Asam Pedas Untuk Dia
Bab 20
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Januari 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan. Anda dapat memilikinya dalam naskhah cetak di Karangkraf Mall dan naskhah digital di eMall Karangkraf. Setiap pembelian akan mendapat diskaun harga yang menarik.
Penilaian Purata:
(18 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
47281

Bacaan






Hari minggu, Ziyad dan Ainin berkemas untuk pulang ke Kuala Lumpur.

“Esok awak nak sambung cuti ke? Kalau awak nak, telefon umi. Saya tak boleh cakapkan bagi pihak awak. Takut umi syak yang bukan-bukan nanti,” kata Ziyad sambil menatap wajah Ainin yang keletihan.

Sejak hari Khamis lepas, Ainin sudah pulang ke rumah Kak Anida. Membantu Kak Anida membuat persiapan untuk hari pernikahannya. Dia penat dan tidak cukup rehat. Sebab itu mukanya kelihatan pucat.

Malam tadi, sebaik saja masuk ke bilik pengantin, dia terus merebahkan diri ke atas katil. Tidak sampai setengah jam, wanita itu sudah terlelap. Ziyad yang tidur di atas lantai dengan beralaskan selimut, tidak dipedulikannya. Sama ada Ziyad selesa atau tidak tidur di situ, Ainin langsung tidak ambil kisah. Lantak. Pandai-pandailah Ziyad menguruskan diri sendiri. Mengapa mesti dia pedulikan Ziyad? Bukankah itu permintaan Ziyad sendiri?

“Puan hajah tak marah ke nanti? Kalau saya sambung cuti, maknanya lima hari saya bercuti. Saya takut puan hajah merungut nanti. Gaji pun nanti tak dapat penuh,” balas Ainin menyatakan kebimbangannya.

“Kenapa awak risau sangat pasal gaji? Bukan ke saya yang bayar gaji awak? Kalau awak nak sambung cuti, baik awak telefon umi saya awal-awal. Tak adalah umi kelam-kabut nanti.”

“Alasan apa saya nak bagi pada puan hajah?”

“Cakap aje awak penat tolong Kak Nida kemas rumah.”

“Boleh ke puan hajah terima alasan tu?”

“Takkan umi nak marah awak pulak? Dah awak kata penat... takkan nak paksa juga awak kerja? Jangan risau, umi saya tu jenis tak kisah orangnya. Saya yakin dia boleh terima alasan awak.”

“Tak apalah. Esok saya datang kerja. Kesian pulak puan hajah.”

“Hmm… suka hati awaklah!” Ziyad malas mendesak Ainin. Dia yang bersimpati pada Ainin hanya memberikan usul. Terpulang pada Ainin mahu menerimanya atau tidak. Jangan pula Ainin jatuh pengsan ketika melakukan kerja-kerja rumah. Nanti menyusahkan orang lain pula!.

Wajah manis yang dilindungi tudung berwarna krim itu dikerling dengan ekor mata. Sejak bernikah pagi semalam hingga hari ini, Ziyad belum pernah melihat walau sehelai pun rambut Ainin. Kepalanya sentiasa berbungkus walaupun semasa tidur. Biarpun akad nikah telah diangkat dan Ziyad sebagai suami halal melihat tubuh isterinya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, Ainin seperti tidak bersedia mempamerkan apa yang menjadi miliknya. Mungkin Ainin masih menganggap dia bukan mahramnya. Tidak mengapalah. Dia pun tidak kisah. Dia bimbang jika terlebih memandang, bukan mustahil perasaannya terhadap Ainin akan berubah sedangkan dia mahu perasaannya kekal begitu.

“Pukul berapa kita nak bertolak ni?” tanya Ainin ketika melihat Ziyad menyisir rambut di hadapan cermin.

Subuh-subuh lagi, Ziyad sudah siap mandi dan keluar dari bilik air, lelaki itu telah lengkap berpakaian, sementara Ainin masih dengan baju kaftannya. Disebabkan keletihan, dia terlewat bangun pagi tadi. Hanya sempat menggosok gigi kerana mahu mengejar waktu subuh yang hampir ke penghujungnya. Hendak mandi, bilik air yang cuma ada sebuah itu sentiasa penuh. Terpaksa bergilir dengan saudara-mara dan anak-anak buah yang masih ramai di rumah Kak Anida.

“Kita balik lepas sarapan. Saya tak mahu sampai rumah lewat. Esok saya kerja,” jawab Ziyad sambil memandang Ainin yang duduk di birai katil.

Ziyad kelihatan tampan bila mengenakan seluar jean dan kemeja T berwarna hitam berbelang kuning. Belum pernah Ainin melihat Ziyad berpakaian ringkas begitu. Biasanya, setiap kali bertemu Ziyad, pemuda itu tidak lekang dengan kemeja dan tali lehernya.

“Encik Ziyad tak risau ke kalau puan hajah bertanya ke mana Encik Ziyad pergi dua hari ni?” tanya Ainin yang tiba-tiba terfikir ke situ.

“Saya kata dengan umi, saya pergiout station. Saya rasa umi percaya dengan alasan saya tu sebab saya memang kerap pergi out station. Awak tak perlu bimbang. Yang saya risaukan awak tu. Takut awak tersilap cakap pada umi saya nanti. Ingat, Ainin... lepas ni awak kena jaga tutur kata awak. Saya takkan maafkan awak kalau awak tersilap cakap,” balas Ziyad seperti mengugut Ainin pula.

Terkedu Ainin mendengarnya. Matanya tunak memandang wajah Ziyad menerusi cermin besar. Dari ucapan tegas tadi, jelas menunjukkan Ziyad tidak bersenda dalam melahirkan isi hatinya. Nampaknya selepas ini Ainin kena lebih berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum melontarkan kata-kata.

“Malam tadi dengan Kak Nida, awak hampir-hampir tersilap cakap. Lain kali pandai-pandailah berlakon sikit. Nampak sangat awak tak guna otak yang Allah bagi tu dengan sebaik-baiknya,” kutuk Ziyad dengan muka keruh bagaikan air Sungai Kelang selepas hujan lebat.

Kata-kata Ziyad tidak dibalas. Ainin akui kesilapan sendiri. Dia memang suka bercakap lepas dan tidak berfikir panjang. Malam tadi sewaktu bersembang dengan kakak dan abang iparnya, dia hampir-hampir memanggil suaminya dengan panggilan ‘Encik Ziyad’. Mujur dia terperasankan mata Ziyad mencerlung memandangnya bagaikan memberi amaran. Terus diubah panggilannya menjadi ‘abang’.

Abang! Janggal benar bibir Ainin menuturkannya. Sudah lama dia tidak menyebut panggilan itu. Semenjak Abang Hairi pergi menghadap Ilahi, sejak itulah Ainin Sofiya berhenti menyebutnya. Hendak menjadikan Ziyad sebagai pengganti Abang Hairi? Tidak! Baginya, belum ada sesiapa pun yang layak mengambil tempat Abang Hairi di hatinya.

“Maafkan saya. Lepas ni saya akan lebih berhati-hati,” janji Ainin.

Ziyad hanya menjeling mendengarnya. Belum habis marahnya pada Ainin. Tiba-tiba telefon bimbitnya di dalam poket seluar berbunyi nyaring. Dengan pantas dia menyeluk poket, mengeluarkan telefon bimbitnya. Nampak saja nama yang tertera pada skrin telefon, senyumannya berbunga.

“Hai, sayang!” sapa Ziyad riang dengan suara berbisik.

Ziyad memalingkan muka membelakangkan Ainin. Telefon selular dilekapkan ke telinga. Sambil menundukkan kepala, dia tekun mendengar bicara si pemanggilnya.

“I tak boleh datang. I ada kat Muar sekarang,” kata Ziyad.

Ainin yang sedang menyelongkar beg pakaian, memasang telinga. Siapakah gerangan yang menelefon Ziyad? Kekasihnyakah? Mungkin gadis yang bernama Shafinaz yang kerap disebut-sebut Ziyad. Patutlah senyuman Ziyad melebar sampai ke telinga. Buah hati pengarang jantungnya yang menelefon!

“I pergi kenduri kahwin kawan I. Pagi ni I balik. Sampai KL mungkin tengah hari. You tunggu. Sampai nanti, Icall,” sambung Ziyad sambil ketawa gemersik.

Kenduri kahwin kawan? Hmm… pandai betul Ziyad menipu. Orang yang di sana pula mati-mati kena ‘goreng’ dengan buah hati sendiri. Hendak buat macam mana? Mahu terus hidup mesti cekap menipu!

I miss you, Naz. I can’t wait to see you,” bisik Ziyad kemudian.

Eleh... Cakap orang putih tu macam tak nak aku tahu apa maknanya, desis Ainin di dalam hati. Dia bukannya bodoh sangat sampai langsung tidak mengerti apa maksud ucapan Ziyad kepada kekasihnya tadi. Dia ini berkelulusan SPMlah! Bukan mahu mendabik dada tetapi kertas Bahasa Inggerisnya masih berpangkat kredit!

Malas mendengar lebih lanjut perbualan Ziyad dengan buah hatinya, Ainin terus keluar dari bilik membawa bersama sepasang baju kurung berwarna hijau pucuk pisang. Hajat di hatinya hendak berebut bilik air dan selepas mandi, terus bersalin pakaian di situ juga. Nanti tidak perlulah dia menyuruh Ziyad yang sedang asyik mahsyuk melayan kekasih hatinya keluar dari bilik kerana mahu menyalin pakaian.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku