Mr.London Ms.Langkawi
Bab 4
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Januari 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dan boleh didapati dalam naskhah cetek di Karangkraf Mall dan naskhah digital di aplikasi eMall.
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
7118

Bacaan






BALIK sahaja dari solat tarawih, Liyana sudah melepak di hadapan televisyen. Jari-jemarinya sibuk bermain dengan alat kawalan jauh. Lepas satu siaran, satu siaran ditekannya. Rancangan yang sedang ke udara tidak menarik minatnya.

“Apalah tv ni. Punyalah banyak channel, tak ada satu pun siaran yang buat aku berkenan.” Liyana membebel-bebel sendiri. Sesekali kedengaran mulutnya berdecit geram. Tangannya menekan-nekan lagi butang alat kawalan jauh tersebut.

“Apa yang nyot nyet, nyot nyet mulut tu Nana? Tak berhenti-henti bunyi macam langau aje,” tegur Hajah Kamariah. Dia duduk di atas sofa di belakang Liyana.

“Tv ni hah. Entah apa-apa cerita tah. Tak best langsung,” rungut Liyana. Alat kawalan jauh itu masih dimain-mainkannya.

“Kalau dah tak ada cerita yang bagus, tutup ajelah tv tu. Dok main tekan-tekan buat apa. Buat rosak aje.” Giliran Hajah Kamariah pula membebel.

Liyana langsung tidak terusik dengan bebelan neneknya. Alat kawalan jauh itu makin galak dimainkannya.

Hajah Kamariah menggeleng dengan perangai tuli cucunya. Sudah tidak kuasa hendak berleter lagi.

Bosan kerana tidak berjumpa dengan rancangan yang diminatinya, Liyana akhirnya menekan butang Off pada alat kawalan jauh itu. Gelap gelita akhirnya TV itu. Dia melepaskan keluhan kebosanan. Kepalanya disendengkan ke paha Hajah Kamariah yang sedang membaca zikir daripada kitab yang sedang dipegang.

Terhenti seketika bacaan Hajah Kamariah dengan perlakuan Liyana. Perlahan-lahan senyuman terukir di wajah tuanya. Cucunya yang seorang itu memang manja. Tetapi hanya dengan dia dan suami. Di hadapan orang lain, cucunya tidak pernah menunjukkan kemanjaan itu. Sentiasa gagah perkasa. Perangai mengalahkan budak jantan.

Hajah Kamariah mengusap lembut rambut Liyana. Penuh dengan kasih sayang. Bacaan zikirnya disambung kembali.

Liyana pula sudah mula memejamkan mata. Usapan lembut dan suara tenang neneknya mengalunkan zikir bagaikan air sejuk yang mengalir di hatinya. Dirinya mula dibuai keasyikkan.

“Hai, dah tidur budak bertuah ni?” sapa Haji Salleh yang muncul di ruang tamu. Selepas pulang dari masjid tadi, perutnya dirasakan kurang enak. Terus sahaja dia ke bilik air.

Hajah Kamariah hanya membalas pertanyaan suaminya dengan senyuman sambil membuat isyarat supaya tidak bising.

“Nana dah tidur ni tok wan.” Liyana bersuara tiba-tiba sambil mengangkat dua jarinya membuat tanda ‘peace’. Matanya masih terpejam rapat cuma riak wajahnya sahaja mempamerkan kenakalan.

Hajah Kamariah tergelak. Bahu Liyana ditepuk mesra.

Haji Salleh pula sudah tergeleng kepala. Nakal betul cucunya itu. Mana ada orang yang sudah tidur boleh bercakap memberitahu yang dia sudah tidur. Ingat cerita P.Ramlee ke apa? “Kartun punya budak,” ujar Haji Salleh.

Malas mahu melayan karenah nakal Liyana, Haji Salleh terus sahaja membelek buku agamanya. Hajah Kamariah pula sudah kembali menumpukan pada bacaan zikirnya. Liyana...apa lagi terus layan matalah. Enak pula dirasakan ‘landing’ di atas paha neneknya.

“Esok jangan lupa pulak. Buat apa yang tok wan pesan tu.” Haji Salleh mengingatkan Liyana.

Liyana diam tidak berkutik. Kaku seolah-olah lena benar tidurnya. Alahai Nurul Liyana... macamlah datuk kau tu bodoh sangat. Segala taktik temberang kau dalam poket dialah. Hentikanlah pura-pura itu.

“Eleh, buat-buat tidur pulak dia ya.”

Liyana diam lagi.

“Nana,” panggil Haji Salleh lagi.

Hajah Kamariah cuba menahan senyum melihat gelagat suami dan cucunya.

“Wahai Nurul Liyana Binti Siti Aisyah,” seru Haji Salleh.

Terus tegak kepala Liyana mendengar seruan sebegitu daripada tok wannya. Tiba-tiba terasa naik meremang bulu romanya. Seram sejuk dirasakan.

“Apalah tok wan ni. Seru-seru nama orang macam nak baca talkin pulak. Meremang bulu roma orang tau,” marah Liyana. Panjang muncung mulutnya.

Haji Salleh dan Hajah Kamariah sudah tergelak-gelak.

“Tahu pun. Lain kali tok wan panggil, buat lagi perangai tuli tu,” tempelak Haji Salleh.

Muncung Liyana bertambah beberapa milimeter lagi. Tetapi dia tidak menjawab kali ini. Sedar silapnya juga kerana buat-buat tidak dengar panggilan tok wannya.

“Ingat pesan tok wan tadi tu,” pesan Haji Salleh sekali lagi.

“Baik, tok wan. Nana ingat. Esok Nana buat okey?” sahut Liyana. Ada kebosanan dalam nada suaranya.

Hmm... apa agaknya pesanan tok wan tu ya? Kalau nak tahu, tunggu esok sahajalah ya. Hehehe...

Beberapa ketika, mereka bertiga tenggelam dalam aktiviti masing-masing. Suasana jadi sunyi sepi antara mereka. Hanya alunan zikir yang cukup perlahan daripada Hajah Kamariah yang menjadi irama malam mereka. Terasa hening malam Ramadan. Sungguh mendamaikan.

Tok... tok... tok...

Bunyi ketukan pintu yang memecah keheningan malam, menganggu tumpuan Haji Salleh dan Hajah Kamariah. Liyana yang masih menyendeng di paha neneknya juga menegakkan kepala.

Siapa pula yang datang malam-malam ni? Persoalan itu menerjah fikiran mereka bertiga.

Tok... tok... tok...

Bunyi ketukan sekali lagi kedengaran. Kali ini lebih keras bunyinya. Seketika kemudian terdengar suara manusia di luar sana memberikan salam.

“Assalamualaikum, abah ooo... abah.”

“Hmm… pak su hang rupanya. Pi bukak pintu sat,” arah Haji Salleh kepada Liyana.

Liyana tidak membantah. Laju dia bangun menuju ke pintu. Berkeriuk bunyi pintu itu tatkala dibuka olehnya. Terjengul wajah pak sunya, Azam. Di belakangnya turut sama isteri pak su, Mak Su Salbiah. Mencuka sahaja wajah mereka berdua.

“Masuklah pak su, mak su,” jemput Liyana penuh hormat.

Zappp! Mak aiii… macam libasan pedang jelingan yang diberikan oleh pak su kepadanya. Tajam menikam!

Tanpa mempedulikan sapaan Liyana, Azam terus menapak masuk ke dalam rumah. Salbiah menurut di belakang. Sempat juga dia melanggar bahu Liyana yang berdiri di sisi muka pintu. Terinjak sedikit tubuh Liyana akibat dilanggar oleh mak sunya yang agak berisi itu.

‘Aduh, apa lagi salah aku kali ni?’ gumam hati Liyana.

Melihat daripada gaya kemunculan bapa dan ibu saudaranya, Liyana sudah tahu, pasti ada yang mereka tidak puas hati dengannya. Kadang-kadang dia sendiri berasa hairan dan pelik, kenapa bapa dan ibu saudaranya itu suka sangat mencari silapnya. Ada sahaja yang dia lakukan, tidak kena di mata mereka. Sejak kecil ini yang sentiasa dia hadapi. Kenapa mereka benci sangat padanya?

“Nanapi dapur sat na.” Liyana memohon izin berlalu. Dia berkira-kira mahu menyediakan minuman. Tetamu datang perlu dirai. Walaupun saudara sendiri.

“Tak payah!” Keras suara Azam.

“Kami datang ni bukan nak minum,” tokok Salbiah.

Liyana tidak jadi melangkah ke dapur. Dia kembali duduk di sebelah neneknya. Haji Salleh dan Hajah Kamariah pula hanya memandang sahaja gelagat anak menantunya itu.

Awat Azam? Ada hal ka?” soal Haji Salleh.

“Memang ada hal. Cucu abah ni memang suka buat hal. Buat malu keturunan aje.” Azam terus menghamburkan kemarahan sebaik peluang bercakap dibuka oleh Haji Salleh. Jari telunjuknya berkali-kali dihalakan ke arah Liyana. Salbiah disebelah sudah mencebik-cebik sinis.

Liyana menelan liur. Buntang matanya mendengar pertuduhan melulu bapa saudaranya. ‘Apa pulak salah aku kali ni? Sampai dituduh malukan keturunan,’ soal hatinya.

Awat yang dok cakap lagu tu Azam oii,” tegur Hajah Kamariah, kurang senang dengan bahasa anaknya.

“Hai... serius bunyinya. Apa yang tak kena ni Azam?” Haji Salleh masih tenang.

“Takkanlah abah tak tau apa budak ni dah buat petang tadi. Riuh kat masjid tadi orang bercerita. Takkan abah tak dengar? Atau abah saja buat-buat tak dengar? Maklumlah, cucu kesayanganlah katakan,” sembur Azam lagi.

“Jangan dok kurang ajar dengan abah hang Azam,” tegur Hajah Kamariah lagi. Kali ini lebih keras.

Haji Salleh mengeluh berat. Kesal dengan perangai baran anaknya yang tidak sudah-sudah. Suka membuat sesuatu dengan melulu. Baik dari segi tindakan mahupun kata-kata.

“Apa yang hang dok merepek ni? Cuba cakap terus terang.”

“Budak ni la…”

“Budak, budak. Itukan anak saudara hang. Anak saudara hang tu ada nama.” Sudah mula ada bunga-bunga melenting dalam nada suara Haji Salleh.

“Apa pulak salah Nana kali ni pak su?” sampuk Liyana.

“Apa salah, apa salah. Hang tu kurang ajar sangat. Awat, tok wan hang ni tak cukup-cukup ajar lagika sampai dok cari pasal dengan orang tua-tua kat kampung ni?” Azam terus menyinga.

“Entahnya. Buat malu aje.” Salbiah pula menyimbah minyak.

“Kalau masih tak cukup ajar, biar aku yang ajar,” tengking Azam lagi. Langsung tiada rasa hormat pada ibu dan ayah yang berada di hadapan mata.

Liyana menarik nafas dalam. Tercabar juga kemarahannya tetapi dia masih sedar batas hormat terhadap seorang bapa saudara. Tapi menjawab sikit-sikit, tak apakan? Hehehe…

“Tok wan memang dah cukup ajar Nana. Sikit pun tak ada yang kurang. Tapi tulah, tak tau kenapa Nana nak kurang ajar jugak. Agaknya, sebab keturunan kita pun ada jugak yang kurang ajar kut.” Pedas sindiran Liyana. Bersahaja lagaknya ketika bertutur. Siap tersengih lagi.

“Kurang ajar!” Serentak dengan itu, Azam sudah berdiri sambil mengangkat tinggi tangannya. Nak melempanglah tu.

“Azam!” Suara Haji Salleh meninggi. Hajah Kamariah pula spontan memeluk Liyana, cuba melindungi cucunya.

Terhenti perbuatan Azam. Dia mendengus keras. Salbiah pantas menarik lengan suaminya supaya duduk kembali. Risau pula dia mendengar suara keras bapa mertuanya.

“Itulah, abah. Bila saya nak ajar budak ni, abah halang, abah bela. Mana dia tak melampau,” luah Azam, geram.

Haji Salleh menarik nafas dalam sekali lagi. Dia cuba menenangkan kemarahan yang mula timbul dalam diri. Itu semua nafsu, dugaan di bulan puasa. Dia perlu bijak melawan.

“Azam, kita ni dalam hidup bukan boleh dengar cakap orang semata-mata. Kena selidik, kena timbang, baru boleh nak ambil tindakan,” tegur Haji Salleh. Penuh hemah kata-katanya tapi cukup mendalam maksudnya.

Azam mendengus lagi. “Naik pedih telinga saya dok dengar orang kampung mengata macam-macam.”

“Dah tahu pedih, tak payahlah dengar.” Liyana mencebik bibir.

Hajah Kamariah sempat menepuk paha Liyana. Budak ni satu. Orang tengah marah, boleh pula dia nak berloyar buruk lagi.

Biaq pi lah apa orang nak cakap. Bukan tentu betul pun,” sampuk Hajah Kamariah pula.

“Haih, mana boleh biar mak. Maruah kita tu,” tukas Salbiah.

“Macam nilah Azam, Salbiah. Hangpa dua toksahlah dok risau. Pedulikan cakap-cakap orang. Abah ada sama petang tadi. Abah tau apa yang berlaku dan Insya-ALLAH, Nana takkan malukan maruah keluarga kita,” putus Haji Salleh menutup ruang bicara.

Azam dan Salbiah masing-masing tidak puas hati. Geram di hati masih belum dapat dilepaskan sepenuhnya. Namun, bila Haji Salleh sudah menutup bicara, mereka tidak berani mahu bertingkah lagi.

“Jomlah kita balik, bang. Cakap kita ni bukan boleh pakai,” sinis kata-kata Salbiah. Lengan Azam ditariknya.

“Hmm… eloklah tu. Balik solat sunat dan mengaji al-Quran banyak-banyak. Mudah-mudahan sejuk hati tu. Bulan puasa macam ni elok banyak beribadat dari dok dengar cakap-cakap tak tentu hala,” sahut Haji Salleh bersahaja. Liyana sudah tersengih geli hati. Dia sedar, ada sindiran dalam nasihat itu.

Azam dan Salbiah terus keluar sebaik mendengar kata-kata Haji Salleh. Langsung tidak bersalam dengan Haji Salleh mahupun Hajah Kamariah. Dengan Liyana apatah lagi. Sakit hati melihat Liyana tersengih-sengih tadi. Hati yang panas, semakin panas bila disindir begitu. Tak pasal-pasal mereka pula yang disekolahkan.

Liyana bangun. Dia menutup kembali pintu rumah setelah pak su dan mak sunya hilang daripada pandangan. Kemudian dia menapak ke arah tok wannya. Mulutnya tersengih lebar.

“Cayalah tok wan. Tok wan memang rocklah,” ucap Liyana sambil mengangkat tangannya meminta ‘high-five’ daripada tok wannya. Haji Salleh melayan sahaja.

Hajah Kamariah sudah tergeleng-geleng kepala melihat gelagat cucu dengan suaminya. Kalau dengan Liyana, suaminya itu melayan sahaja. Perangai pun boleh jadi macam orang muda. Hisy!

Rock, rock jugak. Esok jangan lupa apa yang tok wan pesan tu.” Haji Salleh mengingatkan Liyana kembali.

“Ingat tok wan. Perintah tok wan akan Nana junjung,” jawab Liyana berlawak.

Liyana kembali menyandar pada Hajah Kamariah. “Tok…”

Meleret sahaja panggilan Liyana. Hajah Kamariah menoleh pada cucunya. “Awat?

“Nana peliklah tok.Awat pak su benci sangat kat Nana? Dari kecil sampai Nana besar, pak su tak pernah nak cakap baik-baik dengan Nana.” Liyana meluahkan rasa hatinya. Jari-jemari runcingnya dikait-kaitkan dengan jari Hajah Kamariah.

Hajah Kamariah terkedu. Sayu mendengar kata-kata cucunya itu. Wajah suaminya dipandang. Seperti Hajah Kamariah, Haji Salleh juga terdiam dengan pertanyaan Liyana. Dia tahu jawapan kepada soalan Liyana tetapi mana mungkin dia menyatakan. Itu semua kisah lama.

“Jangandok ambil kisahlah dengan pak su tu Nana. Dia memang jenis baran,” dalih Haji Salleh.

“Tapi takkanlah dari Nana kecil sampai besar, asyik nak baran aje. Tak pernah elok pun,” tukas Liyana tidak berpuas hati dengan jawapan datuknya.

Haji Salleh terdiam. Lebih baik diam daripada terus mereka-reka cerita yang tidak-tidak. Buat tambah dosa di bulan puasa sahaja.

Seminit berlalu. “Tok wan,” panggil Liyana apabila melihat datuknya macam tidak dengar sahaja.

Masih diam. Tiada sahutan dari Haji Salleh.

Setengah minit lagi berlalu. “Tok wan.” Liyana meningkatkan sedikit nada suaranya.

Masih juga tiada sahutan. Mata Haji Salleh terpaku pada rancangan di kaca televisyen.

‘Aik! Biar betul tok wan layan tv. Cerita CSI pulak tu. Kalau forum perdana hal ehwal Islam tu adalah logiknya jugak. Tak pernah-pernah tok wan layan CSI,’ gumam hati Liyana.

‘Hmm… sah tok wan buat-buat tak dengar. Okey, tak apa. Hehehe…’ Liyana berbicara lagi dalam hati.

“Tok, selama ni tok wan suka kata telinga Nana tuli. Malam ni barulah Nana tau…” Liyana berjeda seketika. Dia tersengih-sengih. Nampak sangat kenakalan di wajahnya.

“Tau apa?” Hajah Kamariah terus sahaja melayan Liyana tanpa menghidu niat nakal dalam kepala cucunya.

“Rupa-rupanya penyakit tuli ni turun-temurun dari tok wan,” ujar Liyana penuh selamba sambil ketawa mengekek. Seronok dapat mengenakan datuknya.

Hajah Kamariah pantas menepuk bahu Liyana. Namun, dia tetap tergelak. Geli hati rasanya melihat wajah bengang suaminya. Itulah, buat lagi perangai dengan si Liyana. Sudah tahu cucu kesayangan tu kuat menyakat, sahaja nak mencari pasal juga.

Pi tidur!” arah Haji Salleh agak garang. Memang sah tengah bengang.

Tetapi Liyana sedikit pun tidak gerun. Makin mengekek ketawanya adalah. Tak makan saman betul!

“Benganglah tu.” Liyana sengaja menyakat lagi.

Haji Salleh terus membesarkan matanya. Wajah Liyana dipandang tepat.

“Alamak, tok. Tok wan dah nak jadi hijau tu. Nana masuk tidur dululah.” Laju sahaja Liyana mencicit lari menuju ke biliknya. Baru sekerat jalan, dia menghentikan langkah. Dahinya ditepuk. “Hisy! Lupalah pula,” ujarnya sendiri.

Liyana kembali berpusing. Perlahan dia melangkah ke ruang tamu kembali. Dilihat datuknya masih bercekak pinggang. Neneknya pula masih tersenyum-senyum. Liyana menggaru sedikit kepalanya.

“Terlupa pulak nak salam,” katanya sambil ketawa kecil. Entah apa yang lucu, dia sahaja yang tahu.

“Tok wan, orang nak pergi situ. Nak salam. Tok wan jangan jadi hijau lagi tau. Lepas salam, lepas Nana masuk bilik, tok wan nak jadi  warna purple pun boleh. Orang tak kisah dah,” kata Liyana lagi. Penuh selamba sahaja cakapnya. Muka tidak bersalah langsung!

Makin besar mata Haji Salleh. Cucunya yang seorang ini memang tak makan saman. Liyana bersalam dengan neneknya, Hajah Kamariah terlebih dahulu. Pipi neneknya yang sudah mula berkedut itu dicium penuh sayang. Kemudian dia beralih ke Haji Salleh pula.

“Salam tok wan.” Liyana tersengih-sengih sambil menghulurkan tangan.

Haji Salleh mendengus keras. Sengaja mahu menunjuk garang pada cucunya. Tetapi seperti biasa, Liyana memang tak makan saman. Liyana makan nasi.

“Bulan puasa tak baik marah-marah tok wan. Kita salam ek tok wan,” pujuk Liyana.

Haji Salleh masih membatu. Wah! Tok wan main lawak kasarlah pulak. Okey, takpe…takpe…

“Minta baik-baik tak nak kasi, sinilah.” Liyana terus sahaja menarik tangan Haji Salleh. Dengan pantas dicium tangan tua itu.

Yes! Malam ni Nana tidur dengan hati yang bersih lagi suci dan tanpa was-was, sebab tok wan dah maafkan Nana. Yeayyy!” Terus Liyana berlari masuk ke dalam biliknya.

Haji Salleh hanya mampu menggeleng. Dengan Liyana memang dia tidak boleh marah. Tengok muka sardin cucunya itu, cepat sahaja hatinya sejuk.

Hajah Kamariah kembali tertawa. Macam-macam hal suami dan cucunya itu. “Nana… Nana...” Dia menggeleng.

“Apalah nak jadi dengan cucu hang tu Yah? Nakal sangat,” keluh Haji Salleh sambil melabuhkan punggung kembali ke sofa.

“Amboi, abang haji. Bila nakal, cucu Yah. Bila baik, cucu dia,” sindir Hajah Kamariah. “Abang haji dengan Nana tu, dua kali lima aje,” sambung Hajah Kamariah lagi.

Terdiam Haji Salleh dengan kata-kata isterinya. Iya ke sama?



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku