Mr.London Ms.Langkawi
Bab 7
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Januari 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dan boleh didapati dalam naskhah cetek di Karangkraf Mall dan naskhah digital di aplikasi eMall.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
6254

Bacaan






Aidid bangun pagi itu dengan langkah longlai dan tidak teratur. Kejap terhuyung ke kanan, kejap terhayang ke kiri. Sudah macam orang mabuk tuak sahaja gayanya. Boleh pulak turun tangga siap pejam mata lagi. Dahsyat… dahsyat. Kalau salah langkah, baru padan muka!

Dia menapak ke ruang dapur dengan rasa malas yang teramat. Rasa mengantuk masih mengepung dirinya. Kalau boleh, dia tidak mahu bangun sahur. Mengantuk! Tetapi kalau tidak bangun, mahu pekak telinga akibat gabungan syarahan mama dan abahnya nanti. Kalau mama, masih boleh tahan lagi. Tapi kalau abah, huish! Boleh dapat kanser gegendang telinga.

Aidid terus duduk bersila di atas kerusi meja makan. Wajahnya disembamkan ke meja.

Puan Mariam yang sibuk menghidangkan juadah untuk mereka bersahur hanya menggeleng melihat telatah anak bujangnya. Macam budak kecik. “Aidid, cuba bangun, duduk elok-elok. Ada ke patut mengadap rezeki macam tu,” leter Puan Mariam.

Tapi leter Puan Mariam tidak laku di telinga Aidid. Seolah-olah mamanya itu sedang berdondang sayang mendodoikannya tidur.

“Hah! Eloklah tu.”

Aidid terus tegak kepala sebaik sahaja suara itu menerjah gegendang telinganya. Wajahnya diusap berkali-kali, cuba menghilangkan rasa mamai.

Puan Mariam sudah tersenyum-senyum. Sarjan pencen sudah masuk kem. Habislah kadet kena bambu!

“Waktu orang tidur, kau pergi merayap. Bila waktu sahur, kau nak tidur. Apa nak jadi budak ni?”

Yeah! Syarahan sudah bermula.

“Bulan-bulan puasa ni cubalah berubah sikit Aidid. Dok rumah tadarus al-Quran ke, solat sunat ke. Ini tidak, orang lain berjaga malam, iktikaf di masjid, kau berjaga malam, melepak dengan kawan-kawan merapu kau tu.” Okey, syarahan bersambung lagi.

Aidid menenyeh-nenyehkan jarinya di telinga. Kan dah kata tadi. Kalau mama bersyarah, bunyi macam dondang sayang aje. Tapi kalau abah, perghhh… tikam makan dalam menusuk ke jantung woo!

“Dahlah tu, bang. Jom kita makan. Karang lewat pulak,” celah Puan Mariam. Encik Azman sudah menjeling.

Macam biasalah beb. Mama tolong cover anak. Hehehe…

Anak-beranak itu mula menjamah hidangan sahur mereka setelah Encik Azman selesai membacakan doa. Aidid masih juga dengan gelagat kanak-kanak ribenanya. Tangan menyuap nasi ke mulut, tetapi mata terpejam rapat. Buruk perangai sungguh!

“Awak dah siap kemas semuanya, Yam?” soal Encik Azman.

“Alhamdulillah... dah siap abang,” jawab Puan Mariam.

Encik Azman terangguk-angguk, senang hati dengan jawapan isterinya.

“Urusan ke Mekah tu dah siap ke semuanya abang?” soal Puan Mariam pula.

“Dah selesai. Tunggu masa nak berangkat aje.” Lembut Encik Azman menjawab. Begitulah dia dengan isterinya. Cukup lembut dan penyayang. Tetapi kalau dengan anak bujangnya, suara mengalahkan singa jantan kat Afrika nun.

Encik Azman memandang Aidid. Tergeleng kepalanya. “Kamu Aidid. Dah siap berkemas?” Haaa… tengok. Kan dah jadi suara singa jantan Afrika balik.

Aidid terkejut disergah abahnya. Dia yang ralit mengunyah nasi dengan mata terpejam, terus tersedak. Cepat-cepat gelas di hadapannya dicapai. Baru nak terbuka luas mata tu. “Abah tanya apa tadi?”

“Barang kamu dah siap kemas ke?”

Aidid terdiam. Soalan ini yang dia tidak berapa gemar. Memang dia tidak minat langsung nak balik ke Malaysia. Sejak kecil dia jarang berada di Malaysia. Hanya sesekali pulang. Itupun sehari dua sahaja. Setiap kali pulang, tiada rasa yang menarik di jiwa.

“Errr… kalau Aidid tak ikut mama dan abah balik boleh tak?” Dalam takut-takut, Aidid mencuba nasib. Mana tahu abahnya berubah fikiran.

Ha’ah iya. Berubah betul fikiran Encik Azman dengan permintaan Aidid. Tetapi dalam mimpi sahajalah.

“Kamu jangan nak mengada-ngada Aidid,” sembur Encik Azman. Eeii… geram sungguh dia dengan budak bertuah ni. Kalau tak fikirkan sabar, mahu jugak dia lanyak anaknya itu.

‘Alamak, salahtiming daaa.’ Aidid kembali menunduk ke pinggan nasinya.

“Abah nak hujung minggu ni, abah dan mama ke Mekah, Aidid balik ke Langkawi, duduk dengan tok wan,” tegas arahan yang diberikan oleh Encik Azman.

“Faham?”

Aidid angguk kepala perlahan.

“Jangan nak buat perangai macam-macam. Abah akan sentiasa pantau Aidid.” Lagi satu amaran dikeluarkan.

‘Huhuhu… habislah kebebasan aku.’ Hati Aidid berlagu sendu.

“Dengar tak?”

“Dengar abah.” Lemah sahaja sahutan dari Aidid.

Puan Mariam hanya memerhati sahaja gelagat suami dan anaknya. Langsung dia tidak menyampuk. Malas nak ambil ‘port’ dengan perangai dua orang lelaki kesayangannya.


AIDID mencampakkan sebeban baju yang dikeluarkan dari almari. Wajahnya jelas menunjukkan kebosanan di tahap maksima. Sehelai bajunya dicapai lantas dia melipat ala kadar. Baju itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah beg galas yang sederhana besar.

Dicapainya lagi baju yang lain pula. Perkara sama dilakukan. Masuk baju yang ketiga, belum sempat dilipat, dia mencampakkan kembali ke atas katil.

Huh! Dia mengeluh keras. Tubuhnya turut sama dibantingkan ke tilam. Kedua-dua belah tangan dilipat ke belakang, mengampu kepalanya. Matanya tepat memandang ke syiling bilik.

“Hisy! Kenapalah abah tu sibuk sangat nak suruh aku balik ke kampung. Bukannya ada apa pun kat sana,” rungut Aidid.

“Kenapa Aidid?”

Suara Puan Mariam menerjah telinga. Aidid mengangkat sedikit kepalanya. Mamanya sedang bersandar elok sahaja di muka pintu bilik. ‘Bila pula mama ada kat sini ni?’ desis hatinya. “Eh! Mama. Masuklah.”

Puan Mariam tersenyum. Anak bujangnya yang masih terlentang di atas katil dihampiri. Perlahan dia melabuhkan punggang ke tilam. Baju Aidid yang bersepah dicapai lalu dilipat kemas.

“Kenapa Aidid muram aje ni?” Puan Mariam mengajak Aidid berbual sambil tangannya lincah memasukkan baju-baju itu ke dalam beg galas Aidid.

Aidid mendengus sekian kali. Jelas menunjukkan dia berada dalam situasi tidak gembira. Tangannya terasa gatal mahu mengeluarkan semula baju yang dimasukkan mama ke dalam begnya.

“Mama...” rengek Aidid bagaikan anak kecil. Kepalanya dialihkan ke riba Puan Mariam.

Tangan Puan Mariam spontan mengusap kepala Aidid. “Kenapa ni?” Lembut suaranya bertanya.

“Aidid tak nak balik Malaysia, ma,” ujar Aidid.

Puan Mariam hanya tersenyum. Memang sudah diagak. Dari tadi dia memerhati sahaja tingkah laku Aidid. “Kenapa Aidid tak nak balik Malaysia?”

Aidid mengeluh lagi.

“Aidid, kan mama tanya ni?”

“Aidid tak sukalah, ma. Aidid tak biasalah kat sana.” Suara Aidid kedengaran sedikit membentak.

Puan Mariam tersenyum. Aduhai anak. “Aidid kata, Aidid tak biasa kat Malaysiaso macam mana Aidid tahu Aidid tak akan sukakan Malaysia?”

Pandai pula si mama memerangkap si anak. Bijak…bijak…

“Mama, dari kecil Aidid tak pernah duduk kat sana. Eeii… rasa terasinglah,” bangkang Aidid.

“Sebab tu Aidid kena balik sana. Mama percaya, bila Aidid tinggal di sana nanti, Aidid akan jatuh cinta dengan Malaysia,” pujuk Puan Mariam.

Aidid mendengus. Arghhh! Mama pun sama macam abah. Sikit-sikit Malaysia, sikit-sikit Malaysia. Bagus sangat ke Malaysia tu. Hutan belantara sahaja!

‘Okey tak apa. Aku akan ikut cakap mama dan abah. Aku akan balik Malaysia. Sebulan! Dan aku akan buktikan, Malaysia bukan jiwa aku!’ Aidid menanam tekad dalam hati.

Melihat wajah bosan Aidid, Puan Mariam merusuh dalam hati. Siapa nak disalahkan? Anak bujangnya tidak suka duduk di tanah air sendiri. Kerja suaminya menuntut mereka meninggalkan tanah air sekian lama. Natijahnya, anak mereka tidak kenal negara sendiri. Salah siapa? Ya salah mereka berdua.

Puan Mariam mengakui dalam hati sambil melangkah longlai meninggalkan bilik Aidid. Jauh di sudut hati, dia bermohon kepada ALLAH supaya dibukakan hati anaknya untuk menyayangi tanahairnya sendiri.

Mudah-mudahan bila sampai sahaja di Malaysia nanti, Aidid akan terpegun dengan keindahan Malaysia. Biar hati anaknya bangga mengakui dia anak Malaysia. Itu doa Puan Mariam.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku