GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 59
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 Mei 2014
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4039

Bacaan






Tidak lama, tiba-tiba pintu bilik diketuk.Dwen mengangkat kepala. Andika segera bangun dan berjalan membuka pintu. Dia tidak mahu mengganggu konsentrasi Dwen.

“Ratna, boleh tolong mama tak? Esok mama ada function.Baju mama belum gosok. Bik Ijah dah tidur. Kesian pulak nak kejutkan dia,” kata Datin Rodziah, berdiri dengan sepasang baju di tangannya.

Andika mengambil baju itu dengan senyum. “Boleh saja mama. Apa salahnya seorang anak berkhidmat untuk ibunya,” jawab Andika.

Datin Rodziah terkebil-kebil.

‘Anak?Bila pulak aku lahirkan dia?’bisik hati Datin Rodziah, geram. Dia berjalan ke biliknya.

Sepuluh minit kemudian, Andika mengetuk pintu dan menghulurkan baju yang sudah siap bergosok.

“Nah, mama. Dah siap. Cantik baju ni. Tentu mahal kan mama?” Andika menyerahkan baju itu kepada Datin Rodziah yang menunggu di ruang tamu.

“Ya, memang mahal. Tak ada di sini. Mama beli di Paris. Bukan semua orang boleh dapat baju macam ni di sini. Kalau orang macam Ratna, lagilah tak mampu!” jawab Datin Rodziah dengan sinis.

Andika angguk. Darahnya berderau. Ada nada sumbang dalam kata-kata Datin Rodziah. Begitu juga ada bunga-bunga kebencian dilihat berkembangan dalam senyuman yang terpaksa itu.

“Ratna, memandangkan Bik Ijah tak berapa sihat boleh tak Ratna bantu dia buat kerja-kerja di rumah ini. Kami nak ambil seorang pembantu lagi tetapi rasanya ia tak penting sangat memandangkan kerja di rumah ini pun taklah banyak sangat. Kalau dibuat berdua dengan Ratna, mungkin ringan sikit beban Bik Ijah,” kata Datin Rodziah.

“Mama, kami dah pun berbincang hal ini,” balas Andika dengan sopan.

“Apa yang kamu semua bincang?” Datin Rodziah rasa hairan.

“Abang dah beri arahan untuk Bik Ijah berehat saja.Dia tak payah buat kerja lagi.”

“Habis, siapa yang akan buat? Dia nak ambil pembantu lain? Tidak. Mama tak setuju. Itu namanya membazir saja!”

“Bukan pembantu lain tapi saya yang akan buat semuanya.”

“Kamu?” Datin Rodziah sedikit terkejut.Dia cuak dengan apa yang didengarnya. Benarkah budak kampung ini akan melakukan semua kerja di rumah banglo itu?

“Saya dah biasa buat kerja ni semua mama. Usah bimbang.”

Datin Rodziah rasa sedikit hampa. Hajatnya untuk mendera Andika tidak menjadi sebaliknya Andika dengan rela hati menyerahkan dirinya untuk melakukan semuanya!

“Baiklah. Kalau macam tu, kita mulakan dengan sarapan pagi esok. Mama nak kamu siapkan sarapan pagi untuk kita semua, termasuk Bik Ijah,” perintah Datin Rodziah.

“Insya-ALLAH mama. Tugas seorang menantu adalah melakukan apa saja suruhan mertuanya selagi tidak melanggar hukum. Mama nak makan apa?” tanya Andika pula.

Datin Rodziah rasa tersindir. Dia merenung wajah Andika dengan geram.

“Kenapa mama renung saya macam tu? Mama tak yakin saya dapat siapkan sarapan pagi esok? Mama cakap saja mama nak makan apa, saya akan masak.” Andika cuba menyakinkan. Datin Rodziah melangkah pergi dengan dada yang pecah!

Keesokan paginya Andika bangun seperti biasa, sebelum azan subuh. Walaupun sedang ‘bercuti’, dia tetap akan bangun pada waktu itu. Sudah terbiasa sejak kecil lagi. Arwah abahnya memang mengajarnya begitu. Katanya, bangun seawal pagi itu digalakkan untuk menerima pembahagian rezeki dari ALLAH. Kalau lambat, semua rezeki sudah dipatuk ayam!

Dia duduk berjuntai kaki di birai katil. Matanya melihat ke sekeliling. Dia berada di sebuah bilik tidur yang mewah.Tidak pernah termimpi sebelum ini. Dia teringat cerita Cinderalela. Betapa beruntungnya dia!

Kemudian matanya beralih kepada lelaki yang tidur dengan dengkuran kecil di sebelahnya.

‘Suamiku?’

Dia meneliti wajah Dwen. Sebelum ini, belum pernah dia menatap wajah itu secara dekat dan lama. Perasaan malu masih menghantuinya. Lelaki itu muncul dalam hidupnya seperti pelangi selepas hujan. Sekejap sahaja dia muncul, terus melekat menjadi sebahagian dari warna hidupnya!

‘Mungkin inilah takdirku. Aku harus reda.’

Kemudian dengan rasa malu dan bimbang dia menepuk-nepuk tubuh Dwen.

“Abang, bangunlah. Dah nak masuk waktu subuh,” bisik Andika perlahan di telinga Dwen.

Dwen menggeliat. Kemudian dengan perlahan dia membuka mata dan merenung wajah Andika dalam kesamaran cahaya lampu tidur.

“Imam kena bangun sebelum makmum,” kata Andika, cuba bergurau.

“Ya ke? Bukan ke makmum yang kena bangun dulu dan tunggu imam?” tanya Dwen dengan ketawa kecil.

“Apa-apa sajalah. Saya nak ke bilik air dulu.” Andika bangun. Namun ketika itu, Dwen menarik tangannya.

Andika gugup. Sentuhan tangan Dwen begitu ajaib hingga mampu menggetarkan jiwanya.

Andika cuba menarik tangannya dengan lembut dan penuh hormat.Dia tidak mahu Dwen tersinggung. Namun, genggaman Dwen bertambah erat. Malah tanpa segan, Dwen mengucup tangan Andika yang mula sejuk itu.

“Abang, kenapa ni?” Andika rasa kurang selesa. Dia rasa malu dengan renungan mata Dwen.

“Boleh abang tanya sesuatu?”

“Tanyalah.”

“Apa perasaan sayang selepas jadi isteri abang?” tanya Dwen tanpa melarikan matanya dari merenung wajah Andika yang semakin hari dirasakan semakin menawan walaupun ketika bangun tidur.

Andika cuba tersengih dan menyembunyikan resah hatinya.

“Jawab dengan jujur. Abang tak kisah kalau sayang kata sayang tak sukakan abang. Sebab abang faham, kita belum saling mengenali.”

“Jujurnya, saya memang masih keliru dengan takdir ini. Begitu cepat dan mendadak. Jadi, saya pun belum tahu perasaan saya ketika ini. Maafkan saya, abang.”

Dwen tersenyum. Dia tahu Andika ikhlas. Seperti Andika, dia juga sedang keliru dengan perasaannya.

“Kenapa sayang bangun awal ni?Bukankah sayang cuti?”

“Cuti solat tapi tak cuti kerja rumah yang lain. Mama minta saya gantikan Bik Ijah untuk siapkan sarapan pagi.”

“Sarapan pagi?” Dwen mengesat mata. Kemudianterpisat-pisat. Ada kehairanan di hatinya. Sejak bila mamanya pandai bersarapan di rumah? Yang dia tahu, Bik Ijah hanya siapkan sarapan untuk dia seorang sahaja. Mama dan papanya jarang menyentuh sarapan di rumah.

Andika terus masuk ke bilik air untuk mandi.Dia mandi dan membersihkan diri. Dia perlu segar dan cergas untuk meneruskan tugas di rumah itu.

Ketika dia keluar, Dwen masih termenung.

“Apa lagi yang abang menungkan?”

“Tak ada apalah.”

“Saya turun ke dapur dulu. Abang jangan terlambat solat pulak,” kata Andika. Dia segera meninggalkan bilik dan terus melangkah turun ke dapur.

Ketika dia sampai di dapur, lampu sudah terang benderang. Bik Ijah sedang mengupas bawang.

“Bik? Dah bangun?”tegur Andika.

“Sudah. Eh, kok kamu pun dah bangun? Kenapa awal sangat?” Bik Ijah terpinga-pinga hairan.

“Saya dah biasa bangun awal, sebelum subuh. Mama minta saya siapkan sarapan. Bibik pergilah rehat. Kebetulan saya pun sedang cuti solat.Biar saya buat kerja ni semua. Bik nak masak apa ni?” Andika mengambil pisau dari tangan Bik Ijah.

“Entahlah. Dah lama tak masak nasi goreng. Rasa macam nak masak nasi goreng je,” jawab Bik Ijah.

“Bik,Datuk danDatin suka makan apa?”

“Mereka tak kisah sangat. Apa saja yang bibik masak, mereka makan. Sebenarnya, mereka jarang bersarapan di rumah. Makan tengah hari dan makan malam, lagi jarang. Masing-masing balik dah malam, dah siap makan kat luar,” jawab Bik Ijah, jujur.

“Habis, kita nak siapkan sarapan untuk siapa ni?” Andika mula hairan. Macam ada yang tak kena dengan perintah Datin Rodziah malam tadi.

“Untuk kita bertiga. Kita perlu makan kan? Dwen suka bersarapan di rumah. Masa dia ada, bibik akan sediakan sarapan. Kalau tidak, bibik masak untuk makan sendiri,” jawab Bik Ijah dengan ketawa kecil.

“Kalau macam tu, biar saya masak. Bik pergilah solat. Dah nak azan ni,” kata Andika dengan senyum yang tulus.

Bik Ijah akur. Dia segera melangkah ke biliknya.

Andika terus menyiapkan bahan-bahan untuk memasak nasi goreng. Kalau untuk selera Dwen, dia sudah tahu apa yang disukainya. Pengalaman menjadi pembantu rumah kepada Dwen, walaupun sekejap cukup untuk dia belajar kesukaannya.

Setengah jam sahaja, nasi goreng kampung dengan telur mata lembu terhidang di meja! Kemudian dia membancuh seteko Nescafe untuk diletakkan bersama nasi goreng itu.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku