagipun dari dulu lagi Syam tak setuju Han naik bas. Han tu yang degil... nak juga berhimpit dengan orang ramai. Kalau perempuan saja, tak apalah juga. Ini bersesak dengan lelaki. Tengok Han yang cantik manis, tentu ada yang nak ambil kesempatan,” bebel Hafysam.

“Jangan fikir yang bukan-bukan. Han minta Syam jemput Han... yang membebel yang bukan-bukan tu, kenapa?”

“Yalah... apa-apa sajalah, sayang. Han nak suruh Syam jemput kat rumah atau kat bus stop?” tanya Hafsyam, malas memanjangkan cerita.

“Kat rumah,” pantas Rifhan menjawab.

“Tak takut ibu sindi? Naik motor buruk aje.”

“Biarlah ibu nak cakap apa, asalkan Han tahu hati budi Syam. Syam bukan nak menunjuk. Han tahu tu. Kalau nak beli kereta besar pun Syam mampu.”

Hafsyam ketawa lagi. Entah apa yang lucunya. “Okeylah... jangan nak sedih-sedih lagi. Minggu depan kita bertunang. Bulan depan kita kahwin.” Dia mula mengatur agenda mereka.

“Hah? Cepatnya?”

“Lagi cepat lagi bagus, Han. Tak sabar Syam nak peluk Han puas-puas. Masa tu Han dah halal untuk Syam.”

Merah padam wajah Rifhan mendengar kata-kata Hafsyam. Mujur juga Hafsyam tidak berada di hadapannya.

“Dahlah tu, Han nak mandi.”

“Laa... belum mandi lagi? Patutlah harumnya dah sampai kat sini.” Hafsyam ketawa mengekek.

“Syam ni teruk, tau. Han ni wangi lagi.”

“Yalah... Syam bergurau. Janganlah ambil hati. Syam kat sini. Han kat sana. Nak pujuk pun jauh sangat.”

“Tahu pun.”

“Okey... pergi mandi. Tak tahan hidung Syam dengan bau Han ni.” Hafsyam ketawa lagi. “Okey... Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Rifhan ingin segera menamatkan perbualan. Entah apa lagi usikan Hafsyam jika mereka terus berbual.

ia melemparkan telefon bimbit di atas tilam sebaik sahaja talian diputuskan. Dia masih berbaring di tempat yang sama. Minggu depan dia akan bertunang dengan Hafsyam. Tidak berapa lama, kemudian dia akan menjadi isteri Hafsyam. Melayari bahtera perkahwinan bersama Hafsyam. Itu impiannya. Impian yang bakal terlaksana tidak lama lagi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku