Tuhan, Jagakan Dia
Bab 31
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 November 2014
AKU bukan manusia yang mengimpikan kesempurnaan, Tapi seseorang yang boleh menyempurnakan ketidaksempurnaan, menjadi pelengkap kepada kekurangan, kerana manusia saling memerlukan.. saling melengkapkan.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1465

Bacaan






“TUAN Idzhar, tadi Datuk Syahmi telefon.Dia nak pastikan samaada jadi atau tak, mesyuarat petang ni?”

Idzhar Effendy terkejut dengan kemunculan setiausahanya yang bernama Melinda itu.Dia tidak ingat entah sejak bila Melinda mengetuk pintu.Sedar-sedar sahaja wajah setiausahanya itu sudah terpacul dihadapan matanya.Wanita itu kelihatan tenang dan bersahaja.Melinda sudah tujuh tahun berkhidmat di syarikat milik bapanya.Atas sebab itu juga dia menjadi salah seorang daripada orang kepercayaan bapanya.

“Err..Tuan Idzhar! tuan..!” Panggil Melinda berulang kali.

Melinda hairan melihat majikannya itu termenung jauh seolah sedang memikirkan sesuatu.Rasanya baru sekejap tadi dia bertanya kepadanya.Mudah pula lelaki itu dihanyut angannya.Melinda perasan sejak akhir-akhir ini, Idzhar Effendy kerap termenung.Prestasi kerjanya juga agak merosot.Seringkali Idzhar Effendy hilang fokus ditengah-tengah mesyuarat yang diadakan.

Beberapa kali juga Idzhar Effendy tertangkap kerana tidak memberikan perhatian dalam penerangan yang diberikan oleh pekerja-pekerjanya.Kadang-kala, Idzhar Effendy tersasul dalam butiran mesyuaratnya.Pernah juga dia terlewat dalam perjumpaan bersama pelanggan dan rakan kongsinya.Terbaru, dia terlupa tentang perjumpaan bersama pembekal bahan mentah sedangkan temujanji telah dibuat seminggu sebelumnya!

“Tuan Idzhar!” Kali ini Melinda menguatkan suaranya.

“Awak cakap apa tadi? Saya tak dengar..”

“Macam mana nak dengar kalau tuan asyik berkhayal saja?” Melinda membebel. Geram sungguh dia.

“Eh, mana ada saya berkhayal?” Cepat-cepat Idzhar Effendy kembali membetulkan duduknya.

Pen yang terjatuh dari pegangan dikutipnya.Fail yang ternganga di hadapan mejanya dibawa ke hadapan mukanya.Dia cuba membaca butiran yang tercatat di dalamnya.Tak ada apa-apa pun yang perlu ditandatanganinya.Jadi mengapa pula Melinda membawa fail itu kepadanya? Idzhar Effendy keliru.Anak matanya dialihkan kepada sekujur tubuh berbalut sut kelabu yang sedang berdiri tegak di hadapan mejanya.

“Tuan,saya nak konfemkan mesyuarat petang ni jadi tak? tadi Datuk Syahmi telefon bertanya tentang hal ini?” Melinda mengulangi pertanyaannya.

“Oh, yang itu..” Idzhar Effendy berdehem kecil.Dia cuba untuk menyembunyikan kekalutannya.Sekali lagi dia tertangkap kerana tidak memberikan perhatian terhadap tugasnya.

“Mesyuarat apa, ya?” Sekali lagi dia bertanya.Dia langsung tidak teringat tentang mana-mana mesyuarat yang telah dijadualkan untuknya.

Melinda mengeluh kecil.Buku nota kecil ditangannya dibawa kehadapan matanya. Dia memerhatikan tarikh dan butiran catatannya.Rasanya, dia tak pernah tersilap! dia sentiasa memastikan tugas-tugasnya dilakukan dengan cekap.Ketelitian,ketepatan dan kekemasan amat dipentingkan.

“Mesyuarat lembaga pengarah.Berkenaan syer dengan pemegang-pemegang saham tu?” Melinda sekadar menyebut apa yang diketahuinya.

“Oh,ya.Saya dah ingat.Terima kasih.Nyaris saya terlupa.Mesyuarat tu akan diadakan petang ni.Awak tolong telefon mereka yang terlibat dan pastikan kehadiran semua pemegang syer tu secepat mungkin.Jika ada yang tak dapat hadir, pastikan mereka menghantar wakil.” Arah Idzhar Effendy.

“Jadi,boleh saya teruskan dengan penyediaan kertas kerja dan dokumen-dokumen yang diperlukan?” Tanya Melinda lagi.

“Oh, ya..silakan!” Arah Idzhar Effendy.

Baru sahaja selesai perbincangan mereka, telefon bimbit miliknya berbunyi.Melinda yang baru hendak melangkah meninggalkan bilik majikannya mempercepatkan langkah menuju ke pintu.Tombol pintu dipulasnya dari dalam.Tiba-tiba terjegul wajah Lisa Adlina di situ.Mujur wajah itu tersenyum kepadanya.Bukannya Melinda tidak tahu,Lisa Adlina itu ada anginnya.Melinda cepat-cepat meminta diri dan berlalu.

“Ya,Datuk Ghani.Macam biasalah datuk.Minggu ni saya sibuk sikit.Macam-macam perkara hendak diuruskan.Oh, tentang majlis itu? Tak ada masalah datuk.Baiklah,ya baik..” Idzhar Effendy memutuskan talian setelah perbualan mereka tamat.

Lisa Adlina selamba menarik kerusi di hadapan meja abangnya.Dia melabuhkan punggung di atas kerusi berwarna hitam itu.Sengaja dia melawat abangnya pagi itu.Ada perkara yang hendak ditanyakannya.

“Susah betul Lisa nak jumpa abang sekarang ni..” Lisa Adlina memulakan bicara.

“Kenapa Lisa cakap macam tu?” Idzhar Effendy memandang tepat wajah bujur sireh di depan matanya.

Wajah itu mirip wajah ibunya.Cuma sikap keduanya jauh berbeza.Datin Lydia ibunya lemah-lembut, penyabar serta penyayang orangnya.Sedangkan Lisa Adlina cemerkap, kasar dan kurang sabar orangnya.Idzhar Effendy tidak pasti dari siapakah Lisa Adlina mewarisi sikap itu? Adakah daripada bapanya, Datuk Ilham?

“Yelah,awal pagi lagi abang dah pergi kerja.Balik lewat malam, Lisa pulak dah tertidur..” Ada rajuk dalam nada suara Lisa Adlina.

“Ada apa Lisa datang jumpa abang ni?”

“Bila abang nak bawak isteri abang tu balik?” Tiba-tiba terpacul soalan itu daripada mulut Lisa Adlina.

“Kenapa Lisa tanya?” Idzhar Effendy pelik.Setahunya, Lisa Adlina bukannya suka sangat kepada Damia Aqila.Terang-terangan dia dapat melihatnya pada sikap dan percakapan adiknya itu tentang Damia Aqila.

“Kalau dah abang sendiri dah tak serupa orang, takkanlah Lisa nak biarkan.Mestilah Lisa nak tengok abang Lisa ni gembira dan jadi orang semula..” Balas Lisa Adlina.

Idzhar Effendy masih tak dapat menangkap makna disebalik kata-kata adiknya.Dia hanya memandang dengan mata terkelip-kelip.

“Apa kata abang pergi tengok dia kat kampung tu, manalah tahu dia tengah tunggu abang?” Usul Lisa Adlina.

“Tengoklah macam mana nanti!” Jawab Idzhar Effendy acuh tak acuh.Dia sudah malas herndak memikirkannya.


                                             * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * 

SEWAKTU Sherry tiba di rumahnya,keadaan begitu sunyi.Suasana seperti ini amat sesuai untuk menenangkan jiwanya.Ibunya Datin Halimah pasti sedang sibuk menghadiri mesyuarat persatuaannya.Datuk Harun pula, jangan harap hendak lekat di rumah waktu-waktu sebegini.Pasti babahnya itu sedang sibuk di luar negeri.Lantas Sherry merebahkan badannya di atas kerusi panjang.Melepaskan penat setelah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas hampir satu jam.

“Eh, Cik Sherry! bila sampai?” Sapa Bibik Jah tiba-tiba.

Sherry mencari-cari Bibik Jah.Kelihatan Bibik Jah sedang keluar dari dapur sambil menatang dulang minuman.Sherry segera berpaling melihat kalau-kalau ada tetamu lain yang datang.

“Baru aje sampai.Bibik Jah nak bawa dulang minuman tu ke mana?” Sherry merasa hairan.

“Ohh, ke belakang.Datin dan kawan-kawannya ada di taman belakang.” Balas Bibik Jah.

Sherry tidak jadi hendak melelapkan mata.Dia bingkas bangun dan kembali duduk bersandar pada sofa panjang itu.Bibik Jah sekadar tersengih memerhatikan gelagat anak majikannya itu.

“Nasib baik Bibik Jah beritahu..” Ucapnya.Sherry merasa lega.

Sebaik tubuh Bibik Jah menghilang bersama-sama dengan dulang yang ditatang, Sherry mencapai beg tangannya.Dia ingin cepat-cepat naik ke biliknya.Jenuh nanti kalau-kalau dia terserempak pula dengan mak-mak datin itu.Habis semua cerita tentang dirinya hendak dicungkilnya.Bukannya Sherry tak pernah terkena.Sejak itu dia sudah menjadi serik hendak bertembung dengan golongan itu.

Walaupun mamanya sendiri juga menyandang gelaran itu, namun Sherry kurang senang hendak bergaul dengan mak-mak datin seperti mereka.Mungkin faktor jarak usia,fikirnya.Elok sahaja Sherry mendaki satu anak tangga, suara Bibik Jah kembali menyapa cuping telinganya.Dia menoleh, memandang Bibik Jah yang berlenggang dengan dulang kosong yang masih ditatang.

“Cik Sherry nak minum ke? boleh Bik Jah buatkan?” Tanya Bibik Jah.

“Eh,tak payah.Sherry penat sangat.Cuma nak tidur saja.Jangan benarkan sesiapa ganggu Sherry, termasuk mama ya?” Pinta Sherry.Dia berharap Bibik Jah ingat pada pesanannya.

Bibik Jah hanya mengangguk.Dia memandang anak majikannya itu sehingga anak itu hilang daripada pandangannya.Sebaik mendengar pintu bilik anak majikannya itu terkatup, Bibik Jah kembali ke dapur untuk menyiapkan kerja-kerjanya yang tertangguh setelah kedatangan mak-mak datin itu tadi.Dia menyanyi-nyanyi kecil untuk mengisi kebosanan.Selalunya, Pak Abu tukang kebun keluarga itu akan menemaninya berbual-bual tetapi hari ini Pak Abu bercuti kerana kurang sihat.

Sherry baru sahaja hendak melelapkan mata tatkala bayangan wajah Idzhar Effendy dan budak perempuan itu menari-nari di kornea matanya.Dia menjadi rimas.Entah mengapa hatinya tiba-tiba panas.Dia tidak suka melihat mereka bersama!

“Aku tak suka melihat mereka berdua bersatu!” Sherry mengepal-ngepal gengaman tangannya.

Sherry mengimbas detik persandingan dua mempelai itu ketika di Prince Hotel & Residence.Ramai yang memuji pasangan pengantin yang diraikan ketika itu.Apatah lagi dengan persalinan serba mewah yang menyaluti tubuh keduanya.Siapa tak terpesona melihat dua orang manusia persis sang raja dan ratu indah duduk di atas singgahsana? Serta merta wajah Sherry berubah!

“Jangan harap kau berdua akan bahagia!” Sumpahnya.


                                                * * * * * * * * * * * * * * * * * *

FAHMI Khairi sudah tidak sabar-sabar lagi hendak kembali ke sekolah.Sejak doktor membenarkan dia pulang ke rumah, dia asyik membilang hari.MakCik Kinah dan PakCik Latif menjadi heran dengan gerak-geri anak teruna mereka itu.Bukan main bersemangat lagi semenjak dua tiga menjak ini.Jauh di sudut hati kedua orang tua itu bersyukur anak lelaki mereka itu selamat dan sudah kembali sembuh seperti sedia kala.

“Assalamualaikum!” Terdengar suara seseorang mengucap salam.

Mak Cik Kinah segera menjenguk ke luar pintu.Dia nampak Damia Aqila yang masih lengkap berpakaian sekolah terjegul di situ.Damia Aqila tersenyum lebar sebaik sahaja melihat Mak Cik Kinah di muka pintu.Lesung pipit menghiasi pipinya.

“Waalaikumsalam..!” Jawab Mak Cik Kinah.

“Mak cik apa khabar?” Sapa Damia Aqila.Tangan dihulur untuk bersalaman.

“Sihat.Kamu macam mana?” Tanya Mak Cik Kinah pula.Huluran tangan Damia Aqila disambutnya.

“Damia sihat saja.Fahmi ada mak cik?” Bagaikan tidak sabar-sabar,Damia Aqila sudah menjenguk ke muka pintu.

“Ada dia di dalam tu.Marilah masuk.Pak Cik Latif kamu pun ada tu.” Pelawa Mak Cik Kinah.

Damia Aqila membuka ikatan tali kasutnya.Dia menanggalkan stokin sekolah yang dipakai sebelum melangkah ke dalam rumah Fahmi Khairi.Dia nampak Fahmi Khairi dan Pak Cik Latif sedang duduk di ruang tamu.Selepas menyapa Pak Cik Latif ,dia duduk di atas kerusi bersebelahan dengan Fahmi Khairi.Ada buku-buku sekolah yang disusun elok bersebelahannya.Pasti Fahmi Khairi sudah rindu hendak ke sekolah! fikirnya.

“Pak Teh Mat kamu sihat, Damia? dah lama aku tak nampak dia ke kebunnya?” Tanya Pak Cik Latif.

“Oh, Pak Teh Mat..ada di rumah tu.Dia tak berapa larat hendak ke kebunnya tu.Sejak kebelakangan ni dia selalu mengadu sakit pinggang dan sengal-sengal badan, pak cik.” Damia Aqila menceritakan hal yang sebenar.

“Kau dah sihat?” Tegur Damia Aqila.Dia memandang atas bawah tubuh budak lelaki di hadapannya.

“Macam inilah..” Balas Fahmi Khairi lemah.

“Kau nak ke sekolah ke esok?” Tanya Damia Aqila.Dia hairan melihat Fahmi Khairi sedang mengemas buku-bukunya.

“Kalau rasa sihat sikit, aku pergilah.Kalau masih tak larat, aku pergi minggu depan sahaja.” Ucap Fahmi Khairi.

Pak Cik Latif sudah berangkat ke kebunnya.Mak Cik Kinah pula, baru sebentar tadi meminta izin untuk ke dapur.Kini,cuma tinggal dia dan Fahmi Khairi di ruang tamu rumah itu.

“Kenapa kau tak ikut suami kau ke bandar?” Fahmi Khairi berasa hairan.

“Aku nak teruskan persekolahan aku.SPM kan tinggal beberapa bulan lagi?” Jawab Damia Aqila.

“Tapi,bukan ke Pak Teh Mat dengan Mak Teh Izah dah berhentikan kau sekolah?”

“Mulanya, memang begitu.Tapi ‘pak cik’ tu dah pujuk mereka untuk benarkan aku kembali ke sekolah dan ambil SPM.” Damia Aqila berterus-terang.

“Maksudnya,kau akan terus duduk di kampung inilah?” Fahmi Khairi tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira yang bertapak di hatinya.

Damia Aqila mengangguk laju.Entah mengapa dia turut teruja mendengar kata-kata Fahmi Khairi itu.Mereka sama-sama tertawa.Kemunculan Mak Cik Kinah menatang dulang berisi minuman mematikan tawa kedua-duanya.Mak Cik Kinah yang hairan melihat gelagat dua anak itu lantas bertanya.

“Kenapa kamu berdua tertawa?”

“Tak ada apa-apalah mak.Ni Damia ni, bergurau pula dia!” Kata Fahmi Khairi.

Mak Cik Kinah berlalu semula ke dapur meninggalkan dua anak itu berbual-bual sesama mereka.Cuping telinganya sempat menangkap bunyi tawa Fahmi Khairi yang masih bersisa sewaktu dia menuruni anak tangga hendak ke dapur.Ada-ada sahaja budak dua orang itu.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku