Mungkinkah Dia?
Bab 30
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 01 Disember 2014
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1489

Bacaan






Bab 30

AZNIRA menyusun buku-buku yang baru sampai semalam di rak. Masih pagi, jadi tidak ramai pelanggan yang datang. Dia mencuri masa ini untuk menyusun buku. Hendak disusun semalam tetapi niatnya dibatalkan apabila Aiman sudah datang bertenggek di kedainya. Matanya mencari kelibat adiknya. Takkan tak datang lagi?

Sejak adiknya habis diploma, adiknya terus bekerja dengannya. Bila ditanya mahu menyambung master atau tidak, dijawabnya tidak mahu. Apalah nak jadi dengan adiknya itu, dia pun tidak tahu. Hendak dipaksa, nanti merajuk.

Kini dia dan adiknya tidak lagi tinggal serumah. Sejak akhir-akhir ini, adiknya mula berubah perangai. Entah apa silapnya. Dulu adiknya elok berbaju kurung, kini sudah diubah kepada skirt pendek. Bila ditegur, melenting. Hantu apa yang merasuk adiknya itu agaknya sehingga tidak boleh ditegur lansung.

Sedang dia leka menyusun buku, tiba-tiba dia terdengar pintu kedainya dibuka. Eh, awalnya pelanggan datang! Tak apa, pagi-pagikan rezeki murah. Aznira mengingatkan dirinya. Dia berlalu ke kaunter dengan wajah yang kelat. Aiman rupanya!

Morning sayang!” Ceria sahaja bunyinya Aiman menegurnya.

“Jangan panggil saya sayang!” Mendatar suara Aznira membalas. Geli telinganya mendengar perkataan itu. Sudah berulang kali dia memberi amaran kepada Aiman supaya jangan memanggilnya dengan panggilan sebegitu tetapi nampak gayanya lelaki itu benar-benar keras kepala.

Aznira yang nampak kelibat adiknya baru masuk terus menegur. “Awalnya datang,” sindirnya. Dia perasan adiknya telah menghadiahkannya sebuah jelingan yang tajam.

“Yang kau nak sindir aku ni kenapa? Aku tak cari pasal dengan kau!” balas Maria. Panas betul hatinya mendengar sindiran kakaknya.

“Siapa makan lada dia yang rasa pedasnya.. kau pergi mana semalam? Aku telefon Zila, dia kata kau keluar dengan lelaki.. siapa?” tanya Aznira. Kewujudan Aiman tidak dihiraukan. Aiman terus menerus menjadi penonton setia pergaduhannya.

“Suka hati akulah.. kalau kau nak tahu sangat, aku keluar dengan Zakir. So?”

Terkejut Aznira mendengar jawapan adiknya. Zakir? Dari hujung matanya, dia nampak perubahan pada muka Aiman.

“Kenapa kau keluar dengan dia? Dia tu cuma nak main-main kau je.. lelaki macam dia tu tak payah dibuat kawan!” marah Aznira. Adiknya ‘berkawan’ dengan Zakir? Sengaja menepah maut namanya tu!

“Kau siapa nak atur hidup aku?” balas Maria.

“Aku ni akak kau!” Aznira terus keluar daripada kedainya. Siapa tidak sedih bila adik sendiri tidak mengaku darah daging? Hatinya benar-benar terluka.

Aiman terkejut apabila melihat Aznira meluru keluar. Dia terus mengekori langkah gadis itu. Dia sendiri kaget apabila mendengar balasan Maria. Tak silapnya, dulu adik Aznira itu bertudung litup. Hari ini, dengan skirt pendek, baju ketat, rambut sudah perang, hampir-hampir sahaja membuatkan dia tidak mengenali gadis itu.

Akhirnya Aznira menghentikan langkah di keretanya. Dia cuba membuka pintu keretanya. Tidak berjaya. Barulah dia teringat, beg tangannya bersama kunci keretanya berada di kedai. Hendak berpatah balik, dia tidak sanggup. Sudahnya dia terduduk di sisi keretanya.

“Nak pergi mana?” tanya Aiman.

“Balik.” Aznira membalas, pendek. Sejak bila lelaki itu mengekorinya, dia lansung tidak sedar.

“Jom saya hantar!” pelawa Aiman. Melihat Aznira hendak membantah, dia terus menarik tangan gadis itu menuju ke keretanya. Aznira menurut sahaja.

“Kita nak pergi mana?” tanya Aznira sebaik sahaja dia perasan bahawa jalan yang mereka lalu kini bukan jalan ke rumahnya. Dia mendekatkan dirinya ke pintu. Dia nekad untuk terjun daripada kereta jika Aiman cuba melakukan apa-apa terhadapnya.

Aiman tersenyum melihat Aznira yang kalut. “Don’t worry.. saya tak buat apa-apa yang tak baik dekat awaklah.”

“Manusia ni kita tak boleh jangka.. cepatlah bagi tau.. kita nak pergi mana ni?” desak Aznira. Terasa sesak nafasnya apabila Aiman terus memandu laju.

“Hospital..” jawab Aiman.

Tercengang Aznira mendengarnya. Siapa yang sakit? Dia hanya mendiamkan diri. Malas mahu bertanya walaupun hatinya terus mendesaknya supaya bertanya.

Sampai sahaja mereka di hospital, Aznira menuruti langkah Aiman. Aiman menghentikan langkahnya di hadapan sebuah pintu. Aznira membaca nama yang ditampal pada daun pintu tersebut.

KELAS 1

HASNAH BINTI WAHID

Datin Hasnah? Dia sakit?

Aiman menarik tangan Aznira apabila melihat gadis itu termangu-mangu sendiri. Terdorong ke depan gadis itu apabila ditarik sebegitu.

Masuk sahaja, dia menangkap seorang wanita yang terlantar di atas tilam. Mengikut penilaiannya, wanita itu diserang strok. Mulutnya herot sedikit. Mata wanita itu terkebil-kebil memandang ke arahnya.

Dia berdiri kaku di hujung katil. Aiman pula sudah mendapatkan mamanya. Tangan mamanya disalam dan dikucup lembut. Selepas tangan, dahi mamanya pula dikucup. Itulah yang akan dilakukan setiap kali melawat mamanya.

Sejak mamanya diserang strok, dia sengaja memilih untuk meninggalkan mamanya di hospital. Jika mamanya dibawa pulang, tiada siapa dapat menjaga mamanya. Jadi lebih baik mamanya duduk di hospital. Ada doktor dan jururawat yang boleh menjaga mamanya. Segala peralatan juga lengkap di hospital ini.

“Awak marah lagi dekat mama saya?” tanya Aiman. Aznira hanya menggeleng perlahan. Dia terkedu sebenarnya. Siapa yang tak terkejut melihat orang yang dulu pernah menyepak, memaki, menghamunnya kini sudah terlantar di atas katil.

Aznira terus mendapatkan wanita itu. Tangan wanita itu dicapai dan disalam. Dia memeluk wanita itu. Sewaktu dia memeluk wanita itu, dia perasan wanita itu sedang mengalirkan air mata.

Mulut wanita itu bergerak seperti mengatakan sesuatu. Dia tidak dapat menangkap apa yang cuba diperkatakan oleh wanita itu. Mata Aiman ditenung. Cuba bertanya apa yang dimaksudkan oleh mamanya itu.

“Mama saya cakap, dia minta maaf..” ujar Aiman. Perlahan sahaja suaranya memberitahu.

“Datin, saya dah maafkan datin.. semua manusia ada buat kesilapan..” tulus Aznira mengungkap kata. Meskipun dia marah, tetapi dia sudah memaafkan perbuatan wanita itu. Siapa dia untuk menghukum manusia? Hanya Allah sahaja yang layak!

Mendengar kata-kata Aznira membuatkan air mata Datin Hasnah semakin laju menuruni pipi. Tangannya tidak lepas daripada memegang tangan Aznira.

Aiman duduk di sofa. Jika sebelum ini, dia yang menyuapkan bubur ke mulut mamanya, berbeza dengan hari ini. Mamanya menolak apabila dia hendak menyuap mamanya makan. Mamanya tetap berkeras agar Aznira yang menyuapnya makan.

Selepas Datin Hasnah tidur, barulah Aznira menyertai Aiman. Duduk di sofa yang berada di sudut bilik itu.

“Penat?” tanya Aiman sebaik sahaja gadis itu duduk di hadapannya.

“Tak.. saya suka.. semua ni buat saya lupa apa yang Maria buat dekat saya..” luah Aznira. Jelas kedengaran suaranya berubah sayu bila menyebut nama adiknya yang satu itu. Dia tidak menyangka satu-satunya saudara yang dia ada berbicara sebegitu terhadapnya.

Setelah lama berdiam diri, Aznira membuka bicara. Dia tidak mahu mengingatkan dirinya tentang apa yang berlaku tadi. Semua itu nyatanya membuatkan dia semakin sakit hati.

“Macam mana datin boleh jadi macam ni?” Dia memandang seketika ke arah katil itu. Wanita itu nampaknya sedang lena tidur.

“Saya akan cerita tapi sebelum tu, boleh tak awak berhenti panggil mama saya datin?” pinta Aiman.

“Kalau saya tak panggil datin, saya nak panggil dia apa? Mama?” tanya Aznira sambil tergelak kecil.

“Okey juga kalau awak panggil dia mama..” ujar Aiman meleret. Sengaja diduga hati gadis di hadapannya ini.

Lama Aznira berdiam sebelum mendapat idea untuk melarikan diripada topik yang sedang dibincangkan. “Kalau awak tak nak cerita tak apalah.. saya tak kisah..”

Mendengar ayat itu, Aiman tahu gadis itu sedang bermain psikologi dengannya. Wow, improvement! jerit Aiman di dalam hati.

“Okey, fine.. mama dah lama sakit... beberapa hari selepas kejadian kita tu..” Aiman berhenti untuk memerhati riak wajah Aznira. Tepat sekali. Wajah itu benar-benar menunjukkan sang tuan badan sedang terkejut besar mendengar ceritanya.

Aiman menyambung kembali ceritanya. “Masa mama kena tu, majlis akad nikah saya.. waktu saya tengah akad, tiba-tiba mama tak sedarkan diri.. dekat hospital mama sedar dan dia cerita semuanya dekat saya.. pasal rancangan dia pisahkan kita.. and everything.. habis je dia cerita, dia terus jadi macam ni.. saya rasa mungkin ini balasan untuk dia atas apa yang dia dah buat dekat awak.. awak maafkan diakan?”

Aznira seakan hanyut ketika mendengar cerita itu. Siapa sangka semua ini akan berlaku? Perlahan-lahan dia mengangguk, tanda dia sudah memaafkan wanita yang kini sedang terlantar di atas katil itu.

How about…Lisa?” tanya Aznira. Aiman ketawa kecil mendengar pertanyaan Aznira. Aznira pula pelik melihat lelaki itu tiba-tiba sahaja menghamburkan ketawa. Wayar putus ke? Biar aku panggil doktor.. kebetulan dah ada dekat hospital ni.

“Dia? Dah lari pergi Amerika.. malu sebab majlis kahwin dia tak jadi.. tapi khabarnya sekarang ni dah kahwin dengan orang sana.. dah ada anak tak silap saya..”

Lama mereka berbual. Pelbagai perkara digali. Sesekali Aznira muncung gara-gara diusik Aiman. Aiman pula tidak sudah-sudah membuat lawanya.

Jam sudah menunjukkan pukul 3 petang. Lama juga aku dah bertapa kat sini. Aznira segera memohon diri. Dia tidak menghampiri Datin Hasnah kerana tidak mahu mengganggu tidur wanita itu.

Baru sahaja Aznira melangkah, Aiman menjerit memangil namanya. Dia menghentikan langkahnya. Dia menoleh. Hampir sahaja dia melatah dek kejutan terlampau. Aiman sudah berada di hadapannya. Lajunya!

“Saya hantar awak?” tanya Aiman bersungguh-sungguh. Lebih kepada merayu sebenarnya.

“Kan saya dah cakap tadi.. saya balik naik teksi.. awak pun dah setuju tadikan?”

“Itu tadi.. ini sekarang.. bolehlah..” pujuk Aiman lagi. Anggukan Aznira membuatkan Aiman terasa mahu menjerit kegembiraan. Yes!

Di dalam perjalanan, Aznira hanya mendiamkan diri. Tiada apa yang perlu dibicarakan. Dia sudah memaklumkan kepada Aiman agar menghantarnya ke kedainya sahaja. Aiman mengangguk faham.

Setelah tiba di tempat parkir, Aiman terus memarkir keretanya.

“Awak nak pergi mana?” Pelik pula dia apabila melihat Aiman memarkir keretanya.

“Tak ada pergi mana.. saya ada benda nak cakap dengan awak.. Important!” ujar Aiman. Tangannya mengunci kereta.

“Awak, saya nak turun! Kenapa awak kunci?” tanya Aznira dengan nada yang cemas. Apa dia nak buat dekat aku ni?

Please! Saya nak cakap dengan awak.. kalau awak turun, lepas ni awak mesti dah tak nak jumpa saya.”

“Okey..” jawab Aznira, sedikit tenang. Dia melihat Aiman mengeluarkan sesuah kotak baldu merah berbentuk hati dari dalam poket seluar.

Buntang mata Aznira melihat kotak itu. Cincin ke? Aznira tidak berfikir terlalu jauh, takut dia hanya S.S (syok sendiri). Mungkin dia nak tunjuk kat aku je kot. Tebak Aznira.

Aiman membuka kotak itu. Terserlah sebentuk cincin yang berkilau bersama berlian sebaik sahaja kotak itu dibuka. “Kita kahwin?” tanya Aiman.

Aznira terasa kereta itu semakin sempit untuk dia bernafas. Mendengar soalan itu keluar daripada mulut Aiman, membuatkan dia nanar. Dia terbatuk sedikit. Menghilangkan rasa gugup yang bertandang tanpa diundang.

Aiman mengulang kembali pertanyaannya tadi. Aznira menjawab. “Kenapa?”

“Sebab saya sukakan awak.. saya sayangkan awak.. saya cintakan awak.. lebih daripada saya sayang diri saya sendiri.” jawab Aiman tanpa rasa ragu. Puas dia berlatih di hadapan cermin malam tadi. Di dalam hati dia berdoa agar Aznira menerima lamarannya. Dia sudah tidak mahu menangguhkan hubungannya dengan gadis ini lagi. Dia tidak sanggup.

“Tapi saya tak suka kat awak.. saya tak sayang awak.. saya tak cintakan awak..” Aznira menjawab dengan nada yang sama seperti Aiman tadi. Sebagaimana yakinnya Aiman meluahkan perasaan terhadapnya, seyakin itu jugalah dia berbicara kepada lelaki itu.

Aiman menarik nafasnya. No! Aku tak boleh putus asa.. Aku nakkan dia dan aku takkan sesekali mengalah!

“Betul awak tak suka, sayang dan cinta dekat saya?” tanya Aiman dengan nada yang sengaja dikecewakan.

“Betul.. saya yakin dua ratus lima puluh percent!” jawab Aznira. Di dalam hati, dia memarahi dirinya. Dia sebenarnya masih lagi menyimpan rasa untuk lelaki itu tetapi dia takut untuk mengaku.

“Okey.. saya akan rela bila awak tolak saya after awak jawab soalan saya..”

Aznira mengangguk perlahan. Hakikatnya dia sedih kerana Aiman begitu cepat berputus asa. Tetapi salah dia juga. Terlampau jual mahal!

“Nama kedai awak apa?”

Dahi Aznira berkerut mendengar pertanyaan Aiman. Dia dah tahu ke? Tetapi dia tetap berlagak selamba dihadapan lelaki itu.

A & A Book Store.” Tenang sahaja Aznira menjawab.

“Maksudnya?” tanya Aiman.

Ketenangan Aznira tergugat mendengar pertanyaan Aiman. Aduh! Apa aku nak cakap ni? Melihat Aznira mendiamkan diri, Aiman meneruskan serangannya.

Aznira & Aiman Book Store atau Aiman & Aznira Book Store?” tanya Aiman. Dia tersenyum apabila Aznira tidak mampu menjawab soalannya.

Fine.. saya mengalah.. memang saya suka, sayang, cinta dekat awak lagi tapi saya takut..”

Mendengar jawapan Aznira membuatkan hatinya sedikit tenang. Tetapi yang berlegar-legar di dalam fikirannya ialah apa yang ditakutkan oleh gadis yang comel di hadapannya ini.

“Apa yang sayang takutkan?” Setelah mendengar pengakuan Aznira membuatkan Aiman lebih berani memanggil gadis itu dengan panggilan sayang.

“Datin Hasnah!” jawab Aznira.

“Mama? Tapi kenapa? Diakan dah minta maaf dengan sayang?” tanya Aiman. Bertalu-talu soalan keluar daripada mulutnya.

“Memang dia dah minta maaf tapi takkan dia nak terima menantu macam saya.. saya lansung tak layak untuk awak..”

“Siapa cakap? Saya dah bincang semua ni dengan mama dan dia dah bersetuju.. jadi sekarang ni, awak setuju tak nak kahwin dengan saya?” tanya Aiman. Kunci sudah dibuka. Jika Aznira tidak setuju untuk berkahwin dengannya, gadis itu boleh turun tanpa mengambil cincin yang diunjukkan.

Aznira merenung tepat ke anak mata lelaki di hadapannya. Di dalam otaknya sedang sibuk mencongak baik buruk tindakan yang bakal dia ambil. Dengan lafaz bismillah, dia……….



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku