Dia Mimpi Indahku
Bab : 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Mei 2014
Novel ini telahpun diterbitkan dalam naskhah cetak dan digital. BELI SEKARANG!!!
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
848

Bacaan






TERSENYUM-SENYUM Rifhan membelek cincin di jari manisnya. Cincin berbatu kecil yang dibeli oleh Hafsyam tanpa mengajaknya. Kata Hafsyam, cincin itu dibeli khas untuknya. Hafsyam mahu dia melihat cincin hadiah daripada lelaki yang menyayanginya pada hari pertunangan mereka. Hafsyam tidak peduli harga cincin tersebut kerana harga pertunangan itu lebih bernilai daripada apa yang ada di hadapan matanya.

Majlis yang dihadiri saudara-mara terdekat dan jiran tetangga yang berdekatan berlangsung dengan lancar. Hafsyam turut sama hadir di majlis itu bersama keluarganya. Kata Azira, Hafsyam duduk di bahagian belakang dan diam di situ. Membiarkan saudara-mara yang mewakilinya yang membuka mulut.

Emak Hafsyam sendiri yang menyarungkan cincin ke jari manisnya. Rifhan kemudiannya menyalami tangan wanita berhati mulia itu. Wanita yang menjaga Hafsyam sejak kecil dan memberi sepenuh kasih sayang pada si anak yang diserahkan keadanya. Biarpun keluarga itu bukan orang berada namun dia gembira untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Hafsyam.

Dahinya dikucup oleh Hajah Amnah. Wanita itu sudah beberapa kali ditemuinya ketika berkunjung ke rumah Hafsyam. Bermalam sehari dua, sempat juga dia turun ke sawah, bukan membantu tapi sekadar melihat Hafsyam membantu emak dan ayahnya menuai padi yang menguning. Suasana yang cukup berbeza yang tidak ditemuinya di Kuala Lumpur.

“Kak Han, handsome betul Abang Syam tadi,” puji Azira ketika melangkah masuk ke dalam biliknya.

Rifhan hanya ketawa kecil. Tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Hafsyam siang tadi. Hafsyam tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik yang dihias indah itu.

Azira merebahkan tubuhnya di atas katil. Seronok dia melihat majlis yang berlangsung siang tadi. Dia turut sama memasang telinga ketika kedua-dua belah pihak duduk berbincang. Alangkah baiknya jika dia yang berada di tempat Rifhan. Dialah orang yang paling gembira dan bertuah andai dia menjadi Rifhan. Bertunang dengan Hafsyam, lelaki yang baik, kacak dan berbudi bahasa. Semuanya ada pada Hafsyam. Seorang lelaki yang sempurna di matanya.

“Zira!” Rifhan menyeru nama adiknya. Tidak pula dia terfikir atau cuba memikirkan apa yang menyebabkan Azira tersenyum-senyum sendiri.

Azira tersentak dengan panggilan itu. Lamunannya terhenti. Dia sedang berangan duduk bersanding di atas pelamin.

“Berangan,” giat Rifhan.

Azira ketawa. Memang dia sedang berangan.

“Bila exam?” tanya Rifhan.

“Dua minggu lagi.”

“Dah ready?”

“Setakat ni okey. Habis semester ni... ada lagi satu semester. Tak sabar Zira nak habiskan. Rasa macam dah penat belajar.”

“Belajar memang penat tapi bila dah bekerja nanti... baru Zira tahu mana yang lebih penat. Kalau akak diberi peluang, akak nak belajar lagi. Belajar lebih seronok dari bekerja,” ujar Rifhan. Itulah yang dirasainya sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan. Tidak ada kesempatan hendak sambil lewa, ambil mudah dengan semua perkara.

“Tapi belajar tak ada duit sendiri, kak,” balas Azira.

“Itu memanglah, tapi suasana pembelajaran itu lebih menyeronokkan kalau nak dibandingkan dengan dunia pekerjaan. Macam-macam kerenah manusia yang kita kena hadapi.”

Azira tersenyum. Betul juga cakap kakaknya itu. Apa-apa pun, apabila selesai pengajian di peringkat diploma nanti, dia akan terus bekerja. Bosan rasanya saban hari terpaksa menghadap buku dan belajar.

“Zira! Han!”

Kedua-duanya berpandangan. Kenal benar dengan tuan punya suara yang menjerit memanggil nama mereka. Siapa lagi kalau bukan ibu. Apa pula halnya sampai ibu menjerit begitu?

“Dah bunyi dah tu. Ini mesti pasal Nita lagi,” gumam Azira lalu berdiri bercekak pinggang. Ketawa Rifhan melihat gaya adiknya. Lagaknya seperti sudah bersedia untuk turun berperang.

“Turunlah dulu. Kejap lagi akak turun. Nak tukar baju dulu,” usul Rifhan. Ada baiknya Azira terlebih dahulu menunjukkan diri di hadapan ibu. Panjang bebelan ibu nanti andai kedua-duanya masih berlengah di dalam bilik.

“Jangan lambat sangat. Karang meletup lagi bom kat bawah.” Azira ketawa kuat lalu melangkah keluar dari bilik Rifhan. Sebelum ibu terus membebel, ada baiknya dia turun ke bawah.

Rifhan hanya tersenyum. Dia juga perlu turun ke bawah sebelum ibu menjerit memanggil namanya sekali lagi. Siapa yang hendak membantu ibu mengemas rumah setelah majlis selesai kalau bukan dia sendiri dan Azira?

Sejak awal pagi tadi dia yang mengemas rumah, menolak sofa dan meja kecil ke bilik belakang dan menyediakan bahan-bahan yang hendak dimasak kerana Mak Ngah Zawiyah tiba agak lewat. Kalau tidak kerana Mak Ngah Zawiyah yang mendesak supaya dia naik ke atas bertukar pakaian, tentu dia masih berada di dapur lagi.

Cincin di jari manisnya direnung lagi. Apa lagi yang hendak dibuat melainkan tersenyum kerana dia benar-benar gembira hari ini? Telefon bimbit di dalam laci mejanya berbunyi. Sedikit tersentak dia dibuatnya kerana terleka melayan perasaan gembiranya. Semakin melebar pula senyumannya sebaik saja terpandang nama Hafsyam pada skrin.

“Assalamualaikum,” ucap Hafsyam sebaik gegendang telinganya menangkap suara Rifhan.

Rifhan ketawa kecil. Terbayang wajah Hafsyam di ruang mata. Wajah kekasih hati yang dirinduinya biarpun setiap hari mereka bertemu.

“Waalaikumussalam.”

“Sayang buat apa tu?” soal Hafsyam.

“Belek cincin. Cantik cincin ni.” Rifhan terus menjawab soalan Hafsyam tanpa berselindung.

“Tengoklah... siapa yang pilih. Istimewa untuk yang tersayang, bakal isteri Syam.”

Rifhan tersenyum. Masih terasa degup jantungnya yang berlari kencang ketika Hajah Amnah menyarung cincin tersebut ke jari manisnya.

“Terima kasih,” ucapnya.

“Tunggu dua bulan lagi, ya? Syam beli cincin yang lebih besar untuk Han,” ujar Hafsyam.

“Syam, bukan harta benda atau perhiasan yang menyebabkan Han sayangkan Syam. Apa yang Syam bagi pada Han sudah memadai. Han sayangkan Syam kerana diri Syam... kerana apa yang ada pada Syam,” luah Rifhan.

“Untuk Han... apa saja Syam sanggup sediakan tapi janganlah minta pergi bulan, Syam bukan angkasawan.”

Rifhan mengetap bibir. Lelaki itu pandai mengambil hatinya. Pandai memujuk bila dia merajuk.

“Rugi Syam tak dapat tengok Han tadi. Mak kata bakal menantu dia cantik, kalah Era Fazira.”

Rifhan tergelak tetapi mulutnya segera ditutup agar suaranya tidak didengari Hafsyam. Adakah patut Hafsyam membandingkan dirinya dan Era Fazira? Hmm... rasanya jauh panggang dari api.

“Agaknya mak Syam tak pakai cermin mata tadi sampaikan Han dengan Era Fazira pun mak nak bandingkan.”

“Tak kisahlah, Han. Han yang lebih cantik ke... Era Fazira yang lebih cantik ke... Syam tetap sayangkan Han. Hanya Han seorang di dalam hati Syam. Mati Syam kalau tak dapat kahwin dengan Han. Syam terjun lombong nanti.”

“Syam, dah berapa kali Han cakap... janganlah merapu macam tu? Syam kena ingat... ajal, jodoh dan pertemuan di tangan ALLAH. Kita ni cuma merancang, yang menentukan tetap ALLAH. Berdoalah Syam... moga apa yang kita impikan akan terlaksana. Kita tetap akan menjadi suami isteri dengan izin-NYA.”

“Sebab nilah Syam sayang sangat dengan Han. Han memang pandai berkata-kata tapi macam mana masa sekolah dulu. BM Syam lebih baik dari Han.”

Rifhan tergelak. Sampai ke situ perginya Hafsyam. Masih mengingati ejekan yang pernah dilepaskan padanya kerana dia gagal menandingi Hafsyam ketika peperiksaan SPM diumumkan.

“Okeylah, Syam. Han nak tukar baju dan turun ke bawah. Kena tolong apa yang patut. Ibu dah panggil tadi. Lambat turun nanti, panjang pula bebelan ibu.” Rifhan ingin segera menamatkan perbualan mereka.

“Okey, sayang... rindu Han sangat-sangat,” ucap Hafsyam.

“Han pun rindu Syam juga. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Talian segera diputuskan selepas Hafsyam menjawab salam Rifhan. Terukir senyuman di bibirnya. Dia dan Hafsyam bakal bersatu dalam ikatan yang lebih kukuh apabila tiba waktunya nanti.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku