Ke Hadapan Awak
Genre: Cinta
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 16 September 2014
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)
2061

Bacaan






“KITA putus.”

Semudah itu. Semudah itu dia meminta cinta yang kami bina dimusnahkan. Semudah ungkapan dua patah perkataan. Kita. Putus. Dengan wajah kosong. Lesu dan tidak berperasaan.

Mungkin ini noktahnya. Noktah bagi segala rasa resah dalam jiwa aku semenjak dia berubah. Dia yang ceria dan suka mengusik berubah dalam awal bulan lalu. Dingin dan seolah-olah sentiasa mahu memulaukan aku.

Aku cuba memikirkan alasan yang boleh diterima akal. Sebab mengapa dia mahu putuskan cinta kami. Aku tidak tahu di mana silapku. Sedangkan dia selalu percaya yang aku takkan pernah selingkuh. Dan kepercayaan itulah yang aku pegang erat. Percaya-mempercayai. Itu resipi cinta kami. Tapi resipi itu semacam terkurang sesuatu. Dan sesuatu itu tidak terlihat dek kesempurnaan yang terpamer.

Aku tidak percaya. Aku tidak mungkin akan percaya kalau dia sudah punya kekasih yang lain. Yang jauh lebih baik daripadaku. Tidak mungkin. Atau keluarganya mahy menjodohkan dia dengan perempuan lain. Itu pun tidak mungkin. Sebab untuk tempoh lima bulan yang lalu, aku menjalin hubungan yang baik dengan ibu dan adik perempuan tunggalnya. Ayahnya pula selalu pulang lewat.

Aku juga yakin yang dia tidak pernah dangkal ilmu agama. Dia tahu apa yang dia lakukan. Jadi, memutuskan aku dan membiarkan aku terkapai-kapai sendirian seolah-oleh menidakkan ketinggian ilmu agama yang dia miliki.

Hubungan kami bagai terputus di hujung jalan. Semuanya baik-baik sahaja. Sehinggalah dia tidak semena-mena berubah perwatakan.

Aku tertanya-tanya. Tapi tidak pula sanggup aku tanyakan kepada dia. Aku sejujurnya takut kecewaku lebih mendalam.

Jadi, selepas Aidit menuturkan ungkapan itu, aku memandangnya seketika dengan wajah terkejut. Tersentak. Terkesima. Sebelum aku tunduk dengan empangan air mata yang pecah.

“Terima kasih, awak. Untuk semua yang awak dah lakukan sepanjang perkenalan kita.”

Aku berkata dengan sayu sekali. Bergetar. Kerana luluhnya hatiku kala itu tidak tergambar dengan perkataan.

Aku bangun. Aku tidak mahu dia lihat aku menangis. Jadi aku cepat-cepat memusingkan muka. “Assalamualaikum.”

Dia dan teh ais lemon yang belum pun terusik, aku tinggalkan.

Aku tunduk dan sesekali menyeka air mata. Sedikitpun tidak berkalih memandang muka Aidit. Aku yakin, Aidit juga tidak memandang aku. Dia betul-betul macam orang tidak siuman. Tidak ada perasaan selain... kejam.

Aku terlanggar seorang remaja perempuan yang kemudian memanggilku, “Kak Lis.” Aku angkat sedikit mukaku. Dan wajah Aidit terbayang pada wajah gadis bermata bundar dan berkening lebat itu. Mereka dua beradik nampak seiras.

“Kenapa akak...”

“Assalamualaikum, Maryam,” kataku, memencong katanya. Lalu meninggalkan dia.

******

BENARLAH. Aidit memang sangat kejam. Sebulan. Dia tidak pernah menelefon atau mesej apa-apa kepadaku. Sekalipun dia telah memutuskan cinta, aku masih tetap rindu... Tapi, apa boleh buat. Aku sendiri tidak menyangka yang Aidit rupa-rupanya sekejam itu.

Malam ini, aku melihat nombor telefon yang tertera nama Aidit di atasnya. Masih berharap. Akan ada panggilan atau mesej daripada nombor itu.

Sebulan itu jugalah aku cuba menampal senyuman palsu. Menggagahkan diri untuk tersenyum di hadapan setiap orang yang melihatku. Tapi aku tidak sekuat itu. Kadang-kadang, senyum tawarku ditangkap oleh yang melihat. Yang kemudian bertanyakan mengenai kesihatanku tanpa tahu-menahu.

Waima dengan kawan-kawan sebilik denganku, Shila dan Ummi Kalthum, mereka risaukan aku. Dan aku pula bersikap berahsia. Tidak sepatah pun mendedahkan yang kawan mereka ini baru sahaja putus cinta.

Aku sejujurnya teringin berkongsi cerita. Shila dan Ummi Kalthum memang tempat aku meluahkan rasa. Tapi tidak kali ini. Aku tidak tahu mengapa.

Hari terus berlalu. Dan sepanjang di kolej ini, aku terasa sangat asing. Terasa sentiasa sendirian. Sedangkan aku yang memilih, jalan sepi dan lorong kekecewaan yang pudar dan gelap ini.

Dan pada skrin telefon itu, aku menekan butang ‘DELETE’. Melenyapkan nama ‘Aidit’ daripada direktori telefon itu.

SEBULAN kemudian, selepas aku mula belajar melupakan Aidit tapi bayangan Aidit tetap terbayang dalam mimpi, aku menerima panggilan telefon daripada nombor yang aku tidak kenali. Aku tanpa melihat skrin telefon itu terus menjawab dengan “Assalamualaikum.”

Dan jawapan salam yang aku terima sedikit mengejutkan aku.

Maryam. Adik Aidit.

“Kak, Maryam ada benda nak kasik kat akak. Boleh kita jumpa?” tanya Maryam.

Suatu ketika dulu, gadis 17 tahun itu selalu menjadi penghubung aku dan Aidit. Dia sangat comel dan berbaik hati. Dalam aku mengenali Aidit, aku juga mengenali Maryam. Kesan perkenalan itu menjadikan hubungan kami macam adik-beradik sementelah aku pun anak tunggal.

Tapi bila memikirkan usahaku yang mahu melupakan Aidit, aku telah melanggar prinsip adik-beradik supaya jangan pernah berbohong. “Maaflah, tapi akak sibuk.”

“Tolonglah, kak. Ini amanat orang yang saya kena sampaikan.”

Orang itu adalah Aidit. Aku pasti.

Aku sangat tidak selesa dengan perbualan ini.

“Macam nilah. Kot-kot kalau akak tak ada, Maryam letak je dekat luar bilik akak, okey?”

Tiada jawapan yang bersambut. Sehinggalah perlahan suara sayu Maryam meruntun hati aku. Katanya, “Sampai macam tu sekali akak bencikan Abang Aidit?”

Telingaku serasa berdesing. Hatiku rasa sakit. Serasa mahu menangis. Mahu saja aku tanyakan, kepada siapa kebencian itu layak diletakkan? Aidit yang membencikan aku atau aku yang dibenci oleh dia kemudian membalas dengan membenci dia semula?

“Maryam, akak ada kuliah ni. Akak off dulu,” kataku, berbohong lagi.

Aku meneguk liur. Terasa diri ini kejam memperlakukan Maryam begitu.

******

DUA hari kemudian, aku menerima sepucuk surat dari locker luar bilik. Jelas tertulis namaku pada sampul surat yang putih bersih.

Shila dan Ummi Kalthum ada aktiviti di perpustakaan dan aku tidak bercadang mahu menemani mereka. Kepenatan kerana baru sahaja tamat menguruskan raptai program yang akan diadakan di dewan minggu depan. Sebagai orang kuat belakang tabir, aku sentiasa sibuk.

Aku membuka sampul itu. Dan surat dalam bertulisan tangan pada kertas kajang membuatkan hatiku berdebar-debar. Dan mataku terpaku bermula ayat pertama surat itu...

Ke hadapan Alis Mardiana,

Saya mintak maaf kalau surat ini mengejutkan awak. Tapi jiwa saya tak tenang selagi tidak menerima kemaafan daripada awak. Hadirnya surat ini adalah bagi menjernihkan keadaan. Saya mahu awak tahu yang saya terlalu cintakan awak hinggakan ‘putus’ itu juga kerana saya cintakan awak.

Pertama, saya meminta maaf kerana melukakan hati awak. Saya meminta maaf kerana buat awak menangis kerana kecewa dengan permintaan saya, untuk memutuskan hubungan kita. Saya faham, memberikan harapan kepada seorang gadis tanpa niat mengahwininya adalah berdosa. Jadi, awak mungkin.... Tak. Awak mesti fikir betapa kejam dan dayusnya saya memutuskan cinta dan bersikap dingin terhadap awak tapi nun jauh di lubuk hati saya yang paling dalam, saya percaya yang awak sendiri tidak pernah dapat membayangkan betapa saya berasa sangat berdosa kerana menumpahkan air mata seorang perempuan yang sangat saya cinta.

Kedua, saya minta maaf kerana merahsiakan sesuatu daripada awak. Saya menghidap tumor otak tahap tiga dan jangka masa hidup saya sangat terhad. Ketika menulis surat ini, saya masih menghitung hari untuk roh saya meninggalkan jasad ini. Jadi, dalam tempoh singkat yang ada inilah juga mahu saya katakan yang saya tidak sanggup memberitahu awak kerana saya... cintakan awak. Saya faham cinta awak terlalu tinggi untuk saya dan untuk itu saya sangat menghargainya. Jadi, kalau awak tahu yang saya sakit, dan awak tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengubah takdir yang tempoh hidup saya semakin singkat, hati awak pasti akan jauh tersayat.

Ketiga, saya minta maaf kerana terpaksa meninggalkan awak. Saya tahu, kalau awak tahu yang saya sakit juga, awak pasti akan kecewa kerana saya terpaksa meninggalkan awak. Bukan seketika, tapi selama-lamanya. Tapi, percayalah. Saya lebih sukar menerima hakikat untuk meninggalkan orang-orang yang saya cinta. Ayah dan ibu saya, Maryam dan... awak.

Sudah sampai masanya awak mencari seseorang untuk menemani awak. Saya hargai sekiranya awak tidak melupakan saya, tapi saya mengharapkan awak akan sentiasa bahagia. Kalau mengingati saya membuatkan awak kecewa, baik awak lupakan saja saya. Kerana bagi saya, tiada yang lebih bermakna bila melihat awak bahagia.

Saya pasrah dengan kehendak ALLAH yang Esa. Jodoh ini bukan tertulis di Lohmahfuz sebagai jodoh untuk kita berdua. Saya merelakannya. Dan saya berharap awak juga sama. Sementelah awak juga mengetahuinya, yang awak adalah cinta pertama saya.

Ke hadapan awak yang saya cinta juga, sekali lagi saya meminta maaf. Dan terima kasih kerana membahagiakan seketika hidup saya yang singkat ini dengan keikhlasan hati awak.

AIDIT

AKU mencari nombor telefon Maryam. Aku menelefon adik Aidit itu. Memaklumkan aku sudah menerima, membuka dan membaca surat itu. Aku mahu tahu keadaan Aidit sekiranya masih belum terlambat, di bilik dan hospital mana dia berada kerana aku teringin menziarahinya.

“Akak... Abang Aidit dah dikebumikan awal pagi semalam. Dia dah tak ada.”

Aku tersentak. Dan tangisku makin kuat. Dua tahun kami menyulam cinta dan makin dekat membina masjid bersama. Dan takdir bukan setakat memutuskan hubungan cinta kami berdua, bahkan memutuskan hubungan antara dunia aku dan ‘dunia’ dia.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku