Makcik Dobi
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 27 Ogos 2014
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)
3158

Bacaan






Di suatu dinihari yang suam-suam kuku di asrama puteri Sekolah Menengah Ahmad Alfonso (bukan nama sebenar)

‘Non, non! Noniiii, bangun la. Temankan aku kejap. Dah tak tahan dah ni. Cepat la wei… bangun la cepat!’ Balqis cuba mengejutkan Noni yang enak dibuai mimpi.

‘Noni! Tolong la bangun cepat wei. Aku nak gi toilet sangat-sangat dah ni. Bangun la Non!’ kejutannya kali ini disertai dengan cubitan keramat di paha Noni.

‘Adoi, ketam mana lak gigit aku ni. Tadi aku bukan mimpi pegi laut pun. Aku mimpi daki gunung. Ketam sesat agaknya. Hebat gak ketam ni, bole pulak panjat gunung yang tinggi nih,’ gumam Balkis separuh sedar sambil menggosok-gosok pahanya yang pijar.

‘Kah kah kah, padam muka kau Noni,’ terkekeh-kekeh Balqis ketawa mendengar igauan Noni. ‘Weh, tetido balik pulak, bangun la Non,’ Balqis menggoyangkan tubuh Noni yang mula nak terlena semula.

‘Alamak, gempa bumi. Nak runtuh ke gunung ni. Mati la aku. Baik aku mengucap dulu,’ masih terdengar igauan Noni.

‘Kepala otak kau gempa bumi. Ini aku la, Balqis. Bangun la Non, teman aku gi toilet, cepatla Non,’ Balqis terus menggoyang tubuh Noni.

Noni membuka matanya sambil terpisat-pisat. ‘Ah, kau ni Qis, nape kejut aku malam-malam buta gini. Aku ngantuk gile ni.’

‘Jom la gi toilet, jom la, jom la. Jom la teman aku Non,’ Balqis dah terkepit-kepit berdiri.

‘Toilet? Watpe gi toilet. Aku tak rasa nak terkencing pun. Kau je la pegi. Aku ngantuk sangat ni Qis…….,’ ujar Noni yang masih belum sedar sepenuhnya. Matanya separuh tertutup.

‘Memang la bukan kau yang nak kencing, tapi aku ni ha yang tak tahan. Cepat la Non. Bangun la cepat,’Balqis terus mendesak Noni untuk menemaninya ke tandas.

‘Kau ni, nak mintak tolong aku pun, sempat lagi dok ngejek aku. Non non, aku Noni la, bukan Non. Takda adab punya budak,’ Noni membebel sambil mata terpejam. ‘Ha, kau gi la kejut Zaf tu. Aku tak larat la nak jalan gi toilet. Tak pun kau ajak la budak-budak junior tu temankan kau. Bila lagi nak ragging budak baru.’

‘Kau ni Non, macam tak kenal si Zaf tu. Kalo nak kejut dia, kene guna bom atom. Aku tak sempat beli bom petang tadi. Mesti tak berjaya nak kejut dia tu. Kalo dah tido, macam kingkong makan panadol 20 bijik,’ ujar Balqis. ‘Nak kejut junior? Gile kau. Esok heboh satu asrama, ketua asrama puteri penakut. Huhu, sape nak tanggung malu untuk aku? Bangun la Non. Teman aku jom.’

Usaha Balqis sia-sia sahaja kerana Noni telah jauh hanyut ke dalam mimpinya, makan angin di atas gunung ape tah namanya. Kedengaran dengkuran halus dari Noni. Balqis mula putus harapan untuk mengejutkan Noni, lantas berjalan perlahan-lahan menuju ke luar bilik asrama.

‘Alamak, seram pulak la asrama ni malam-malam. Siang-siang happening je aku tengok,’ Balqis membebel sendiri sambil berjalan di koridor asrama untuk menuju ke tandas yang terletak di hujung bangunan.

Balqis hampir tiba di depan pintu tandas apabila telinganya menangkap bunyi seseorang yang mencuci pakaian di dalam tandas sambil menyanyi-nyanyi kecil, kalo tak salah, lagu Saloma tajuknya Malam Ku Bermimpi.

‘Huh, nasib baik ada orang dalam toilet. Takde la kecut sangat aku,’ Balqis tersenyum sendiri. ‘tapi sape pulak la yang minat Saloma ni. Jiwa season siot budak ni. Keh keh keh. Lantak la, asalkan aku berteman.’

Balqis melangkah masuk ke dalam tandas. Matanya tertancap ke tubuh seseorang yang membongkok memberus pakaian di tepi kolah air.

‘Eh, ni bukan student sini ni. Nampak macam makcik-makcik je. Makcik mane pulak ni? Takkan anak Datuk Harun tu buat pasal lagi kot,’ fikiran balqis menerawang mengingati peristiwa di mana seorang pelajar tingkatan satu yang merupakan anak kepada Datuk Harun, pengerusi PIBG sekolah mereka, menyeludup masuk bibik dari rumahnya untuk membasuh pakaiannya di asrama. Suzi, anak manja Datuk Harun membawa masuk bibiknya itu atas alasan tidak pandai cuci pakaian sendiri. Di rumah ada mesin basuh, dan bibiknya yang menguruskan semua hal pakaiannya. Jadi, setiap malam minggu, Suzi akan mengarahkan bibiknya datang mencuci pakaiannya di asrama secara sembunyi-sembunyi, hingga akhirnya perbuatannya itu dapat dihidu oleh Balqis. Rakan-rakan sebilik Suzi juga bersubahat dalam merahsiakan hal itu kerana Suzi turut mengarahkan bibiknya mencuci pakaian-pakaian semua kawan-kawannya sekali.

‘Makcik, kenapa makcik basuh baju malam-malam ni. Makcik ni orang gaji Datuk Harun ke?’ Balqis mula bertanya. Tiba-tiba Balqis teringat tujuan asalnya pergi ke tandas malam-malam begini. ‘Makcik, saya masuk tandas dulu ye,’ Balqis tersengih memandang makcik yang sedang mencuci baju itu. Makcik tersebut tidak berkata apa-apa sebaliknya hanya tersenyum kambing.

Selesai menunaikan hajatnya yang lama di pendam, Balqis mendekati makcik yang asyik memberus pakaian-pakaian di hadapannya.

‘Makcik, makcik masuk sini sebab Suzi suruh ke makcik? Suzi anak Datuk Harun tu yang nyuruh makcik cuci pakaian dia ke makcik? Sebenarnya, salah perbuatan makcik masuk asrama kami macam ini. Ini dah melanggar undang-undang asrama ni makcik. Orang luar tak dibenarkan masuk asrama kami sesuka hati. Hal ini saya terpaksa laporkan kepada warden kami ye makcik. Saya takut nanti makcik dituduh sebagai pemceroboh pulak,’ Balqis berkata kepada makcik tersebut.

Tetapi tiada balasan atau sebarang reaksi dari makcik tersebut. Dia tetap membongkok dan terus memberus pakaian satu-persatu.

‘Makcik, makcik dengar tak ape yang saya katakan ni. Perkara ni serius tau makcik. Makcik tak boleh datang sini lagi untuk cuci baju Suzi tu. Saya harap makcik boleh balik sekarang. Kalau tak, saya terpaksa pergi panggil warden dan pengawal. Bukannya saya nak berkasar dengan makcik, tetapi saya menjalankan tugas saya menjaga keselamatan pelajar dalam asrama ini.’ Balqis terus berkata.

‘Makcik tak salah. Takde sape suruh makcik datang. Makcik yang datang ke sini sendiri. Makcik yang nak basuh pakaian ini semua. Makcik saje nak lepas gian basuh baju. Dah lama makcik tak mendobi pakaian,’ suara halus makcik itu kedengaran, tetapi di masih membongkok ke lantai. Balqis tidak dapat melihat muka makcik itu dengan jelas. Suaranya pun sayup-sayup kedengaran.

‘Ape makcik cakap? Saya kurang jelas la makcik. Tetapi, baik makcik berhenti sekarang. Makcik balik rumah ye. Saya pun nak masuk tidur dah ni. Esok pagi-pagi ada kelas,’ Balqis memujuk. Dia bercadang untuk melaporkan hal ini kepada Puan Marissa pada keesokkan pagi. Tetapi, kalau makcik ini tetap berkeras tidak mahu meninggalkan asrama itu sekarang, Balqis ingin terus pergi ke rumah Puan Marissa sekarang juga.

Akan tetapi, makcik tersebut tetap tidak memperdulikan kata-kata Balqis dan meneruskan pekerjaannya sambil menyanyi-nyanyi kecil tanda hatinya girang sekali.

‘Makcik, jangan la macam ni. Tolong la balik sekarang. Kalau tidak… ’ Balqis tidak dapat menghabiskan ayatnya kerana tiba-tiba makcik tersebut mendongakkan kepalanya lalu merenung wajah Balqis tanpa berkelip mata.

‘Macam kenal la makcik ni. Muka familiar ni. Tapi sape ek?’ bisik hati balqis apabila jelas kelihatan wajah tua makcik tersebut dalam samar-samar lampu kalimantang.

‘Makcik tak kacau orang, jadi jangan kacau makcik. Makcik tak kacau orang, jadi jangan kacau makcik. Makcik tak kacau orang………’ berulang kali makcik itu mengulangi ayat yang sama.

‘Ish, makin pelik pulak aku tengok makcik ni. Baik aku repot ke Puan Marissa sekarang gak. Tak yah tunggu pagi esok’ fikir Balqis sambil mula melangkah.

Tetapi, langkahnya terhenti apabila makcik tu bersuara lagi, ‘Anak nak kemana tu?’

Balqis kembali berpaling kepada makcik tersebut. Bagai nak tercabut nyawanya apabila terpandang makcik tersebut mula berubah rupa. Perlahan-lahan rambutnya memanjang hingga memcecah lantai tandas. Mengerbang-ngerbang bagai ditiup beliung yang entah datang dari mana. Muka yang tadinya berkedut seribu mula mengeluarkan darah merah yang pekat, menitis di lantai dan pakaiaan yang sedang dicuci. Bau hanyir menyerbu ke hidung Balqis. Tiba-tiba mata merah lembaga tersebut terjatuh berjuntaian di pipi. Tubuh yang tadi berbalut baju kurung kedah dan kain batik lusuh, bertukar menjadi kain kapan yang koyak rabak hingga menampakkan tulang-temulang dan cebisan daging yang masih terselit kemerahan berdarah dan menitik-nitik. Tiada kaki yang kelihatan menampung tubuh yang seakan-akan terapung di udara. Hanya cebisan kain kapan yang labuh hingga ke lantai. Ditambah pula dengan hilaian tawa halus yang mengerikan sesiapa pun yang mendengarnya. Sambil terapung di awangan, makhluk tersebut berkata dengan suara yang amat menakutkan, ‘Makcik nak mendobi ni. Anak ada baju nak suruh makcik cucikan?’

Balqis yang terkaku di hadapan makhluk tersebut tidak berupaya berbuat apa. Kakinya bagaikan dipaku di lantai tandas itu. Nyawanya bagaikan direntap ketika melihat makhluk hodoh yang mengerikan itu mengilai-ngilai betul-betul di hadapan mukanya. Mukanya pucat lesi, kalau ditoreh pun, nescaya takkan berdarah. Jantungnya semakin kencang berdengup memukul-mukul dadanya hingga dirasakan hampir pecah berderai. Tiba-tiba Balqis teringat untuk membaca ayat Kursi bagi menghalau makhluk yang menyeramkan itu. Perlahan-lahan, mulutnya mula terkumat-kamit cuba mengingati ayat Kursi. ‘Ish otak aku ni, time cam ni la nak jam pun. Tolong la ingat sikit.’ Balqis mengumpulkan kekuatan dan semangat yang masih bersisa, lalu mula membaca ayat Kursi. ‘Allahhula ilaha illa hualhayyul qayyum, la takquduhu sinatuwala naum…’ Balqis terhenti, baru separuh ayat Kursi yang dibaca, perlahan-lahan makhluk hodoh itu bertukar semula menjadi makcik tua. Dengan tak semena-mena, makcik itu berkata, ‘Anak baca ayat Kursi kan? Makcik pun pandai baca tu, dengar sini ye nak,’ serentak dengan itu, makcik itu mula membaca ayat Kursi sambil tersenyum simpul. ‘Allahhula ilaha illa hualhayyul qayyum, la takquduhu sinatuwala naum, lahumafissama watiwamafilar, manzallaziyashwangu indahu illa biiznih, yaglamumabainaaidihim wama qalfahum, walayuhidu na bisyai immin ilmihi illa bimasya, wasiakursiyussama watiwalar, walayaudduhu hizzuhuma wahual aliyulazim…’tanpa memulakan bacaan dengan basmalah, makcik itu membaca ayat Kursi dengan lancar. Selesai membaca ayat Kursi, makcik tersebut mula bertukar semula menjadi makhluk yang mengerikan sebentar tadi. Kemudian, makhluk itu mengilai-ngilai seperti gembira melihat wajah Balqis yang pucat tak berdarah. Makhluk tersebut terus mencuci pakaian, tetapi bukan dengan menggunakan berus, tetapi menggunakan lidahnya yang panjang dan berdarah itu. Makhluk itu terus menjilat pakaian yang kotor dan bersabun itu dengan menggunakan lidahnya sehingga semua pakaian tersebut merah dibasahi darah pekat dari lidahnya.

Balqis semakin ketakutan, lidahnya kelu untuk membaca apa-apa ayat suci yang dihafalnya, sedangkan Balqis memang sudah menghafal keseluruhan Surah Yaasin. Tiba-tiba Balqis menjerit, ‘Allahuakbar!’ sebelum jatuh terjelepuk di lantai tandas, lalu pengsan tidak sedarkan diri. Sayup-sayup dia mendengar hilaian ngeri makhluk tersebut.

************************************************************************

Keesokkan paginya, kekecohan besar tercetus apabila pelajar-pelajar lain menemui Balqis, ketua asrama puteri, terbaring di lantai tandas. Mereka sama-sama mengusung Balqis ke biliknya. Pelbagai versi cerita mula tersebar dengan meluasnya. Lebih menghairankan, semua pakaian yang terendam di dalam baldi di tandas itu, semuanya telah dicuci bersih dan siap dibilas. Hanya perlu menjemurkan sahaja. Sudah menjadi kebiasaan pelajar asrama untuk merendam pakaian mereka semalamam sebelum mencucinya pada pagi keesokkan harinya. Ada pelajar yang membuat andaian, Balqis pengsan akibat kepenatan setelah mencuci semua pakaian di dalam tandas itu. Tetapi tak logik pula kalau difikirkan kenapa pula Balqis mencuci pakaian mereka semua. Satu perkara lagi, sabun-sabun pelajar juga banyak berkurangan. Sesiapa yang menggunakan sabun buku, terdapat seperti kesan gigitan. Bagi sabun serbuk pula, terdapat lelehan air seperti air liur yang likat pekat. Seperti dijilat orang.

Noni adalah pelajar yang paling sedih melihat keadaan Balqis yang masih tidak sedarkan diri. Dia menyesal kerana tidak menemani Balqis ke tandas malam tadi. Kalau ada yang menemankan, mungkin Balqis tidak akan berada di dalam keadaan ini. Puan Marissa juga tidak dapat menyedarkan Balqis. Akhirnya, Zafirah mencadangkan agar Ustaz Zulkifly dipanggil untuk membantu sebelum mereka menghantar Balqis ke hospital untuk rawatan susulan.

Ustaz Zulkifly terdiam seketika ketika melihat keadaan Balqis yang sangat menyedihkan. Dia dapat meneka apakah punca sebenar yang mennyebabkan Balqis pengsan. Lebih mengejutkan lagi, setelah beberapa potong ayat suci dibaca, Ustaz Zulkifly dapat melihat suatu makhluk yang sangat mengerikan berada di atas kepala Balqis. Makhluk tersebut menjelir-jelirkan lidahnya sambil menjilat-jilat seluruh tubuh Balqis hingga ke kakinya. Ustaz Zulkifly sangat terperanjat melihat kehadiran makhluk tersebut. Lantas Ustaz Zulkifly mula membaca beberapa ayat suci al-Quran dengan tujuan untuk menghalau makhluk yang bertenggek di atas kepala Balqis. Makhluk yang bukan sembarangan itu mula melawan Ustaz Zulkifly. Keadaan itu berterusan sehingga dua jam lebih. Akhirnya Ustaz Zulkifly terduduk kepenatan. Makhluk yang hodoh itu telah lari meninggalkan Balqis setelah kalah melawan Ustaz Zulkifly. ‘Alhamdulillah,’ ucap Ustaz Zulkifly. Pelajar-pelajar yang menyaksikan peristiwa tersebut ketakutan sebentar kerana sebelum makhluk ngeri itu melarikan diri, ianya mengilai-ngilai sehingga semua yang berada di situ menggigil ketakutan.

Perlahan-lahan Balqis membuka matanya. Dia hairan melihat begitu ramai pelajar yang mengerumuni katilnya. Puan Marissa dan Ustaz Zulkifly turut berada di situ. Dia keliru dan tidak dapat mengingati apa yang telah berlaku kepadanya. Kesemua pelajar mula bersurai dan balik ke bilik masing-masing. Balqis berfikir apa sebenarnya yang berlaku padanya. Akhirnya, semua peristiwa ngeri malam tadi kembali ke kotak fikirannya dan terbayang-bayang di mindanya. Balqis beristighfar panjang sambil menangis. Noni yang sedari tadi hanya memerhati mula mendekati Balqis untuk menenangkan Balqis.

Seminggu berlalu...

Balqis yang sudah kebah dari deman panasnya, kembali ke sekolah seperti sedia kala. Sepanjang Balqis demam, pihak sekolah membenarkan Balqis pulang berehat di rumahnya. Balqis sudah kembali ceria seperti sediakala. Seperti tiada kejadian ngeri yang berlaku kepadanya. Balqis memang seorang yang kuat semangat, malangnya sewaktu peristiwa ngeri itu berlaku, Balqis dalam keadaan tidak suci. Jadi, mudah diganggu makhluk halus. Sekembalinya Balqis ke sekolah, dia mula menyelidik siapa makcik yang dijumpainya di dalam tandas tempoh hari. Ini kerana, dia pasti bahawa dia mengenali makcik tersebut. Jadi dia bertemu dengan Ustaz Zulkifly untuk mencari informasi. Tambahan pula, Ustaz Zulkifly memang berasal dari kawasan berdekatan.

‘Ustaz, saya macam kenal la makcik yang saya jumpa dalam tandas tu. Yela, mula-mula jadik makcik, pastu baru bertukar jadi makhluk hodoh tu. Ustaz kenal tak sape makcik tu? Sebab macam familiar je saya tengok,’ Balqis memulakan bicara. Noni yang menemani Balqis hanya diam membisu.

‘Saya pun tak pasti siapa. Tetapi, saya nak tegaskan kat sini, bahawa orang yang dah mati, tak mungkin boleh bangkit semula tambahan pula menjelma dalam keadaan yang mengerikan seperti itu. Itu semua hanyalah mainan syaitan yang mengambil kesempatan atas kelemahan manusia sendiri. Syaitan itu menjelma dan menyerupai manusia yang telah meninggal hanya untuk mengganggu-gugat kehidupan umat manusia,’ terang Ustaz Zulkifly dengan panjang lebar.

‘Non, aku cam tak puas ati lak ngan penjelasan Ustaz Zulkifly tu. Cam de something yang tak jelas di fikiran aku ni,’ Balqis merungut.

‘Ish kau ni Qis, Ustaz Zulkifly penat-penat jelaskan, kau tak percaya pulak,’ ujar Noni.

‘Bukan aku tak percaya, tapi cam de yang tak jelas. Aku tak puas hati je la. Mane boleh aku tak percaya kata Ustaz pujaan hati aku tu. Hehe,’Balqis berkata.

‘A’ah, kau tau, time kau pengsan tu, ustaz kau tu cam sedih je aku tengok. Aku rasa kau ni tak bertepuk sebelah tangan la. Tah-tah, ustaz pun suka kau gak,’ sakat Noni.

‘Kau ni, jangan merepek la Non. Aku suka tengok je la, spirit nak pegi kelas la katakan. Aku dengar, dia dah ada tunang la Non. Ah, sudah la kau ni. Malas aku nak layan,’ balas Balqis.

‘Non, jom temankan aku pegi kedai dobi. Aku nak hantar baju la,’ semenjak peristiwa ngeri tersebut, Balqis belum mampu untuk membasuh pakaiannya kerana sering terbayangkan makhluk hodoh tersebut.

‘Kak, saya datang ambil pakaian ni petang esok ye kak,’ ujar Balqis sambil mengambil resit bayaran. Matanya merenung setiap pelosok kedai dobi tersebut. Tiba-tiba matanya terhenti di sebuah gambar yang menghiasi dinding kedai. Gambar wanita tersebut seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Tiba-tiba Balqis teringat, bahawa wanita tersebut adalah makcik yang bertukar menjadi makhluk hodoh di tandas tempoh hari.

‘Kak, saya tanya sikit, boleh tak? Sape makcik yang di dalam gambar tu?’ tanya Balqis sambil tangannya menunjukkan ke arah gambar yang tergantung di dinding.

‘Oh, itu mak sedara akak. Kedai ni dia yang punya. Tapi dia baru meninggal sebulan yang lepas. Lepas makcik akak meninggal, akak yang mengusahakan kedai dobi ni. Sayang pula nak tutup terus,’ Kak Mira di kedai dobi bercerita.

‘Ooo, boleh saya tahu kenapa makcik akak boleh meninggal?’ tanya Balqis walaupun bulu romanya sudah mula meremang.

‘Makcik akak tu kena barah usus. Habis ususnya terluka dan terhakis. Sebabnya, sejak muda lagi, makcik akak tu suka makan sabun,’ Kak Mira terus bercerita.

‘Makan sabun?’ Noni terjerit terkejut.

‘A’ah. Makcik akak tu mula mengusahakan kedai dobi ni selepas dia berkahwin. Sewaktu mengandung anak pertamanya, makcik akak mengidam yang pelik-pelik. Dia mengidam nak makan sabun. Mula-mula, hanya jilat sikit-sikit je untuk hilangkan rasa mengidam. Lama-lama tabiatnya tak boleh dibuang lagi. Sehingga sesudah bersalin pun, tabiatnya masih belum boleh dibuang. Sehingga la ke akhir usianya. Mungkin waktu mengandung tu, dia selalu sangat menggunakan sabun untuk mendobi pakaian pelanggan. Tapi, makcik akak tu hanya suka sabun pencuci pakaian sahaja. Sabun mandi dia tak suka,’ Kak Mira meneruskan ceritanya.

‘Akak, kalau saya cakap ni, jangan marah ye,’ Balqis teragak-agak untuk bercerita kisahnya pula.

‘Apa? Biar akak teka, mesti adik nak cakap adik terjumpa hantu makcik akak ni kan?’ Kak Mira meneka.

‘Macam mana akak tahu?’ Balqis dan Noni sama-sama terkejut.

‘Dah ramai penduduk kat sini yang terserempak dengannya. Akak sendiri pun pernah jumpa. Masa tu dah tengah malam. Akak balik ke kedai sebab tertinggal barang. Tiba-tiba akak ternampak kelibat makcik akak tengah mencuci pakaian kat belakang kedai. Dengan mulut berbuih-buih. Apa lagi, akak cabut lari la. Sampai tak kunci pintu kedai pun. Lepas tu, akak panggil ustaz, pagarkan kedai ni. Sebab takut dia datang lagi. Kemudian, penduduk kampong pulak asik kene usik dengan hantu yang menyerupai makcik akak tu. Hantu tu selalu pegi mencuci pakaian kat rumah mereka. Mereka takut lalu panggil ustaz untuk lindungi kampong kami ni. Mungkin sebab itu, dia beralih arah ke asrama sekolah kamu tu. Makcik akak tu memang pantang tengok pakaian yang berendam tak dicuci. Mesti akan dicucinya,’ panjang lebar Kak Mira bercerita. Balqis telah menemui jawapan yang dicarinya.

Wallahhualam…


Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku