Ceritera @ Gerai Ramadhan
Genre: Cinta
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 14 Julai 2014
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)
1520

Bacaan







" Fia... Jaga gerai kita elok-elok...Akak dengan abang Khairi nak pi solat kejap..." pesan Kak Solehah sebelum berlalu bersama suaminya meninggalkan adiknya Sofea bersendirian di petak jualan yang mereka sewa di gerai Ramadhan itu.

Untuk seketika Sofea melirik jam di tangan. Masih ada 30 minit lagi sebelum waktu kebiasaan mereka sibuk melayan pelanggan yang ingin membeli juadah kuih-muih yang mereka jual.

Kak Solehah dan abang Khairi yang beria-ia sangat untuk membuat jualan di kawasan gerai itu. Alasan mereka: ' Untuk merapatkan hubungan dengan bekas rakan sebilik abang Khairi di universiti dulu. Mereka berpisah selepas masing-masing tamat pengajian 2 tahun lepas.

Kebetulan Sofea sedang bercuti sebelum menyambung tahun akhir pengajiannya 3 bulan akan datang. Sesekali Syukri, adik bongsu mereka yang berusia 16 tahun turut sama membantu.

Sofea khusyuk membelek majalah Asuh yang baru dibeli kakaknya sebelum mereka sampai ke situ tadi.

" Assalamu'alaikum..." spontan Sofea memandang empunya suara sambil menjawap dengan suara perlahan salam yang dihulur. Segera dilarikan pandangannya kembali ke majalah di tangan setelah mengetahui Ashraf yang muncul.

" Khairi dan Soleha belum sampai lagi ke?" tanya Ashraf yang sibuk menyusun peralatan memasak mee goreng. Itulah jualannya di situ.

" Diorang tengah solat kat surau..." ringkas sahaja jawapan Sofea. Surau merujuk pada surau yang memang disediakan oleh pihak jawatankuasa gerai Ramadhan itu.

Ashraf mengangguk tanda memahami. Kemudian masing-masing senyap. Biarpun hari ni masuk hari ke 14 mereka berjualan di situ, tapi baru kali ini mereka berkomunikasi bersama. Selalunya Ashraf hanya berbincang dengan Abang Khairi dan Kak Solehah.

" Fia...Lepas kau habis baca majalah tu, aku nak pinjam!" laung Izzah dari gerai sebelah perlahan tapi masih boleh didengari oleh Sofea dan Ashraf.

" Err...Boleh tolong tak?" ucap Ashraf tiba-tiba.

" Nak minta tolong apa?" soal Sofea kembali sambil berdiri. Kekok.

" Tolong ambilkan tupperware berisi sayur kat seat belakang kereta.." pinta Ashraf yang sibuk memanaskan minyak. Panik. Sudah tiga orang pelanggan memesan mee goreng buatan tangannya.

" Kunci?"

Sedang Ashraf terkial-kial mengeluarkan kunci dari kocek seluar kirinya, tanpa sedar tangan kanannya terlanggar periuk yang sudah panas.

" Allah!" rintih Ashraf. Kedua tangannya terkena tumpahan minyak.

Pelanggan yang sedang menanti tadi terkejut dengan musibah yang menimpa. Kecoh seketika petak jualan mereka.

" Izzah...pinjam ais batu ni kejap..." laung Sofea sambil bergegas menghampiri Ashraf. Dituam tangan Ashraf dengan ais itu.

" Apehal ni?" Kak Solehah dan Abang Khairi melangkah masuk ke dalam gerai dari arah belakang. Ingin tahu punca kekecohan yang berlaku.

" Ya Allah!" Abang! Call ambulans!!" ucap Kak Solehah sebaik melihat tangan Ashraf yang melecur.

*******


Atas persetujuan bersama umi dan abah, Abang Khairi dan Kak Solehah mempelawa Ashraf untuk tinggal di rumah keluarga mereka sehingga tangannya beransur sembuh.

" Terima kasih pakcik, makcik...sebab sudi menumpangkan saya tinggal kat sini..." untuk kesekian kalinya ayat itu dilafazkan Ashraf.

" Toksah disebut-sebut Ashraf...Kebetulan ada bilik kosong kat sini...Lagipun sayang kalau keluarga kamu nak batalkan perjalanan umrah tu... " balas abah menyedapkan hati Ashraf.

Memang sedari awal Ashraf sekeluarga merancang untuk berpuasa di Mekah di 15 hari akhir Ramadhan.

Disebabkan musibah yang menimpa Ashraf, keluarganya terus ingin membatalkan perjalanan umrah mereka ke tanah suci. Abang Khairi yang memang dikenali dalam keluarga Ashraf menawarkan diri untuk menjaga Ashraf. Pujukannya berjaya membuatkan keluarga Ashraf tetap meneruskan perjalanan umrah mereka.

Perbualan mereka terhenti selepas itu memandangkan beduk berkumandang dari skrin televisyen yang terpasang.

*******


" Jangan lupa kunci pintu Fia..." pesan umi sebelum mereka pergi ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Isya' dan sembahyang sunat Tarawih.

" Baik umi..." jawap Sofea sambil mengiringi semua ahli keluarganya keluar dari pintu rumah. Dia tidak ikut serta kerana sedang 'bercuti' solat.

Sebaik kereta yang mereka naiki keluar dari perkarangan rumah, Sofea terus melakukan seperti yang disuruh uminya tadi. Memastikan semua pintu rumah mereka dalam keadaan berkunci.

Setelah itu, dia ke dapur untuk memasak air. Sementara menunggu masak, dia mengemaskan dapur. Tidak banyak yang perlu dikemas memandangkan uminya telah mendisiplinkan mereka adik-beradik sedari kecil lagi.

Setelah selesai, Sofea ke ruang tamu dengan membawa diari hariannya. Hanya sesekali sahaja Sofea menggunakannya. Itulah salah satu alternatif yang digunakannya untuk membuang perasaan negatif di dalam diri.

Ya Allah...Ya Jabbar, Ya Mutakabbir...

Seandainya telah tercatat kami diciptakan untuk satu sama lain, kuatkanlah diri ini Ya Rahman untuk istiqomah menjaga diri hingga diri ini halal untuknya..Allah...Allah...Allahu Akbar..Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati-hati setiap hambaNya...Amien...

'Do I like him? Tak payahlah ek nak describe kat sini...'

Ketabahannya menjaga hubungannya sebagai hamba kepada penciptanya Sang Khaliq..

Kerendahan hatinya yang tidak bermegah diri dengan harta yang Allah kurniakan...

Kesopanan akhlaknya..selalu menyenangkan sesiapa untu mendekati dirinya...

Erk! Sudah2 la Sofea oiii...Tak boleh komen lebih2 lelaki yang tak halal untuk diri perempuan la...

Haritu umi ada komen yang memandang 'dia' memberi ketenangan. Tak tau la pulak sebab tak pernah pandang lama2 sangat. Tiap kali 'dia' ada, jantung ni berdegup laju..Hmm...Astaghfirullah...

Sampai sini je catatan untuk hari ni. Insya Allah ni komen pertama dan terakhir tentang 'dia' kat sini..Lainlah kalau kita dah halal untuk dia. *LoL* Takdelah...Gurau2 je...

-Kepada Allah kami serahkan segala urusan...Allah knews everything...-

Diari ditutup. Sofea bangun dari duduknya untuk membuka suis televisyen. Berhasrat untuk menonton siaran yang menarik minatnya.

" Assalamu'alaikum..." suara Syukri kedengaran melaungkan salam tanda mereka sudahpun pulang dari masjid.

Laungan salam Syukri menyedarkan Sofea. Tidak sedar masa yang berlalu. Bingkas dia bangun menutup televisyen yang sedang ditontonnya tadi. Sambil melangkah ke dapur, cepat-cepat dia menyarungkan tudung yang dipakainya tadi ke kepala.

" Ehem...Dah makin rajin anak perempuan umi sorang ni bancuh air untuk kita, kan umi?" usik Kak Solehah yang baru melangkah masuk ke dapur bersama umi mereka sebaik terpandang adiknya itu sedang membancuh seteko air koko panas.

" Baguslah tu..Tak lama lagi bertambah lah menantu umi..." balas umi turut mengusik.

" Ni azam baru bulan Ramadhan orang la..." ucap Sofea mempertahankan diri. Usikan umi dan kak Solehah tidak diiakan dan dinafikan.

" Azam baru ke cubaan nak ambik hati abang Ashraf kita tu?..." giat Kak Solehah sekaligus cuba untuk menyelami isi hati adiknya itu. Soalannya seperti tidak memberi kesan pada diri Sofea. Mukanya kekal selamba.

" Adik...Tolong bawak air ni ke dalam..." pinta Sofea sambil menyuakan dulang berisi teko dan beberapa biji mug kepada Syukri yang baru memasuki dapur.

Tanpa banyak soal, dulang bertukar tangan. Syukri mengambilnya dengan senyuman meleret.

" Kenapa senyum-senyum ni?" soal Sofea curiga beserta kerutan di dahi.

" Takde apa-apa..." jawap Syukri. Senyumannya masih belum berhenti.Tanpa sempat Sofea bertanya lebih lanjut, Syukri cepat-cepat melarikan diri.

Sudah menjadi kebiasaan mereka sekeluarga di bulan Ramadhan setelah pulang dari masjid mereka berkumpul di ruang tamu sambil mengisi perut dan menonton televisyen bersama.

" Ashraf bercuti panjang ni, Bos tak bagi notis ke?" soalan abah menyapa gendang telinga Sofea yang baru masuk ke ruang tamu.

" Alhamdulillah pakcik...Diorang tak buat macam tu..Mungkin sebab selama ni saya jarang ambik cuti tu kot..." jawap Ashraf yang bekerja sebagaigraphic designerdi sebuah syarikat swasta.

Sewaktu ingin mencapai majalah mingguan wanita, Sofea terkejut. dan baru teringat 'Dia terlupa untuk menyimpan diarinya sebentar tadi!'

Kini diari itu berada di atas majalah yang ingin dicapainya.'Siapa yang alihkan ke sini ni?'fikirnya.

'Mungkin umi atau abah kot yang alihkan....'pujuknya untuk menyedapkan hati sendiri.

Sofea hanya menjadi pendengar perbualan keluarganya bersama Ashraf. Sesekali perbualan mereka berkisar tentang rancangan yang sedang disiarkan di televisyen.

" Lagi 5 hari diorang pulang..." ucap Ashraf sewaktu umi bertanya tentang kepulangan keluarganya.

" Semoga mereka selamat menyempurnakan ibadah umrah dengan sempurna dan pulang ke tanahair dengan selamat. Amin..." doa umi yang diaminkan oleh yang lain.

Setelah habis membelek majalah, Sofea bangun untuk masuk tidur. Kali ini dipastikan diarinya dibawa bersama.

" Selamat malam kak Fia..." laung Syukri sempat menghadiahkan senyuman meleret buat kakak keduanya itu sebelum menyambung menonton televisyen.

Sofea hanya memandang sepi dengan kelakuan Syukri yang sedikit pelik itu. Matanya betul-betul rasa mengantuk.

*******


" Kawan Fia nak datang ke?" soal abah sewaktu melihat anak keduanya itu kerap memandang ke halaman. Seperti menanti tetamu saja lagaknya.

" Tak adalah abah...Fia saja je tengok...Manalah tau kot-kot ada tetamu yang datang..." dalih Sofea.

Memang dia menanti kehadiran tetamu. Lebih tepat lagi dia menanti kedatangan Ashraf datang bertamu ke rumah mereka. Manalah tau kalau-kalau hari raya kelima ni Ashraf berkunjung.

" Ni dah pukul sepuluh malam...Rasanya dah tak ada lagi yang datang kot..." ucap abah meluahkan pendapat sebelum berlalu untuk menutup suis lampu yang menerangi depan rumah dan halaman rumah mereka.

Sofea hampa. Sejak hari raya pertama lagi dia sudah berharap. Tapi penantiannya belum jua berakhir. Sejak Ashraf pulang ke pangkuan keluarganya, belum pernah sekalipun dia datang kembali ke rumah mereka.

Akhirnya dengan langkah longlai, Sofea melangkah untuk menukar pakaian tidur beserta sebuah tekad. Setelah ini dia bertekad untuk berhenti berharap.

Esok dia akan membakar diari hariannya. Lembaran diari baru akan dibuka. Secara tidak langsung, simbolik dirinya memperbaharui perancangan dan azam baru di dalam hidup.

*******


Setahun berlalu. Ramadhan kini kembali. Bezanya kali ini Sofea sudahpun berjaya menggenggam segulung ijazah. Sedang menanti panggilan kerja.

Sofea teringat pujukan Kak Solehah yang beria-ia memintanya untuk membantu menyumbang tenaga di gerai Ramadhan.

" Boleh la Fia..Kami betul-betul perlukan bantuan Fia..Hasil jualan kita nanti 30% akan didermakan untuk anak-anak yatim..." terang Kak Solehah sehari sebelum Ramadhan tiba.

" Akak kan dah tau keputusan Fia macamana..." ucap Sofea mengingatkan.

Memang keluarga mereka sudah maklum yang Sofea tidak lagi mahu menjejakkan kaki ke gerai Ramadhan sejak musibah yang menimpa Ashraf tahun lepas.

" Anak didik abang Khairi tak ada yang berminat nak tolong ke?" tanya Sofea cuba untuk membantu Kak Solehah mencari solusi lain.

" Bukan tak ada...Ada...Tapi lepas raya nanti diorang ada exam..Abang Khairi nak diorang fokus pada pelajaran..Abang tak nak tanggung risiko kalau pembelajaran mereka gagal..." terang Kak Solehah serius. Memang dia sudah mengutarakan hal itu pada suaminya yang bertugas sebagai pensyarah universiti.

" Fia kena ingat pesanan umi dan abah waktu kita kecil-kecil dulu..." sengaja Kak Solehah mengingatkan.

" Niat yang baik pasti akan diberi ganjaran yang baik dari Allah..."

" Fikirkanlah Fia mana yang lebih penting. Perasaan Fia ataupun nasib anak-anak yatim tu..." ucap Kak Solehah sebelum berlalu meninggalkan Sofea. Jelas ayat terakhir Kak Solehah membuatkan Sofea terkedu. Terasa.

Setelah itu, Sofea akhirnya bersetuju. 'Demi nasib anak-anak yatim, dia rela melawan rasa gerunnya berada di gerai Ramadhan'.

Syarat yang dikemukakan Sofea juga dipersetujui Kak Solehah dan Abang Khairi. 'Tiada makanan baru bergoreng dijual di petak jualan mereka'.

Sengaja disibukkan dirinya melayani pelanggan yang membeli kuih-muih mereka. Sesekali Sofea meluangkan masa berbual-bual dengan sekumpulan mahasiswi yang turut berjualan di petak bersebelahan mereka.

Hari ke 14 Ramadhan menyusul tiba. Kak Solehah dan Abang Khairi sudah mengizinkan permintaan Sofea untuk pulang lebih awal dari biasa.

Sofea tidak senang duduk. Dia merasakan masa bergerak perlahan hari itu. Buat kesekian kalinya dia melirik jam di tangan. Masih ada 15 minit sebelum umi dan abah sampai untuk menjemputnya pulang. Kebetulan keduanya berhasrat untuk turun ke situ semalam. Jadi Sofea memilih untuk pulang bersama mereka daripada memandu sendiri.

Hari ini genap setahun musibah yang menimpa Ashraf di hadapan mata Sofea. Rasa gerunnya meningkat hari itu berbanding hari sebelumnya.

Sejak pagi lagi kepalanya kerap mengimbau peristiwa itu. Seperti sebuah rakaman video yang diulang tayang semula berkali-kali.

" Fia...Cuba tengok siapa yang tengah bersalam dengan Abang Khairi tu..." bisik Kak Solehah sambil memandang ke satu arah.

Tanpa kata, Sofea memandang ke arah yang sedang dipandang kakaknya itu. Kelihatan Ashraf sedang berpelukan dengan sahabat karaibnya, Abang Khairi.

"Matchingla baju dia dengan Fia...Petanda awal tu Fia.." ulas Kak Solehah menggiat.

Sofea hanya diam dan menyibukkan diri menambah kuih yang sudah berkurang dalam dulang jualan mereka. Mukanya dikawal supaya Kak Solehah tidak mengetahui perasaannya kini. Agak lama jugak Ashraf berbual-bual dengan Abang Khairi sebelum berlalu.

' Alhamdulillah...' ucap Sofea di dalam hati. Entah kenapa dia berasa lega apabila Ashraf tidak bertembung dengan abah dan umi yang sampai tidak lama selepas Ashraf berlalu.

" Fia balik dulu kak...Abang Khairi...Assalamu'alaikum..." ucap Sofea meminta diri sebelum melangkah pergi bersama umi dan abah mereka.

*******


Pada sebelah malamnya, seperti biasa selepas pulang dari menunaikan sembahyang sunat Tarawih, mereka sekeluarga berkumpul di ruang tamu.

" Abah dengan umi ingat lagi tak kat Ashraf yang pernah tinggal kat sini tahun lepas tu?" tanya Abang Khairi tiba-tiba.

" Ingat..kenapa dengan dia?" tanya abah.

" Tadi waktu datang kat gerai, dia ada bagitau sesuatu..." terang Abang Khairi tenang.

" Apa yang dia bagitau tu?" tanya umi pula. Ingin tahu.

Kak Solehah senyum sambil sesekali melirik ke arah Sofea yang sibuk dengan majalah di tangan.

" Petang tadi, Ashraf bagitau kat Khairi yang waktu hari raya nanti mama dan papa dia nak datang meminang Sofea..." lancar dan tenang Abang Khairi melanjutkan cerita.

Sebaik mendengar ucapan abang iparnya itu, Sofea yang sedang minum, tersedak. Reaksinya mengundang tawa Kak Solehah, Abang Khairi dan adiknya Syukri.

" Dari cara dia bercakap tadi, dia macam yakin sangat Fia takkan tolak...Sebab tu dia nak hantar rombongan meminang terus..." beritahu Abang Khairi.

" Macamana dia boleh yakin sangat Fia tak tolak?" spontan Sofea bertanya. Polos.

" Ketabahannya menjaga hubungan sebagai hamba kepada penciptanya Sang Khaliq...." ucap Syukri penuh dramatik.

' Macam kenal ayat tu..' detik hati Sofea sambil berfikir cuba untuk mengingati.

" Kerendahan hatinya...." spontan tangan kanan Sofea laju menutup mulut Syukri dari menyambung. Sudah teringat.

" Dari mana Syuk dapat ayat tu?" tanya Sofea sambil sengaja menjengilkan matanya memandang Syukri.

" Syuk pernah baca kat Diari kak Fia..." jawap Syukri selamba sambil kembali menonton televisyen. Tiada riak bersalah di mukanya.

" Ahmad Syukri!!!" laung Sofea dengan suara tertahan. Rasa geram pada adiknya cuba untuk dikawal.

" Jadi selama ni, Fia memang suka kat Ashraf ek..." usik Kak Solehah. Tahulah dia perasaan adiknya itu.

" Berbaloi jugak penantian Ashraf..." ucap abah membuatkan mereka memandangnya. Mahukan penjelasan. 'Macamana abah tau?'

"Sebelum Ashraf pulang, dia ada bagitau hasrat hati dia nak meminang Fia...Tapi abah pesan kat dia, kalau betul dia serius tunggulah setahun, biarkan Fia habis belajar dulu..." beritahu abah panjang lebar.

Setelah itu, makin teruk Syukri mengusik kak Fianya. Kak Solehah turut sama mengusik.

Sofea tunduk. Tidak membalas. Membiarkan semua ahli keluarganya gelak. Pipinya terasa panas. Malu rahsia hatinya terbongkar.

*******


Enam bulan kemudian, Ashraf dan Sofea selamat diijabkabulkan. Biarpun majlis mereka dilakukan secara sederhana di rumah keluarga kedua belah pihak, tapi tetap meriah.

Majlis menyambut menantu di pihak pengantin lelaki juga sudahpun berjalan dengan lancar siang tadi.

Pada sebelah malamnya, diadakan pula doa kesyukuran dan solat hajat berjemaah supaya perkahwinan mereka berkekalan tetap di jalan yang di redhaiNya.

" Fia...Fia nak dengar cerita tak?" tanya Kak Laila, kakak kedua Ashraf sedikit berbisik sewaktu mereka sedang menyediakan makan malam.

" Cerita apa kak?" balas Sofea supaya Kak Laila meneruskan cerita.

" Waktu raya tahun lepas, akak pernah dengar Ashraf mengigau panggil Sofi...Sofi...Sofea la tu...Sekarang ni baru kami tau gerangan yang dah curi hati dia...Pandai betul dia rahsiakan identiti Fia...." beritahu Kak Laila bersemangat mengundang senyuman Sofea.

" Betul Fia...Lepastu waktu mula-mula balik dari rumah Fia tu, Ashraf selalu tidur lewat. Gerenti tengah angau ingat Fia..." sambung Kak Laila makin bersemangat membuka rahsia adik bongsunya.

" Akak pun ada cerita jugak...." ucap Kak Fitriah, kakak sulung Ashraf pula menyampuk perbualan.

Kini pandangan Sofea beralih pula memandang Kak Fitriah. Menanti cerita yang bakal diberitahu.

" Ada satu hari tu...Waktu akak dengan abang Zul tengah berbincang dengan Ash pasal interior design plan rumah baru kami, cuba Fia teka apa yang terjadi?" soal Kak Fitriah sengaja berteka-teki. Zul merujuk pada suami Kak Fitriah.

" Dia tertidur?" tebak Sofea.

" Bukanlah...Tapi waktu Abang Zul tengah explain design yang kami nak tu, boleh pulak budak Ash tu sibuk berangan sambil tulis nama Fia dengan nama dia kat kertas plan tu!" ucap Kak Fitriah geram.

Sekali lagi Sofea tersenyum lebar mendengar cerita yang baru didengarnya tentang suaminya Ashraf.

" Lepas tu kan..." sebelum Kak Fitriah menyambung lebih lanjut, Ashraf muncul.

" Akak Fit...Janganalah bagitau rahsia Ash kat Sofi..." pinta Ashraf sedikit merengek. Manjanya sebagai anak bongsu dalam keluarga terserlah.

" Biarlah Fia tau...lambat-laun dia tau jugak..." ucap kak Laila selamba sengaja mengusik adik bongsu mereka itu.

" Ash...Pergilah kat depan...Tak lari isteri Ash ni..." ucap Kak Fitriah mengusik.

" Yelah...Nah bawak pinggan ni sekali..." perintah Kak Laila sambil menghulur pinggan-pinggan yang sudah disediakannya untuk mereka makan nanti.

" Kak Fia..." panggil Syukri sambai melambai Sofea supaya menghampirinya. Sedikit jauh dari orang lain.

" Syuk terlupa nak bagitau akak tentang hal ni sebelum ni..." ucap Syukri setelah Sofea menghampirinya.

" Bagitau apa?" tanya Sofea.

" Tapi sebelum tu, Kak Fia kena janji takkan marah lepas dengar cerita yang Syuk nak bagitau ni..." pinta Syukri menagih janji.

" Okey..." ucap Sofea agar cepat Syukri mula bercerita.

" Ingat tak yang Syuk pernah baca diari kak Fia?" soal Syukri yang dibalas anggukan Sofea.

" Sebenarnya masa tu, abang Ash yang baca dulu diari kak Fia tu...Dia ingat buku tu buku Syuk...." beritahu Syukri perlahan.

" Masa tu dia pesan kat Syuk untuk anggap macam tak pernah baca diari tu...Tapi Syuk rasa kak Fia perlu tau tentang ni sekarang..Yelah kan kak Fia dah jadi isteri abang Ash sekarang..." sambung Syukri.

"Sorry kak Fia... Love You my sis!"ucap Syukri sebelum berlari menjauh dari Sofea. Mengelak dari denda atas kesalahannya.

Perasaan Sofea berkecamuk. Marah bercampur malu. Tapi setakat ini Ashraf belum pernah mengungkit akan hal itu. 'Nasib baik dah buang diari tu!'detik hatinya sedikit lega.

" Sayang...jomlah makan...Ash dah lapar la.." rengek Ashraf sambil memeluk pinggang Sofea dari arah belakang.

Sofea hanya menurut sewaktu Ashraf memimpinnya melangkah ke meja makan.

" Makin teruk nampaknya angau adik kita tu kak Fit.." ucap Kak Laila yang sedang beriringan berjalan bersama Kak Fitriah di belakang Ashraf dan Sofea.

" Nampaknya tak lama lagi menimang cucu lah kita Bang..." ucap papa pada abah. Ucapan papa mengundang tawa seluruh ahli keluarga mereka yang ada di ruang makan itu.

Ashraf hanya mengukir senyum dengan usikan papa sebelum berbisik ke telinga isteri tersayang di sisi.

"Thanks sayang sebab sudi jadi isteri Ash..." bisik Ashraf.

Betul lah pesan abah dan umi. 'Niat yang baik pasti akan diberi ganjaran yang baik dari Allah...Kalau bukan ganjaran di dunia, di akhirat...'

Niat Sofea membantu Kak Solehah dan Abang Khairi berjualan di gerai Ramadhan telah ditakdirkan oleh Allah sebagai jalan Sofea menuju ke gerbang perkahwinan.

'Alhamdulillah...Terima kasih Ya Allah...' ucap Sofea di dalam hati. Bersyukur dengan limpahan kebahagiaan yang dikurniakan Allah untuk mereka kecapi kini...

======TAMAT======



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku