Asam Pedas Untuk Dia
Bab 12
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Januari 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan. Anda dapat memilikinya dalam naskhah cetak di Karangkraf Mall dan naskhah digital di eMall Karangkraf. Setiap pembelian akan mendapat diskaun harga yang menarik.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
11974

Bacaan






Sebaik sahaja masuk ke rumah Hajah Fauziah dan terlihat Ziyad sedang duduk santai di ruang tamu, Ainin terus menuju ke arahnya. Berdiri betul-betul di hadapan Ziyad dengan muka tegang semacam.

“Berapa sebenarnya gaji saya sebulan?” tanya Ainin dengan tangan kanan menyeluk poket seluar panjangnya.

Ziyad yang sedang menonton rancangan Malaysia Hari Ini di TV3, mengalih pandang ke wajah Ainin. Hari ini Ainin nampak lain sedikit apabila mengenakan blaus berwarna merah jambu berbunga kecil-kecil. Cantik! Dia sempat memuji dalam hati.

“Kenapa?” soalnya sambil lewa. Matanya mendongak ke wajah Ainin yang sedang berdiri terpacak di hadapannya.

“Saya saja nak tahu. Berapa sebenarnya gaji saya sebulan?” ulang Ainin Sofiya tidak puas hati bila Ziyad bersikap acuh tidak acuh.

“Entah. Saya bagi ikut suka hati saya. Kalau saya puas hati dengan khidmat awak, saya bagi lebih. Kalau tak, awak dapat ciput ajelah,” jawab Ziyad selamba.

Ziyad sebenarnya sengaja mahu mengusik Ainin. Puas rasa hati Ziyad melihat wajah cerah milik wanita di hadapannya sudah bertukar jadi merah padam.

“Encik Ziyad ni kenapa? Apa yang Encik Ziyad tak puas hati sangat dengan saya? Dari hari tu lagi, Encik Ziyad selalu cari pasal dengan saya. Encik Ziyad tak suka saya bekerja di sini ke? Kalau tak suka, cakap terus terang! Saya boleh berhenti!” bentak Ainin. Tidak gentar langsung berhadapan dengan anak majikan yang suka sangat bercakap ikut sedap mulut. Harap muka saja kacak, tapi perangainya duduk di tahap paling bawah. Macam manalahgirlfrienddia boleh tahan dengan perangai dia ni?

Ataupun dengan kekasihnya, perangai Ziyad boleh berputar 180 darjah. Baik sangat sampai pijak semut pun tak mati. Huh!

“Siapa kata saya tak suka awak kerja kat sini? Saya suka. Umi dan abah saya pun suka. Pandai mengemas dan memasak. Mana nak cari pembantu rumah yang pandai masak macam awak? Kalau awak masak lauk asam pedas, hmm... hotel lima bintang pun kalah. Sayang kalau berhentikan pembantu rumah bagus macam awak.” Selepas menyakat, Ziyad mengipas Ainin.

Kembang kuncup hati Ainin mendengar pujian yang melambung tinggi itu. Untuk seketika, terbang semua rasa marah yang mengocak dada. Muka yang tegang terus bertukar menjadi merah jambu. Terkebil-kebil matanya memandang Ziyad. Malu sungguh bila dipuji-puji begitu.

“Jadi sekarang berapa sebenarnya gaji saya?’ Ainin mengulang soalan yang belum ditemui jawapannya.

“Kan saya dah cakap tadi... kalau saya...”

“Saya nak jawapan yang betul, Encik Ziyad. Mana ada orang kerja ikut suka hati majikan nak bayar berapa?” potong Aininyang naik angin semula melihat perangai Ziyad yang tidak serius.

“Memang tak ada. Awak seorang aje...”

“Kalau macam tu, ini dah termasuk kes buli. Kalau saya buat aduan nanti, Encik Ziyad jugak yang susah.” Dalam takut-takut beraninya, Ainin cuba mengugut Ziyad.

“Adulah. Awak nak mengadu pada siapa?” sakat Ziyad bersahaja. Di dalam hati, dia berasa lucu melihat wajah comel itu sering bertukar-tukar reaksinya. Sekejap marah. Kemudian tersenyum. Selepas itu mengamuk lagi.

“Pada CUEPECSlah!” Jawapan itu meluncur keluar daripada bibir Ainin tanpa dirancang. Sedar-sedar, Ziyad sudah tergelak besar mendengarnya sehingga menekan-nekan perut. Dia yang melihat gelagatnya terpinga-pinga tidak faham. Aku tersalah sebut ke?

“Awak ni nampak sangat tak baca suratkhabar dan tak tengok berita. CUEPECS tu, sayang... kesatuan yang mewakili pekerja sektor khidmat awam atau lebih mudah kakitangan kerajaan. Awak kakitangan kerajaan ke?” tanya Ziyad sambil ketawa.

Merah muka Ainin mendengar penjelasan Ziyad. Manalah Ainin tahu apa maksud CUEPECS itu. Mendengar orang lain menyebut, dia pun mahu menyebut. Tetapi makna sebenarnya, dia langsung tidak ambil peduli. Betul kata Ziyad, dia tidak menonton siaran berita dan membaca akhbar. Dia tidak mengikuti perkembangan semasa. Hidup macam katak di bawah tempurung. Dunianya hanya tertumpu pada soal mencari wang untuk menampung kehidupan.

Dia terlalu memikirkan sangat tentang dunianya yang sempit sehinggakan dunia sekeliling yang lebih luas tidak diberikan perhatian. Alangkah sedihnya menjadi insan seperti Ainin Sofiya!

“Lain kali kalau nak cakap, kena fikir dulu. Jangan main sebut saja, nanti awak yang malu. Ingat lagi tak apa yang saya cakap dulu? Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Jangan kerana terlepas cakap, awak yang akan binasa nanti,” tutur Ziyad yang secara tidak langsung mahu menasihati Ainin.

“Saya hargai nasihat tu, Encik Ziyad. Kalau Encik Ziyad tak nak cakap berapa gaji saya sebenar, saya pun tak kisah. Tapi...”

“Gaji tetap awak lima ratus ringgit. Awak akan dapat lebih kalau awak kerjaovertime,” pintas Ziyad, cuba bersikap bersahaja bagi menyembunyikan senyuman yang mahu mencelah di bibir. Apa tidaknya, lucu memikirkan tugas pembantu rumah pun adaovertime!

“Apa maksudovertime tu?” tanya Ainin yang berminat mendengar penjelasan Ziyad.

“Senang aje. Kalau awak balik lewat sikit, macam lepas maghrib ke atau lepas isyak, awak akan dapatlah gajiovertime. Sama juga kalau awak bekerja hari minggu, awak dapat juga gajiovertimetu,” terang Ziyad lagi.

“Tapi... yang saya musykil, bulan ni saya tak ada kerjaovertime macam yang Encik Ziyad cakap tu, tapi kenapa Encik Ziyad bayar gaji saya sampai lima ribu ringgit?” soal Ainin dengan mata terbeliak merenung muka Ziyad.

Itu yang mahu ditanyakan Ainin sejak semalam. Baru sebulan dia bekerja di rumah Hajah Fauziah, takkanlah gajinya mengalahkan gaji pegawai bank. Setahu Ainin, gaji pembantu rumah paling banyak pun hanya setakat RM500 saja. Bila diberitahu Ziyad dua hari lepas yang gajinya untuk bulan ini sudah dimasukkan ke dalam bank, dia rasa sangat teruja. Tengahari semalam terus dikerahnya Amin, anak Makcik Senah menghantarnya ke bank. Terkejut bukan main Ainin melihat deretan angka yang terpapar di buku banknya. RM5000! Apa yang terlintas di fikirannya, mungkin Ziyad tersilap memasukkan wang. Lalu semua wang berjumlah RM5000 itu dikeluarkan dengan tujuan untuk memulangkan semula sebahagian besarnya kepada Ziyad.

“Oh... itu. Tu mungkin saya tersilaptransfer. Saya naktransfer lima ratus ke akaun awak tapi mungkin terlebih angka sifarnya. Tapi tak apalah. Awak ambil ajelah. Saya halalkan,” jawab Ziyad sambil pura-pura menumpukan perhatian pada kaca televisyen LCD bersaiz 52 inci.

Dahi Ainin berkerut memandang Ziyad. Mudahnya lelaki ini mencipta alasan. Macam main-main. Adakah orang boleh main-main tentang wang?

“Encik Ziyad jangan nak tipu saya!” balas Ainin geram.

“Siapa kata saya tipu? Apa yang saya kata tu betul. Awak guna saja duit tu untuk keperluan awak. Awak boleh bayar sewa rumah yang dah lima bulan tertunggak tu. Selebihnya, beli motosikal baru. Motosikal awak tu dah layak duduk dalam muzium. Saya tak nak awak tunggang motosikal tu lagi. Bahaya. Buatnya terhenti enjin kat tengah jalan, habis awak kena sondol dengan lori. Awak nak ke mati katak tengah jalan? Lagipun, kalau motosikal awak buat hal lagi, saya juga yang kena hantar awak balik rumah. Lecehlah!” ujar Ziyad dengan muka sengaja dikerutkan.

Berubah muka Ainin mendengar kata-kata Ziyad. Lelaki ini memang berlagak tidak bertempat. Mahu menolong tetapi tidak ikhlas. Ingin membantu tetapi punya agenda tersembunyi. Dia ingat aku kemaruk sangat dengan duit dia tu? Huh!

Ainin menyeluk poket seluar panjangnya. Segumpal not berwarna ungu dikeluarkan. Setelah mengambil lima keping not RM100, wang selebihnya diletakkan di atas meja di hadapan Ziyad.

“Apa ni?” tanya Ziyad pantas dengan mata tajam merenung Ainin.

“Saya tak nak duit Encik Ziyad. Saya ambil mana yang jadi hak saya aje,” kata Ainin sambil berpaling mahu ke dapur.

“Saya ikhlas nak bantu awak. Awak perlukan duit, kan?” Ziyad tdak faham dengan sikap Ainin. Sedar diri susah tetapi menyombong tidak bertempat.

“Saya tak nak duit Encik Ziyad. Tentang masalah saya tu, saya akan ikhtiarkan sendiri,” jawab Ainin lalu berjalan laju menuju ke dapur.

Ziyad bangun. Duit kertas segumpal yang diletakkan Ainin di atas meja tadi diambil lalu mengejar Ainin dari belakang.

“Nak ikhtiar macam mana? Apa lagi ikhtiar yang awak ada? Sewa rumah dah tertunggak lima bulan. Tak bayar nanti, awak akan dihalau keluar dari rumah tu. Mulut awak, anak awak, mak dan adik awak tu kena diisi. Cukup ke dengan gaji lima ratus tu?” serang Ziyad.

“Saya kata saya akan ikhtiarkan,” bantah Ainin sambil berpaling ke arah lain.

Mendengus kuat Ziyad mendengarnya. Wanita yang berdiri di hadapannya ini betul-betul keras hati. Langsung tidak makan dipujuk.

“Okey, awak anggap aje ni sebagai pinjaman. Bila-bila awak ada duit nanti awak bayar. Saya tak kisah pun kalau awak bayar lambat.” Ziyad masih cuba memujuk Ainin menerima bantuannya.

“Pinjaman? Nak tunggu saya ada duit baru bayar? Bila tu? Saya rasa sampai mati pun saya takkan dapat bayar duit Encik Ziyad tu.” Ainin ketawa. Lucu mendengar kata-kata Ziyad yang rela menjadi bank tempatnya meminjam wang.

“Kalau macam tu, awak tak payah bayar. Saya halalkan.”

“Terima kasih, Encik Ziyad. Saya hargai budi baik Encik Ziyad nak menolong saya. Tapi saya tak mahu terbiasa makan budi orang. Kalau Encik Ziyad tolong saya kali ini, masalah saya memang boleh selesai. Tapi selesai untuk hari ni aje. Esok lusa datang lagi masalah yang sama kerana itulah masalah yang perlu ditanggung selama-lamanya oleh orang yang tak berpelajaran tinggi macam saya ni. Takkan pulak saya nak minta tolong dari Encik Ziyad lagi. Sebab tulah saya tak mahu Encik Ziyad tolong saya,” terang Ainin, melembutkan suara kerana tidak mahu bertengkar dengan Ziyad.

“Apa salahnya saya tolong awak? Saya ikhlas. Dan saya sudi menolong awak sampai bila-bila. Sampai awak err…dapat dahan lain tempat bergantung. Maksud saya sampai awak berkahwin lain misalnya...”

Terbeliak mata Ainin mendengar bicara Ziyad. Tidak percaya. Sudi menolong sampai bila-bila? Betul ke dia ni? Hatinya berkata sendiri. Baik sangat hati Ziyad. Ziyad ada agenda lain yang tersembunyikah? Atau... Ziyad sememangnya insan yang mulia hatinya?

“Kenapa Encik Ziyad nak tolong saya? Dan kenapa pulak saya perlu terima pertolongan Encik Ziyad? Encik Ziyad bukan suami saya!” Suara Ainin meninggi semula.

“Memang saya bukan suami awak! Tapi saya ikhlas mahu menolong! Salah ke niat saya tu?”

“Memang salah! Saya dah cakap, saya tak nak terhutang budi pada Encik Ziyad! Saya tak nak duit Encik Ziyad! Encik Ziyad tak faham-faham ke?” bentak Ainin yang mula panas hati dengan perangai Ziyad yang tidak reti bahasa. Orang tidak sudi menerima bantuannya, masih juga mahu mendesak.

Ziyad yang tidak suka diherdik pembantu rumah, turut naik angin mendengar jawapan Ainin. Matanya tajam memanah muka wanita itu. Tegang wajahnya.

“Hei, dengar sini Ainin Sofiya! Awak tahu tak, awak ni sebenarnya bodoh sombong? Awak tahu apa maknanya bodoh sombong tu? Dah tahu susah, tak nak mengaku! Okey, kita tengok sampai bila awak boleh bertahan dengan perangai bodoh sombong awak tu!”

Sinis kata-kata Ziyad menghiris tangkai hati Ainin. Panas cuping telinga dibuatnya. Hatinya sakit. Batinnya luka dikeji orang seperti tidak punya maruah diri. Dia sedar siapa dirinya, tetapi apa hak Ziyad untuk menghinanya sesuka hati?

Ainin berpusing ke belakang, menghadap Ziyad. Muka Ziyad yang tegang direnung tanpa berkelip mata.

“Lebih baik menjadi orang yang bodoh sombong dari jadi orang tak sedar diri. Asyik mengharap belas ihsan orang. Sampai bila Encik Ziyad nak tolong saya? Dan sampai bila saya akan meminta tolong dari Encik Ziyad? Saya tak mahu nasib saya sama macam nasib arwah ayah saya. Puas berhutang dengan orang, akhirnya rumah dan tanah sekangkang kera tergadai. Saya tak mahu berhutang banyak-banyak dengan Encik Ziyad. Saya langsung tak ada harta untuk saya gadaikan bagi menebus hutang saya pada Encik Ziyad nanti.” Lantas dia bergegas ke dapur.

Berderai air matanya ketika mengemas pinggan mangkuk ke dalam kabinet. Sesekali air jernih yang mengalir di pipi, disekanya dengan hujungT-shirt lengan panjangnya. Wajah Ziyad yang sedang berdiri hampir dengannya langsung tidak dipandang. Menyampah benar dia hendak menatap muka pemuda yang suka bercakap ikut sedap mulut itu.

Cakaplah sesuka hati. Hinalah orang sesedap rasa. Ziyad yang sejak lahir tidak pernah rasa susah, bukannya faham perasaan orang miskin macam dirinya ini.

Ziyad kaku di tempatnya berdiri. Tidak tahu apa lagi yang harus diucapkan. Melihat Ainin menangis, timbul sesal di hatinya kerana meninggikan suara pada wanita itu. Dia tahu Ainin terluka mendengar kata-kata pedasnya. Hendak memujuk, ucapan bagaimana lagi mampu merawat hati Ainin yang luka berdarah?

Sudahnya, wang yang mahu dihulurkan kepada Ainin dimasukkan ke dalam poket seluar. Kemudian, dia bergegas ke ruang tamu, pantas mencapaibriefcase dan kunci kereta kerana sudah terlewat ke pejabat.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku