PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
Bab 31
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 November 2014
MENYANGKA yang dirinya telah dizalimi Eizhan, kekasihnya sendiri, Nur Naziha mula membenci lelaki. Dia kemudiannya bekerja di sebuah farmasi di Mentakab. Di situ, dia diburu cinta Lokman Azad, duda kematian isteri.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1512

Bacaan






31

JEFFRI mendaki tangga menuju ke pejabatnya. Sudah empat tahun dia bekerja di syarikat kecil yang berkaitan dengan insurans hayat itu. Dia mula bekerja di situ sebagai kerani akaun dan kini dia sudah dinaikkan pangkat sebagai ketua pengawai operasi sejak setahun yang lalu.

Prestasi kerjanya di syarikat itu amat memberansangkan. Dia jarang lewat ke pejabat. Dia akan sentiasa pastikan yang dirinya berada di jalanraya lebih awal supaya dia sampai ke pejabat tepat pada waktunya. Lebih-lebih lagi tempat dia bekerja memang terkenal dengan kesesakan lalu lintas. Walaupun bosnya jarang marah kalau ada pekerja yang lambat sampai ke pejabat tetapi Jeffri enggan ambil mudah soal disiplin diri.

Di pejabat kecil yang terletak di tingkat tiga sebuah bangunan itu, dia bekerja bersama-sama dengan enam orang rakan setugas. Tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan, termasuklah Syarifah Mastura.

Masih dia ingat lagi sejarah pertemuannya dengan Syarifah Mastura. Gadis itu menyertai syarikat tersebut setelah empat bulan dia bekerja di situ. Oleh kerana mereka masing-masing masih baru di pejabat itu dan usia mereka pun tidak jauh bezanya, maka tidaklah sukar untuk mereka menjadi rapat.

Mereka sering keluar makan tengah hari bersama-sama. Kadang-kadang dengan disertai oleh rakan-rakan sepejabat, kadang-kadang hanya mereka berdua sahaja. Kemesraan dan kedekatan begitu memang bisa menyatukan dua hati. Malangnya sebelum mereka berdua menuju ke suatu fasa yang dipanggil cinta, tiba-tiba dia mendengar berita yang Syarifah Mastura sudah bertunang. Tidak sampai setahun bertunang, temannya itu bergelar seorang isteri.

Sedar yang dirinya tidak diperlukan lagi, dia segera menjarakkan hubungannya dengan Syarifah Mastura. Kalau pun terpaksa keluar makan bersama-sama, pasti disertai oleh teman-teman sepejabat yang lain.

Tidak dinafikan pada mulanya dia memang menyukai gadis itu. Hatinya terguris juga tatkala mengetahui bahawa gadis manis itu bakal menjadi tunangan orang seterusnya bergelar isteri. Semuanya diatur oleh keluarga.

Sebagai seorang Muslim, dia menyedari bahawa jodoh pertemuan terletak di tangan TUHAN. Walaupun terkilan kerana gadis itu telah disunting terlebih dahulu oleh lelaki lain sebelum sempat dia meluahkan perasaan ‘suka’ yang sudah mula terselit di hatinya terhadap Syarifah Mastura, gundah di hatinya akhirnya sembuh sendiri.

Dia tahu jodohnya tidak ada dengan gadis itu. Dia juga pasti kalau jodohnya tidak ada dengan Syarifah Mastura, pasti jodohnya milik perempuan lain. Jadi untuk apa terus-terusan bersedih?

Mereka belum pernah melangkah ke suatu fasa yang lebih intim, menonton wayang berdua pun tidak pernah. Jadi tidak ada apa yang perlu dikesalkannya. Di antara dia dengan Syarifah Mastura, jodoh yang memisahkannya.

“Assalamualaikum,” ucapnya ketika melangkah masuk ke ruang pejabat yang sudah mula sejuk dengan pendingin hawa. Pagi-pagi buta dah bukak aircond, bisik hatinya sambil melilau melihat siapakah yang sudah mendahuluinya ke pejabat.

Tiba-tiba dia nampak Syarifah Mastura melangkah keluar dari pantrysambil membawa dua mug kopi di tangannya.

“Waalaikumussalam,” sahut Syarifah Mastura.

“I buatkan you kopi.” Katanya sambil melangkah mendekati Jeffri sambil menghulurkan mug di tangan kanannya ke arah lelaki itu.

Sebelum Syarifah Mastura bergelar seorang isteri dahulu, dia membahasakan dirinya ‘saya’ dan ‘awak’ dengan Jeffri. Tetapi sejak akhir-akhir ini, dia lebih senang ber ‘I’ dan ber ‘you’. Jeffri perasankan perubahan itu tetapi dia tidak mempedulikannya. Kalau Syarifah Mastura bersaya dan berawak dengannya, dia juga akan bersaya dan berawak dengan perempuan itu. Kalau dia ber ‘I’ dan ber ‘you’, dia juga akan mengikut rentak temannya itu.

“Tak apalah, Mas. I dah minum sebelum keluar rumah tadi.” Dia menolak dengan baik.

“Ala, kenapa you ni, Jeff? Penat aje I buat kopi ni tadi tau. Ke you dah tak sudi minum kopi yang I buat?” soal Syarifah Mastura sambil menarik muka masam.

Jeffri ketawa kecil.

“Kenapa you merajuk pulak pagi-pagi ni? Bergaduh dengan hubbylah tu.” usiknya untuk menjernihkan suasana.

“I buat kopi ni khas untuk you tau tak? Memanglah patut pun I merajuk sebab I penat-penat buat kopi tapi you tak nak minum kopi yang I buat.” Suara Syarifah Mastura meninggi. Wajahnya yang putih cerah mula merintik merah. Memang betul dia sedang marah, bukannya dibuat-buat.

Jeffri kurang pasti kenapa temannya itu perlu membahang sekadar disebabkan oleh secawan kopi. Tetapi untuk tidak memanjangkan cerita, dia segera mencapai kopi di tangan Syarifah Mastura.

“Ni rezeki awal pagi. Rezeki jangan ditolak, betul tak? Terima kasih, Mas.” Ucapnya.

Setelah mug bertukar tangan barulah tegang di wajah Syarifah Mastura terlerai. Mereka kemudiannya berbalas senyum. Jeffri menuju ke mejanya dengan diikuiti oleh Syarifah Mastura. Kedekatan itu membuatkan Jeffri dapat menghidu dengan jelas aroma minyak wangi yang disembur Syarifah Mastura ke tubuhnya. Selera Syarifah Mastura dalam pemilihan minyak wangi tidak berubah sejak dari bergelar anak dara hinggalah setelah berkahwin.

“Sebenarnya I dah sarapan kat rumah tadi. Mak I masak nasi lemak pagi ni.” Jeffri memberitahu sambil melabuhkan punggungnya ke kerusi. Mug berisi kopi diletakkan di atas meja kerjanya.

“Rajin betul emak you ya, Jeff.” Terluah pujian dari mulut Syarifah Mastura. Jeffri tergelak kecil.

“Emak I tu memang rajin masak. Lepas tu sedap pulak dia masak.” Jeffri turut memuji Puan Habibah.

“I rasa you pun dah pandai masak sekarang kan? Yalah, you dah bergelar isteri orang mestilah nak masak yang sedap-sedap untuk suami you, betul tak?”

“Hmm... sebelum kahwin pun I memang pandai masak.” Syarifah Mastura tidak mahu mengaku kalah.

“Iya ke? I ingat lagi ada sekali tu you pernah bawak ke officebihun goreng. Mak ai... bukan main liat!”

“Isy, you ni! Kutuk I, ya!” Syaifah Mastura terjerit nyaring. Serentak itu jarinya mengutil lengan kanan Jeffri.

Jeffri tidak menghiraukan perit cubitan Syarifah Mastura ke lengannya. Dadanya tiba-tiba berdebar-debar dengan kemesraan dan kemanjaan yang ditonjolkan perempuan itu. Kemesraan dan kemanjaan yang tidak pernah ditonjolkannya sewaktu sebelum bergelar isteri dahulu.

Dia tidak selesa dengan keadaan itu. Mujurlah ketibaan beberapa orang teman sepejabat sejurus kemudian berjaya membuat Syarifah Mastura bangkit meninggalkannya.

Kerusi yang dikosongkan oleh Syarifah Mastura diisi pula oleh Fatin. Jeffri memanggil perempuan itu ‘kakak’ atas dasar usianya yang lebih tua lima tahun daripadanya.

“Apa yang Mas borakkan dengan kau tadi, Jeff?” soal Fatin.

“Ala, kami borak-borak kosong aje, Kak Fatin. Kenapa?”

“Aku ingatkan dia cerita pada kau masalah dengan suami dia.”

Jeffri menoleh ke arah perempuan di sebelahnya. Terkejut juga dia mendengar berita itu.

“Dia kan baru aje kahwin, takkan dah ada masalah?”

“Tapi mereka kahwin pun atas pilihan keluarga.” Tingkah Fatin.

“Dia ada luahkan masalahnya pada aku. Dia kata suaminya tu panas baran. Lepas tu, dia kata menyesal kahwin muda.”

“Kalau dia tak setuju bernikah dengan lelaki tu, siapa yang boleh paksa dia, kak?”

“Tulah kan... menyesal kemudian tak berguna. Soal nikah kahwin ni bukannya boleh dibuat main-main. Kalau rasa diri tu belum sedia nak bergelar isteri, baik jangan kahwin walaupun dipaksa orang tua.” Fatin berhujah panjang.

“Akak kata tadi suami Mas tu panas baran, betul ke?”

“Tulah yang Mas bagitau aku.”

“Suami dia ada pukul dia ke, kak?” soal Jeffri. Prihatin juga dia dengan masalah Syarifah Mastura.

“Tak ada pulak dia mengadu dipukul suami. Tapi dia ada cakap yang suaminya suka marah-marah. Cakap pun suka herdik-herdik. Kalau dia minta air, janganlah hantar lambat pasti dia akan marah.”

“Suami Mas tu kerja doktor kan, kak? Kalau doktor pasti duit bukanlah satu masalah. Saya rasa elok kalau Mas resign aje dari syarikat ni dan tumpukan perhatian pada rumahtangga. Jadi dia tak payahlah terkejar-kejar balik ke rumah lepas habis kerja semata-mata nak siapkan makan minum suami.”

“Betul jugak kata kau tu. Aku tak terfikir pulak nak nasihatkan dia macam tu. Kau ajelah yang nasihatkan dia.” Kata Fatin kemudian.

“Eh, kenapa pulak saya yang perlu nasihatkan dia? Saya ni lelaki, kak. Tak manis kalau seorang perempuan, lebih-lebih lagi kalau dia dah bergelar isteri bercerita tentang masalah rumah tangganya dengan lelaki lain. Tak gitu, kak?” kata Jeffri.

Memang dia malas hendak masuk campur hal orang lain lagi. Dia sudah serik. Akhirnya dia yang akan digasak dek rasa bersalah. Cukuplah sekali itu, cukuplah!

Fatin memicingkan mata ke arahnya.

“Bukan ke kau dulu rapat dengan Mas?” soalnya.

“Itu dulu, kak. Dulu lain sekarang lain. Dulu Mas bujang, sekarang dah kahwin.” Jeffri menjawab, ringkas dan padat.

“Kadang-kadang orang perempuan ni lebih suka bercerita tentang masalahnya dengan lelaki sebab mereka sendiri tak percayakan kaum sejenis mereka.”

“Tu yang tak bagusnya, kak. Orang lelaki ni ada macam-macam jenis. Kalau ditakdirkan pendengar setia tu jenis lelaki buaya tembaga nanti terus dingapnya, baru padan muka. Saya tak beranilah nasihatkan Mas tu kak. Biarlah dia selesaikan masalah rumahtangga dia sendiri.” Dia memberi kata putus.

“Kau jenis lelaki yang macam mana, Jeff?” tanya Fatin sambil merenung tepat ke arahnya.

Jeffri hanya ketawa kecil.

“Saya jenis yang tak suka masuk campur hal rumahtangga orang lain. Saya takut nanti silap hari bulan suami Mas salah faham pulak. Nanti tak pasal-pasal muka saya yang lebam kena buku lima pak Syed tu,” sahutnya setelah tawanya reda.

Fatin ketawa.

“Aku respeklah kat kau, Jeff. Aku tahu, kau dulu memang ada menaruh hati pada Mas kan?”

Jeffri hanya mampu tersengih. Dia yang malas hendak menyambung bual segera menyibukkan dirinya dengan tugasan hakiki yang sudah sedia menunggu. Dia bersimpati kalau benarlah Syarifah Masturatidak bahagia bersuamikan seorang lelaki yang panas baran. Tetapi itu bukan masalahnya. Itu masalah Syarifah Mastura dengan suaminya. Biarlah mereka selesaikan sendiri masalah tersebut.

Aku pun ada masalah sendiri yang masih belum selesai, bisik hatinya. Dia malas hendak memeningkan kepalanya lagi.

Tengah hari itu, Syarifah Mastura menghampirinya dan mengajaknya keluar makan bersama. Mujurlah dia ada datedengan seseorang, lalu dia menolak pelawaan temannya itu dengan baik.

KEHADIRAN sebuah kereta BMW sport di depan bangunan setinggi lima tingkat yang menempatkan beberapa buah pejabat persendirian itu segera mendapat perhatian daripada orang yang lalu lalang. Kelibat seorang perempuan yang agak berusia tetapi masih cantik dan elegan yang berdiri di sisi kereta mewah itu juga membuatkan beberapa pasang mata tertoleh-toleh ke arahnya.

Sesekali perempuan itu menoleh jam di lengannya. Sebagai seorang ahli perniagaan, dia amat mementingkan masa. Kerana baginya, masa itu adalah emas.

Dari jauh lagi Jeffri sudah nampak Dayana yang resah menunggunya di tepi kereta. Dia melangkah laju ke arah perempuan itu. Tiba-tiba dia terasa tangannya ditarik seseorang lantas dia menoleh. Matanya bertembung dengan mata galak milik Syarifah Mastura. Perempuan itu senyum manis ke arahnya.

“Kenapa nak cepat-cepat ni, Jeff? Jomlah kita makan sama-sama. Dah lama kan kita tak makan bersama?”

“Err... maaflah, Mas. I nak jumpa kawan ni,” kata Jeffri.

“Mana kawan you tu?” Mata Syarifah Mastura melilau mencari-cari kawan yang dimaksudkan Jeffri.

Jeffri menarik nafas dalam-dalam. Ada baiknya kalau aku kenalkan aje Mas dengan Yana, bisik hatinya. Lagipun untuk apa dia merahsiakan hubungannya yang semakin mesra terhadap Dayana?

“Mari Mas, I kenalkan kawan I dengan you.” Kata Jeffri sambil meneruskan langkah dengan Syarifah Mastura mengekorinya rapat dari belakang.

Ketika mereka hampir sampai di depan Dayana, secara tiba-tiba Syarifah Mastura menghentikan langkahnya. Jeffri segera menoleh ke arahnya.

“Kenapa berhenti, Mas? Marilah I kenalkan you dengan kawan I.” Desaknya.

Dengan rasa was-was bertapak di wajahnya, Syarifah Mastura terpaksa meneruskan juga langkah yang terhenti.

“Hai, sayang! Lama I tunggu you tau.” Tingkah Dayana sambil melemparkan senyuman bersira madunya ke arah Jeffri. Kemudian matanya hinggap pula ke wajah perempuan muda di sebelah lelaki kesayangannya itu.

Sorrylah, bos panggil I masuk bilik dia tadi. Yana, I nak kenalkan you dengan kawan seoffice I, Mas.” Dia tidak membuang masa lagi lalu terus memperkenalkan kedua-dua orang perempuan itu.

“Apa khabar, Mas?” Dayana menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

“Khabar baik,” sahut Syarifah Mastura sambil tersenyum pahit.

“Marilah kita keluar makan sama-sama.” Pelawa Dayana sekadar ajak-ajak ayam. Dia ingin menghabiskan masanya berdua-duaan dengan orang tersayang dan berharap agar perempuan muda di sisi Jeffri akan menolak pelawaannya yang tidak ikhlas itu.

Seperti yang telah diduga, Syarifah Mastura menolak pelawaan itu. Dayana tersenyum senang. Dia segera menarik tangan Jeffri masuk ke perut kereta BMW. Seketika kemudian kereta mewah itu menjalar pergi meninggalkan Syarifah Mastura melayan hatinya yang walang.

SEBUAH restoran berhawa dingin menjadi pilihan Dayana. Jeffri hanya menurut sahaja. Dia sebenarnya tidak kisah hendak makan di mana pun hatta di gerai bawah pokok. Janji tempat makan itu bersih, sajiannya lazat dan harganya berpatutan. Tetapi sudah tentulah perempuan yang memandu sendiri BMW sportnya itu akan memilih tempat makan yang sesuai dengan citarasanya.

Dia tidak membantah. Kadangkala diri rasa bertuah juga kalau dapat makan di restoran berhawa dingin atas perbelanjaan Dayana. Tidak payahlah badannya berpeluh-peluh kerana terpaksa makan di gerai yang beratapkan zink kilang ataupun genting dengan kipas angin berputar laju di pundak kepala.

Dia sempat membayangkan wajah sayu Syarifah Mastura yang ditinggalkannya di depan bangunan pejabatnya seketika tadi. Kasihan Mas, bisik hatinya. Tentu dia terpaksa makan tengah hari di restoran mamak yang terletak paling hampir dengan tempat kerja mereka. Dia meneka-neka sendiri.

Tapi tak apalah. Restoran mamak itu walaupun tidak berhawa dingin tetapi tetap bersih dan menyajikan makanan yang lazat-lazat. Yang penting ada kipas angin berputar ligat di atas pundak kepala.

Dia pasti Syarifah Mastura tidak kempunan makan di tempat mewah seperti restoran di mana dia dan Dayana berada sekarang kerana suaminya adalah seorang doktor. Lalu rasa kasihan pada temannya itu mula pudar sedikit demi sedikit untuk membolehkan dia memberikan tumpuan pada perempuan cantik di depannya.

“Apa yang you menungkan tu? Takkan baru tinggal sekejap dah rindu?” Dayana menghentakkan rasa cemburunya di dalam soalan itu.

“Apa yang you cakap ni? Cemburu? Cemburukan siapa pulak ni? I tak fahamlah,” getusnya sambil merenung lembut ke wajah Dayana. Dia sendiri tidak pasti sejak bilakah wujudnya suatu perasaan yang mendalam terhadap perempuan itu.

Walaupun mereka dipisahkan oleh jarak usia yang jauh bezanya tetapi baginya itu bukanlah satu masalah. Yang ditakutkannya ialah pandangan masyarakat. Dia selesa dengan Dayana. Kalau hendak dibandingkan antara Dayana dengan Syarifah Mastura, dia lebih selesa berdamping dengan Dayana. Ini kerana perempuan itu adalah seorang ibu tunggal, sedangkan Syarifah Mastura sudah bergelar isteri orang.

Dia seorang lelaki. Kalau ditakdirkan dia sudah beristeri, tentulah dia tidak rela kalau isterinya berlaku curang di belakangnya. Dia pasti suami Syarifah Mastura juga begitu. Oleh sebab itulah dia rasa tidak selesa kalau Syarifah Mastura terlebih manja dengan dirinya.

Walaupun Dayana mempunyai anak lelaki yang sebaya dengannya, Dayana masih cantik. Mungkin kerana pandai jaga badan dan mampu pula berbelanja mahal untuk mengekalkan keremajaan kulit wajahnya.

“Ala, buat-buat tak faham pulak. Perempuan tadilah, siapa namanya... hah, Mas. I tengok dia macam tak rela aje you keluar dengan I!”

Jeffri ketawa.

“Oh, kes cemburulah ni, ya? You jangan risaulah. Dia dah kahwin pun. Hubungan kami hanya setakat kawan sepejabat aje.”

Mata Dayana bercahaya.

“Betul ke?” soalnya manja.

“Iya sayang.”

Dayana mengurut dadanya. “Lega rasanya bila dengar si Mas tu dah kahwin.”

Jeffri ketawa.

“Tulah, lain kali jangan cepat cemburu.”

“Okeylah, I minta maaf. I ada hal nak bagitau you ni.”

Jeffri merenung wajah Dayana.

“Hal apa pulak ni?”

“Petang semalam ada tak Eiz datang ke rumah you?” Apabila melihatkan anggukan Jeffri, Dayana segera menambah, “Eiz dah tahu tentang kita.”

Jeffri jelas terkejut mendengar berita itu. Ketika menjalinkan hubungan dengan Dayana, itu adalah antara perkara yang dikhuatirinya. Walaupun tiada undang-undang di dunia ini menjatuhkan hukuman bersalah terhadap seorang lelaki muda yang jatuh cinta dengan perempuan yang jauh lebih tua usianya, tetapi masyarakat sekeliling masih belum dapat menerima hakikat sebegitu.

“Macam mana? Dia dapat terima ke?” soal Jeffri ingin tahu.

“Ala, you janganlah risau. Mula-mula tu memang dia naik angin. Lepas tu masa makan malam dia macam dah dapat terima hubungan kita. Eiz bukan budak-budak lagi nak kita risaukan sangat. Dia dah jadi seorang lelaki dewasa yang matang, kecuali sikapnya yang satu tu...” Dayana tidak mampu menghabiskan ayatnya.

“You faham kan?”

“Kaki mabuk?”

Dayana menganggukkan kepalanya.

“I dan arwah suami I dulu tak pernah didik dia begitu. Ni mesti pengaruh kawan-kawan. Kadang-kadang sedih jugak I bila tengok anak sendiri melangkah menuju kehancuran.”

“You kena yakin dengan dia, Yana. You kena banyak menadah tangan dan berdoa padaNYA agar anak you berubah.” Sebagai seorang kekasih yang prihatin terhadap masalah teman wanitanya, Jeffri cuba menyuntik semangat pada Dayana.

“Yalah, betul kata you. Mungkin nilah dugaan yang I harus lalui. Balik ni nanti I kena telefon semula doktor yang rawat masalah ketagihan alkohol Han dulu dan set appointmentyang baru. I perlu kuatkan semangat demi anak I.” Kata perempuan itu. Kemudian dia memandang wajah Jeffri sambil berkata, “Terima kasih kerana you sering berada di sisi I selama ni, Jeff.”

“Sama-sama.” Sahut Jeffri. Perbualan mereka terhenti ketika makanan yang dipesan dihidangkan di atas meja.

“Malam tadi ada tamu tak diundang datang ke rumah I,” ujar Dayana ketika tangannya sedang menghiris daging kepada kepingan-kepingan kecil supaya lebih senang disuapkan ke mulut.

“Siapa tu?” tanya Jeffri, pura-pura tidak tahu siapa tetamu tersebut.

“Zuki! Tiba-tiba aje dia terpacul masa kami baru nak makan malam.”

“Apa yang dia nak?”

Dayana jungkit bahu.

“I harap dia tak tinggal lamalah di Malaysia ni. Dia dan mummynya tu banyak muslihat. Entah apa muslihat dia orang kali ni.”

“Tak baik you main tuduh-tuduh macam tu. Zuki tu bukannya orang lain pun dengan you!” Jeffri mengingatkannya.

“Tak payahlah you nak backing dia orang. I dah kenal mereka lama, dah faham sangat sikap dia orang,” luah Dayana.

“I harus berhati-hati.”

Jeffri hanya menganggukkan kepalanya. Kemudian perbincangan tentang segala masalah yang berlegar-legar di sekeliling mereka terhenti, lalu perbualan lebih menjurus kepada diri mereka sahaja.

Tanpa disedari, setiap gerak-geri mereka sedang diperhatikan oleh seorang lelaki yang berjaya menyorokkan wajahnya dengan memakai topi lebar di kepala.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku