Asam Pedas Untuk Dia
Bab 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Januari 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan. Anda dapat memilikinya dalam naskhah cetak di Karangkraf Mall dan naskhah digital di eMall Karangkraf. Setiap pembelian akan mendapat diskaun harga yang menarik.
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
11385

Bacaan






Pulang daripada melawat tapak pembinaan di Bandar Sri Kembangan, Ziyad dan Shafinaz berjalan menuju ke kereta Honda CRV milik Ziyad. Mereka sudah berjanji mahu makan tengah hari bersama. Sudah beberapa hari Ziyad tidak menatap muka Shafinaz kerana buah hatinya itu terlalu sibuk akhir-akhir ini. Dapat saja peluang bertemu Shafinaz, dia terus menyambar kesempatan itu untuk berkepit dengan kekasihnya itu. Laju dipandu keretanya menghala ke Putrajaya.

“Younak makan apa?” tanya Ziyad sebaik sahaja mereka sudah duduk selesa di meja paling hujung di Restoran Terapung Bayu Tasik.

“Tak kisahlah. Youorder aje apa-apa. I ikut you. I makan apa aje yang you makan,” jawab Shafinaz sambil tersenyum manis memandang wajah pemuda di hadapannya.

“Iorder chicken chop,ya? I tahu you suka chicken chop,” cadang Ziyad.

Shafinaz mengangguk. Bersetuju dengan cadangan Ziyad.

Setelah memesan makanan, mereka berdua berbual-bual kosong. Mereka berdua berkenalan pada bulan September tiga tahun lalu. Ketika itu firma arkitek kepunyaan Ziyad dilantik menjadi panel perunding bagi Majujaya Permai Holdings, syarikat pembinaan milik Datuk Majid, ayah Shafinaz. Oleh kerana sering bertemu atas urusan kerja, mereka menjadi rapat dan akhirnya berputiklah kasih di hati mereka berdua.

Shafinaz sayangkan Ziyad dan dia tahu pemuda itu menyayanginya sepenuh hati. Sudah beberapa kali Ziyad melahirkan hasrat mahu menyuntingnya menjadi suri di taman hati, cuma… entahlah. Hatinya belum terbuka untuk berumah tangga. Dia belum puas menikmati masa mudanya.

Dia bimbang bila sudah terikat dengan ikatan perkahwinan, kaki dan tangannya turut dirantai sama. Lebih-lebih lagi bila mendapat suami seperti Ziyad yang warak sedikit orangnya. Kalau bertemunya, asyik bercakap soal etika berpakaian dan dosa meninggalkan solat. Walaupun dinyatakan secara bersenda, dia merasakan kata-kata itu ditujukan kepadanya walaupun tidak secara langsung. Itu yang membuatkan telinga dan hatinya sering hangat setiap kali bertemu Ziyad.

“Cantik you hari ni. I suka tengok you pakai macam ni. Tapi kalau you pakai baju kurung, lagi tak berkelip mata I tengok you,” puji Ziyad sambil merenung lama tubuh Shafinaz yang disaluti blaus berenda berwarna putih dan berseluar panjang berwarna hitam.

Thank you,” jawab Shafinaz sambil tersenyum kelat.Ziyad dah mula nak berceramah, getus hatinya dengan kepala menunduk sedikit memerhati penampilannya sendiri. Memanglah hari ini dia berpakaian agak ranggi sedikit kerana sudah merancang lebih awal untuk melawat ke tapak pembinaan. Takkan pula hendak memakai skirt pendek atas lutut? Bukankah tidak kena pada tempatnya? Pakai baju kurung? Lagilah nampak janggal!

“Kalau I pakai skirt pendek, you tak suka ke tengok?” tanya Shafinaz. Sengaja mahu menyakat Ziyad.

“Suka. Kalau I kata tak suka, bohonglah namanya tu. Tapi I lebih suka kalau dapat tengok sorang-sorang aje. Tak naklah kongsi-kongsi dengan lelaki lain,” jawab Ziyad berkias. Harap-harap Shafinaz yang bijak dapat menelah apa yang tersirat di sebalik kata-katanya.

“Hmm… I faham maksud you. You nak suruh I tutup aurat, pakai baju kurung, kan? Lepas tu pakai tudung, kan?” Shafinaz ketawa menyembunyikan rasa tidak selesanya dengan perbualan mereka. Terpamer sebaris gigi yang putih bersih dan tersusun rapi dikala dia tertawa.

“Betullah tu. Pandai you teka. I nakwife I macam tu, pakai seksi-seksi hanya untuk tatapan suami aje.”

Kata-kata Ziyad sudah lebih terbuka. Mengingatkan kata-kata umi yang mahukannya menegur etika berpakaian buah hatinya ini, membikin hati Ziyad tidak tenteram. Selagi tidak menyampaikannya kepada Shafinaz, selagi itulah perasaannya tidak keruan. Berdebar juga hatinya menunggu reaksi si buah hati yang berambut ikal berombak hingga ke bahu itu.

“Nantilah, bila kita dah kahwin nanti, I jadilah macam yang you nak tu,” ujar Shafinaz ambil mudah. Malas sebenarnya dia mahu melayan Ziyad.

Sejak akhir-akhir ini perangai Ziyad ketara benar perubahannya. Suka sangat bercakap yang bukan-bukan. Dulu cuma setakat mengusik dan menyakat, dia masih boleh terima. Sekarang ini, Ziyad sudah tidak pandai berselindung, terus kepada maksud asalnya. Ziyad mahu aku berkelubung dan hanya nampak muka? Hisy! Boleh ke aku jadi macam tu? Tak terkejut ke papa dan mama nanti? Hatinya bermonolog sendiri.

“Hmm… bercakap pasal kahwin, bila I boleh masuk meminang ni? Umi I dah bising, suruh cepat-cepat pinang you,” kata Ziyad, pantas menyampaikan hajat di hati.

Shafinaz sudah membuka cerita bab kahwin, Ziyad pun tidak tunggu lagi terus bijak menyambar peluang.

“Nantilah. Kan I dah cakap, I tengah sibuk sekarang ni?” Shafinaz memberikan alasan yang pada pemikirannya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas itu.

“Apa salahnya kalau you sibuk? Kita bukannya nak terus kahwin. Nak bertunang aje. I dah tak sabar nak ikat you. I takut you kena sambar dengan orang lain. Berputih mata I nanti,” pujuk Ziyad, meluahkan hasrat yang menggebu di hati.

“Tunggulah, Ziyad. I belum bincang dengan papa I lagi.” Shafinaz serba salah dan semakin tidak selesa didesak Ziyad.

“Kalau macam tu, biar I aje yang cakapkan dengan papa you,” cadang Ziyad yang sudah tidak sabar-sabar mahu memiliki gadis idaman hati.

“Sabarlah dulu, Ziyad,” sahut Shafinaz tidak berdaya didesak Ziyad.

“You memang belum pernah bincangkan hal kita dengan papa you, kan? You sebenarnya belum bersedia untuk jadi isteri I? Ataupun di hati you tu dah ada orang lain?” terjah Ziyad sambil merenung tajam muka Shafinaz.

“Tak… tak… tak ada sesiapa di hati I, Ziyad. You jangan salah sangka.”

“Habis tu... kenapa you bertangguh lagi? Dah tiga tahun kita berkawan tau. I memang betul-betul serius nak jadikan you isteri I.”

“Nantilah… okey, lepas ni I janji I akan bincang dengan papa I,” putus Shafinaz, menabur janji kepada kekasih hatinya.

“Betul ni, sayang?” tanya Ziyad cepat.

Shafinaz mengangguk. Seperti biasa, mengumpan Ziyad dengan janji dan senyuman manisnya. Namun, hatinya turut berbunga-bunga mendengar Ziyad memanggilnya ‘sayang’.

Makanan yang dipesan tiba. Dihantar oleh seorang pelayan perempuan yang memakai tudung hitam. Manis dan lemah lembut orangnya.

“Haa… cuba tengok macam gadis tadi tu. Kan manis kalau pakai tudung macam tu?” kata Ziyad bila gadis bertudung hitam sudah lenyap daripada pandangan.

Merengus Shafinaz mendengarnya. Tidak gemar diri dibanding-bandingkan dengan orang lain.

“Kalau macam tu you kahwin ajelah dengan dia. Buat apa buang masa tunggu I?” rungut Shafinaz dengan muka cemberut.

“Hai, sayang marah ya? Janganlah marah. I gurau ajelah,” sambut Ziyad yang mula tidak keruan melihat muka Shafinaz sudah berubah masam-masam kelat.

Telefon bimbit di dalam beg tangan yang terletak di kerusi sebelah, tiba-tiba berbunyi. Tangan Shafinaz menggagau ke dalam beg tangannya, mencari peranti yang menjerit-jerit minta dijawab. Melihat nama Khairil Anwar tertera pada atas skrin telefon, dia terus menekan butang senyap. Dibiarkan saja panggilan daripada Khairil Anwar tidak dijawab.

“Siapa tu? Kenapa tak jawab?” tanya Ziyad hairan.

“Klien. Malaslah nak jawab. Kejap lagi I call balik,” balas Shafinaz dengan wajah serba salahnya kerana terpaksa berbohong pada Ziyad.

Melihat Ziyad tidak bertanya lebih lanjut, dia menarik nafas lega. Terbayang wajah Khairil Anwar, anak kenalan mama yang diperkenalkan kepadanya sewaktu makan malam di sebuah hotel dua hari lepas.

Mengapa agaknya dia menelefon lagi? Tak faham bahasa ke? Dah cakap aku tak nak berkawan, buat apa dia sibuk-sibuk telefon aku lagi? Hati Shafinaz berbisik curiga. Tergambar wajah pemuda bermisai nipis dengan lagak kasanovanya itu. Meluat dia mengingatkannya. Wajah Ziyad yang kacak dan sentiasa tenang itu ditatap lama-lama. Dia inilah pilihanku tetapi kenapa hatiku masih berbolak-balik untuk menerimanya? Entahlah… Dia mengeluh di dalam hati.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku