Melati, Kekasihku (Edisi Penutup - Opss, Haji Sahak!)
Melati Kekasihku (Edisi Penutup - Opss Haji Sahak)
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 10 Oktober 2014
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)
1535

Bacaan






“Adoi…apa yang aku merepek ni?” Dia menggumam sendiri. Namun terdengar jelas oleh telinga sendiri. Digosok-gosok mukanya berkali-kali, sebelum meraup pula rambut lurusnya ke belakang.

Haji Sahak dengan Melati. Zulkhairi dengan Melati. Mana yang lebih cocok. Di atas kertas, kelihatannya Melati berkahwin dengan lelaki yang cucunya sudah berderet dan ada yang sedang menunggu giliran untuk mengeluarkan cicit. Namun, Haji Sahak sebenarnya, tidak begitu. Dia masih segak. Masih ganteng. Dan, kalau dia mengahwini Melati pun tidak mustahil…

“Argh!” Zul menjerit sendiri. Tak mahu membayangkan kemungkinan Melati bersanding tersipu di sebelah Haji Sahak biarpun ketika itu mereka sudah melafaz ijab dan menerima qabul. Dalam erti kata lain, dia tidak mahu Melati terlepas kepada sesiapa, lebih-lebih lagi, Haji Sahak.

“Apa dia?” Terdengar jeritan daripada emaknya dari arah dapur. Selang beberapa sela masa, emaknya muncul, bergegar rumah papan itu menerima hentakan kaki emaknya. ‘Mak ai…bondaku. Macam gergasi.’

“Apa?” tanyanya semula.

“Kenapa Haji Sahak? Why? Why?” Bersungguh-sungguh Zul menggegarkan tubuh, sambil memegang kaki emaknya yang berdiri di sisinya.

“Sudah! Tanggal pulak kain mak ni karang. Tak pasal-pasal orang kata Cik Nor gila isim, tanggal kain depan pintu. Awak pergi ke masjid, Jumpa sendiri Haji Sahak kat sana. Sekejap lagi dia nak mengaji dah.” Sudip di tangan emaknya menganjur lurus ke arah jam dinding yang sepertinya malas berdetik jarumnya.

“Kena pergi masjid ke?” Zul menggeliat. Padahal masjid bukan jauh benar. Setiap patah azan yang dialunkan boleh didengar dengan jelas, maknanya taklah jauh benar.

“Orang lelaki, yang utamanya berjemaah di masjid. Kalau tak kenang rumah ni rumah pusaka, mak pun duduk sekali, memang mak bakar awak hidup-hidup dengan rumah-rumah ni tiap kali subuh.”

Sindiran tepat lekat bergondeng tanpa belas emaknya itu membuatkan Zul berdiri juga, sambil tersengih-sengih. Mengenangkan nasibnya dan cinta sejatinya terhadap Melati, dia mesti juga berdepan dengan Haji Sahak. Sebelum berlakunya tragedi keris Awang Pulang Ke Dayang di hari perkahwinan Melati nanti, baiklah dia bersemuka dengan Haji Sahak. Demi Melati.

Dengan semangat juang yang tinggi, dia melengkapkan tiga cebok air mandian, diiringi niat istinjak dan bersabun lebih kurang. Belum kering titis air rambut, dia mencapai songkok. Tanpa suara, mencium tangan emak dan menapak menghala ke arah masjid. Kalau ada jiran yang tidak mengenali Zul anak Cik Nor itu, sudah tentu akan memasukkannya namanya di dalam senarai calon menantu teratas.

‘Awak kan tahu. Mencuri itu berdosa?’ dia merangka-rangka patah-patah perkataan yang ingin diucapkannya. Segera ingin dipanggilnya ingatan mengenai hadis nabi atau ayat-ayat Al Quran berkenaan mencuri. Namun, sehingga ke sudah, tiada sebarang ayat yang muncul di dalam kepala.

“Awak orang alim, orang terpelajar. Carilah yang setara dengan awak. Ustazah ke, cikgu madrasah ke. Bukankah dalam Al Quran ada sebut, perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik? Ya. Tiba-tiba mentol sebesar buah kelapa muncul di atas kepalanya. ‘Akan disebutkan perkataan itu.’

Bibir semulajadi merah Melati kelihatan tersenyum ikhlas tatkala cincin pertunangan yang mereka pilih bersama-sama disarungkan oleh emaknya. Majlis pertunangan mereka tentunya meriah dengan kehadiran sanak-saudara. Tentunya mereka berdua tidak sabar menghitung hari selepas itu. Sebelum berjumpa Melati, memang tertutup pintu hatinya untuk beristeri. Entah mengapa. Bukan tiada perempuan atau cikgu perempuan di sekolahnya. Jenuh emaknya memadan-madan, tiada juga yang dapat mengoyak lembar hatinya.

“Eh, maaflah. Saya tak tahu kolam ni, ayah awak punya. Saya ingatkan kolam tinggal.” Zul tersenyum-senyum mengingatkan mula pertemuannya dengan Melati. Langkah masih diatur, tetapi kenapa semakin dilajukan, masjid terasa semakin jauh?

“Memang ayah tinggalkan. Sekarang kami dah balik ke kampung. Ayah nak usahakan semula,” ujar gadis itu perlahan, sambil tangannya masih belum berhenti menaburkan makanan ikan ke dalam kolam. Mencicit-cicit ikan mengambil bahagian masing-masing. Olak-olak kecil muncul di permukaan kolam.

“Er…kenapa awak yang beri ikan ni makan? Ayah awak mana? Abang awak ke?” tanya Zul lagi. Matanya memerhati pada belakang tangan gadis yang putih mulus itu. Dia mengagak-agak, gadis ini mungkin lepasan sekolah atau sebaya dengan anak muridnya di dalam tingkatan lima. Berdasarkan bentuk tubuh dan lentur kata-katanya.

“Ayah ada hal kat bandar.” Gadis itu menegakkan tubuhnya setelah merasakan makanan yang ditaburnya mencukupi. Barulah Zul dapat menikmati seluruh wajah yang ditutupi selendang tetapi masih terjaga auratnya. Kencang degup jantungnya tiba-tiba. Matanya bertentang dengan sepasang mata kuyu dan mengapit hidung yang mancung itu. Senyum terukir di bibirnya yang tidaklah nipis benar.

“Nama saya Melati.” Gadis itu memperkenalkan diri. Kemudian bergerak meninggalkan pelantar usang di pinggir kolam itu sambil mengangkat baldi berwarna putih. Sebaik kembali ke jagat sedar, cepat-cepat Zul menawarkan diri, mengangkat baldi bekas cat pada asalnya itu.

“Masya-Allah.” Terpacul sepatah perkataan daripada mulut Zul.

“Apa?” Melati berpaling. Tangan yang memegang tepi kain baju kurungnya yang diangkat sedikit untuk merentasi denai itu, dilepaskan.

“Erk…tak ada. Alhamdulillah. Dalam kolam ni banyak ikan. Selama saya memancing di sini, tak pernah tak dapat ikan. Paling kecil pun, tilapia sebesar ni…” Zul mengangkat tangannya dan mengembangkan tapak tangannya. Melati hanya melirik, sambil tersenyum. Semenjak mengenal Melati, jadual hidup Zul bertukar sedikit demi sedikit. Sebaik pulang dari sekolah, dengan zohor yang tunggang-langgang, hidangan tengah hari masuk ke perut hanya seadanya, dia bergegas mencapai joran dan ‘briefcase’nya menuju ke kolam.

Kalau terdapat aktiviti Ko-kurikum di sekolah, sebaik selesai, selaju mungkin dia memulas hendal motosikal menuju ke kolam tersebut. Kolam yang terletak di hujung kampung, agak tersorok sedikit. Manakala kedudukan rumah Melati pula terkedepan sedikit. Yang mendatangkan hairan kepada emaknya, alasannya memancing kadang-kadang tidak disertakan joran mahupun ikan yang dibawa balik. “Memancing alaf baru, mak.” Jawabnya.

“Cikgu Zul?”

Terpana sekejap Zul dengan sapaan Haji Sahak. Dia baru sahaja melepaskan satu langkah ke dalam kawasan masjid. Selangkah lagi masih di luar.

“Saya ada hal nak cakap dengan tuan haji ni,” ujar Zul selepas menarik nafas dalam-dalam. Salaman mereka segera dileraikan.

“Jomlah iktikaf. Dapat juga pahala.” Haji Sahak menepuk mesra bahunya. Iktikaf? Bolehkah aku berniat iktikaf? Ini perkara serius. Hal dunia sahaja ke? Tak. Membabitkan hidup dan mati. Namun matanya melintasi poster yang tertulis, ‘sahaja aku beriktikaf di dalam masjid ini kerana Allah Taala.’ Haji Sahak bersila berdekatan dengan tiang utama masjid. Tidak jauh juga daripada tabung masjid yang sudah serupa dengan peti besi bank layaknya. Dah, kalau peti besi setebal itu, dibawa lari juga, memanglah penjenayah di Malaysia hebat-hebat.

“Saya nak tanya tuan haji tentang Melati.” Agh! Berterus terang sahajalah. Kalau berpantun bagai, bersajak bahasa bombastik tapi maksud tak sampai, buat penat sahaja.

“Tak payahlah bertuan haji dengan saya. Panggil saya Sahak sudahlah. Rasa tua sangat pulak…” Haji Sahak kemudiannya ketawa kecil. Menampakkan sedikit barisan giginya. Serentak, dia menukar kedudukan kain putih di bahu kiri ke bahu kanan. Serbannya bersaiz sederhana sahaja. Huh! Tak sedar diri betul! Zul menyumpah di dalam hati.

“Gini…Melati beritahu saya, tuan haji ada berura-ura nak meminang dia, betul ke?” tanpa ragu, Zul melafazkan pertanyaan. Sebagai lelaki, terasa hebat dapat menyuarakan isi hati tanpa tergagap-gagap. Haji Sahak mengangguk-angguk sambil tersenyum. Tangannya yang bersilang di atas riba, digoyang-goyangnya.

“Kalau betul, kenapa Cikgu Zul?” Haji Sahak terus bertanya tepat. Setepat pandangan matanya yang menikam iris Zul dalam-dalam. Bukan memedihkan urat mata sahaja. Urat hati, urat rasa, malah urat kentut pun terasa sebu.

“Jadi betullah apa yang Melati cakap?” Zul menekan lantai masjid. Terasa lantai dan siling seakan mahu bersatu-satu, menghimpitnya seperti sandwic sardin kegemaran emaknya. Haji Sahak terdiam. Tubuhnya yang ke depan ke belakang seakan beratib tadi juga turut terhenti. Sebuah telefon pintar selebar tapak tangan dikeluarkan daripada poket jubahnya. Dia meleret-leretkan jarinya. Seolah-olah mencari sesuatu.

“Bila awak berjumpa Melati, Cikgu Zul?”

“Tadi…masa…” Zul tidak menghabiskan kata-katanya apabila seraut wajah manis berada di dalam paparan galeri telefon Haji Sahak. Cis! Perempuan penipu. Bermanis mulut dengan aku, rupa-rupanya bukan dengan aku sahaja. Agak-agaknya bukan dengan Haji Sahak aja. Silap haribulan dengan Lebai Dol, Imam Kemat, atau sesiapa jugalah yang melalui kolam ternakan ikan ayahnya tu. Zul bingkas berdiri.

“Duduk dulu, cikgu.”

“Saya nak balik.”

“Duduk. Saya nak awak tengok gambar ni betul-betul. Serupa tak dengan Melati awak tu?” Suara Haji Sahak sedikit tegas.

Zul kembali duduk. Perlahan-lahan mengambil telefon itu dan menatapnya. Apa tak serupanya? Memang inilah Melati. Hidungnya. Matanyanya. Malah senyumnya yang mencairkan lilin perasaannya pun memang itulah juga. Haji Sahak memang sengaja nak menyakitkan hati dia.

“Tuan haji tak ada dengar cerita ke, yang saya memang berkawan dengan dia? Kenapa tuan haji kacau daun?” Sesak dada Zul sewaktu mengucapkan perkataan itu. Kalaulah dia perempuan, sudah lama dia berlari-lari anak menghamburkan air mata sambil menggigit buku jari telunjuk.

“Saya tak ada niat nak kacau daun, Cikgu Zul. Tapi dia ni memang tunang saya. Bukannya bakal atau baru berura-ura nak bertunang,” kata Haji Sahak, tegas. Matanya merenung tepat ke arah mata Zul. Zul merasakan ada hentakan kuat di atas kepalanya. Dia mendongak ke atas. Lampu bulat sebesar meja restoran di atas kepalanya masih terlekat erat di dada siling.

“Habis tu, tuan haji nak kata, saya menipu? Atau Melati ni menipu?” Zul bertanya semula. Pandangannya hampir berpasir.

“Wallah hu alam. Cumanya saya nak kepastian. Cikgu kata, cikgu jumpa Melati sekejap tadi. Tunang saya ni sekarang kat Jordan. Belum habis belajar. Tambah lagi, dah tiga tahun dia tak balik. Dulu dia kawan satu sekolah dengan saya. Mustahil saya tak tahu dan tak kenal dia.” Haji muda berjanggut sejemput itu menunjukkan pula gambar keluarga sewaktu di KLIA. Menghantar kedua-dua mereka belajar ke Timur Tengah. Baju kurung kain kapas yang dipakai Melati itu amat dicam Zul. ‘Ala, mesti mereka ni kembar.’ Zul memujuk hati.

“Tuan haji nak kata saya menipu ke?” Zul merasa jengkel dan belum juga mahu kalah. Sudahlah merampas kekasih orang! Entahlah siapa yang merampas siapa yang dirampas sekarang, Zul sendiri buntu. Spontan, dia menggaru dagu.

“Sabar dulu, cikgu. Begini. Lepas maghrib nanti, cikgu bawa mak cikgu, kita jumpa mak ayah Melati ni. Biar kita selesaikan malam ni juga. Jangan disebabkan dek perempuan, kita berputus sillaturrahim pulak. Ada berlebih-lebih perempuan dalam dunia ni. Takkan disebabkan seorang ni, kita nak bermasam muka.” Haji Sahak menawarkan rasional. Zul menghela nafas.

“Malam ni jugak?” tanya Zul kembali.

“Ya. Malam ni jugak. Kalau Melati cikgu tu bukan tunang saya, saya sendiri yang akan pinangkan dia untuk cikgu,” janji Haji Sahak. Tersungging senyum di bibir Zul. Kagum dengan ketenangan Haji Sahak yang dikatakan orang kampung hafaz 30 juzuk Al Quran itu. Dia membiarkan Haji Sahak bangun meninggalkan dia untuk berwuduk. Sekejap lagi, akan masuk waktu maghrib. Langit mula menggelap dan beberapa bakal makmum sudah kelihatan mendatangi masjid.

Sebaik mengaminkan ucap sejahtera ke atas seluruh mukminin, Zul cepat-cepat menunggu Haji Sahak di muka pintu gelangsar masjid. Haji Sahak sekadar menguntum senyum dan terus tenang. Wajahnya juga manis terlihat membuatkan Zul merasa terpukul. ‘Sah-sahlah dia menggelakkan aku di dalam hati ni.’ Zul menurut sahaja langkah Haji Sahak yang sedang mengeluarkan kunci kereta daripada poket jubahnya.

“Kita ke rumah Zul, ambil maknya, kemudian kita terus pergi,” terang Haji Sahak. Zul hanya mengangguk-angguk. Tak sabar.

“Malam ni?” tanya emaknya. Wajah Zul dan Haji Sahak ditilik berganti-ganti. Tiada riak hairan di wajah tuanya. “Hah, mohlah,” ajaknya kembali.

“Mak…nak pergi rumah bakal besan. Takkan pakai macam ni?” Suluh Zul, ke atas ke bawah tepat mengena batang tubuh emaknya. Yakin sangat.

“Habis? Takkan nak pakai baju besi? Eloklah ni.” Emaknya terus sahaja meluru masuk ke dalam kereta Haji Sahak. Sempat juga menilik dirinya. Baju t lengan panjang, dengan kain batik. Memang batik basahan, tapi masih terang lagi bunganya.

Sebaik tiba di pinggir semak belukar tempat Zul menghabiskan petangnya, Haji Sahak memberhentikan keretanya. Senyum kemenangan bermain di bibir Zul. Betullah. Memang inilah jalan ke rumah Melati. Ternyata dia tidak menipu. Haji Sahak pun tahu jalan ke rumah Melati. Malam masih belum tua, namun lagu-lagu hutan terus menyanyi. Aroma hutan yang segar juga menujah pembauan.

Belum pun sepuluh langkah, Haji Sahak berhenti. Zul juga berhenti dan emaknya di belakang sekali yang tidak sempat berhenti, terlanggar belakang anak lelakinya itu. Meskipun dahinya sakit, ditahannya juga. Hanya cahaya lampu suluh di antara ketiga-tiga mereka bersimpang-siur. Haji Sahak menyuluh tepat ke arah kolam. Kini, dia mengunci bicara tetapi seluruh tubuhnya menghadap ke arah kolam yang ditumbuhi semak samun liar di sekitarnya.

“Kenapa mak?” Pantas emaknya menekup mulut Zul. Setelah pasti anaknya itu bertenang, barulah dilepaskan. Terhoyong-hayang tubuhnya dek tindakan spontan emaknya itu.

“Mel!” jerit Zul sebaik melihat kelibat gadis itu, berlari ke arahnya. Namun semakin dekat semakin laju, bagaikan Ferrari yang dipacu ombohnya ke tahap maksima. Ia bertukar bentuk kepada suatu jisim berwarna hitam seumpama sehelai kain tetapi melanggar dirinya sehingga jatuh dan ucap terakhir di mulutnya ialah ‘Melati.’

“Mak dah agak. Sebab tu, mak tak ambil pot langsung masa awak beria-ia suruh pinangkan Melati.” Kata-kata emaknya menggaung-gaung di dalam kepala. Matanya dibuka seluas-luasnya. Tuala kecil di atas dahi, dilemparkan jauh-jauh. Sudahlah kipas menghala padanya, tuala basah lagi, mahu tak terkucil dibuatnya.

“Dia makhluk Allah juga. Tapi jasad dan jisimnya tak sama dengan kita. Mana boleh kita nak berakad nikah dengan asap,” ujar Haji Sahak pula, berlari-lari lafaz hamdallah daripada mulutnya sebaik sahaja Zul membuka mata. Zul menoleh ke kiri dan kanan. Ada beberapa orang warga kampung yang sedang membaca surah Yassin turut berhenti dan memandangnya.

“Tu…Melati tu?” Zul menongkat tubuh yang masih lemah dengan tangan. Asap? Apa ke gilanya nak kahwin dengan asap? Macam mana dia nak tanda tangan surat taklik? Di mana hendak disarung cincin? Yang penting sekali, macam mana malam pertamanya? Meriding bulu roma dibuatnya. Terasa hendak menyusup masuk semula ke bawah selimut, selain daripada kesejukan, dia hendak mengelak daripada bertemu pandang dengan emak. Bungkus sampai kepala. Dengan Haji Sahak berlebih lagilah. Siap main rebut-rebut, berhujah bagai mempertahankan kekasih asapnya. Alahai!

Kepalanya berat seperti dipasak ke tetulang konkrit, tapi dia tetap ingin bangun juga. Segan pula terbaring menjungkang di tengah rumah begitu. Lebih-lebih lagi ada pula di kalangan tetamu itu terdiri daripada anak-anak dara, anak-anak usrah Haji Sahak.

“Dia pinjam jasad manusia. Itu dah kemahiran puak-puak jin yang ada MOU dengan syaitan ni. Macam Jep pakai tudung bawa watak Ustazah Bahiyah masa Maharaja Lawak hari tu. Jasad aja kan. Isi dirinya tetap Jep, mana boleh jadi ustazah.” Haji Sahak memberitahu, tetapi pandangannya ditebarkan kepada warga kampung lainnya.

“Itulah. Nak menikah sangat. Sembahyang pun patuk ayam, sudu itik. Rukun qauli pun main langgar aje. Macam manalah solat tu nak memelihara awak? Dah gitu, diri awak pun tak terjaga. Nak jaga anak orang?” Marah Cik Nor.

“Tak apa mak cik. Dia dah dapat pengajaran tu,” pujuk Haji Sahak. Sebolehnya menakung air muka Cikgu Zul yang belum pulih sepenuhnya itu.

Tiga hari dia menunggu anaknya itu kebah betul daripada demam. Biarpun Zul itu selalu dibebel-bebelkannya, bila berkeadaan begitu, panik juga Cik Nor dibuatnya. Tiga hari ruang langgar, ruang dapur dan rumah itu keseluruhannya sunyi sepi. Hanya dikelubungi bacaan Yassin dan ayat-ayat suci Al Quran sahaja.

“Melati tu bukan orang ya, mak?” Zul bertanya semula, seperti baru pulang ke alam manusia.

“Hihhhh…” gumam Cik Nor sebelum bangun daripada simpuhnya. Menyampah pula dengan telatah anak lelaki bongsunya itu. Haji Sahak tersenyum sambil mengangguk-angguk. Zul terkebil-kebil. Musnah pelamin angannya yang dibina setiap malam tatkala mata bertakup. Tapi, hebat juga anak teruna Cik Nor ni, orang bercinta dengan orang, dia bercinta dengan jin!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku