Asam Pedas Untuk Dia
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Januari 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan. Anda dapat memilikinya dalam naskhah cetak di Karangkraf Mall dan naskhah digital di eMall Karangkraf. Setiap pembelian akan mendapat diskaun harga yang menarik.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
12266

Bacaan






Ziyad pulang ke rumah apabila waktu maghrib sudah hampir ke penghujungnya. Terkejut

sedikit dia bila melihat Ainin sedang duduk di ruang tamu dengan beg sandang di

bahunya.

“Awak tak balik lagi?” tanya Ziyad.

“Belum lagi, Ziyad. Motosikal Ainin tak bolehstart. Umi tunggu Ziyad, nak suruh hantarkan Ainin balik,” celah Hajah Fauziah dari dapur, menjawab bagi pihak Ainin.

“Hana tak balik lagi?” tanya Ziyad. Berat hati mahu menunaikan permintaan uminya. Hasratnya mahu melepaskan tanggungjawab itu kepada adiknya pula.

“Belum lagi. Katanya tadi nakstay back kat bilik kawan dia kejap. Malam ni adastudy group. Abah pulakon callmalam ni. Ziyad tolong hantarkan Ainin balik, ya? Kesian mak dengan anak dia. Mesti risaukan dia, sampai sekarang tak balik-balik lagi,” pinta Hajah Fauziah lembut.

“Kalau macam tu, tunggu kejap. Ziyad solat dulu,” kata Ziyad sambil memandang muka Ainin sekilas kemudian berpaling memandang umi.

“Jangan lama-lama. Tak payah mandi dulu,” arah Hajah Fauziah dengan mata memandang ke arah anak bujangnya yang sedang menaiki tangga menuju ke tingkat atas.

Ziyad tidak menjawab. Serius mukanya mendaki anak-anak tangga sambil menjinjitbriefcasenya.

Ainin duduk membatukan diri di ruang tamu. Hatinya rasa tidak selesa kerana terpaksa menyusahkan Ziyad. Melihat riak pada wajah Ziyad tadi, seperti tidak ikhlas hendak menurut arahan uminya. Apa tidaknya, orang penat-penat balik kerja mahu berehat, disuruh pula menghantar orang gaji balik ke rumah.

Kalau tahu, motosikal buruk tu akan buat hal, aku dah suruh Amin hantar aku tadi. Dia mengeluh di dalam hati, penuh rasa kesal. Dia bimbang mahu berdepan dengan muka Ziyad yang seperti asam kelubi.

Tidak sampai sepuluh minit, Ziyad turun semula dengan pakaian sama masih melekat pada badan. Tentu Ziyad belum mandi. Hanya sempat bersolat maghrib.

“Hah… cepat pun siap. Dah… lekas hantar Ainin ni balik. Dah melalak agaknya anak dia kat rumah,” kata Hajah Fauziah yang duduk sama dengan Ainin di ruang tamu.

“Jomlah, saya hantar awak,” ajak Ziyad. Memaniskan muka memandang Ainin.

Ainin mengangguk. Selepas bersalaman dengan Hajah Fauziah, dia menuruti langkah Ziyad hingga ke halaman rumah.

Enjin kereta dihidupkan. Ziyad yang cepat mahu menyelesaikan masalah Ainin tertangguh hasratnya untuk menurunkan brek tangan apabila melihat wanita itu masih berdiri terpacak macam patung.

“Apasal awak tercegat kat situ? Cepatlah masuk,” arah Ziyad dengan muka masam. Dia ni betul-betul menyusahkan aku! Dah tahu motosikal tu patut dicampak ke kedai besi buruk, masih juga nak ditunggang ke hulu ke hilir. Bila dah rosak, aku juga yang kena tanggung balanya. Hatinya terdetik geram.

“Macam mana dengan motosikal saya ni? Takkan nak tinggalkan kat sini?” Ainin menghamparkan suara hatinya.

“Biar ajelah kat sini. Tak hilang pun. Tak ada siapa pun yang nak curi motosikal antik awak tu,” perli Ziyad dari dalam kereta.

“Tapi…”

“Awak nak suruh saya baiki ke? Minta maaf, saya bukan mekanik. Ataupun awak nak saya hantar motosikal buruk awak ni ke rumah awak? Saya tak kuasa. Kalau awak bawa balik motosikal ni pun bukannya boleh baiki malam ni. Dah, tak payah fikir lagi. Esok saya panggil mekanik, tengok-tengokkan motosikal kesayangan awak tu,” arah Ziyad dengan muka tambah berkerut.

Sudahlah badannya letih kerana baru pulang dari kerja, sudah dipaksa melayan kerenah pembantu rumah yang mengada-ngada.

Mendengar nada suara Ziyad sudah berubah lain macam, Ainin tidak jadi mahu meneruskan kata. Pintu kereta dibuka dan dia duduk di sebelah Ziyad.

Kereta mula bergerak meninggalkan halaman rumah menuju ke Kampung Seri Menanti yang terletak di kawasan Puchong.

“Esok, awak tak payah kerja. Nanti saya bagitahu umi saya, awak ambil cuti esok,” ujar Ziyad tanpa memandang Ainin pun.

“Kenapa pulak?”Ainin tidak mahu bercuti kerana bimbang gajinya dipotong. Gaji yang diterima bukannya banyak sangat. Tidak seperti gaji pembantu rumah lain. Kalau dipotong, berapa ringgit sangatlah yang akan diterimanya nanti?

“Dah tu awak nak pergi rumah saya dengan apa? Motosikal awak tu kan rosak?” Ziyad mendengus tidak faham.

“Tak apa. Esok, saya boleh suruh anak jiran saya tolong hantarkan,” putus Ainin. Memandang Ziyad sekilas sebelum membuang pandang ke luar tingkap.

“Ikut suka hati awaklah,” tukas Ziyad. Malas meneruskan perbualan dengan Ainin. Orang bagi cuti suruh rehat kat rumah, tak mahu, rungutnya di dalam hati.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku