Mr.London Ms.Langkawi
Bab 10
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Januari 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dan boleh didapati dalam naskhah cetek di Karangkraf Mall dan naskhah digital di aplikasi eMall.
Penilaian Purata:
(29 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
21436

Bacaan






“ALA, awat Nana pulak yang kena pi ambil dia?” protes Liyana apabila mendengar arahan Haji Salleh. Tubuhnya dipeluk kejap dengan kedua-dua belah tangan.

“Habis tu, takkan tok wan nak suruh tok hang pulak yang pi jemput?” jawab Haji Salleh. Ada loyar buruk dalam ayat itu.

Liyana mendengus geram. ‘Aiseh! Aku tengah angin, boleh pulak tok wan buat lawak ya.’

“Tok wan, dekat Langkawi ni, teksi betul, teksi sapu, semua ada. Berlambak-lambak. Pilih saja yang mana suka. Letak punggung, sekejap saja dah sampai kat laman rumah ni,” balas Liyana.

“Uish, tak eloklah buatlagu tu. Abang Aidid hang tu baru sampai sini. Berpuluh tahun dia tak balik. Bukannya dia reti jalan sini,” sanggah Haji Salleh.

“Alah, pemandu teksi kat airport tu kebanyakannya kenal tok wan. Cakap aje nak ke rumah Haji Salleh. Apa yang susahnya. Tak perlu pun cucu London tok wan tu kenal jalan ke tidak,” protes Liyana lagi. “Tok wan, Nana ni bukan tak mau pi ambil dia. Tapi Nana ni sibuk. Banyak kerja nak buat,” sambungnya lagi.

Haji Salleh diam.

Liyana menyambung kata. “Tak pun tok wan suruhlah pak su. Pak su tu kan dok saja aje kat rumah tu.”

Haji Salleh mengeluh mendengar kata-kata Liyana. Cucunya itu memanglah. Kalau bab bagi alasan, serahlah kat dia. Memang pandai! Seribu pun dia boleh beri.

“Hmm… tak apalah. Nana sibuk, kan? Pi la buat kerja Nana. Biar tok wan sendiri pi ambil Abang Aidid hang tu.” Haji Salleh terus bangun sebaik selesai menuturkan ayat sedih tersebut.

Liyana terus dilanda serba-salah. Takkanlah dia hendak biarkan datuknya pula pergi mengambil abang sepupunya itu. Nampak sangat dia bukan cucu yang bertanggungjawab. Tok wan ni memanglah. Suka buat ayat-ayat sedih macam tu tau. “Tok wan… tok wan,” panggil Liyana kalut.

Langkah Haji Salleh terhenti. Dia sudah mengulum senyum. Jeratnya mengena. Tahu sangat dia kelemahan cucu perempuannya itu. Semua dalam poket tok wan lah. Hehehe…

Haji Salleh berpaling. Senyuman disembunyikan. “Awat pulak?” Dia buat muka sedih.

Liyana melepaskan keluhan. “Tak apalah. Biar Nana pi ambil.”

“Nana kan sibuk. Takpalah, biar tok wan pi ambil. Bukan jauh mana pun Padang Mat Sirat tu.” Haji Salleh cuba bermain tarik tali dengan cucunya.

“Tak payah… tak payah. Biar orang buat. Tok wan duduk diam-diam kat rumah. Nanti orang bawa cucu London kesayangan tok wan tu balik dengan selamat dan sejahteranya,” pintas Liyana.

Haji Salleh hanya tersenyum lebar apabila melihat Liyana menapak turun ke bawah rumah. Tahu hati cucunya itu tengah sebal. Liyana kalau sudah bercakap pakai bahasa orang, orang… faham-faham sajalah.

Tetapi hatinya jadi cuak, apabila melihat Liyana sudah memakai helmet lalu melangkah naik ke motorsikalnya. Ah! Sudah.

“Astaghfirullah al azim… takkanlah Nana nak pi jemput Abang Aidid naik motor kot?” tegur Haji Salleh.

“Entahnya,” sampuk Hajah Kamariah yang tiba-tiba sahaja muncul dari belakang rumah. Di tangannya ada serumpun ubi kayu yang masih penuh dengan tanah.

“Pakai motorlah cepat tok wan, tok. Lecehlah nak bawa-bawa kereta ni. Nak kena cari parking lagi,” omel Liyana. Orang sudi nak pergi jemput pun dah kira baik tau!

“Ya ALLAH... budak ni. Kalau pakai motor, nanti beg-beg Abang Aidid kamu tu nak letak kat mana?” ujar Haji Salleh menolak kata-kata Liyana.

“Alah, Nana berani kerat daun serai tok kat belakang rumah tu hah, kalau cucu London tok wan tu bawa pakaian berguni-guni. Tok wan tengok ajelah nanti. Satu beg pun belum tentu penuh.” Penuh yakin Liyana menjawab.

Haji Salleh dan Hajah Kamariah berpandangan sesama sendiri. Ke situ pula budak bertuah ni! Liyana sudah memecut motorsikalnya meninggalkan datuk dan neneknya yang masih terkebil-kebil dengan kelakuannya.

Sepuluh minit merempit dengan motorsikal kesayangannya, Liyana sampai di Lapangan Terbang Padang Mat Sirat. Alah, jauh mana sangat Mukim Ulu Melaka tu dengan Padang Mat Sirat.

‘Liyana tercari-cari kelibat Aidid. Hisy! Mana satu pulak mamat London ni? Aku bukannya pernah jumpa dia pun. Macam mana nak kenal ni?’ Liyana menyoal dirinya sendiri. Menyesal pula dia tidak bertanyakan lebih lanjut dengan tok wan tentang abang sepupunya.

Lehernya dipanjangkan, cuba mengintai-intai wajah yang dirasakan sesuai sebagai cucu London tok wannya. Tiba-tiba dia terpandang kelibat seorang lelaki. Hatinya kuat mengatakan itulah cucu London tok wannya.

Dengan penuh keyakinan di dada, Liyana melangkah jitu ke arah lelaki tersebut. “Hai... Aidid?” tegur Liyana.

Jejaka itu membuka kaca mata hitamnya. Wajah gadis yang tiba-tiba sahaja menegurnya direnung. Wow! Kacaknya. Sabar Liyana, sabar. Jaga kelakuan.

“Adik salah orang agaknya. Saya bukan Aidid. Saya Aaron,” jawab lelaki itu.

Mendengar kata-kata lelaki itu, Liyana terus ketawa bagaikan orang sakit meroyan. Pinggangnya dicekak kuat, cuba menahan sakit pada urat-urat akibat ketawa yang tidak berhemah.

Jejaka yang kononnya bernama Aaron itu, terkebil-kebil memandang gelagat Liyana. ‘Apa ke hal pulak budak perempuan ni? Tiba-tiba sahaja meroyan semacam ni. Aku ada buat lawak ke?’ “Adik, adik okey ke?” soalnya. Pelik ada, risau pun ada juga. Ada pesakit hospital bahagia terlepaskah?

Liyana masih ketawa tetapi frekuensinya sudah semakin menurun. “Awak jangan buat lawak boleh tak. Sakit urat kentut saya ni tau tak?” Selamba sahaja dia berkata-kata.

Lelaki itu semakin pelik dengan kelakuan Liyana. “Bila masa pulak saya buat lawak?”

“Awak ni pun. Kalau nak buat lawak pun agak-agaklah. Nampak benor nipunyer. Teman tahu ler kome tu kacak bergaye. Tapi, kalau nak ngaku Aaron Aziz pun agak-agakler,” kata Liyana sambil kembali ketawa berdekah-dekah. Dah cakap Perak pulak dah budak ni!

“Dik. Bila masa pula saya kata yang saya ni Aaron Aziz? Saya cuma cakap, nama saya Aaron,” jelas pemuda itu membuatkan ketawa Liyana mati serta merta.

Liyana terdiam. Ha’ah... kan? Dalam dunia ni, bukan Aaron Aziz tu seorang sahaja yang nama Aaron. Alamak, malunya… malunya.

“Eh?” kata Liyana sambil tersengih menayang gigi.

Pemuda itu tersenyum selamba. Tahu Liyana sudah termalu dengannya. “Hmm...”

“Hehe…sorry. Peace!” ucap Liyana dengan perasan malu yang teramat sangat. Dia mengangkat dua jarinya membuat tanda ‘peace’ lalu terus cabut lari. Malu… malu… Doreamon, mana kau? Aku nak pinjam poket ni. Nak sembunyikan diri!

Ibarat lipas kudung Liyana melarikan diri. Malu teramat sangat. Sudahlah salah orang, boleh pula dengan selamba kataknya dia pergi ‘sound’ mamat tu. Tanpa soal selidik pula tu. Hisy! Liyana… Liyana.

Kerana kelam-kabut mahu melarikan diri, Liyana tidak peduli lagi kiri dan kanannya. Sudahnya, dia merempuh seseorang yang sedang berjalan di hadapannya. Tergolek kedua-dua hamba ALLAH itu.

“Aduh!” Serentak mereka bersuara.

“Kenapa main langgar-langgar pula ni?” tegur pemuda itu sedikit marah. Dia bangun sambil membetulkan kembali kedudukan beg galasnya.

Liyana turut sama bangun. Tangannya memegang pinggang yang terasa sedikit nyilu akibat terjatuh tadi. Punggung dah ada rasa kebas-kebas. Malam ni sah kena cari Hajah Kamariah untuk betulkan urat.

“Minta maaflah, encik. Saya tengah main Amazing Race sebenarnya,” auta si Liyana. Macam-macam hal betul budak ni.

Mata pemuda itu mencerlung memandang Liyana. ‘Tengah main Amazing Race? Menipu tak agak-agak langsung budak ni.’

Liyana sengih tayang gigi lagi. Rasanya kecil-kecil dulu, mesti Liyana ni cita-citanya hendak jadi model iklan ubat gigi. Sekali lagi dua jarinya diangkat menunjukkan tanda ‘peace’.

Sekali lagi dia buat perkara yang memalukan diri sendiri. Liyana terus menapak laju meninggalkan pemuda itu terkulat-kulat. Tetapi, baru empat langkah menapak, Liyana kembali berpaling.

“Eh, eh... awak boleh cakap Melayu?” soal Liyana pelik.

Pemuda itu yang baru hendak bergerak, tercengang apabila ditegur Liyana lagi.

Tiba-tiba Liyana ketawa.

Apa masalah budak ni? Pemuda itu tertanya-tanya sendiri. Sudah macam terlebih gen aktif pun ada.

“Walaweh… saya ingat awak mat salih tadi,” ujar Liyana lalu menampar bahu pemuda itu.

Terpusing sedikit tubuh pemuda itu akibat tamparan Liyana. Asal boleh saja budak ni. Sesuka hati kambing dia nak tampar-tampar anak teruna orang.

“Saya Liyana. Kalau awak nak cuba Island Hoping, carilah saya ya,” ujar Liyana sambil menghulurkan kad perniagaannya. Sempat lagi buat bisnes tu. Hai, kalau otak sudah diset duit, duit sajalah yang difikirkannya.

Pemuda itu menyambut kad yang dihulurkan Liyana. “Aidid.” Dia memperkenalkan dirinya.

“Oh…” Liyana terangguk-angguk.

“Hah? Apa? Aidid?” jerit Liyana tiba-tiba.

Aidid sekali lagi terkejut campur tercengang. ‘Apa lagi masalah budak ni? Tadi tiba-tiba langgar aku. Lepas tu tiba-tiba gelak macam orang meroyan. Sekarang ni, tiba-tiba menjerit pulak. Aduh! Boleh mental aku dibuatnya.’

“Aidid Muflis?” soal Liyana lagi. Matanya merenung tajam wajah Aidid.

“Err… bukan Muflis. Aidid Mukhlis.” Aidid membetulkan sebutan namanya.

Liyana menggawang tangan kanannya. “Alah, lebih kuranglah tu. Datang dari London, kan?” Dia meminta kepastian lagi.

Aidid mengangguk. “Ya.”

“Sah!”

“Apa yang sah?” Makin tinggi tahap tercengang Aidid.

“Sah. Awak cucu London Haji Salleh,” ucap Liyana penuh yakin.

“Hah?”

“Dah… dah. Tak payah nak buat rupa babun terkejut. Jom cepat. Dah lama saya cari awak ni. Saya ni dahlah banyak kerja nak buat. Haji Salleh sibuk suruh jemput awak lagi. Cepat, cepat,” gesa Liyana sambil berjalan pantas mahu menuju ke tempat motorsikalnya.

Aidid tidak berganjak. Dia masih berdiri tegak di tempat tadi. Dia jadi keliru apabila tiba-tiba sahaja bertemu dengan Liyana yang berperangai selamba tahap tak ingat. Macam orang gila pun ada juga.

Liyana yang menyedari Aidid tidak menurutinya, menghentikan langkah sambil bercekak pinggang. “Cepatlah weh. Banyak kerja lagi saya nak buat ni,” gesa Liyana.

Akhirnya Aidid menapak mendekati Liyana. Hatinya masih bersarang curiga. “Kenapa saya nak kena ikut awak pulak? Awak ni siapa?”

Liyana menepuk dahi. “La... kan dah cakap tadi. Nama saya Liyana.”

“Saya tahulah nama awak Liyana, tapi awak ni siapa? Tiba-tiba nak suruh saya ikut awak. Entah-entah awak ni orang jahat ke, apa ke, manalah saya tahu,” celopar mulut Aidid berkata membangkit bahang di wajah Liyana.

“Eh, Helo Mr. London! Cuba awak tengok wajah comel saya ni baik-baik. Ada rupa orang jahat? Ada?” Liyana sudah mula naik angin. Jari telunjuknya ditekan-tekan pada pipinya. Orang dah cukup baik nak tolong jemput, boleh pula tuduh orang jahat. Melampaulah tu!

“Iyalah. Tiba-tiba saja suruh saya ikut.” Aidid membela diri sendiri.

Liyana mendengus. “Encik Aidid Muflis…”

“Aidid Mukhlis!”

“Ah, iya. Encik Aidid Mukhlis. Awak cucu Haji Salleh yang baru sampai dari London, kan?”

Aidid mengangguk.

“Haa… ini Liyana The Samseng. Disuruh oleh tok wan awak yakni Haji Salleh menjadi driver awak untuk menghantar awak ke rumahnya dengan selamat dan sejahtera. Sekian, terima kasih.”

Habis sahaja mengucapkan ayat panjang lebar itu, Liyana kembali menyambung langkah ke motorsikalnya.

‘Mak aii! Liyana The Samseng tu! Patutlah perangai pun macam samseng. Kenapalah tok wan hantar orang macam ni jemput aku?’ omel hati Aidid.

Melihat Liyana yang sudah jauh ke hadapan, Aidid kelam-kabut berlari. Hisy! Haru betullah perempuan ni. ‘Kenapalah tok wan suruh budak ni yang datang menjemput?’

Sebaik sampai ke motosikalnya, Liyana melihat ada seorang jaga sudah menyandar cantik di situ. Sambil hayun-hayun cota lagi. Aiseh!

“Aku dah agak dah! Tak ada YB lain yang berani nak parking kuda jadian ni kat depan pintu utama ni kalau bukan hang,” tempelak jaga itu sebaik sahaja Liyana terpacak di hadapannya.

Rupa-rupanya tadi Liyana selamba sahaja memarkirkan motosikalnya di hadapan pintu masuk utama lapangan terbang tersebut. Sesuka hati dia sahaja. Agaknya Haji Salleh ada share dengan lapangan terbang ni kot.

Liyana tersengih, buat muka tidak bersalah. “ALLAH, sat aje Che Mat. Takkan tu pun nak marah.”

Sat tengkorak hang. Aku dok kat kuda jadian hang ni dah dekat 20 minit hang tau,” balas Che Mat itu dengan garangnya.

Liyana sengih lagi.

“Memang nasib hang baik tau dak. Seminit lagi hang tak muncul, memang selamatlah kuda jadian hang ni aku kerjakan,” gertak Che Mat.

“Janganlah macam tu, Che Mat. Minta maaflah. Lain kali Nana tak buat lagi. Sungguh,” pujuk Liyana sambil mengangkat tangan kanannya bagaikan sedang berikrar.

“Che Mat jangan marah-marah. Nanti kena darah tinggi. Takpa… takpa. Nanti Nana belanja Che Mat makan cendol kat kedai Leha Janda tu okey,” umpannya lagi.

Hang nak rasuah aku ka?”

“Huish! Ada ke rasuah pulak. Apalah Che Mat ni. Tu bukan rasuah, tapi membalas budi sebab Che Mat tolong jaga kuda jadian Nana ni.” Liyana menyangkal tuduhan Che Mat.

Aidid sedari tadi hanya menjadi patung cendana di situ. Dia memerhati sahaja perbualan antara Liyana dengan lelaki yang dipanggil Che Mat itu. Bukannya dia faham sangat apa yang dikatakan mereka tapi kuda jadian tu apa ek?

“Huh! Iyalah tu. Belanja konon. Nanti hang seorang yang tibai.”

Dak aih! Kita makan sama-samalah. Lagipun Nana tau, Che Mat suka ushar Leha Janda tu, kan?” tebak Liyana tergelak-gelak. Keningnya diangkat-angkat nakal.

‘Hisy! Tahu pulak budak ni yang aku suka tengok si Leha Janda tu. Bahaya ni! Budak Liyana ni bukan boleh pakai sangat. Silap gaya, habis heboh sekampung nanti,’ desis hati Che Mat.

“Yalah.”

“Hehe… terima kasih Che Mat.” Liyana masih tersengih-sengih.

“Hah! Apa lagi? Baliklah,” sergah Che Mat.

“Tu, pasung tu bila nak buka? Kesian kuda jadian saya ni Che Mat.”

La… dah kena clamped rupanya. Hahaha…

Che Mat mendengus lalu membuka kunci di motosikal Liyana. Aidid pula akhirnya memahami apakah kuda jadian yang dimaksudkan. Motosikal dipanggil kuda jadian. Ish…ish… ish…

“Terima kasih, Che Mat,” ucap Liyana sambil tersenyum manis.

“Hah! Cepatlah naik,” arah Liyana kepada Aidid pula.

Aidid terasa tidak percaya. Naik motor? Dengan Liyana The Samseng? Uish! Ini dah kira nyawaku pertaruhkan ni.

“Apa hal?” tanya Liyana apabila Aidid masih tercegat berdiri.

“Naik motor ni?”

Liyana juling mata ke atas. “Iyalah. Takkan nak bawa kapal terbang landing kat sawah tok wan awak pulak,” sinis balasannya.

“Tak naklah saya,” putus Aidid.

Hekeleh dia ni. Mengada-ngadalah pulak.”

“Siapa budak ni Nana?” Che Mat yang masih berada di situ, tiba-tiba menyampuk. Hairan juga dia. Sejak dari tadi lelaki itu berdiri terpacak bersama mereka. Tak pernah pula dia nampak muka sebelum ni. Sudahlah tu, tak macam orang Melayu pun.

“Ni?” Jari telunjuk Liyana menunding ke arah Aidid.

Che Mat angguk.

“Ini cucu London Haji Salleh,” cerita Liyana.

“Ya ka? Anak Azman? La… dah besar pun,” ujar Che Mat sambil memandang Aidid.

Aidid tersenyum sambil mengangguk sedikit tanda hormat. Tangan dihulurkan untuk bersalaman. Che Mat pantas menyambut.

“Haa… sudah, sudah. Che Mat kalau nak interview ke, apa ke, lain kali ek. Nana dah lambat ni. Banyak lagi kerja nak buat ni.” Liyana pantas menghalang apabila melihat Che Mat seperti ada ura-ura mahu memanjangkan temu ramahnya.

“Weh, cepatlah naik,” marah Liyana.

Melihat gaya Liyana yang hampir berubah menjadi singa jadian, Aidid terus melompat naik di belakang Liyana. La… takut juga dia dengan Liyana The Samseng rupanya. Hahaha…



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku