Asam Pedas Untuk Dia
Bab 14
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Januari 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan. Anda dapat memilikinya dalam naskhah cetak di Karangkraf Mall dan naskhah digital di eMall Karangkraf. Setiap pembelian akan mendapat diskaun harga yang menarik.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
11726

Bacaan






Selepas menunaikan solat maghrib, Ainin ke dapur menyediakan makan malam. Arisha yang sudah pandai meniarap dan menelentang dibiarkan bermain-main sendiri. Sesekali Faiz yang duduk berhampiran, mengagah-ngagah anak saudaranya dengan pertuturannya yang sedikit pelat. Tersenyum sendiri Ainin melihat keletah kedua-dua permata hatinya itu.

Ainin membawa mangkuk nasi lalu diletakkan ke atas meja kecil di ruang tamu. Di situlah biasanya tempat mereka menjamu selera. Hendak makan di dapur, ruangnya hanya muat untuk memasak. Kalau diletakkan lagi meja dan kerusi, susah pula mahu bergerak.

Mangkuk berisi gulai lemak kuning nangka muda dan ikan kembung goreng dibawa ke depan. Turut serta sepiring sambal belacan dan beberapa batang kacang botol untuk dibuat ulam.

Sedang sibuk menyiapkan meja makan, kedengaran dari luar, bunyi enjin kereta berhenti di hadapan rumah. Beberapa saat kemudian, terdengar pula suara orang memberi salam.

Siapa tu? Hisyamkah? Hati Ainin sudah mula cuak. Kalau si pemberi salam itu Hisyam, dia tidak mahu membuka pintu. Lantaklah kalau Hisyam mahu menjerit sekuat hati hingga tercabut anak tekak. Tetapi, macam mana kalau orang lain yang datang?

Ainin menjengah ke bilik. Emak sedang berwirid panjang sementara menanti masuk waktu isyak. Bila sudah berwirid, emak seperti tidak kisah dengan dunia luar. Patutkah diganggu emak yang sedang khusyuk mengumpul pahala buat bekalan di akhirat?

Rambut panjangnya segera diikat. Kemudian, Ainin mencapai tudung yang tersangkut di tempat penyidai dan disarungkan di kepala. Bagi memastikan siapa yang datang, dia menolak sedikit daun pintu dan mengintai ke luar.

Di luar, tersadai sebuah kereta mewah berkilat. Seorang lelaki sedang berdiri sambil bersandar di badan kereta. Orang itu ialah... Ziyad?

Apa yang dia mahu malam-malam macam ni? Nak suruh aku kerjaovertime ke? Huh! Tak ingin aku! Hatinya membentak geram.

Marah Ainin pada Ziyad kerana sedap-sedap mengatanya bongkak, masih berbekas di kalbu. Kalau boleh, Ainin tidak mahu bertentang muka dengan Ziyad sebelum marahnya reda. Namun, apakan daya, dia bekerja di rumah Ziyad.

Mahu tidak mahu Ainin terpaksa juga berhadapan dengan Ziyad dan melayan kerenah anak muda yang sukar diramalmoodnya itu. Sekejap baik dan adakalanya tegang semacam.

“Saya dah nampak awak. Tak payah nak main sembunyi-sembunyi lagi. Keluarlah,” kata Ziyad sambil memandang Ainin yang mengintai di balik pintu.

“Encik Ziyad nak apa?”

Ainin malas keluar bertemu Ziyad. Apalagi dengan berpakaian bajukaftan yang agak jarang bila disuluh cahaya. Hisy, malunya!

“Saya nak cakap sikit dengan awak. Jom kita keluar kejap,” ajak Ziyad dengan muka serius.

Sememangnya Ziyad bersungguh-sungguh mahu berbincang dengan Ainin. Cadangnya mahu bertemu Ainin petang tadi tetapi sepulangnya dari pejabat, wanita itu sudah pulang ke rumah.

Di pejabat tadi, dia berasa tidak tenteram kerana sering teringatkan Ainin. Hatinya merusuh selagi tidak berjaya membantu Ainin menyelesaikan masalah kewangannya.

Ainin pula terkejut sedikit mendengar pelawaan Ziyad. Keluar? Dia ajak aku keluardating ke? Biar betul dia ni! Hatinya bergetus curiga. Matanya mengecil memandang Ziyad, tidak percaya dengan bicara yang sampai ke telinganya.

“Tak payah fikir-fikir lagi. Jom keluar, Ainin. Kita minum aje sebab saya kenyang lagi, baru lepas makan nasi. Sedap betul sup tulang yang awak masak tadi. Sampai dua kali saya tambah nasi. Awak ni memang pandai masaklah, Ainin. Bertuah betul saya dapat pembantu rumah yang pandai masak macam awak.” Melambung-lambung pujian Ziyad untuk pembantu rumahnya. Begitupun, pujian itu sememangnya benar-benar ikhlas untuk Ainin.

Mendengar kata-kata Ziyad, hati Ainin sudah berubah rentaknya. Bukan kerana puji-pujian itu tetapi sebab lain. Sudah beberapa kali dia mendengar Ziyad menyebut namanya sedangkan sebelum ini hanya berawak-awak saja. Selepas itu sikap Ziyad nampak lain macam sedikit.

Apa maksudnya tu? Dia buat begitu untuk ambil hati aku ke? Supaya aku maafkan dia atas keterlanjurannya mengata aku bongkak dan bodoh sombong tu? Ainin menduga di dalam hati. Walaupun marah masih membekam di dada, Ainin tidak bercadang untuk menyimpannya terus dalam hati. Dia lebih senang membiarkan rasa marah itu berlalu ditelan waktu.

“Jangan bimbang, saya bukan suka-suka ambil masa awak. Masa yang awak ambil untuk temankan saya nanti, saya kiraovertime. Ataupun saya perlu minta izin dari mak awak untuk ajak awak keluar?” Ziyad tersenyum-senyum mengusik Ainin.

“Eh, tak payah!” bantah Ainin cepat. Nanti lain pula anggapan emak pada hubungan mereka. Macam orang bercinta saja. Mahu keluar berdua, perlukan izin orang tua! “Encik Ziyad nak cakap pasal apa?” tanyanya malas.

“Adalah...” jawab Ziyad singkat.

“Tunggu kejap, saya beritahu mak saya,” kata Ainin setelah berfikir sejenak. Dia masuk ke dalam semula dan terus melangkah ke bilik.

Mak Ipah sudah selesai mengerjakan solat isyak dan sedang menyidai telekung di ampaian.

“Mak, boleh tak Ainin keluar kejap?”

“Nak ke mana?”

“Tak tahu. Encik Ziyad ajak Ainin keluar,” terang Ainin tanpa berselindung.

“Encik Ziyad ajak keluar? Ada apa?” Mak Ipah tersentak mendengarnya. Tidak pernah-pernah pula majikan anaknya itu mengajak Ainin keluar malam. Ada hal pentingkah hingga tidak boleh menunggu sampai esok?

Di rumah Hajah Fauziah tadi, Ainin ada buat salahkah? Manalah tahu ada barang hilang dan Ainin dituduh mencuri. Hatinya yang cuak mula berfikir yang bukan-bukan.

“Entah... katanya ada hal penting.”

“Hal penting apa?”

“Entah, mak. Ainin pun tak tahu.”

Setelah berfikir sejenak, Mak Ipah mengangkat muka memandang Ainin Sofiya. “Boleh keluar tapi jangan lama sangat,” pesannya.

“Baiklah.” Ainin akur arahan emak. Faham maksud emak yang bimbangkan Arisha. Takut si kecil itu menangis mencari ibunya. Arisha kalau hendak tidur, kena menyusu badan dulu. Selepas itu ditepuk-tepuk punggungnya. Barulah si manja itu boleh terlelap.

Sambil menukar pakaian yang lebih sesuai, telinga Ainin menangkap suara perbualan orang di luar rumah. Suara emak dan Ziyad. Tentu emak melayan Ziyad berbual sambil menantinya menukar pakaian.

Sesudah menepek muka dengan sedikit bedak kompak, dia keluar dari bilik. Malas hendak berhias cantik-cantik. Dia bukannya keluar mahu memikat Ziyad. Dia pun sedar siapa dirinya di mata Ziyad. Lagipun dia sedar Ziyad sudah punya teman wanita istimewa. Masakan boleh disamakan taraf pembantu rumah dengan kekasih hatinya yang cantik lawa itu?

Ziyad hanya buat muka bersahaja ketika melihat Ainin di muka pintu.

Setelah mencium pipi Arisha yang berada di dalam dukungan Mak Ipah, dia cepat-cepat keluar menuju ke kereta Ziyad. Takut Arisha merengek mahu mengikut. Tadi pun wajah puterinya sudah mencemik sedih bila melihat dia sudah lengkap bertudung. Kecil-kecil begitu pun Arisha sudah pandai mengagak akan ditinggalkan ibu sebentar lagi.

Pintu kereta ditutup. Kereta mula bergerak meninggalkan rumah Mak Ipah.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku