Dia Mimpi Indahku
Bab : 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Mei 2014
Novel ini telahpun diterbitkan dalam naskhah cetak dan digital. BELI SEKARANG!!!
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1248

Bacaan






RIFHAN memasukkan beg pakaiannya ke dalam boot kereta. Linda akan memandu kereta tersebut. Kereta yang disediakan oleh syarikat bagi memudahkan mereka bergerak untuk ke tempat pelanggan syarikat itu. Selepas ini mereka akan menjemput Amy pula. Hari ini mereka bertiga ditugaskan untuk membuat audit di sebuah syarikat yang terletak di Perak.

Terlopong Hafsyam seketika melihat dia sedang mengemas pakaian sebaik masuk ke dalam bilik.

“Han nak lari ke mana?” tanyanya, resah.

Berlapis dahi Rifhan. Lari? Kenapa pula dia hendak melarikan diri?

“Han nak outstationlah,” ujar Rifhan.

“Tak cakap dengan Syam pun.”

Rifhan merenung wajah suaminya. Terlupakah Hafsyam tentang apa yang dikhabarkannya pada minggu lepas? Dia sudah memaklumkan tugasan yang perlu dilaksanakannya di Perak. Sangkanya Hafsyam mendengar dan akur dengan tuntutan kerjanya.

“Minggu lepas lagi Han dah cakap.”

“Mana ada?”

Rifhan berdiri di hadapan Hafsyam sambil bercekak pinggang. “Apa yang Syam fikirkan masa Han bagitahu minggu lepas? Berangan ya.” Dia mencuit hidung suaminya.

Berkerut dahi Hafsyam. “Tak ada, Han tak cakap.” dia cuba mengingati bila Rifhan memberitahunya.

“Ada. Syam yang tak dengar. Tulah... leka lagi depan televisyen.” Seingat Rifhan, dia memberitahu kerja luarnya itu ketika suaminya menonton televisyen.

Terdiam Hafsyam untuk seketika. Sememangnya dia maklum akan tugas Rifhan yang ada ketikanya memerlukan dia berkunjung ke syarikat lain sama ada di dalam atau di luar daerah. Sebelum mereka berkahwin lagi, Rifhan memaklumkannya terlebih dahulu jika dia terpaksa bertugas di luar daerah. Masakan kali ini Rifhan terlupa untuk berbuat begitu atau mungkin juga dia yang tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh Rifhan ketika itu.

“Hah... dah ingat?” Rifhan merenung wajah suaminya. Hafsyam sedang menggaru-garu kepalanya. Mungkin baru tersedar akan perkara itu.

“Yalah tu. Syam tak perasan.” Hafsyam mengalah juga.

Rifhan tertawa kecil. Dia pasti merindui suaminya tapi ketika itu tugasnya harus diberi keutamaan. Sejak mereka berkahwin, inilah kali pertama dia akan bertugas di luar Kuala Lumpur yang memerlukan dia bermalam di tempat lain. Ipoh-Kuala Lumpur, jaraknya agak jauh. Tidak wajar rasanya dia berulang-alik. Dia bakal menyusahkan rakan-rakannya pula jika dia berbuat begitu.

“Nanti Han tak ada, jangan pula Syam merayap ke sana sini,” pesan Rifhan. Dia sudah duduk semula di hadapan beg pakaiannya. Masih ada sehelai dua pakaian yang hendak dimasukkan ke dalam beg.

“Nak merayap ke manalah pula? Syam bukannya rajin nak ke sana ke mari.” Hafsyam sudah berbaring di atas katil. Dia akan keseorangan di rumah itu. Pastinya dia akan kebosanan tanpa Rifhan nanti. Isterinya itu yang menjadi teman dia berkongsi cerita. Apa saja cerita yang menarik yang berlaku ketika di pejabat atau di tapak pembinaan akan dikongsi bersama Rifhan. Rifhan pula akan tekun mendengar, berminat dengan cerita yang disampaikan padanya. “Bosan Syam nanti.” Terluah juga apa yang ada di dalam fikirannya ketika itu.

Rifhan tersenyum. Terhenti tangannya yang ketika itu sedang melipat sehelai tuala kecil. “Kalau bosan, Syam keluarlah dengan kawan-kawan Syam.”

Hafsyam menoleh ke arah Rifhan. “Han tak kisah?”

Rifhan menggeleng. Masakan dia hendak menyekat langkah suaminya? Tidak menjadi kesalahan jika Hafsyam mahu bertemu dengan rakan-rakannya, apatah lagi ketika dia tidak berada di Kuala Lumpur.

“Hmm... jangan sampai tak balik rumah, sudahlah ya!” Rifhan mengenyit matanya kemudian tertawa kecil. Mengharapkan Hafsyam mengerti apa yang dimaksudkannya.

Hafsyam mengerti akan apa yang dimaksudkan oleh Rifhan.

AZIRA melangkah masuk ke dalam rumah teres setingkat itu dengan menggunakan kunci pendua yang ada padanya. Kereta abang iparnya berada di halaman. Mungkin Rifhan dan Hafsyam ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.

Suis lampu dihidupkan lalu ruang tamu rumah itu terang-benderang. Azira hela nafas berat. Masih berbekas rasa sakit hatinya dek kata-kata yang dihamburkan oleh ibu. Kerana itu dia melangkah keluar dari rumah lalu membawa diri ke rumah kakaknya.

“Zira tak tahulah, ibu. Zira tak ambil duit ibu.” Azira membela dirinya. Belum hilang penatnya berjalan kaki dari perhentian bas ke rumah setelah habis kuliahnya, ibu pula menuduh dia mengambil duit ibu.

“Kalau bukan Zira, siapa yang ambil? Hantu?” Ibu berdiri di hadapannya sambil bercekak pinggang. Merah padam wajah ibu.

“Ibu dah tanya Ila? Tanya Nita?” Bukan niatnya hendak menuduh Razila atau Anita, dia cuma menyebut nama mereka agar ibu bertanya kepada adik dan kakaknya juga.

“Ibu dah tanya Ila, dia tak tahu. Nita tak akan ambil duit ibu,” balas ibu.

“Habis... ibu ingat Zira yang ambil?” Azira menentang pandangan ibu. Kenapa dia pula yang harus menjadi mangsa? Memang dia tidak pernah meminta duit dari ibu atau ayah. Rifhan sudah berpesan padanya, jika dia memerlukan duit, minta saja pada kakaknya itu. Selama ini pun hanya Rifhan yang mengambil berat akan dirinya.

“Siapa lagi yang ada dalam rumah ni?” Ibu masih tidak mahu mengalah. Masih mahu mencari siapa yang punya angkara.

“Zira tak tahu. Zira tak ambil.” Azira meneruskan langkah untuk naik ke tingkat atas. Malas hendak terus berbalah dengan ibu. Sakit kepalanya semakin menjadi-jadi. Hidungnya sudah berair, selesemanya semakin teruk. Dia cuma mahu makan ubat dan tidur. Itu saja yang ada di dalam fikirannya ketika itu.

“Jangan biadab, Zira. Ibu belum habis cakap,” marah ibu lalu menghalang langkahnya.

Azira mengeluh. Apa yang hendak dilakukannya untuk membuktikan pada ibu yang dia tidak mengambil duit ibu?

“Zira tak sihat, ibu. Zira demam ni. Zira dah penat sangat. Janganlah ibu tuduh Zira pulak.” Dia cuba berlembut. Berkali-kali Rifhan berpesan padanya supaya menghormati ibu. Jangan dilawan cakap-cakap ibu namun ada ketikanya dia berkasar juga. Masakan dia hendak berdiam diri saja kalau dia tidak bersalah.

“Kalau Zira yang ambil, cakap ajelah...”

Azira merenung wajah ibu. Tergores hatinya. Ibu masih menuduh dia yang mengambil duit ibu. Sampai hati ibu. Ditarik nafas panjang-panjang kemudian dilepaskan. Jika dia terus berada di situ dia akan menjadi biadap pula nanti. Di dalam fikirannya ketika itu cuma Rifhan. Rifhan pasti mengerti akan keadaannya. Mereka berdua sering menjadi mangsa ketidakadilan ibu. Azira berpaling ke belakang, ada baiknya dia meninggalkan rumah itu. Meninggalkan ibu yang masih diulit rasa marah hingga ibu menuduh dia yang punya angkara.

“Nak ke mana pulak tu?” tanya ibu kasar.

“Keluar saja ke mana yang boleh. Duduk dalam rumah ni pun macam duduk dalam penjara,” balas Azira tanpa menoleh ke arah ibu. Berbekas rasa sakit hatinya.

“Jangan nak kurang ajar dengan ibu!” marah ibu.

Azira meneruskan langkahnya. Malas hendak melayan kerenah ibu. Berbakul-bakul pula dosanya nanti jika dia terus berada di situ.

“Pergi tempat yang orang suka Zira. Duduk kat rumah ni pun orang tak suka.” Azira membalas juga.

“Hah... pergilah mana kamu nak pergi! Tak payah balik ke sini lagi.”

Azira menelan liur. Adakah ibu menghalau dia keluar dari rumah itu? Hah, lantaklah! Keadaan diri sendiri yang harus diutamakan dulu.

AZIRA bingkas bangun, dia perlu membersihkan diri. Peristiwa tadi dilempar jauh-jauh. Dia boleh meminjam pakaian Rifhan kerana saiz badan mereka sama sahaja. Selepas mandi, dia akan makan apa yang ada di dapur sebelum mengambil ubat yang dibelinya di sebuah farmasi tengah hari tadi. Ubat selesema yang pastinya akan menyebabkan dia mengantuk. Itu kata pegawai farmasi yang bertugas di farmasi tersebut. Dapatlah dia tidur dengan senyenyak-nyenyaknya.

Jam mencecah pukul 11.30 malam namun Rifhan dan Hafsyam masih belum juga pulang ke rumah. Dia sudah menghubungi telefon bimbit Rifhan. Hampa. Tidak berjawah pula. Peti pesanan suara yang menyambut panggilannya.

Matanya sudah tidak mampu diangkat. Kesan dariada ubat yang diambilnya sudah mula terasa. Lambat-lambat Azira bangun dari kerusi. Suis lampu di ruang tamu dimatikan. Langkah terus diatur ke arah bilik yang terletak bersebelahan dengan bilik utama. Bilik yang didiami oleh Rifhan dan Hafsyam.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku