Cinta Copy Paste
Bab 22
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Januari 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
4605

Bacaan






"BUAH HATI kau tahu ke kau keluar ni?" Dalam kereta, Emily menyoal siasat Anom macam inspektor polis.

Bibir Anom serta-merta berubah jadi muncung burung enggang. Sebuah kerlingan tajam turut dihadiahkan kepada Emily. Hangat hati mendengar Emily memanggil Habib buah hatinya. Macam menyindir sahaja bunyinya. "Tak kuasalah aku nak beritahu dia," rengus Anom kasar.

"Kenapa kau tak beritahu dia siang-siang? Buatnya malam ni dia datang cari kau lagi, macam mana? Nanti dia salahkan aku pulak sebab bawa kau ke sini," omel Emily tidak puas hati. Giliran dia pula merenung tajam muka Anom.

"Tak adanya dia nak datang cari aku. Kalau dia datang pun, pandai-pandailah aku bagi alasan," balas Anom, menarik muka.

Emily pula membuat muka tidak percaya. Mengingatkan peristiwa Anom ditarik Habib keluar dari kelab The Zass dulu, hati Emily jadi hangat. Marah. Tetapi, marahnya marah bersebab.

Sejak Anom mengenali Habib, waktu teman baiknya itu tidak banyak yang tersisa untuknya. Selalunya, bila tamat kuliah mereka berdua sering menghabiskan masa bersama. Sekarang ini Anom asyik melekat dengan Habib. Pergi Anom dihantar Habib, baliknya juga dijemput pemuda itu. Perasan bosan dia sudah ditahap petala langit ketujuh.

Apa yang Emily perasan, si Habib itu nampak macam tidak berapa senang dengannya. Bila memandang dia selalu sinis macam ada yang tidak kena. Mengapa? Emily pun pelik memikirkannya. Rasanya tidak ada dia buat salah apa-apa terhadap Habib. Hanya setakat mengata dan mengumpat sedikit-sedikit. Takkanlah perkara itu pun Anom sampaikan kepada Habib sehingga Habib berprasangka buruk terhadapnya? Entahlah. Kadang-kadang hairan Emily dengan perangai si bujang tua pilihan hati Anom Sufi itu.

Sampai di kelab malam The Zass, Daniel sudah menunggu. Nampak sahaja Emily, Daniel terus menghulurkan tangannya dan disambut Emily dengan gelak tawa. Kemudian Daniel memaut pinggang Emily mengajak duduk di kerusi.

Anom yang memandangnya sudah tercengang-cengang. Melebih-lebih pula si Daniel ini sampai berani peluk-peluk orang. Yang si Emily ini pun satu, biarkan sahaja Daniel buat begitu kepada tubuh badannya. Eeii...mengapa lain benar perangai Emily sekarang? Dahulu Emily tidak begitu. Dahulu teman yang seorang ini cukup menjaga tingkah laku. Kenal sahaja Daniel, terus perangai Emily berubah 360 darjah. Berjeda seketika Anom melihat tingkah Emily.

"Minum?" Ramah Daniel bertanya kepada Emily. Anom yang duduk di sebelah Emily tidak dipandangnya.

"Macam biasa," jawab Emily merujuk kepada minuman jus oren yang biasa dipesannya sebelum ini.

"Tak nak try yang ni?" Daniel tersenyum menggoda dengan bibir memuncung ke arah gelas tinggi berisi air kuning berbuih di hadapannya.

"No..." Emily menggeleng kepala sambil tergelak-gelak manja.

"Cubalah. Sekali aje."

"Tak nak. I tak minum ni. I nak orange juice aje."

"Alah...seteguk dua takkan buat you mabuk, Emil." Daniel menghulur gelas tinggi kepada Emily.

"Sedap ke?" tanya Emily dengan mata tepat merenung ke arah air kuning berbuih di hadapannya. Masih ragu-ragu mahu mencuba.

"Sedap...You cuba dulu. Kalau tak cuba macam mana you nak tahu rasanya? Sekali cuba pasti you nak lagi." Tidak letih-letih mulut Daniel cuba menggoda Emily.

Anom memasang telinga mendengar perbualan kedua-duanya. Seram sejuk tubuh dia mendengar godaan Daniel yang terus menerus begitu. Hii...bahaya betul jika ada 'syaitan' berupa manusia macam Daniel ini. Silap-silap orang yang tidak kukuh pertahanan iman macam Emily, senang-senang boleh kecundang. Emily pula dia lihat sudah mula 'lembik' dipujuk Daniel. Janganlah Emily buat perangai mengarut malam ini dengan mereguk air syaitan itu.

"Minum arak tu walaupun setitis, haram hukumnya dan selama 44 hari ibadah yang kita lakukan akan jadi sia-sia dan ditolak oleh ALLAH."

Anom terkenangkan nasihat Habib suatu ketika dulu. Tercenung dia. Biarpun dia jahil tentang agama namun dia tetap faham hukum ALLAH yang satu itu. Sudah tentu ada sebab mengapa Islam menegah umatnya meneguk arak. Arak itu adalah ibu segala kejahatan. Orang yang berkawan dengan arak akan terdorong melakukan segala kejahatan lain contohnya pergaduhan dan tidak mustahil melakukan hubungan seks bebas.

Kajian juga menunjukkan arak boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser kepada penagihnya. Anom tidak mahu bersahabat dengan arak dan jadi kaki botol. Walaupun jahil, dia masih sayangkan nyawa. Dia tidak mahu mati sia-sia.

"You minum sikit ya?" goda Daniel lagi. Gelas tinggi sudah berpindah tempat. Asalnya di atas meja kini sudah berada di tangan Emily.

"Emil, jom kita menari!" Melihatkan tindakan si 'syaitan kecil' sudah melampau, Anom pantas bertindak. Ditariknya gelas berisi air syaitan itu dari tangan Emily dan diletak di atas meja. Tangan Emily kemudiannya ditariknya kasar menuju ke tengah ruang kelab hiburan.

Terpinga-pinga Emily. Mahu tidak mahu dia turuti juga langkah Anom. Meninggalkan si buah hati yang baru dikenalinya tidak sampai sebulan, merengus sendiri.

Ketika melangkah, Anom hantar kerlingan ke arah Daniel. Mencerut muka Daniel melihat Emily yang sedetik lagi akan masuk ke perangkapnya, sudah dibawa lari jauh-jauh. Apa yang membuatkan dia seram sejuk, Daniel tidak sudah-sudah merenung mukanya. Seperti mengancam. Ah! Biarlah. Malas dia mahu memikirkan tentang Daniel. Takkan mati dirinya hanya kerana jelingan tajam lelaki itu.

Selepas ini, tentulah Daniel akan berdendam dan melancarkan perang terhadapnya. Anom Sufi tidak kisah. Daniel akan dihadapinya dengan segala macam 'senjata' yang dia ada. Apa yang penting adalah menyelamatkan Emily daripada terjebak dengan godaan syaitan bertopengkan manusia macam Daniel. Ketika berada di tempat hiburan, dia dan Emily perlu saling menjaga. Itu sumpah yang mereka berdua telah patri bersama.

Alunan muzik rancak memanaskan suasana kelab hiburan itu. Di lantai tari, orang yang gila menari berlumba-lumba menunjukkan bakat semulajadi, menghayunkan badan mengikut rentak lagu.

Anom Sufi yang sudah menggelitik mahu menayangkan skil menarinya, langsung tidak melepaskan peluang. Digoyangkan tubuhnya laju mengikut irama lagu yang diputarkan deejay. Sekali pandang, mengalahkan penari profesional pula. Dia dan Emily sama-sama tenggelam dalam Syurga ciptaan sendiri.

Sedang seronok menggoyangkan badan, Anom dihampiri seorang pemuda.

"Pandai you menari. Hebat. Macam pro," puji si pemuda kurus tinggi cuba memancing perbualan dengan Anom. Orangnya tidaklah berapa kacak tetapi senyumannya cukup manis. Senyuman bermadu yang mengingatkan Anom kepada Habib Iqmal.

Anom tersenyum kemudian menggeleng kepala. Dia yang menari main hentam keromo sahaja ini dikatakan hebat? Ini ayat ikhlas memuji atau ada udang di sebalik mi? Anom cuba mengupas persoalan itu dalam hati. "I menari tak ikut step. Main belasah aje ni," kata Anom merendah diri.

"Tapi you memang betul-betul hebat. Sebelum ni you ada masuk kelas tarian ke?" tanya si pemuda itu lagi.

"Tak. Tak ada." Anom ketawa kecil. Lucu pula mendengarnya. Masuk kelas tarian? Hmm...mati hidup balik papa tidak akan benarkan dia belajar benda merepek macam itu. Tidak ada faedah. Pasti itulah jawapan papa.

"Ya ke ni?" Pemuda kurus tinggi itu ketawa tidak percaya. "Tapi I boleh bezakan antara orang yang pandai menari atau tak sebab I ni profesional dancer tau. Dan untuk pengetahuan you, I ada studio sendiri kat Ampang. Kalau you sudi, bila-bila nanti I akan ajak you pergi sana, " sambungnya sekali gus mempelawa Anom.

Terangkat kening Anom mendengarnya. Ya ke? Sambil menggoyangkan badan dia sempat meneliti cara dan gaya pemuda itu menari. Memang tidak nampak kaku. Mungkin betul pemuda yang entah siapa namanya ini seorang penari profesional.

"You dah kerja? You nak jadi dancer tak?" Sekali gus si lelaki mengajukan soalannya.

"Hah?" Teruja Anom mendengarnya. Dia ditawarkan menjadi penari. Kerjaya yang paling diminatinya. Tetapi, apabila mengenangkan papa, perasaan berkobar-kobar Anom terus menguncup bagaikan daun semalu. Bekerja sebagai penari? Heh...tidak usah berangan. Dia berani potong jari jika papa benarkannya jadi penari.

"Eh...tak...tak nak. I ni student. Sibuk dengan studi. Tak sempat nak kerja," tolak Anom.

"Tapi you boleh buat part time. Ramai penari kat studio I tu studentU. Yang penting you pandai bahagikan masa."

Pemuda itu belum kering idea mahu memujuk Anom. Hairan. Itu yang Anom rasa. Apa yang istimewa sangat pada dirinya sehingga pemuda seorang ini bersungguh benar memujuknya? Entah! "Tak mengapalah. I ni bukannya orang yang pandai bahagikan masa. I tak boleh buat dua kerja dalam satu masa. Maafkan I." Sudahnya, Anom menolak pelawaan itu dengan hormat. Enggan mengecilkan hati orang.

Sambil bersembang, mata Anom melilau ke sekitar ruang menari. Mencari-cari Emily. Ditoleh ke kiri, Emily tiada. Toleh ke kanan, Emily tidak nampak bayang. Ke mana sahaja gadis itu pergi? Tadi elok sahaja temannya yang agak lincah itu terkinja-kinja menari di sebelahnya. Sekarang sudah lenyap tanpa meninggalkan sebarang jejak. Anom sudah menggelabah. Di mana kau, Emil? Hati Anom sudah tidak tentu rasa.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku