Tuhan, Jagakan Dia
BAB 26
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 November 2014
AKU bukan manusia yang mengimpikan kesempurnaan, Tapi seseorang yang boleh menyempurnakan ketidaksempurnaan, menjadi pelengkap kepada kekurangan, kerana manusia saling memerlukan.. saling melengkapkan.
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1033

Bacaan






ORANG -orang perempuan mula memapah tubuh Mak Cik Kinah masuk ke dalam rumah.Pak Cik Latif membincangkan sesuatu bersama-sama dengan anggota polis itu. Damia Aqila yang melihat kejadian itu langsung tidak senang duduk.Dia terus bangun dari kerusinya dan meluru ke arah dua orang anggota polis itu.Tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang, dia terus menawarkan diri untuk mengikut Pak Cik Latif untuk ke hospital.Terlupa sudah dirinya, bahawa dia kini sedang berada di dalam majlis persandingannya.

Lisa Adlina yang sedang duduk dengan jarak tiga meja dari tempat kejadian langsung tidak berganjak menyaksikan peristiwa itu.Dia hanya menjeling tajam sekujur tubuh Damia Aqila yang masih berbalut indah di dalam pakaian pengantin berlari menghampiri anggota polis itu.Meluat rasa hatinya melihat perempuan itu.Langsung tidak sedar diri! Kutuknya di dalam hati.

“Inilah dia, drama orang kampung!” Getus Lisa Adlina.

“Hishh..tak baik kamu bercakap macam itu,Lisa!” Pujuk Mak Langnya,Datin NurRadhziah.

“Apa tak betul ke yang Lisa cakap ni,Mak Lang? Cubalah Mak Lang tengok perempuan tu, ada ke patut nak tinggal majlis persandingan sendiri? Dia tak nampak ke tetamu masih ramai ni? Tu, abang tu.. nak dibiarkan macam tunggul kayu seorang diri di situ?” Lisa Adlina membebel tanpa henti bagaikan senapang yang menembak musuh bertubi-tubi.

“Dia cemas sangatlah tu.” Datin NurRadhziah cuba memujuk anak saudaranya itu agar bersangka yang baik-baik.

“Kenapa dia nak cemas sangat kalau dia tak ada apa-apa hubungan dengan budak lelaki yang bernama Fahmi tu? Cubalah Mak Lang fikir?” Pancing Lisa Adlina.Dia yakin, pasti Damia Aqila mempunyai hubungan istimewa dengan budak lelaki itu.

“Lisa, dia tu kakak ipar Lisa sekarang ni, tau? Jadi janganlah Lisa nak fikir bukan-bukan.” Pujuk Datin NurRadhziah lagi.Dia tidak suka Lisa Adlina menaruh buruk sangka kepada orang baru dalam keluarga mereka.Sekurang-kurangnya, kehadiran orang baru harus disambut baik.

“Lisa tak pernah suka dia jadi kakak ipar Lisa, dan Lisa takkan suka!” Lisa Adlina memberontak meluahkan rasa.

Idzhar Effendy bagaikan terpaku melihat tubuh isterinya berlalu bersama-sama dengan kereta peronda polis meninggalkan majlis persandingannya malam itu.Para tetamu masing-masing terpinga-pinga melihat pengantin lelaki yang ditinggalkan pengantin perempuan bersendirian di meja makan beradab mereka.Ameera selaku pengapit pengantin perempuan tidak dapat berbuat apa-apa.

Puas sudah cuba ditahannya Damia Aqila,namun sia-sia.Damia Aqila nekad hendak mengikut Pak Cik Latif juga.Nasihat yang diberikannya ibarat mencurah ke daun keladi sahaja.Langsung majlis persandingannya tidak dipedulikannya.Tetamu yang hadir seolah tidak memberikan sebarang makna kepadanya.

Sudahnya majlis diteruskan dengan persembahan tarian dan nyanyian seperti biasa. Idzhar Effendy yang kebetulan sudah selesai menjamah hidangan pengantin dengan selamba bangun dan mencapai mikrofon yang tersedia.Tanpa dipinta, dia pula yang menghibur jemputannya.Suasana yang tadinya suram kembali meriah semula.Pengantin lelaki berkaraoke menghibur jemputannya, siapa yang tak suka?

“Abang macam badut sarkas sahaja!” Marah Lisa Adlina.Dia tidak suka maruah abangnya dipijak-pijak seperti itu.

Mudah sahaja Damia Aqila meninggalkan abangnya sendirian di majlis persandingan mereka.Abangnya pun satu, buat apa memalukan diri menyanyi untuk orang ramai dalam majlisnya sendiri? Budak perempuan yang bernama Damia Aqila itu memang melampau! Tunggulah sehingga dia kenal siapa Lisa Adlina.Lisa Adlina berikrar tidak akan melepaskan budak itu!

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

PAK Teh Matjadi resah mengenangkan Damia Aqila yang pergi meninggalkan majlis secara tiba-tiba.Mujur ada Idzhar Effendy menjadi penyelamat majlis.Tindakan spontannya berjaya mengubah suasana suram kembali bercahaya.Pak Teh Mat mengurut dada.Mujur dia tak terkena serangan jantung kerana tindakan Damia Aqila itu.Pak Teh Mat bersyukur majlis dapat diteruskan sehingga ke penghujungnya.

“Kami berangkat pulang dulu,ya Encik Mat?” Pinta Mejar Jeneral Dato’ Haji Baharom dan isterinya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku