Asam Pedas Untuk Dia
Bab 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Januari 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan. Anda dapat memilikinya dalam naskhah cetak di Karangkraf Mall dan naskhah digital di eMall Karangkraf. Setiap pembelian akan mendapat diskaun harga yang menarik.
Penilaian Purata:
(16 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
19115

Bacaan






Selepas minum teh tarik di Restoran Bukhari, Ziyad menghantar Ainin pulang ke rumah. Ketika melalui lorong keluar menuju ke jalan besar, Ziyad memberhentikan kereta. Betul-betul di bawah sebatang pohon rendang di tepi jalan.

“Kenapa Encik Ziyad berhenti di sini?” Ainin risau berdua-duaan dengan Ziyad di tempat sunyi waktu malam begini. Buatnya diserbu pegawai pencegah maksiat, bukankah mencari fasal namanya?

“Saya nak bincang dengan awak,” kata Ziyad sambil menjeling Ainin yang duduk di sebelahnya.

“Tadi kat restoran, kenapa Encik Ziyad tak cakap?” Puas Ainin menanti Ziyad memulakan bicaranya di Restoran Bukhari tadi, tetapi pemuda itu hanya bercakap hal-hal biasa. Tidak ada pun perkara penting seperti dikatanya sebelum ini.

“Awak nak semua orang kat restoran tu tengok kita ke?” tanya Ziyad.

“Kenapa pulak semua orang tengok kita? Kita bukannya ada buat salah,” soal Ainin hairan.

“Kalau dah berbincang mesti bertengkar. Saya tak akan puas berbincang dengan awak kalau tak tinggikan suara. Saya tahu awak pun macam tu, kan? Jadi, awak nak ke semua orang kat situ pandang kita bila kita bergaduh nanti?” Ziyad menjeling ke wajah putih bersih di sebelahnya.

“Kalau kita bergaduh dalam ni, tak ada orang dengar ke? Silap-silap kena sergah dengan pencegah maksiat.”

Ziyad tersenyum mendengarnya. “Baguslah. Saya dapat kahwinfreedengan awak. Jadi settlelah masalah awak, kan?”

Tersentak mendengar kata-kata itu, Ainin menjegilkan mata besar-besar memandang Ziyad. “Apa maksud Encik Ziyad tu? Encik Ziyad ingat saya suka ke jika perkara macam tu terjadi pada saya? Ingat saya suka sangat ke dapat kahwin dengan Encik Ziyad?” marahnya. Hatinya sudah mula panas dituduh melulu begitu.

“Awak tak suka tapi saya suka,” balas Ziyad selamba.

“Encik Ziyad ni memang suka cari pasallah! Kalau inilah hal penting yang Encik Ziyad cakapkan tadi, baik tak payah cakap! Encik Ziyad hantar saya balik sekarang!” Ainin suka-suka hati mengarah majikannya.

“Sebab nilah saya tak nak bincang dengan awak kat restoran tadi. Saya tahu awak tentu melenting. Tapi apa yang saya cakap tadi, memang betul. Saya memang nak kahwin dengan awak. Saya mahu jadi suami awak,” kata Ziyad serius. Dia sudah menggerakkan badan memandang Ainin. Wajah lembut dengan mata bulat kerana terkejut itu dipandang lama. Dia tahu Ainin terperanjat besar mendengar kata-katanya. Dia juga sudah menjangkakan begitu. Apa tidaknya, bercinta tidak, apa pun tidak, tiba-tiba dia mengajak kahwin!

“Encik Ziyad ni dah gila agaknya!” herdik Ainin sambil menggelengkan kepala.

“Saya tak gila. Saya dah fikirkan hal ni masak-masak. Saya rasa itulah cara terbaik untuk selesaikan masalah awak. Awak tak mahu terima bantuan kewangan dari saya sebab tak mahu terhutang budi. Tapi saya tak boleh buat bodoh saja tengok awak susah tanpa buat apa-apa. Jadi, cara terbaik ialah... kita nikah,” jelas Ziyad sambil merenung tajam ke mata Ainin.

“Saya tak mahu terima idea bodoh macam ni!”

“Idea bodoh? Dengar sini, Ainin! Saya rasa itulah idea paling bernas untuk perempuan err...” Kata-kata Ziyad terhenti. Tidak tahu perkataan paling sesuai untuk menggambarkan sikap Ainin. Bimbang kalau tersalah cakap, Ainin akan naik angin. Lebih-lebih lagi bila melihat muka Ainin sudah macam harimau betina lapar. Garang bukan main. “Itulah idea paling bernas untuk perempuan istimewa macam awak ni. Saya akan jadi suami awak dan sebagai seorang suami yang mithali, saya akan jalankan tanggungjawab saya memberi nafkah pada awak dan membantu awak menyelesaikan masalah kewangan awak. Awak tak perlu terhutang budi pada saya dan tak payah fikir bagaimana nak bayar balik hutang awak tu,” sambungnya.

“Setakat kahwin memang senang, Encik Ziyad. Tapi Encik Ziyad dah fikir ke macam mana penerimaan umi dan abah Encik Ziyad nanti? Nak ke dia terima menantu orang gaji macam saya ni? Perkahwinan ni, Encik Ziyad... lebih dari setakat kahwin saja!”

Ziyad menarik nafas panjang-panjang sebelum menyambung kata. Dia pasti Ainin akan lebih terkejut bila mendengar penjelasannya selepas ini.

“Umi dan abah tak perlu tahu pasal ni. Semua orang pun tak perlu tahu tentang ni, kecuali kita berdua dan mak awak,” terang Ziyad lambat-lambat.

Seperti yang dijangka, wajah Ainin berubah sebaik sahaja mendengar bicara Ziyad. Lama mata Ainin memaku wajah Ziyad bagaikan meminta penerangan lanjut. Macam tidak percaya dengan apa yang menerjah telinganya tadi.

“Encik Ziyad nak rahsiakannya?”

“Ya. Awak tahu kan niat saya sebenarnya nak menikah dengan awak? Niat saya cuma nak bantu awak aje. Tak lebih dari tu. Jadi, saya tak naklah umi dan abah kecoh-kecoh. Saya tahu mereka mesti bantah. Nanti, baik-baik saya boleh tolong awak, langsung tak dapat...”

Ainin terdiam. Bibirnya bergerak-gerak mahu membalas, tetapi tiada suara terlontar. Bahang marah di dada yang tadinya cuma suam-suam kuku tiba-tiba menggelegak panasnya. Wajah putih kuning itu sudah bertukar jadi merah padam bagai udang dibakar. Tidak menyangka Ziyad sanggup merendahkan maruahnya hingga ke tahap itu. Ziyad fikir dia apa? Batang kayu mati?

“Encik Ziyad ni dah hilang akal ke?” bentak Ainin geram.

“Awak cakaplah apa yang awak nak cakap. Niat saya ikhlas nak tolong awak, Ainin. Tapi saya belum bersedia menempuh kehidupan berumah tangga yang sebenarnya. Tapi... jangan takut, saya akan jalankan tanggungjawab saya sebagai suami memberi nafkah zahir pada awak.” Ziyad sudah membuang pandang ke luar tingkap.

Tidak semena-mena Ainin lihat Ziyad macam tidak selesa ketika menuturkan ayat yang akhir tadi. Nafkah zahir? Nafkah zahir saja tanpa nafkah batinnya? Patutlah muka Ziyad merah padam ketika menyebutnya tadi!

“Kalau keluarga Encik Ziyad tahu, macam mana? Tak nak mengaku juga saya ni isteri Encik Ziyad?” perli Ainin dengan bibir yang sengaja dijebikkan. Sakit hati memandang muka Ziyad.

“Mereka takkan tahu kalau kita tak cakap.”

“Kalau terbongkar juga macam mana? Mesti Encik Ziyad akan hantar saya dan keluarga saya jauh-jauh sebab malu pada keluarga Encik Ziyad kan?”

Perkara belum berlaku tetapi Ainin sudah dapat mengagak apa yang bakal terjadi. Apa lagi boleh dibuat Ziyad jika rahsia yang mahu ditutup itu pecah di telinga keluarganya? Mustahil Ziyad mahu mengakui dia isterinya yang sah. Silap-silap, diceraikannya ketika itu juga.

“Perkara tu takkan berlaku, Ainin. Kita akan rahsiakan sungguh-sungguh. Saya rasa perkara ni tak jadi masalah. Selama ni pun kita cuma bertemu waktu pagi sebelum saya pergi kerja. Biasanya bila saya balik, awak dah balik rumah. Jadi, bukannya susah sangat pun nak rahsiakan. Kita buat macam biasa aje. Keluarga saya takkan syak apa-apa.”

Ziyad mesti dah fikir masak-masak sebelum beritahu aku idea mengarut ni. Sebab itulah dia boleh buat muka selamba aje, fikir Ainin seraya memandang Ziyad sekilas.

“Macam mana pulak dengangirlfriendEncik Ziyad nanti?” tanya Ainin tiba-tiba.

Mata Ziyad terbelalak merenung muka Ainin. “Mana awak tahu saya ada girlfriend?” soalnya tidak sedap hati.

“Macamlah saya tak tahu. Saya selalu kemas bilik Encik Ziyad.”

Ziyad berfikir sejenak. Setelah dapat menangkap apa yang dimaksudkan Ainin, barulah dia menarik nafas. Tentu yang dimaksudkan Ainin ialah gambar Shafinaz yang terletak di atas meja kerjanya.

“Saya tak bercadang pun nak beritahugirlfriend saya tentang hal ni. Saya rasa dia pun tak kisah sebab tahu saya sangat sayangkan dia. Kami memang bercadang nak bertunang dalam masa-masa terdekat. Saya rasa awak pun tak kisahkan kalau saya kahwin dengan dia? Maksud saya... kita bukannya ada perasaan apa-apa. Jadi, tak timbul rasa cemburu atau apa pun kalau saya kahwin dengangirlfriendsaya nanti.”

“Saya memang tak ada perasaan pada Encik Ziyad. Tapi... Encik Ziyad tak terfikir ke apa akibatnya kalau dia dapat tahu? Hati dan perasaan perempuan ni lain sikit.” Benci betul Ainin dengan perangai Ziyad yang suka ambil mudah. Macamlah dunia ini cuma dihuni oleh mereka berdua.

You don't have to worry about her. She's a very understanding person. She knows that my heart is only for her,” kata Ziyad penuh perasaan.

Hmm... cakap orang putih pula. Macamlah aku tak faham, kutuk Ainin di dalam hati.

“Ikut hati mati, ikut rasa binasa, Encik Ziyad,” perlinya mahu mengenakan Ziyad. Sudah acap kali mendengar Ziyad berkata begitu, ayat itu sudah sebati di telinganya.

“Saya tak akan mati kerana ikut kata hati dan tak akan binasa kerana ikut rasa, sebab saya pasti tindakan saya tu betul. Jadi, macam mana, Ainin?” Ziyad tidak sabar menuntut kepastian daripada mulut Ainin.

“Saya tak nak terima idea mengarut ni!” kata Ainin .

“Awak tak nak fikirkannya dulu?”

“Tak nak!” putus Ainin menengking sedikit.

“Baguslah tu! Awak hiduplah dalam dunia awak tu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Orang nak bagi awak hidup selesa, awak tak nak! Saya kata awak bongkak, awak marah!” Ziyad yang naik darah, terus menghidupkan enjin kereta dengan muka masam mencuka. Selepas ini kalau Ainin mengadu lagi tentang hidupnya, dia sudah membuat keputusan tidak akan melayan. Boleh jalanlah!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku