Asam Pedas Untuk Dia
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Januari 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan. Anda dapat memilikinya dalam naskhah cetak di Karangkraf Mall dan naskhah digital di eMall Karangkraf. Setiap pembelian akan mendapat diskaun harga yang menarik.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
12243

Bacaan






Dalam perjalanan pulang, Ainin singgah sebentar di rumah Kak Midah untuk mengambil wang hasil jualan nasi lemak dan kuih-muih pagi tadi. Selepas itu, dia singgah pula di kedai runcit Pak Cik Daud untuk membeli beras, tepung dan gula.

Tiba di rumah, jam di tangan sudah menunjukkan pukul 1.30 petang. Selepas meletakkan motosikal di bawah pohon mempelam, dia bergegas menuju ke rumah.

Dari luar, sudah kedengaran suara tangisan Arisha. Si kecil itu tahu saja waktu dia menyusu. Rindunya pada si comel itu begitu menggebu. Kerana tidak sabar hendak mencium pipi montel anaknya, panjang langkahnya dihala ke rumah. Pintu hadapan ditolak.

“Haa... dah balik pun ibu Isha ni. Bolehlah Isha minum susu,” kata Mak Ipah sebaik saja melihat Ainin Sofiya di muka pintu.

Arisha yang sedang didukung terus dibawa kepada Ainin. Tangisan si kecil itu terus terhenti apabila ternampak ibunya. Macam tahu-tahu saja si ibu akan memberinya upah sebentar lagi.

Ainin tidak terus mendakap anaknya. Beg plastik berisi barang-barang yang dibeli tadi dibawa ke dapur. Beg di bahu diletakkan di dalam bilik. Selepas menanggalkan tudung, dia keluar semula.

“Anak ibu ni dah lapar, ya?” Ainin mengangkat Arisha daripada dukungan Mak Ipah. Pipi montel anaknya dicium. Terpejam-pejam mata Arisha menahan geli akibat dicium bertalu-talu. Terkekeh-kekeh dia tertawa.

Sambil mengelek anaknya, Ainin melangkah ke sofa. Hujung bajunya diangkat ke atas. Muka Arisha dilekapkan ke bahagian dada. Sebaik bibir si kecil bertemu apa yang dicari, Arisha tidak bergerak-gerak. Lega mungkin dapat menyusu dengan ibunya.

“Macam mana kerja, Nin?” tanya Mak Ipah yang duduk menemani Faiz minum air suam.

Faiz yang baru pulang dari sekolah, baru habis makan tengah hari. Setelah mencuit pipi anak saudaranya yang sedang asyik menyusu, dia berbaring di depan peti televisyen yang terletak di sudut ruang tamu. Tidak mahu mengganggu emak dan kakaknya bersembang.

“Bolehlah, mak. Bukannya susah sangat. Kerja macam Ainin biasa buat kat rumah. Cuma rumah Hajah Fauziah tu besar. Jadi terasa jugalah penatnya,” cerita Ainin sambil tersenyum memandang wajah emak.

“Larat ke Ainin kerja?” Mendengar Ainin Sofiya mengeluh penat, Mak Ipah berasa susah hati.

“Larat. Mak janganlah risau. Bukannya susah sangat pun. Ainin selesa kerja kat situ sebab tak ada orang perhatikan Ainin buat kerja. Pagi macam ni tak ada orang kat rumah tu. Mereka semua keluar bekerja. Petang baru mereka balik. Anak Hajah Fauziah tu semua dah besar-besar. Anak lelaki sulungnya ada perniagaan sendiri. Yang nombor dua masih belajar kat luar negara. Dan yang bongsu pun tengah belajar di UKM,” jelas Ainin lagi mengulang apa yang diceritakan Hajah Fauziah kepadanya petang semalam.

“Anaknya tiga orang aje ke?” tanya Mak Ipah ingin tahu.

“Ha’ah. Semua dah besar panjang. Tak susah pun kerja kat situ. Bukannya ada budak-budak kecil. Kalau ada budak kecil, susah juga Ainin.”

“Lepas ni Ainin balik ke sana semula ke?’ tanya Mak Ipah, bersimpati dengan keadaan anak yang terpaksa ke sana ke mari untuk mencari sesuap nasi.

“Lepas solat zuhur nanti, Ainin pergilah. Ada kerja lagi yang belum siap. Petang nanti, dalam pukul tujuh, Ainin balik. Mak masak apa hari ni?” Perut Ainin sudah menyanyi irama keroncong. Hendak makan di rumah Hajah Fauziah tadi, dia rasa tidak sedap hati. Maklumlah, dia cuma ditugaskan memasak. Tidak disebut pula dia boleh makan makanan yang dimasaknya. Buatnya tidak dihalalkan tuan rumah, timbul masalah halal haram pula nanti.

“Ikan keli masak lemak cili api. Amin, cucu Mak Timah datang tadi bagi ikan keli. Mak terus masak. Kalau dah disimpan dalam peti sejuk, tak sedap pulak nanti. Kalau dah lapar, pergi makan. Tu... tengok Isha dah tertidur. Masukkan aje dalam buaian, lamalah dia tidur nanti,” jawab Mak Ipah dengan bibir memuncung ke arah Arisha.

Arisha yang kekenyangan selepas menyusu, tertidur di pangkuan ibunya. Mulut comelnya ternganga menampakkan gigi hadapannya yang baru tumbuh dua batang. Perlahan-lahan Ainin mengangkat tubuh montel anaknya dan direbahkan ke dalam buaian yang terletak di tengah rumah.

Selepasmakan tengah hari dan bersolat zuhur, Ainin bersiap untuk kembali ke rumah Hajah Fauziah.

“Mak tak payah buat apa-apa dulu. Malam nanti, Aininmasak sambal tumis. Kalau ada masa, mak tolong kupaskan bawang dulu. Ainin balik nanti, senang tinggal tumis aje. Kuih-kuih tu tunggu Ainin balik. Nanti kita buat sama-sama,” pesannya sebelum menghidupkan enjin motosikal.

Mak Ipah mengangguk. Beberapa minit kemudian, motosikal Ainin Sofiya berlalu meninggalkannya keseorangan di tengah halaman rumah.

Tegak telinga Ainin mendengar bunyi pintu pagar dibuka orang. Beberapa minit selepas itu, kedengaran enjin kereta masuk ke halaman rumah. Dia yang sedang melipat kain baju di ruang tamu, terus bangun menuju ke pintu dan membukanya. Enjin kereta dimatikan. Tidak lama kemudian, keluar Hajah Fauziah dari perut kereta Honda Accord berwarna kuning keemasan.

Tersenyum manis Hajah Fauziah melihat Ainin di muka pintu.

“Awak apa khabar, Ainin?” tanya Hajah Fauziah, memandang sekilas wajah Ainin sebelum membongkokkan badan, mengambil beg tangan danbriefcase dari tempat duduk sebelah pemandu.

“Baik-baik aje, puan hajah,” jawab Ainin, membalas senyuman Hajah Fauziah.

“Macam mana kerja?” tanya Hajah Fauziah lagi. Mahu bersikap seramah mungkin dengan pembantu rumah barunya agar tidak dicap sombong.

“Okeylah...” jawab Ainin meleret panjang. Tersenyum malu memandang muka majikannya.

“Dengar macam tak okey aje,” usik Hajah Fauziah. Tersenyum lebar dia mendengar bunyi ketawa mesra keluar daripada mulut Ainin Sofiya.

“Hisy, taklah, puan hajah. Saya suka kerja kat sini,” jawab Ainin ikhlas. Memang itu pun perasaan sebenarnya.

“Baguslah kalau macam tu. Saya kalau boleh nak awak lama kerja kat sini.”

Ainin Sofiya mengangguk faham.

Hajah Fauziah melangkah masuk ke ruang tamu. Bagai disuruh-suruh, sepasang matanya membelingas memerhati sekeliling. Mahu memeriksa hasil kerja Ainin. Nampak bersih dan kemas, pujinya di dalam hati. Lapang rasa dada apabila memijak lantai mozek yang licin berkilat, tidak kesat dan berhabuk macam selalu. Permukaan meja dan almari antik juga kelihatan bersih tanpa sebarang debu. Tersenyum puas dia melihatnya.

“Saya tengah lipat kain baju ni. Tinggal sikit lagi. Siap nanti saya bawa naik atas. Puan hajah nak minum ke?” tanya Ainin yang terperasan akan Hajah Fauziah yang terjenguk-jenguk memandang sekeliling. Faham wanita itu sekarang sedang menilai prestasi tugasnya pada hari pertama bekerja.

“Boleh juga,” jawab Hajah Fauziah sambil duduk melepaskan lelah di sofa.

“Puan hajah nak air sejuk atau panas? Kalau nak minum kopi, saya dah bancuh. Ada atas meja. Puan hajah nak minum kopi ke?” tanya Ainin Sofiya lagi.

“Kopi tu biarlah dulu, Ainin. Nanti saya minum. Awak tolong ambilkan saya air suam,” pinta Hajah Fauziah yang tidak suka minuman sejuk kerana takut diserang lemah-lemah badan. Maklumlah, umurnya semakin meningkat. Segala jenis makanan yang masuk ke perut kena diawasi selalu.

Ainin mengangguk dan bergerak ke dapur. Sejurus kemudian, dia keluar semula dengan segelas air suam di tangan. Diletakkan di atas meja di hadapan Hajah Fauziah.

“Terima kasih,” ucap Hajah Fauziah. Air suam diteguk sedikit. Gelas diletakkan kembali ke atas piring alas. “Dah masak?” tanyanya. Soalan biasa yang sering ditanya kepada pembantu rumahnya apabila pulang dari kerja.

“Dah,” jawab Ainin ringkas.

“Masak apa?”

“Saya masak asam pedas ikan tenggiri, ayam goreng dan sayur kubis goreng. Lepas tu saya buat sambal belacan. Ada ikan masin dalam peti ais, saya goreng juga. Cukup tak lauk tu, puan hajah?” tanya Ainin serba salah. Bimbang kalau-kalau Hajah Fauziah tidak berkenan dengan lauk yang dimasaknya. Takut terkurang atau terlebih. Baginya, lauk-pauk itu sudah lebih daripada cukup. Kalau di rumahnya, cukup setakat dua jenis lauk saja. Itu pun dia sudah terlalu bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.

“Cukup sangat tu. Awak dah makan?” tanya Hajah Fauziah. Risau jika sampai ke petang begini, sebutir nasi pun belum masuk ke perut Ainin.

“Dah!”

“Awak makan kat mana? Kat rumah awak ke?”

“Err... ya!” jawab Ainin teragak-agak sedikit.

“Kenapa makan kat rumah? Lain kali makan kat sini aje. Semalam saya terlupa pesan pada awak supaya makan dulu sebelum balik,” kata Hajah Fauziah sambil tersenyum memandang Ainin.

Ainin yang menyambung melipat pakaian, hanya mengangguk. “Saya angkat baju-baju ni naik atas dulu ya, puan hajah?”

“Yalah. Oh ya, Ainin...” panggil Hajah Fauziah yang masih belum habis berpesan kepada pembantu rumah barunya.

Ainin Sofiya yang baru hendak melangkah dengan satu bakul penuh kain baju yang sudah dilipat, menoleh memandang majikannya.

“Ada lagi tak kerja yang awak belum buat?” tanya Hajah Fauziah.

“Err... rasanya semua kerja yang puan hajah cakap semalam, saya dah siapkan,” jawab Ainin yakin.

“Kalau macam tu, lepas simpan baju kat bilik, awak boleh terus balik. Kesian anak awak kat rumah. Mesti dah lapar, nak menyusu dengan ibu dia,” kata Hajah Fauziah, penuh prihatin.

“Terima kasih, puan hajah,” ucap Ainin gembira. Apa tidaknya, dia boleh balik ke rumah lebih awal dari yang dijangkakan.

Selepas menyimpan pakaian di tingkat atas, Ainin turun ke bawah, menuju ke biliknya. Beg hitam bertali panjang berisi telekung dan sepasang pakaian ganti, dicapai dan disangkutkan ke bahu. Kemudian, dia keluar semula mendapatkan Hajah Fauziah yang sedang minum kopi di meja makan.

“Saya balik dulu, puan hajah,” kata Ainin. Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan Hajah Fauziah.

“Yalah. Bawa motor tu baik-baik,” pesan Hajah Fauziah seperti berpesan kepada anak sendiri.

Ainin yang sememangnya tidak banyak cakap hanya tersenyum memandang muka wanita yang umurnya lebih kurang sebaya emaknya.

Belum sempat dia menghidupkan enjin motosikal, kelihatan sebuah kereta Kelisa masuk ke dalamporch. Tentu ini anak gadis Hajah Fauziah yang belajar di UKM. Ainin sempat melemparkan senyuman pada Farhana yang masih belum keluar dari keretanya.

Farhana tersengih membalas. Apabila enjin motosikal berjaya dihidupkan, barulah Ainin keluar dari halaman rumah besar dua tingkat itu.

Kembang kempis hidung Hajah Fauziah mencium bau kuah asam pedas ikan tenggiri bercampur bunga kantan yang baru dipanaskan di atas dapur. Baunya saja sudah menyengat. Hatinya memuji tatkala menceduknya ke dalam mangkuk kaca. Mangkuk kaca itu kemudiannya dibawa ke meja makan dan diletakkan bersebelahan dengan pinggan berisi ayam goreng kunyit, sayur kubis goreng, sambal belacan dan ikan masin. Makan malam ini sudah pasti menyelerakan. Hatinya berkata-kata sendiri.

“Mari makan!” Hajah Fauziah memanggil ahli keluarganya yang sedang menonton siaran Buletin Utama di kaca televisyen.

“Sedap bau ni, umi. Umi masak apa ni?” puji Ziyad yang menghidu bau enak masakan dari ruang tamu. Namun, masih belum bergerak ke meja makan.

“Umi tak masak. Ainin yang masak. Malam ni Ainin masak ikan tenggiri masak asam pedas. Baunya saja dah menyengat. Jom makan. Abang, mari makan sama.” Hajah Fauziah seakan-akan sudah tidak sabar mahu merasai asam pedas ikan tenggiri hasil air tangan pembantu rumah barunya.

“Kejap lagi. Saya nak habiskan tengok berita dulu,” balas Haji Marzuki dengan mata tunak memandang ke skrin televisyen yang sedang memaparkan berita sukan.

“Muda lagi Ainin tu, umi. Macam sebaya Hana aje. Entah-entah lebih muda dari Hana tak?” kata Farhana apabila teringatkan pertemuan sekilas dengan Ainin Sofiya petang tadi.

“Umurnya memang lebih kurang Hana,” ujar Hajah Fauziah mengiakan telahan anak perempuannya.

“Kesiannya dia. Muda-muda lagi dah jadi janda. Cantik macam itu pun kena cerai dengan suami juga? Eeii... orang lelaki ni memang tak patut. Nak cari bini yang cantik macam mana lagi agaknya?” Terpacul rungutan itu daripada bibir Farhana. Selamba saja wajahnya ketika menuturkan kata-kata itu.

Si abang yang mendengar omelan adiknya, menjeling tajam. Berdesing juga telinganya menelan kata-kata itu yang ditujukan kepada kaum Adam secara umum walaupun sedar ia keluar daripada mulut Farhana tanpa dirancang.

Begitupun, dia berasa lega kerana Farhana secara tidak langsung telah menyuarakan persoalan yang ingin diketahuinya tentang diri Ainin kepada umi. Jadi tidak perlulah dia merisik daripada umi atau tuan punya diri lagi.

“Kalau tak tahu apa-apa, jangan main cakap aje. Ainin tu bukannya kena cerai dengan suami. Tapi suami dia meninggal. Kiranya dia ni balu bukannya janda. Lelaki mana nak ceraikan isteri cantik macam tu? Sudahlah cantik, rajin pulak buat kerja-kerja rumah. Bukannya macam anak dara umi ni,” sindir Hajah Fauziah sambil menjeling Farhana. Puas hatinya melihat wajah anak perempuannya sudah bertukar masam-masam kelat.

Panjang muncung Farhana diperli umi. “Alah... umi ni. Dia memanglah kena rajin buat kerja rumah. Dah memang kerja dia. Lainlah macam Hana ni. Mana ada masa nak belajar lagi... nak buatassignment lagi...”

“Hah... yalah tu. Carilah alasan banyak-banyak. Tak malu ke dengan mak mentua kalau dah kahwin nanti, masih tak pandai masak?” rungut Hajah Fauziah lalu menampar bahu anaknya.

“Alah... nanti dah bertunang, Hana belajarlah masak.” Seperti biasa Farhana bijak mencari alasan untuk menangkis kata-kata umi.

“Dah pandai sebut pasal bertunang ni, dah ada calonnya ke?” usik Hajah Fauziah, tersenyum-senyum memandang Farhana.

“Hisy, umi ni... mana ada? Orang nak belajar lagilah. Lepas dapatdegree ni, Hana ingat nak kerja beberapa tahun. Lepas tu nak sambung belajar lagi sampai dapat jadi macam abah,” balas Farhana yang sememangnya bercita-cita besar. Ingin menggapai impian menjadi seorang doktor pakar bedah seperti ayahnya.

“Baguslah... jangan hangat-hangat tahi ayam. Takut bila dah kerja nanti, sibuk nak kahwin pulak. Bila dah kahwin, anak-anak dah keliling pinggang, jangan harap nak sambung belajar,” omel Hajah Fauziah lagi.

“Betul... betul... betul...” sampuk Ziyad mengajukkan gaya bercakap Upin dan Ipin, watak animasi yang popular ketika ini. Dia tersengih mendengar perbualan umi bersama adiknya. Mereka berdua itu memang selalu bertekak. Umi kalau sehari tidak menyakat Farhana, macam tidak lengkap hidupnya. Begitupun, Ziyad tidak jemu menjadi juri yang selalu meleraikan perbalahan dua beranak itu. Hidup mereka sekeluarga meriah dengan gurau senda yang tercipta. Untung ada Farhana. Agaknya kalau tidak ada Farhana yang becok mulutnya, hidup mereka sekeluarga pasti sunyi sepi.

Biarpun sedang bersembang dengan keluarga, benak Ziyad tidak dapat lari daripada memikirkan Ainin Sofiya. Oh, rupa-rupanya dia balu! detiknya dalam hati. Sudah lamakah suaminya meninggal dunia? Apa pekerjaan arwah suaminya dulu sampaikan tiada langsung meninggalkan sedikit harta untuk bekalan isteri tersayang? Kasihan dia, terpaksa meneruskan kehidupan dengan menanggung anak yang belum tahu apa-apa. Mujur anaknya seorang. Kalau anaknya berderet-deret macam gerabak kereta api, bukankah menjadi masalah besar bagi Ainin Sofiya?

“Eh, jomlah makan. Lambat nanti, sejuk pulak lauk yang umi dah panaskan ni.”

Serentak dengan itu, semuanya bangun menurut langkah Hajah Fauziah menuju ke ruang makan.

“Bolehtahan juga budak Ainin ni masak. Terasa semua asam garamnya,” puji Haji Marzuki setelah menelan dua, tiga suap nasi berkuahkan asam pedas ikan tenggiri. Dia yang susah mahu memuji orang, tidak teragak-agak memuji Ainin Sofiya.

“Yalah, abah.” Ziyad mengiakan. Berselera dia makan malam ini kerana lauk kegemarannya terhidang di hadapan mata. Lebih-lebih lagi ada sambal belacan dan ulam timun. Semakin laju dia menyuap nasi ke mulut.

“Baik-baik, abang long.Controlmakan sikit. Nanti kalau perut dah boroi, Kak Naz pun mesti tak nak kat abang long lagi. Baik dia cari mamat yang lebihhandsome daripada abang long.” Sewaktu makan pun sempat lagi Farhana menyakat abangnya.

“Tak... abang tahu Kak Naz akan setia pada abang walaupun abang dah tak handsome. Kak Naz sayangkan abang,” jawab Ziyad bersahaja tanpa menghiraukan renungan tajam umi yang duduk di hadapannya.

“Dah... tengah-tengah makan, jangan sebut pasal sayang-sayang,” marah Hajah Fauziah, tidak berkenan dengan perangai Ziyad yang asyik memuji buah hatinya walaupun di meja makan.

Terdiam Ziyad dan Farhana mendengar teguran umi.

“Cuti semester nanti, umi nak suruh Hana ambil kursus,” saran Hajah Fauziah tanpa memandang wajah Farhana.

“Kursus apa, umi?” Farhana tidak faham.

Tiba-tiba saja umi menyebut tentang kursus. Kursus perkahwinankah? Kalau kursus perkahwinan, Farhana belum bersedia untuk menghadirinya. Macam mana hendak menikah jika calon pengantin lelaki pun masih belum ada? Yang ada di sekeliling Farhana hanya teman-teman rapat seperti Shairil, Haiqal dan Hanif Tarmidzi. Hanif Tarmidzi itu hendak diangkat menjadi calon suaminya? Huh! Tak ingin aku! Perangai mengalahkan budak-budak!

“Kursus memasak dengan Ainin,” jawab Hajah Fauziah selamba.

“Kursus memasak? Tak naklah, umi!” Awal-awal Farhana sudah menolaknya. Apa tidaknya, disuruh belajar memasak dengan guru tidak bertauliah seperti Ainin Sofiya. Budak itu pun entah-entah bukannya pandai sangat memasak, kutuknya di dalam hati. Setakat memasak lauk-lauk biasa bolehlah. Cuba kalau disuruh memasakwestern food, mahu pucat mukanya. Umi ni memang tak patut! Kalau ya pun mahu dia belajar memasak, hantarlah berkursus dengan chef yang profesional sikit! Hatinya merungut geram.

“Belajar masakan yang mudah-mudah dengan Ainin. Kalau kahwin nanti, tak adalah malu sangat pada mak mentua!” sambung Hajah Fauziah yang sengaja mahu menyesakkan fikiran Farhana dengan idea bernasnya.

“Daripada belajar dengan dia, baik Hana belajar masak dengan umi!” jawab Farhana yang masih mahu berkeras menolak cadangan umi.

“Nak belajar masak dengan umi? Hai... telinga umi ni tak salah dengar ke? Selama ni umi ajak ke dapur, Hana buat tak reti aje,” rungut Hajah Fauziah yang sudah selesai makan dan kini sedang mencuci tangannya.

“Oh... tu selalunya Hana ada hal,” jawab Farhana sambil tersenyum-senyum mahu menyembunyikan perasaan malunya akibat disindir umi.

“Yalah tu. Memanjang ada hal. Cuba kalauweekend tu duduk kat rumah. Ni asyik merayap. Hari minggu ni duduk rumah. Tolong umi masak.”

“Eeii... apa pulak umi ni. Kan dah ada Ainin?”

“Hari Ahad, Ainin tak kerja. Dia cuti hari Ahad.”

“Aik, peliknya! Kerja orang gaji pun ada cuti-cuti ke?”

“Eh, yalah. Ainin tu bukannyafull time jadi orang gaji. Ni kerja part-time dia aje.”

Rasa mahu tersembur nasi di dalam mulut Farhana mendengar penjelasan umi. Kelakar pun ada. Kerja pembantu rumah pun adafull-time danpart-time jugakah? fikirnya geli hati.

“Habis tu kerjafull-time dia apa, umi?” tanya Farhana setelah meneguk air sedikit.

“Hisy, jangan menyibuk tanya hal orang. Lepas ni kemas meja ni. Lepas tu cuci pinggan,” arah Hajah Fauziah sambil bangun menyertai suaminya yang sudah terlebih dahulu melangkah ke ruang tamu.

“Yalah...” jawab Farhana, acuh tidak acuh.

Ziyad yang sedang mengesat tangan dengan kertas tisu merenung jauh ke hadapan. Pembantu rumahnya bercuti hujung minggu? Dia berfikir sambil tersenyum sendiri. Banyak benar syarat Ainin Sofiya ketika bekerja di sini. Sudahlah masuk kerja lewat, balik hendak cepat. Sudahlah begitu, dapat pula bercuti pada hujung minggu. Hmm…banyak kerenah betul si Ainin ni. Kalau tahu macam ni, baik ambil maid Indonesia. Walaupun tidak begitu mahir, sekurang-kurangnya mereka tak adalah banyak songehnya macam si Ainin ni. Barulah kena dengan batang hidung umi yang cerewet. Siapa suruh berkeras mahu mengambil pembantu rumah orang tempatan? Biar umi rasa!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku