Asam Pedas Untuk Dia
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Januari 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan. Anda dapat memilikinya dalam naskhah cetak di Karangkraf Mall dan naskhah digital di eMall Karangkraf. Setiap pembelian akan mendapat diskaun harga yang menarik.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
13193

Bacaan






"Kalau Ainin datang nanti, Ziyad tolong bagi salinan kunci rumah pada dia. Umi dan abah dah nak pergi kerja ni,” kata Hajah Fauziah setelah selesai bersarapan. Tergesa-gesa dia membawa cawan dan piring bekas minuman ke dapur untuk dicuci.

Pagi ini, Hajah Fauziah tidak menyediakan makanan berat untuk sarapan. Cukup hanya merebus telur separuh masak untuk suaminya dan menyiapkan beberapa keping sandwic telur untuk Ziyad mengalas perut sebelum ke pejabat. Farhana pula jarang bersarapan, cuma minum segelas susu bersama Nestum.

Ziyad yang sedang melangkah turun dari tingkat atas, terdiam sejenak mendengar arahan umi. Ainin? Ainin mana pula ni? Belum pernah dia mendengar sepotong nama yang terlalu asing itu.

“Siapa dia, umi?” tanya Ziyad sambil mengekori langkah umi hingga ke dapur.

“Ainin, pembantu rumah kita yang baru tu. Namanya Ainin Sofiya,” terang Hajah Fauziah. Tersenyum memandang Ziyad yang berdiri sambil menyandarkan tubuh di tepi dinding melihatnya mencuci cawan.

Ainin Sofiya? Sedapnya nama dia, puji Ziyad dalam hati. Masih muda atau sudah tua orangnya? Daripada nama yang jarang-jarang didengar itu, Ziyad membayangkan orangnya masih muda. Tetapi, menurut abah, dia janda. Kalau janda tentu umurnya dalam lingkungan 30 atau 40-an. Jarang ada janda yang masih muda. Mustahil muda-muda sudah diceraikan suami.

Hendak bertanya lebih-lebih kepada umi, dia malu. Petang semalam, ketika umi menemuramah pembantu rumah baru itu, dia masih belum belum pulang dari pejabat. Ketika makan malam, umi tidak pula bercerita apa-apa kepadanya. Dan dia pun terlupa untuk bertanya umi tentang itu.

“Dia datang pukul berapa? Ni dah dekat pukul tujuh suku, kenapa tak datang lagi?” tanya Ziyad dengan mata menjeling ke arah jam di dinding dapur.

“Dia minta datang lewat sikit dan umi pun dah setuju. Katanya nak tolong mak dia jual kuih dulu. Dalam pukul lapan nanti dia sampai,” terang Hajah Fauziah sambil mengesat tangan dengan kain lap selepas membasuh cawan dan piring kotor.

“Jual kuih?” tanya Ziyad dengan dahi berkerut. Matanya tepat merenung umi, meminta penjelasan lanjut.

“Ya. Itulah punca pendapatan Ainin sejak suaminya meninggal. Dia ada seorang anak kecil, emak dan adik untuk ditanggung. Kesian pulak umi dengar kisah dia. Memang patut pun kita ambil dia kerja dengan kita,” kata Hajah Fauziah kemudian.

Ziyad diam. Tumbuh perasaan simpati jauh di ceruk hati mendengar kisah Ainin Sofiya. Baru mendengar cerita umi, hatinya jadi begitu teruja mahu bertemu dengan wanita bernama Ainin Sofiya.

“Semalam, umi dah terangkan pada Ainin, kerja apa yang dia kena buat. Jadi apabila dia datang nanti, Ziyad tak payah terangkan apa-apa. Cuma nanti bagi dia kunci rumah. Senang dia nak balik susukan anak dia tengah hari nanti. Pesan kat dia, kunci semua pintu bila nak keluar. Semalam umi dah cakap, takut dia terlupa pula,” sambung Hajah Fauziah lagi.

Tanpa menunggu jawapan anak lelakinya, Hajah Fauziah keluar dari dapur. Beg tangan danbriefcaseyang terletak di atas meja kecil di tepi tangga dicapai. Kemudian, Hajah Fauziah bergerak pula ke kabinet di tepi dinding, mengambil kunci kereta Honda Accordnya.

Di luar, Haji Marzuki sudah sedia menunggu di sebelah keretanya, Toyota Harrier berwarna hitam. Hajah Fauziah terus bersalaman dengan suaminya.

“Umi pergi kerja dulu. Jangan lupa semua pesanan umi tadi,” sebelum keluar rumah, sempat lagi Hajah Fauziah berpesan begitu pada Ziyad.

Ziyad mengangguk dan bersalaman dengan umi dan abah. Sudah besar panjang begitu pun, dia tidak pernah lupa mencium tangan umi dan abah setiap kali mahu berpisah sementara dengan mereka berdua. Ini kerana sejak kecil Ziyad sudah terdidik dengan adab sopan dan ilmu agama. Sebab itu amalan yang elok itu dibawanya sehingga dewasa.

Selesaimandi dan bersiap, Ziyad turun ke bawah semula. Sambil membetulkan ikatan tali leher, dia menjeling muka jam di dinding. Hampir pukul 8.00 pagi. Sekejap lagi sampailah Ainin Sofiya, fikirnya seraya meletakkanbriefcasedan kunci kereta di atas sofa.

Sementara menunggu kedatangan pembantu rumah baru yang entah bagaimana rupanya itu, Ziyad duduk di meja makan. Kopi O dituang ke dalam cawan dan diminum seteguk. Cawan diletakkan kembali ke atas piring. Sandwic telur yang disediakan umi tadi dijamahnya sedikit.

Belum pun panas punggung Ziyad duduk di kerusi, sudah kedengaran bunyi enjin motosikal di luar pagar. Serentak dengan itu, terdengar suara orang perempuan memberi salam.

Ziyad tidak tunggu lagi, terus bangun dan melangkah ke ruang hadapan. Pintu dibukanya sedikit dan Ziyad menjenguk ke luar. Dilihatnya seorang perempuan dalam lingkungan umur awal 20-an, memakaiT-shirt berlengan panjang berwarna merah hati dan berseluar hitam sedang berdiri di tepi motosikal.

Inikah Ainin Sofiya? Hatinya berdetik dengan mata tepat merenung ke arah perempuan muda yang berdiri di luar pintu pagar. Orang yang direnung pun nampak sedikit terkejut melihat Ziyad. Mulut yang terbuka ingin memberi salam sekali lagi terus terhenti. Sudahnya bibir itu terlopong tanpa disedari tuan punyanya sendiri.

“Err… inimaid baru tu ke?” Ziyad mengajukan pertanyaan apabila menyedari wanita di hadapannya dalam keadaan serba tidak kena.

“Ini rumah Haji Marzuki, kan?” tanya Ainin tidak yakin.

Petang semalam, sewaktu bertandang ke rumah Haji Marzuki, tidak nampak pula muka anak muda ini. Dia bimbang tersalah rumah. Maklumlah rumah di kawasan ini kelihatan sama sahaja. Namun, apabila melihat semula nombor yang tertera pada tembok batu di hadapannya,dia pasti dia tidak tersilap rumah.

“Betullah tu. Masuklah. Awak boleh letak motosikal awak kat dalam. Letak kat luar nanti, takut kena curi pulak,” arah Ziyad dengan jari menunjuk ke tepi tembok sebelah kiri rumah. Bersebelahan kereta Honda CRVnya.

Ainin Sofiya tidak menyahut. Hanya mengangguk. Hati kecilnya bagai digeletek mendengar kata-kata Ziyad tadi. Motosikal buruk macam ini, tergamakkah orang nak curi? Hatinya terdetik geli hati. Sedaya upaya menyembunyikan senyuman yang tersungging di bibir comelnya.

Biarpun begitu, motosikal buruk jenis Honda Cub disorong juga masuk ke dalamporch rumah besar itu dan diparkir di tepi tembok. Betul-betul di sebelah kereta Honda CRV berwarna kelabu yang berkilat-kilat. Topi keledar kepala ditanggalkan.

“Masuklah,” pelawa Ziyad. Pintu dibuka besar-besar dan dia bergerak ke ruang tamu. Berdiri di tengah ruang dengan kedua-dua belah tangan menyeluk poket. Menanti wanita itu masuk.

Sambil menyangkutkan tali beg sandang ke bahu, Ainin melangkah ke dalam rumah dan berdiri tidak jauh dari Ziyad.

“Ainin Sofiya, kan? Saya Ziyad.” Ziyad memulakan perbualan dengan mata tepat merauti wajah wanita di hadapannya. Cantik. Hatinya spontan memuji. Apabila terlihat lengan baju yang terangkat sedikit, jelas terpamer kulitnya yang gebu dan putih melepak. Walaupun bertudung, masih kelihatan bentuk mukanya yang bujur sirih dan bersih tanpa sebarang cela.

Mata, hidung dan bibirnya sempurna terbentuk. Dan yang paling menawan di wajah itu ialah lekuk yang agak ketara di bahagian tengah dagunya. Jarang-jarang orang mempunyai lekuk di bahagian dagu. Kalau lesung pipit, itu perkara biasa.

Masih muda dan cantik begini sudah menjanda? Fikir Ziyad tidak percaya, dengan mata tidak berkalih daripada menatap wajah Ainin Sofiya.

“Err… Encik Ziyad nak pergi kerja ke?” Ainin serkap jarang. Tidak tahu mahu berbicara apa. Hatinya resah ditenung anak muda tampan yang berdiri tegak di hadapannya.

“Ya. Awak dah tahu kan apa tugas awak?” tanya Ziyad tanpa melarikan matanya daripada wajah Ainin.

“Ya. Semalam Puan hajah dah beritahu saya apa yang saya perlu buat,” jawab Ainin sambil membuang pandang ke arah lain. Enggan bertentang mata terlalu lama dengan pemuda itu.

“Bilik awak kat belakang sana, dekat dapur. Ini kunci rumah. Awak boleh simpan terus,” terang Ziyad. Kunci rumah di dalam poket seluar dikeluarkan dan dihulurkan kepada Ainin. Pantas wanita itu menyambutnya.

“Tengah hari nanti nak balik rumah ke?” tanya Ziyad.

“Ya,” jawab Ainin. Memandang sekilas wajah pemuda di hadapannya.

“Ada apa?” Walaupun tahu sebabnya, Ziyad sengaja bertanya begitu. Sengaja mahu membuka perbualan dengan Ainin.

“Saya nak jenguk anak saya. Dia masih menyusu badan,” jelas Ainin Sofiya sambil tersenyum memandang Ziyad.

“Ohh...” Ziyad terangguk-angguk. Terpaku sedikit dia menatap senyuman semanis madu itu. Hatinya menggelepar ingin tahu lebih lanjut tentang hidup Ainin Sofiya. Dalam umur semuda ini, Ainin Sofiya sudah menjadi janda. Namun perasaan malu menegahnya daripada bertindak begitu. Tidak mengapa, esok masih ada. Esok lusa akan dikorek rahsianya habis-habisan. Dia menarik nafas.

“Nak balik rumah awak nanti, jangan lupa kunci semua pintu termasukgate. Kawasan sini selalu kena pecah rumah. Baru bulan lepas, rumah jiran sebelah ni kena masuk perompak. Jadi, saya tak mahu awak ambil mudah perkara tu,” pesan Ziyad sebelum bergerak ke ruang tamu untuk mengambilbriefcase dan kunci kereta.

“Baiklah.” Ainin mengangguk. Faham dengan pesanan anak tuan rumah yang mahukannya menjaga keselamatan rumah dan harta benda di dalamnya.

Sejurus kemudian, kereta mewah anak muda bernama Ziyad menderum meninggalkan rumah di bawah pengawasan pembantu rumah bernama Ainin Sofiya.

Ainin masuk ke bilik kecil yang terletak di sebelah dapur. Matanya menerawang memerhati sekeliling bilik yang cuma ada sebuah katil bujang. Banyaknya habuk! Hatinya berdetik terkejut. Ini mesti sudah berbulan-bulan tidak dibersihkan, fikirnya. Matanya mendongak pula memandang ke atas. Mengeluh melihat sawang terjuntai-juntai di merata penjuru bilik sempit itu. Hmm... mentang-mentanglah aku ini orang gaji, semua ini memang ditinggalkan khas untuk aku menguruskannya.Sebelum buat kerja lain, baik aku kemaskan dulu bilik ni.

Walaupun bukan untuk tidur, hanya sekadar menumpang bersolat, dia tidak selesa berada di dalam bilik berhabuk begini. Dia faham bilik ini dikhaskan untuk orang gaji, tetapi, sayang kalau dibiarkan bersawang. Tidak ubah seperti rumah tinggal.

Ainin keluar dari bilik, merayau di sekitar dapur mencari penyapu. Apabila tidak bertemu apa yang dicari, dibukanya pula pintu belakang dan menjengah keluar. Tidak nampak pula penyapu di situ kecuali tong sampah dan baju-baju yang tersidai di ampaian. Takkanlah sebatang penyapu pun tidak ada? Pelik! Dia mula menggaru kepala yang tidak gatal.

Ainin masuk semula ke ruang dapur. Matanya menerawang lagi memerhati sekitar, bimbang terlepas pandang di ceruk-ceruk yang tersembunyi. Mustahil rumah orang kaya tidak ada penyapu. Hatinya risau dan tiba-tiba matanya terarah ke pintu kecil yang terletak berhampiran biliknya.

Laju Ainin melangkah ke situ. Daun pintu ditarik. Senyuman gembira terus terpancar di bibirnya apabila melihat benda yang dicari berada di hadapan mata. Bukan satu, malah tiga atang penyapu ada di situ. Bukan saja penyapu, semua barang lain khusus untuk kegunaannya kelak, tersimpan kemas di dalam bilik kecil itu.

Hmm... begini caranya orang kaya menyimpan barang. Tak adalah main campak saja sesuka hati macam kat rumah aku. Ainin tersengih. Sebatang penyapu plastik berbatang panjang dicapai. Tidak lupa penyodok sampah berwarna merah darah. Kedua-duanya dibawa ke bilik dan dia terus memulakan operasinya.

Tidak sampai setengah jam, lenyap habuk dan sawang di bilik itu. Lega hatinya melihat lantai marmar yang berkilat dan berbau wangi selepas dimop dengan pencuci lantai. Tudung ditanggalkan dan disidai di kepala katil. LenganT-shirt disingsing ke atas. Barulah boleh memulakan kerja apabila bilik sendiri sudah kemas dan bersih.

Kerja apa yang patut dibuatnya dulu? Anini berfikir sejenak sambil menghela nafas. Kata Hajah Fauziah semalam, dia perlu melakukan semua tugas. Dari mengemas, mengemop lantai, mencuci dan melipat pakaian juga memasak. Hmm... memasak boleh dilakukan akhir sekali bila tugas-tugas lain sudah selesai. Memasak awal-awal pun siapa yang hendak makan? Seisi keluarga Hajah Fauziah pulang waktu petang. Jadi sementara tenaga masih banyak, lebih elok tugas-tugas mengemas dan mengemop lantai dibuatnya dulu. Selepas itu, baru beralih kepada mencuci, melipat pakaian dan akhir sekali memasak.

Setelah berfikir begitu begini, Ainin melangkah ke ruang tamu sambil menjinjit penyapu dan dustpan. Lantai dimop. Karpet yang tebal sehingga tenggelam kaki ketika memijaknya, disedut habuknya menggunakan pembersih hampagas. Meja dan almari dilap dengan tuala bersih agar hilang semua habuk dan debu.

Selesai menyiapkan tugas di ruang tamu, Ainin melangkah ke tangga dengan niat membersihkan bilik-bilik di tingkat atas. Lepas satu bilik ke satu bilik, dikemas dan dibersihkan. Tiba di bilik paling hujung, Ainin hampir hilang tenaga. Penatnya! Dia mengeluh sambil mengelap dahi yang berpeluh dengan belakang tangan.

Terbuka sahaja pintu, dia meluru ke katil dan merebahkan badan di atas tilam empuk setebal 10 inci. Melepaskan lelah.

Sambil berbaring, matanya memerhati sekeliling. Bilik siapa ini? Sambil memandang, benaknya ligat berfikir. Bilik Hajah Fauziah sudah dibersihkannya tadi. Dia tahu itu bilik Hajah Fauziah kerana ruangnya lebih besar dan hiasan di dalamnya lebih menjurus pada kehidupan berkeluarga. Bilik ini mungkin kepunyaan anak-anaknya.

Melihat cara hiasan dalamannya yang agak sederhana, tidak mungkin bilik itu kepunyaan anak perempuan Hajah Fauziah. Mungkin bilik anak lelakinya. Jadi, ini tentu bilik pemuda tadi. Apa nama dia tadi? Ainin yang terlalu penat, sukar mengingati nama anak muda yang kacak seiras wajah Datuk Dr. Sheikh Muzaffar itu.

Kalau tidak silap namanya Ziyad, fikirnya dengan mata terkebil-kebil merenung siling bilik. Tiba-tiba Ainin bingkas bangun dan melompat dari katil. Hisy! Aku ni sedap-sedap aje melepak atas katil orang bujang. Kalau dia tahu, mana aku nak letak muka ni? Hatinya mengomel dengan muka merah padam menahan malu.

Kakinya melangkah menuju ke meja belajar yang menempatkan sebuah komputer peribadi, bekas alat tulis dan beberapa bingkai gambar. Ainin membelek satu demi satu gambar di atas meja itu. Ada gambar Ziyad seorang, bersama keluarga dan bersama seorang gadis. Amboi, bergambar sampai berpeluk-peluk! Hatinya berdesis dengan mata bulat merenung gambar Ziyad.

Siapa gadis ini agaknya? Isteri Ziyadkah? Tidak mungkin isteri kerana menurut Hajah Fauziah semalam, dia belum punya menantu. Jadi kalau bukan isteri, tentu tunang atau paling kurang pun kekasih hatinya. Hisy, Apa sibuk-sibuk fikirkan hal orang? Lantaklah kalau Ziyad sudah bertunang atau punya teman wanita. Bukannya ada sangkut paut dengan Ainin Sofiya!

Selesai mengemas dan melipat pakaian di tingkat atas, Ainin turun ke bawah semula. Langkahnya dibawa ke ruang dapur. Peti sejuk dibuka.

Apa yang hendak dimasak? Dia berfikir-fikir. Dikeluarkannya ikan tenggiri dari ruang pembeku. Kata Hajah Fauziah semalam, keluarganya gemar sangat dengan lauk ikan asam pedas campur daun kesum, terutama anak lelakinya. Hmm... nampaknya kena masak lauk asam pedas ikan tenggirilah ni. Tapi, ada daun kesum dalam peti ais ke? Lantas dia menyelongkar pula ruang sayur-sayuran untuk mencari beberapa helai daun kesum. Tidak ada. Apa yang ada hanya beberapa batang bunga kantan. Ni kalau masak asam pedas ikan tenggiri campur bunga kantan, mahu meleleh air liur mencium baunya, fikir Ainin lagi.

Siap memasak dan mengemas, waktu sudah menunjukkan pukul 1.00 tengah hari. Sekejap lagi akan masuk waktu zuhur. Arisha di rumah juga tentu akan terjaga dan melalak jika tidak nampak muka ibunya.

Ainin memandang sekitar ruang dapur. Sudah bersih. Selepas memasak tadi, habis dapur memasak disentalnya sampai berkilat.

Semua tugas yang diarahkan Hajah Fauziah sudah dibereskan. Sekejap lagi, dia mahu pulang ke rumah. Membereskan kerja yang ditinggalkan di rumah pula. Namun dia berkira-kira sama ada hendak menunggu masuk waktu zuhur dulu atau pulang terus ke rumah. Hmm... balik rumah dululah. Selepas menyusukan Arisha, dia akan terus bersolat zuhur. Selepas bersolat, dia akan kembali semula ke rumah besar itu untuk menyambung mana-mana tugas yang belum selesai.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku