Dia Mimpi Indahku
Bab : 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Mei 2014
Novel ini telahpun diterbitkan dalam naskhah cetak dan digital. BELI SEKARANG!!!
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1064

Bacaan






SEMEMANGNYA Hafsyam seorang suami yang baik. Dia berasa cukup bahagia bersama lelaki itu. Melalui kehidupan sebagai suami isteri bersama. Setiap hari, Hafsyam menghantar Rifhan ke tempat kerja dan menjemputnya pulang. Setelah berbincang, akhirnya Hafsyam membeli sebuah motosikal untuk memudahkan mereka bergerak ke tempat kerja. Lebih mudah menggunakan motosikal memandangkan kota Kuala Lumpur ini sangat sesak dengan pelbagai kenderaan.

Jam di tangan sudah mencecah pukul 6.30 petang. Hafsyam sudah memaklumkan akan kelewatannya kerana di luar hujan yang lebat. Terpaksalah dia menunggu di pejabat. Kelihatan beberapa orang pekerja lelaki mengeluarkan meja ping pong lalu diletakkan di ruang menunggu. Masing-masing menggunakan waktu yang ada untuk bersukan. Riuh-rendah suara mereka.

“Han, belum balik?” sapa Nadia.

Rifhan tersenyum. “Tunggu Syam.”

“Lambat dia hari ni?” Nadia berdiri di hadapan meja Rifhan dengan mugdi tangan. Singgah sebentar sebelum ke pantri.

“Shah Alam hujan lebat. Syam belum keluar ofis. Naik motor mestilah basah nanti.” Rifhan tertawa kecil. Simpati dia pada Hafsyam. Pernah juga Hafsyam meredah hujan yang lebat kerana tidak mahu dia terus menunggu. Dia pula terus membebel. Dia bimbangkan keadaan Hafsyam, hujan yang lebat membuatkan keadaan jalan raya licin, merbahaya untuk penunggang motosikal. Hafsyam hanya memasang telinga lalu tersenyum. Sudahnya dia terpaksa mendiamkan diri.

Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja berbunyi. Wajah Azira yang tertera di atas skrin telefonnya.

“Assalamualaikum,” ucap Rifhan sebaik menekan butang hijau.

“Waalaikumussalam. Kak... balik lambat ke?” tanya Azira selepas menjawab salamnya.

“Shah Alam hujan lebat. Abang Syam kat Shah Alam lagi,” jawab Rifhan lalu mencapai sekeping keropok segera dari dalam bekas di hadapannya. Keropok yang dibelikan oleh Hamidah ketika temannya itu pulang bercuti ke Kuala Terengganu.

“Zira dah sampai rumah akak ni tapi sini belum hujan.Mendung aje,” ujar Azira.

“Alang-alang Zira dah ada kat rumah ni, Zira keluarkan ikan dari peti. Akak nak masak sambal ikan ajelah malam ni,” pinta Rifhan. Lebih mudah kerjanya nanti jika Azira sudah mengeluarkan ikan yang masih beku dari peti sejuk itu.

“Okey... nak suruh Zira buat apa-apa lagi tak?”

Rifhan tersengih. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, masakan dia hendak menolak? Azira pasti tidak akan keberatan untuk membantunya menyediakan hidangan makan malam untuk mereka bertiga. Dia telah memberikan kunci pendua rumah itu pada Azira. Mudah untuk Azira berkunjung ke situ selepas tamat kuliahnya. Kata Azira, bila dia berada di rumah, ada saja yang ibu bebelkan. Ada saja yang tidak kena di mata ibu.

“Zira kopek bawang putih dengan bawang merah. Sayur pun ada dalam peti tu. Zira potong sayur apa yang ada. Akak nak buat sayur campur,” ujar Rifhan.

“Okey.”

“Satu lagi.. tolong masak nasi.”

“Okey... ada apa lagi, puan?” tanya Azira kemudian tertawa kecil.

“Itu saja ya, bibik. Balik nanti saya yang masak,” balas Rifhan, kemudian terus tertawa. Dia mendengar suara tawa Azira yang bertambah kuat selepas dia menyebut perkataan ‘bibik.’

“Ada-ada ajelah akak ni. Okeylah... Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Rifhan letakkan telefon bimbit di atas meja. Skrin monitor di hadapannya menjadi sasaran. E-Novel yang disiarkan di laman web Ilham Karangkraf menjadi bahan bacaannya sementara menanti kedatangan Hafsyam.

“Lambat balik?”

Rifhan mendongak. Dihadiahkan senyuman pada Encik Kamarul. Ada debar yang tiba-tiba sahaja menjengah ke dada. Bukan selalu Encik Kamarul bermanis muka dengan pekerjanya, apatah lagi hendak bertegur sapa begitu.

“Tunggu husband.” Ringkas jawapannya.

Kamarul mengangguk. “Okey, saya balik dulu.” Lelaki itu meminta diri.

“Hati-hari drive,bos,” pesan Rifhan kepada lelaki yang akan pulang memandu kereta mewahnya ke banglo besar yang terletak di Bukit Antarabangsa itu.

Kelibat Encik Kamarul hilang daripada pandangan matanya. Rifhan menarik nafas kelegaan. Entah mengapa setiap kali dia berhadapan dengan lelaki itu, dia akan menggelabah. Sakit hati mengenangkan sikapnya ketika di dalam bilik mesyuarat tempoh hari masih berbaki. Selebihnya dia sentiasa berhati-hati bila berhadapan dengan lelaki itu.

Jam sudah menunjukkan pukul 7.00 malam. Nampak gayanya rakan-rakan yang bermain ping pong masih belum berhajat untuk menamatkan permainan mereka. Rifhan memanjangkan leher, menjenguk ke arah meja Nadia. Dilihatnya Nadia masih menghadap komputer. Tentu Nadia juga masih punya kerja yang perlu diselesaikan.

Sebentar saja lagi akan masuk waktu maghrib namun Hafsyam masih belum menghubunginya. Mungkin juga Hafsyam belum keluar dari pejabatnya. Rifhan mengangkat gagang telefon, nombor sambungan ke meja Nadia ditekan satu per satu.

“Hmm... ada apa, Puan Rifhan?” tanya Nadia.

“Nak solat maghrib tak?”

“Dah masuk ke?”

“Dalam lima minit lagi. Kita turun bawah sampai surau dah masuk waktu,” ujar Rifhan.

“Okey... jomlah.”

Rifhan meletakkan gagang telefon. Beg berwarna merah berisi kain telekung di bawah mejanya segera dicapai. Nadia juga sudah bersedia untuk melangkah keluar dari tempatnya.

“Kau banyak kerja ke?” tanya Rifhan sambil menyaingi langkah Nadia.

“Ada lagi sikit, belum habis. Kalau tak siapkan hari ni, esok bertambah lagi,” jawab Nadia.

Kedua-duanya melangkah ke arah ruang menunggu lif. Waktu-waktu begitu tentunya cuma dua atau tiga buah lif sahaja yang berfungsi.

Hampir lima minit menunggu, barulah pintu lif terbuka. Ada dua orang lelaki di dalam kotak lif tersebut. Nadia membalas senyuman salah seorang daripada mereka. Mereka sering terserempak di kawasan bangunan itu tetapi tidak pernah bertegur sapa.

Rifhan menekan butang nombor dua. Sebuah surau yang agak besar dan selesa disediakan di bangunan itu tapi ada juga syarikat yang menyediakan surau di ruang pejabat. Lebih mudah untuk pekerja menunaikan solat di pejabat.

Pintu lif terbuka di tingkat dua. Rifhan dan Nadia segera melangkah keluar.

“Sempat senyum-senyum ya?” giat Rifhan lalu menjeling ke arah Nadia di sisinya.

Nadia tersengih. “Senyum pun salah ke?”

“Senyum ada makna tu...”

Nadia tertawa kecil. “Merepek saja kau ni. Bukannya aku kenal dia pun tapi dah dia senyum tadi. Aku senyumlah balik, buat tak tau nanti dikata sombong pula.” Nadia membela diri.

Rifhan hanya menggeleng. Nadia boleh memberi apa saja alasan tetapi apa yang pasti dia dapat merasakan ada tarikan di antara kedua-duanya. Sudah beberapa kali mereka terserempak dengan lelaki tersebut dan kedua-duanya pasti akan berbalas senyuman.

HAFSYAM tiba di pejabatnya ketika jam mencecah jam 8.00 malam. Katanya, hujan sudah beransur reda lalu dia terus sahaja keluar dari pejabat. Entah bila baru hujan akan berhenti. Perutnya sudah berkeroncong. Seperti biasa, Rifhan membonceng motosikal. Isterinya kini sudah tidak kekok duduk di belakangnya.

“Han, kita singgah makan dulu! Syam dah lapar!” jerit Hafsyam agar Rifhan dapat mendengar suaranya. Mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat yang masih berwarna merah.

“Zira ada kat rumah, Syam. Han dah suruh dia masak nasi dan keluarkan barang nak dimasak,” balas Rifhan.

Terdiam Hafsyam untuk seketika. Azira berada di rumah mereka. Hakikatnya dia kurang bersetuju apabila Rifhan memberi kunci pendua rumah itu kepada Azira namun didiamkan sahaja kerana bimbang Rifhan berkecil hati pula. Rifhan dan Azira memang rapat. Tidak adil pula dia menghalang, apatah lagi Azira juga senasib dengan Rifhan, menjadi mangsa ketidakadilan ibu mereka.

“Han tak penat ke nak masak? Dah lewat ni. Lagipun Syam dah lapar sangat. Jenuh menggigil nanti nak tunggu Han masak,” ujar Hafsyam. Dia benar-benar bermaksud dengan kata-katanya. Dalam keadaan kesejukan begitu, perutnya memang sudah tidak mampu bertahan.

Giliran Rifhan pula yang terdiam. Simpati pada Hafsyam.

“Okey... kita berhenti makan dulu, nanti belikan untuk Zira. Nasi yang dah masak kat rumah, esok Han buat nasi goreng,” ujarnya kemudian.

Lebar senyuman Hafsyam mendengar kata-kata Rifhan. Dapatlah dia menikmati makan malam bersama isterinya malam ini tanpa gangguan sesiapa.

Hafsyam membelok motosikalnya ke arah deretan gerai makan yang pernah dikunjungi sebelum ini. Rifhan gemar masakan yang disediakan di salah sebuah gerai di situ.

“Nak makan kedai biasa ke?” tanya Hafsyam sebaik sahaja enjin motosikalnya dimatikan.

Rifhan menoleh ke arah deretan gerai tersebut.

“Kita cuba gerai hujung sana pula. Tak pernah makan kat situ,” cadang Rifhan.

“Okey.”

Rifhan segera turun dari motosikal, Hafsyam juga segera berbuat demikian. Dibantu Rifhan menanggalkan topi keledarnya. Kedua-duanya melangkah ke arah gerai yang dimaksudkan oleh Rifhan. Belum pun sempat mereka duduk, telefon bimbit Rifhan di dalam beg tangan pula berbunyi. Segera Rifhan mengeluarkan telefon bimbit dan mendapati panggilan daripada Azira. Tepat sekali jangkaannya, wajah Azira yang muncul di skrin telefon bimbitnya.

“Assalamualaikum.” Rifhan memberi salam.

“Waalaikumussalam. Lambat lagi ke, kak? Zira dah lapar ni,” rungut Azira.

Rifhan terus jatuh simpati pada adiknya. Azira pasti akan bertambah marah apabila mendapat tahu dia dan Hafsyam makan di luar.

“Sorry, Zira. Abang Syam dah lapar sangat. Kalau balik rumah baru nak masak, memang menggigillah dia nanti. Kami singgah makan dulu,” ujar Rifhan.

“Akak ni, tak patut tau... Zira pun lapar juga,” omel Azira.

Rifhan segera duduk bersebelahan dengan Hafsyam. Suaminya sedang melihat menu yang baru saja diletakkan di atas meja.

“Jangan marah. Okey... Zira nak makan apa? Akak belikan.” Rifhan cuba mengambil hati adiknya.

“Hmm... beli tom yam campur ajelah. Zira dah masak nasi.”

Rifhan tersenyum. Kasihan Azira, tentu adiknya itu juga sedang kelaparan.

“Makan apa-apa yang ada kat rumah tu. Asalkan Zira boleh bertahan sementara akak balik. Okeylah, akak nak order makanan.” Talian diputuskan. Kasihan juga dia pada Azira, beria-ia dia menyuruh Azira mengopek bawang dan mengeluarkan ikan dari peti sejuk. Sudahnya, dia dan Hafsyam makan di luar.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku