Musim Sejuta Warna
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 17 Oktober 2014
Novel ini mempunyai 2 musim. Musim pertama menceritakan kehidupan watak-watak ketika di kampus dan latar masa adalah sekitar 1999/2000. Musim 2 adalah ketika keadaan semasa. Semoga anda terhibur membacanya. Terima kasih - Rin Azrina
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1416

Bacaan






Musim 1 (Di sini, segalanya bermula)

Kuala Lumpur-April 1999

Nalia masih terpaku merenung wajah Kuala Lumpur yang baru sahaja disirami hujan. Sesekali angin malam datang menyapa membawa dingin yang bukannya sedikit. Kaftan yang dipakai turut beralun perlahan mengikut irama angin malam. Nalia berpeluk tubuh. Walau kedinginan, dia masih terpaku menatap malam.

Dalam pekat malam yang telah hilang disimbah cahaya neon, Nalia terkenangkan majlis pertunangan Elida yang dihadirinya siang tadi. Bagai ternampak-nampak seyuman manis Elida ketika bakal ibu mertuanya menyarungkan cincin di jari manisnya. Hem..seorang lagi temanku selamat mengikat tali pertunangan. Bulan lalu, Hafiza. Siang tadi, Elida. Pulang dari majlis Elida, sekeping lagi kad jemputan kahwin terdampar di atas meja tulisnya. Daripada Juriah! Juriah teman baik Nalia dari sekolah rendah membawa ke sekolah menengah hinggalah haluan mereka terpisah di dua menara gading yang berbeza. Juriah..akan tiba jua hari yang kau nanti-nanti. Hem..semua orang hendak kahwin, semua orang dah bertunang, semua orang sudah punya teman lelaki. Nampak gayanya, aku jugalah yang masih bersendiri.

“Engkau tu pemilih sangat Nalia..” leteran Elida terdengar di telinganya ketika dia menghabiskan masa dengan gadis itu seminggu sebelum majlis pertunangannya. Emylia dan Hafiza yang turut bersama hanya tersengih memerhati.

“Engkau jangan lengah-lengah Nalia. Umur kau sekarang dah berapa. Dah grad nanti orang dah takut nak dekat” Elida menyambung leterannya. Nalia tersenyum, tapi hatinya tersentuh. Engkau dah nak bertunang, bolehlah kata macam tu. Cuba kalau kau pun sama-sama tidak ada teman lelaki.

“Siapa sebenarnya yang engkau tunggu, Nalia? Anak raja bunian atau putera dari kayangan?” Hafiza pula menyampuk. Emylia pula hanya mendiamkan diri.

“Janganlah risaukan aku....ada jodoh tak ke mana..”balas Nalia, malas. Dia membalik-balikkan akhbar di tangannya, sekadar ingin menghilangkan keresahan kerana pendengarannya terus-terusan dijajah bicara Elida dan Hafiza.

“Masalahnya..engkau tu yang tak berusaha nak mencari jodoh. Memanglah engkau belum habis belajar. Belajar itu memang tanggungjawab kita. Tapi social life kena ada juga” Elida masih tidak mahu berhenti menghentam Nalia. Teman yang seorang ni memang perlu dileteri, supaya dia bisa mengubah persepsi yang selama ini ditunjangi. Pada Nalia, jodoh tidak perlu dicari, tiba masanya jodoh akan datang sendiri. Lagi pun jodoh untuk setiap orang bukankah sudah ditentukan? Prinsipnya mengenai cinta tetap sama; kalau sudah jodoh pasti tidak ke mana!

“Kalau kau nak, aku boleh tolong carikan. I mean..introduce kau..kawan-kawan Jamal pun ramai lagi yang single” Hafiza pula menyampuk.

“Oh! Sorry..Sorry..I’m not that desperate, ok..” pantas Nalia membantah. Majalah di tangan ditutup kasar. Apa ni..nak dikenal-kenalkan pula..Ah! Kerja gila!

“Habis tu, kau nak berpeluk tubuh je? Tunggu sampai jodoh kau turun dari langit?” Hafiza tidak puas hati kerana cadangannya ditolak mentah-mentah oleh Nalia. Wajah teman itu direnungi tajam.

“Tak payahlah you all susah-susah..aku ni bukan tak ada berkawan langsung dengan lelaki..Tiba masanya nanti ada lah..” balas Nalia, malas hendak memanjang-manjangkan cerita. Jauh di sudut hati, ada rasa sesal kerana bertemu dengan teman-teman hari ini.

“Ialah tu, entah bila jodoh kau nak sampai tu..bila kami dah beranak cucu?” tempelak Elida, geram juga.

“Sampai bila-bila lah..kalau tak ada sesiapa nak tunggu aku, biar aku aje yang menunggu” jawab Nalia selamba. Sakit pula hatinya apabila disindir bertubi-tubi hanya kerana dia belum punya teman lelaki.

“Siapa yang engkau nak tunggu? Hai..tak fahamlah aku dengan engkau ni. Kau nak bercinta dengan orang ke dengan bayang-bayang?” sindir Hafiza.

“Hi..kecoh betullah you all ni. Ialah..ialah..hari ni jugak aku keluar cari pakwe” gerutu Nalia lalu terus angkat punggung dan pergi.

Nalia mengeluh berat bila terkenang kata-kata Elida dan Hafiza. Teman-teman baiknya satu ketika dulu kini sama-sama menghentamnya tak kira waktu. Saat itu, terasa kebenaran kata-kata seorang pakar motivasi yang pernah dibaca. Menerima cemuhan dari kaum lelaki tidak sepedih menerima cemuhan dari kaum sendiri. Salah benarkah andai tidak punya teman istimewa ketika diri telah bergelar mahasiswi tahun akhir? Adakah satu kesalahan besar sekiranya masih tidak punya teman lelaki ketika usia mahu menjangkau 25 tahun? Hem..Nalia mengeluh lagi. Dia merenung jauh ke arah bangunan-bangunan tinggi pencakar langit yang menghiasi bandaraya Kuala Lumpur. Ah! Di luar sana ramai lagi wanita yang bersendiri tanpa suami. Zaman sekarang ini bukan zaman wanita terperuk di sudut dapur menjadi suri sang suami seratus peratus. Zaman ini, zaman di mana wanita sama berlari dengan lelaki mengusahakan sesuatu yang dipanggil kemajuan. Zaman sekarang kalau wanita membujang tidak bersuami masyarakat sudah tidak hairan lagi. Bukan macam dahulu, umur sebaya aku ini sudah layak digelar andartu senior! Nalia tersenyum sendiri. Apa yang hendak dibimbangkan? Aku ni, belajar pun belum tamat. Umur pun belum betul-betul suku abad. Jadi, mengapa mesti kecoh-kecoh? Masyarakat tidak boleh kata apa-apa andai aku belum punya teman istimewa.

“Siapa kata? Eh, Nalia. Engkau tu bakal graduan tau. Kau ingat, kalau kau tak ada kawan lelaki sekarang, senang ke kau nak dapat lepas grad nanti? Orang lelaki ni, egonya tinggi. Kalau perempuan tu bergaji besar, berkereta besar, berpangkat dan ada kedudukan, dia orang tak berani dekat”

Nalia terkaku kembali. Komentar Elida tempohari mengusik emosinya. Hati yang mula tenang tadi bergelora semula, entah untuk kali yang ke berapa. Betulkah perempuan berkelulusan tinggi sukar nak dapat jodoh? Benarkah juga orang lelaki tidak berani mendekati wanita berkelulusan universiti? Berkali-kali soalan itu datang mengganggu Nalia. Adakah Elida dan Hafiza sengaja hendak menakut-nakutkan aku atau itu sebenarnya kenyataan yang wujud dalam dunia serba canggih hari ini? Nalia menggelengkan kepala, tidak menemui jawapan yang pasti. Benaknya sudah tidak mampu untuk berfikir. Hatinya juga penat untuk berteka-teki sendiri lagi.

“Nalia, kita ni masih muda. Perjalanan kita masih jauh lagi..macam-macam lagi yang kita belum jumpa dalam hidup ni”

Nalia tersentak. Tiba-tiba dia teringat pula komentar Shamrin. Shamrin antara teman sekuliah yang paling rapat dengannya. Ingatannya terlayang pada Shamrin yang pernah diajak berbincang persoalan yang sama.

“Alah..jangan fikirkan sangat Nalia. Tengok aku ni, tak pernah fikir langsung pasal teman-teman hidup ni”

“Engkau lain Sham, engkau lelaki. Kahwin umur berapa pun orang tak ambil peduli” luah Nalia diiringi keluhan berat.

“Apa bezanya dengan perempuan? Sekarang ni zaman dah berubah. Ramai perempuan dah berpendidikan tinggi. Peluang untuk belajar ada di mana-mana. Lepas belajar, mula bekerja pula. Logiklah kalau ramai yang kahwin lambat” jawab Shamrin selamba.

Nalia terdiam. Hujah Shamrin itu memang ada benarnya. Ialah, seperti kata Shamrin, sekarang ini ramai perempuan yang sudah berpendidikan tinggi. Kerana itu, masyarakat tidak akan kata apa-apa andainya mereka lewat mendirikan rumahtangga. Aku dan teman-teman juga antara yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Lalu, apa bezanya antara aku dengan mereka? Hem..bezanya, dalam tempoh pengajian ini mereka sudah punya pasangan, sudah mula merencana masa hadapan, tapi aku pula sudah masuk tahun akhir pengajian masih lagi sendirian!

“Kenapa tiba-tiba buka cerita pasal kahwin ni, kau dah tak sabar nak kahwin ke?” Nalia teringat lagi pertanyaan Shamrin. Bagai terpandang-pandang sengih nakalnya ketika soalan itu diajukan.

“Tak adalah! Aku ni..siapa lah yang nak..” jawab Nalia, bagai berjauh hati.

Shamrin tergelak keras. Sungguh-sungguh benar dia ketawa. Nalia jadi sakit hati. Tawa Shamrin serasa menghinanya.

“Engkau?” Shamrin tertawa lagi.“Engkau ni tak ada orang nak?” soal Shamrin dalam tawa yang masih bersisa.

“Memang tak ada orang nak pun, kenapa pulak gelakkan aku. Aku cakap yang benar” kata Nalia, mula naik angin.

“Lebarkan pandangan, luaskan pergaulan, adalah nanti yang berkenan” kata Shamrin, bila tawanya reda.

“Ah..biarlah. Ada jodoh tak ke mana” Nalia mengulangi falsafah hidupnya.

“Atau ada dah dalam hati?” duga Shamrin sambil merenung tepat wajah Nalia.

“Aku mana ada boyfriend..” akui Nalia, jujur.

“Tapi ada yang pernah kau admire, bukan?”

Nalia tersentak. Shamrin tersengih lebar sambil angkat-angkat kening penuh makna. Shamrin ini terlalu bijak meneka perasaannya. Mungkin kerana ada terlalu banyak rahsia yang dikongsi antara mereka berdua.

“Apa khabar Prince Charming engkau?”

Ting! Tong!

Nalia terkejut. Tiba-tiba loceng rumahnya berbunyi tanda ada yang baru pulang. Hilang serta merta wajah Shamrin. Tidak sempat juga dia hendak mengundang ingatan buat Prince Charming. Nalia segera berkejar ke pintu. Bila dibuka, Emylia tersenyum riang di hadapannya.

“Tak tidur lagi?”tegur Emylia masih dengan senyum riangnya.

“Belum. Hmm..seronok tengok wayang?” tegur Nalia pula.

“Seronok..cerita dia best sangat, aku bagi 5 bintang”kata Emylia penuh ceria.

Nalia tersenyum sendiri. Seronok tengok wayang atau seronok menghabiskan masa dengan Rohaidi?

“Mana orang lain?”tanya Emylia.

“Ada yang dah tidur, ada yang keluar. Ada yang belum balik lagi” jawab Nalia malas. Dia merebahkan diri di atas kusyen-kusyen besar yang menghiasi ruang tamunya. Sambil itu tangannya memicit punat radio.

“Habis tu, kenapa kau tak tidur lagi?” tanya Emylia sambil melirik jam di dinding. Sudah jam 11.45 malam.

“Saja..” jawab Nalia, acuh tidak acuh.

Study ke?”

“Taklah, termenung..berfikir…” balas Nalia. Hakikatnya dia amat malas hendak melayan soalan-soalan Emylia.

“Engkau ni..jangan fikir banyak-banyak. Nanti short circuit” usik Emylia apabila melihat Nalia bagaikan tidak mempunyai mood untuk melayan bicaranya.

Nalia tersengih sahaja mendengar lelucon Emylia. Entah mengapa malam ini semangatnya terasa dibawa pergi. Siapa yang merenggutnya, Nalia sendiri tidak tahu. Seketika dia memerhatikan Emylia yang sibuk membersihkan gincu di bibir. Emylia..selamat juga kau dengan Rohaidi. Rohaidi teman sekelas Nalia semasa di Asasi Sains dahulu.Tahun ini dia bakal bergelar graduan Geologi. Ketika Emylia asyik mengeluh bimbang tidak punya teman istimewa, Nalia memperkenalkannya pada Rohaidi. Tidak terduga, pertemuan yang diatur memutikkan perasaan di antara dua hati. Akhirnya, terjalinlah hubungan, termeterai lah perjanjian. Nalia sendiri kehairanan, Emylia susah-susah kucarikan teman, diri sendiri tidak pernah aku pedulikan.

“Oh ya, Nalia. Tadi Haidi kirim salam” Emylia bersuara, apabila tiba-tiba teringatkan pesanan Rohaidi.

“Waalaikumsalam..” jawab Nalia segera. Terbayang wajah Rohaidi yang gemar berkaca mata fesyen alternatif itu. Teringat soalan berbisanya saat terserempak di pasar malam Kg Kerinchi minggu lepas.

“Hai, Nalia. Sorang je? Mana pakwe kau?”

Rasa mahu ditampar sahaja mulut milik Rohaidi tu. Engkau tu, girlfriend pun aku yang carikan, nak berlagak konon. Namun jauh di sudut hati, Nalia rasa amat tersentuh. Aku tahu, aku masih bersendirian ketika teman-teman lain sudah berpasang-pasangan. Biarku sendiri-itu yang selalu Nalia lafazkan. Namun jauh di sudut hati, Nalia tahu dia kesepian.

‘Di hentian ini..tertinggal dalam kesunyian. Di hentian ini, pelbagai bayang menjelma.’

Sepantas kilat Nalia mematikan radio di hujung kepalanya.

“Hei, kenapa tutup radio, kan best lagu XPDC tu?” soal Emylia, tidak berpuas hati.

Nalia tidak menjawab. Mengapa semua orang seakan menyindirku? Hem..tapi mungkin juga ada benarnya. Aku memang hingga kini masih bersendirian. Aku memang telah ketinggalan, tanpa teman. Aku memang hidup dalam kesunyian. Hem..betullah tu. Memang betul pun.

Nalia mengeluh lagi. Tidak tahu untuk kali yang ke berapa. Namun entah mengapa, tidak terlepas juga apa yang terbuku di dalam dada.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku