Hai Handsome! a.k.a (Musuhku, Encik Pilot)
-Sedutan Bab 47 - Singa vs Labah-Labah
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 10 Februari 2015
Dapatkan Novel Hai Handsome! akan datang di kedai-kedai buku berhampiran Julai 2017 ini. Sekarang ini sudah boleh Pre-order dengan saya sendiri :) pm FB atau Instagram sy ya. Thanks you so so much utk semua yang sentiasa menyokong karya saya. Alhamdulillah. Satu lagi jangan lupa utk follow novel ke-2 saya di portal ilham berjudul My Love, Encik Sombong. Ikuti sy di FB : Idya Mohd Nor dan instagram : idyamohdnor
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
8606

Bacaan






                       “Nak minta restu dan minta maaf dengan orang tua kita 

                              sebelum kita nikah lah Cik Maya Ariana.” IZZAZ


“Syarat? Tapi bukan ke hari tu kau kata kau setuju nak kahwin dengan aku tanpa sebarang syarat.” Perkataan ‘tanpa syarat’ itu ditekan Izzaz.

“Itu dulu sebelum saya tahu awak sedang mempermainkan saya.” Balasku selamba. Tidak ada rasa langsung untuk menjaga hatinya.

Bagiku kenapa aku perlu menjaga hatinya sedangkan Izzaz sendiri tidak pernah pun menjaga hati aku sepanjang aku mengenalinya. Tindakannya yang telah mempergunakan aku telah menunjukkan yang dia sebenarnya tidak mengasihani aku langsung.

“Tapi aku...” Tergagap-gagap Izzaz cuba menyusun kata-katanya.

“Sekarang ni awak setuju ke tidak? Awak tak ada pilihan lain dan saya juga tak nak pilihan lain.” Aku bertegas.

Tanpa menjawab soalan aku, Izzaz terus bangun dari bangku. Pandangannya tiba-tiba bertukar serius, membuatkan aku menelan liur. Sebenarnya dari tadi aku hanya berlagak berani di hadapannya sedangkan aku masih gentar melihat bagaimana Izzaz melawan Kak Long sebentar tadi.

“Buat apa kau duduk lagi. Jom lah.” Ajaknya yang membuatkan aku terpingga-pingga.

“Nak ke mana?” Soalku bingung.

“Nak minta restu dan minta maaf dengan orang tua kita sebelum kita nikah lah Cik Maya Ariana.” Balasnya.

“Hah?” Aku bertambah bingung.

Izzaz mendekatkan wajahnya denganku. “Kau kata setuju nak kahwin dengan aku kan? Sekarang ni aku dah setuju dengan syarat-syarat kau tadi. Jadi pernikahan kita akan berjalan seperti yang dirancang lah. Jadi boleh kita minta restu dari Umi dan Abah kau sekarang?”

Aku tidak percaya yang Izzaz akan mengikut syarat-syarat yang telah aku tetapkan. Sangkaku dia akan mengalah dan akan melupakan terus permintaannya tadi iaitu meminta aku memberinya satu lagi peluang. Ternyata sangkaanku itu meleset sama sekali kerana lelaki di hadapanku ini bukanlah seorang yang mudah berputus asa.


-------------------------------------------------------------------------------------------------

                              “Apa? Awak? Abang? Awak ni dah kenapa?” MAYA


Seminggu kemudian,

“Aku terima nikahnya Maya Ariana binti Yusof dengan mas kahwinnya sebanyak lapan puluh ringgit tunai.” Lafaz Izzaz Rayqal.

Dengan sekali lafaz aku sah bergelar isteri kepada lelaki itu. Ternyata apa yang pernah aku mimpikan sebelum ini telah menjadi satu kenyataan. Aku dan Izzaz diraikan lebih kurang sama seperti yang aku lihat di dalam mimpiku tempoh hari. Namun aku tidak pasti mengapa perasaanku ketika itu tidak sama langsung seperti yang aku rasakan ketika aku mimpi dia mengucup dahiku. Entah aku sendiri tidak pasti apa yang aku rasakan di dalam hati ketika kali pertama aku mencium tangannya. Rasa aneh, itu yang mampu aku terjemahkan di dalam bentuk perkataan. Cuma yang bezanya tiada dua orang perempuan yang datang menganggu seperti yang berlaku di dalam mimpiku.

Aku senyum ketika bersalam dengan saudara-maranya. Mataku tidak lepas dari memerhati setiap seorang wajah hadirin yang hadir ke hadir ke majlis pernikahan kami. Tiada wajah Firqin di antara mereka. Aku masih ingat sejak seminggu yang lalu setelah aku membuat keputusan bulat untuk meneruskan pernikahan dengan Izzaz, aku sudah tidak bertemu dengan Firqin. Panggilannya tidak aku jawab. Malahan untuk mengelak Firqin mencariku, selama seminggu juga aku mengambil cuti kecemasan dan tidak pulang ke rumah sewaku. Aku tinggal di rumah yang dibeli Abang Bukhary buat sementara waktu sampailah ke hari pernikahanku iaitu hari ini. 

Kini aku dengar lelaki itu sedang bertugas di luar negara dan aku sendiri tidak pasti adakah Firqin telah mengetahui yang aku akan menjadi isteri Izzaz hari ini ataupun tidak. Aku doakan moga Firqin akan menemui kebahagiaan dengan  wanita lain, yang boleh berikan kasih lebih dari yang aku mampu, kerana aku sedar aku ini tidak layak untuk lelaki sebaiknya yang mencintaiku setulus hati tetapi aku tidak dapat membalas perasaannya itu sama sekali.

Aku tersentak ketika aku merasakan ada seseorang memegang pinggangku. Izzaz tersenyum memandangku. Aku cuba menggaris senyuman buatnya di hadapan Umi dan saudara maranya yang lain. Aku tidak mahu mereka berfikir yang bukan-bukan apabila melihat wajahku yang mencuka ketika memandang suami sendiri.

Aku bertembung mata dengan seseorang yang aku kenali tidak lama dulu. Aku perasan sebelum pernikahan aku dan Izzaz berlangsung lagi, Adam memandangku bersama pandangan yang mencurigakan. Aku tidak salahkannya kalau dia beranggapan begitu terhadapku kerana dia memang tahu aku berkenalan dengan Firqin kerana kami pernah berjumpa di Auckland dulu ketika aku menyamar sebagai bakal isteri kepada Firqin. Malahan ketika penerbangan pulang juga dia duduk di sebelahku dan banyak bercerita tentang abang saudaranya Firqin. Sudah tentulah Adam merasa pelik dengan keadaan yang sedang berlaku iaitu bagaimana aku boleh bernikah dengan abangnya Izzaz sedangkan aku diperkenalkan sebagai teman wanita Firqin di hadapannya. 

Namun aku kagum dengan sikap profesionalnya yang tidak menghalang pernikahan aku dan abangnya. Kalau Adam perlukan penjelasan dariku tentang bagaimana aku boleh berkenalan dengan abangnya, aku akan berterus terang saja kepadanya dengan mengatakan yang aku sebenarnya hanya menyamar sebagai teman wanita Firqin dan perkenalan aku dengan abangnya, Izzaz adalah ketika kami berdua terlibat di dalam kemalangan. Aku terus memandang wajah Izzaz yang kelihatan beseri-seri di sebelahku itu ketika satu perkara melintas di kepalaku.

“Kenapa?” Izzaz senyum kepadaku.

Aku menggeleng. Aku baru teringat ketika aku turun dari kapal terbang bersama Adam dari Auckland dulu, dia ada mempelawa untuk menghantar aku pulang ke rumah dengan meminta bantuan abangnya. Tapi aku tidak sempat untuk berjumpa siapa abangnya itu ketika aku mengambil keputusan untuk balik sendiri apabila Adam ke tandas. Ketika itu jugalah aku dilanggar oleh seseorang yang berjalan tergesa-gesa dan ada seorang lelaki yang membantu mengangkat beg yang aku bawa. Aku baru sedar sebenarnya orang yang membantu aku dan mengejar aku sambil memanggil aku ‘Miss’ adalah Izzaz Rayqal sebenarnya. Aku tidak pasti sama ada Izzaz masih ingat kejadian itu atau pun tidak.

“Awak jangan risau Maya. Abang janji akan jaga Maya seperti yang Abang janjikan sebelum ini.” Kata-kata Izzaz itu membuatkan aku terus berpaling ke arahnya.

“Apa? Awak? Abang? Awak ni dah kenapa?” Aku seakan berbisik di telinganya. Tiba-tiba rasa tidak selesa apabila Izzaz menggelarkan dirinya abang denganku. Macam kedengaran tidak kena saja di telingaku.

“Abang. Awak kena panggil saya macam tu mulai sekarang.” Sambungnya.

“Tak nak lah. Tak kenalah Iz.” Balasku.

“Habis tu awak panggil Bukhary tu abang boleh pulak.” Izzaz menjuihkan bibirnya ke arah Abang Bukhary yang sedang berbual-bual dengan Abah dan beberapa orang saudara lelakinya.

“Sebab dia abang saya. Awak jangan mengada-ngada boleh tak Iz?” Aku bercakap perlahan agar Umi yang berdekatan kami tidak mendengarnya.

Izzaz ketawa apabila Umi memandang ke arah kami berdua. Umi kemudian kembali bersama dengan kakak dan adiknya di sudut sebelah sana. Izzaz kemudiannya menarikku ke satu sudut di bahagian taman yang terletak di sebelah kanan ruang tamu rumah Abah.

Aku memandang wajah bersihnya sambil aku mengimbau kembali perbualan kami dua hari yang lalu ketika sesi fitting baju nikah. Perbualan yang berkisar tentang syarat-syarat Izzaz yang wajib aku patuhi kerana dia juga mematuhi syarat-syarat yang aku telah tetapkan. Win win situation, itu kata Izzaz. Ada lima buat syarat kesemuanya. Syarat-syarat Izzaz adalah pertama aku tidak boleh menangis di hadapannya kerana dia tak suka melihatnya. Kedua, kena panggil dirinya dengan panggilan mesra sepanjang perkahwinan kami dan yang ketiga kena menutup aurat iaitu memakai tudung setelah aku menjadi isterinya. Keempat aku kena call dia tiga kali setiap hari dan yang kelima iaitu syarat yang paling penting iaitu aku diwajibkan menganggap dirinya sebagai kawan baik. Kawan yang paling baik katanya.

“Mudah aje kan syarat-syarat saya, tak membebankan pun. Malahan awak dapat pahala lagi bila ikut kata-kata saya tu kan. Kan saya pernah cakap yang awak cantik bila bertudung. Saya betul-betul maksudkannya sebab awak memang sangat cantik.” Dia mencuit daguku.

-------------------------------------------------------------------------------------------------


Petang itu ketika semua tetamu telah beransur pulang, aku naik ke bilik. Izzaz aku lihat tadi sedang rancak berbual-bual dengan rakan-rakannya di luar. Aku malas mahu memanggilnya masuk, lalu aku naik ke bilikku terlebih dahulu. Agak lama aku berdiri di hadapan pintu bilikku sebelum tombol pintu itu aku genggam. Aku kira sudah dekat dua tahun aku tidak menjejakkan kaki ke dalam bilik di mana aku membesar.

Aku tersenyum tatkala aku melihat susun atur perabot dan keadaan bilikku masih sama seperti dulu. Tiada satu perubahan pun. Semuanya nampak bersih dan tersusun rapi. Aku terus berjalan ke arah sebuah almari berwarna putih yang bersaiz sederhana yang telah aku gunakan sejak kecil. Hadiah pertama dari Abah ketika aku mula masuk ke dalam rumah ini.

Aku mengusap almari yang penuh dengan memori dan kenangan itu. Aku masih ingat di dalam almari itulah aku akan duduk lama apabila aku menangis selepas dimarahi atau dipukul Mama dan Kak Long. Di dalam almari itu juga aku pernah duduk berjam-jam lamanya ketika aku kecewa apabila baru putus cinta dengan Taufiq, ketika aku mengandungkan arwah Adam dan juga ketika setiap kali aku kembali teringat bagaimana Abang Amran mengambil kesempatan ke atasku. Almari itu kosong sebenarnya. Tiada pakaian atau apa-apa barang di dalamnya. Ianya bagaikan personal place aku untuk menenangkan fikiran. Mungkin kedengaran agak aneh tapi itulah salah satu perangai pelikku.

Aku terus membuka pintu almari comel itu, lalu aku duduk di dalamnya dan terus menutup pintu almari itu semula. Mungkin bagi orang lain almari itu sama seperti almari baju biasa iaitu hanya akan ada gelap apabila pintunya tertutup. Tetapi tidak almari milikku ini, ianya istimewa. Istimewa kerana apabila kedua-dua belah pintu ditutup, lampu berwarna akan terpasang dari arah dalam. Cahaya berwarna oren berbentuk simbol smiley di bahagian kiri almari. Lampu itu aku sendiri yang pasang dengan harapan apabila memandang lampu yang sedang tersenyum itu dapat memberi kekuatan kepadaku untuk terus tersenyum walau sesukar mana pun kehidupan yang harus aku hadapi.

Sama seperti hari ini, aku berharap dengan memandang ke arah cahaya itu dapat memberi aku kekuatan untuk menghadapi hari-hari yang akan datang tapi entah mengapa cahaya itu kelihatan malap di mataku, tidak bersinar seperti dulu dan tidak mampu untuk memberi hatiku kekuatan untuk terus tersenyum.

Itu kerana aku sebenarnya rasa semakin takut untuk menghadapi hari-hariku yang akan datang sebagai isteri kepada Izzaz Rayqal. Bagaimana untuk aku menjadi isteri yang baik sedangkan aku tidak menyintai lelaki itu langsung? Persoalan itu yang terus-terusan mendesak hatiku sejak aku diijab kabulkan sebentar tadi. Perasaanku bercampur aduk ketika itu. Dalam marah ada juga rasa bersalah terhadap Izzaz kerana aku rasakan aku pula yang sedang mempermainkannya dan juga mempermainkan perkahwinan kami. Tapi bukankah aku sendiri tidak mempunyai pilihan dan tidak diberi pilihan? Entahlah. Aku buntu tanpa jawapan.


-------------------------------------------------------------------------------------------------

                                “Saya buat betul tak akan tegur awak sampai

                 bila-bila kalau awak berani macam-macam dengan saya.” MAYA



“Maya? Maya?” Izzaz memanggil-manggil namaku. Aku diam tidak menyahut panggilannya itu.

Aku kira Izzaz telah keluar dari bilikku apabila aku tidak mendengar sebarang bunyi lagi. Tiba-tiba pintu almari dikuak dari arah luar.

“Allahuakbar!” Teriak Izzaz. Dia nampak begitu terperanjat sampaikan terduduk di atas lantai.

Aku memandang wajahnya tanpa sebarang perasaan. Wajah Izzaz kelihatan begitu pucat.

“Ma...Maya awak buat apa dalam tu?” Soalnya sambil dia memegang dadanya. Nafasnya masih nampak turun naik dengan deras. Memang terperanjat betul lelaki yang telah pun bergelar suamiku itu.

“Awak tak nak tengok saya menangis depan awak kan? Sebab tu saya duduk dalam ni.” Balasku.

Izzaz melepasan keluhan. Dia membetulkan duduknya dengan bersila dan betul-betul menghadapku. “Saya ingatkan tadi hantu Ju On awak tau. Mahu tak terperanjat buka almari tiba-tiba ada perempuan rambut panjang pakai baju putih duduk dalamnya. Tak ada tempat lain ke awak nak duduk?” Soalnya yang masih nampak pucat.

“Saya memang suka duduk dalam almari ni sejak kecik lagi bila saya sedih. Ini personal space saya. Saya rasa lebih tenang dalam ni, awak tak boleh kacau.” Kataku dan aku terus menutup kembali pintu almari itu. Namun hanya sesaat kerana Izzaz membukanya semula.

“Awak sedih sebab jadi isteri saya?” Soalnya. Aku diam. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak.

Izzaz meraih tanganku. Aku hanya biarkan kerana aku rasa dah tak larat lagi untuk melawan atau marah-marah padanya. “Awak ingat kan janji-janji saya pada awak? Saya tak mintak banyak Maya, saya mintak peluang saja.” Izzaz mencium tanganku buat kali pertama.

Aku tidak memberi sebarang respon atau reaksi kepada kata-katanya. Izzaz mungkin memahami yang aku tidak ada mood langsung untuk berbicara tentang soal hati ketika itu apabila dia terus mengubah topik lain.

“Jadi inilah bilik kau ya. Cantik. Warna dinding bilik ni warna biru muda nampak tenang aje bila pandang. Pandai kau pilih. Warna tilam dan cadar tu pun cantik. Paling cantik.” Izzaz menjeling ke arah katil sebelum kembali memandangku.

“Kenapa awak pandang saya lain macam aje ni? Awak jangan macam-macam ya Iz, saya jerit karang!” Aku beri peringatan kepadanya.

Izzaz hanya ketawa. Langsung tidak rasa takut atau bersalah. “Awak nak jerit buat apa? Ingat Abah awak nak datang tolong ke? Ish...kita ni dah kahwin lah Maya. Aku nak pegang kau boleh ajelah. Semuanya dah halal.” Izzaz mengangkat-angkat keningnya di depanku.

Aku terus memeluk dadaku. Aku memandangnya penuh curiga. “Ish...gatal.” Marahku.

Aku menepis-nepis tangannya apabila dia cuba memegang tanganku, pipiku dan rambutku. “Janganlah Iz.” Aku menghalangnya namun semakin galak pula dia ketawa.

“Saya buat betul tak akan tegur awak sampai bila-bila kalau awak berani macam-macam dengan saya.” Aku bukan mengugut tapi mengingatkan.

“Iya iyalah. Aku nak bergurau pun tak boleh ke? Eh...abang nak bergurau pun tak boleh ke sayang?” Izzaz sengaja cuba untuk semakin menyakitkan hati aku.


-------------------------------------------------------------------------------------------------

                

              “Seekor labah-labah? Lagu masa kita tadika dulu-dulu tu?” IZZAZ


“Ya, ya aku jahat. Kau baik. Jadi boleh berhenti menangis sekarang tak Maya?” Izzaz cuba memujukku.

“Tak boleh. Saya tak boleh tahan airmata saya. Saya nangis ni sebab awak tau Iz.” Kataku berterus terang kerana memang hanya dia saja yang dapat membuatkan aku menangis seteruk ni.

Izzaz menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Sedang memikirkan cara untuk memujukku dari terus menangis. “Err...aku nyanyi kau nak dengar tak?” Kata Izzaz.

“Nyanyi? Awak ingat dengan menyanyi boleh pujuk saya ke?” Aku marah. Aku menarik muka ketat.

“Habis kau nak aku buat apa? Kau nak kereta baru? Cincin berlian atau pun jalan-jalan pusing dunia?” Soal Izzaz pula. Aku menggeleng.

“Saya nak awak nyanyi.” Ujarku.

“Nyanyi? Kau janji akan berhenti menangis kalau aku menyanyi? Janji ya?” Lelaki itu meminta kepastian.

Aku mengangguk. “Awak nyanyi lagu seekor labah-labah untuk saya.” Kataku yang membuatkan mulut Izzaz melopong.

“Seekor labah-labah? Lagu masa kita tadika dulu-dulu tu?” Soalnya pelik.

Aku mengangguk.

“Tak nak. Lagu lain. Itu lagu budak-budak tadika lah Maya.” Izzaz menolak.

Aku memuncungkan bibir sambil memandangnya.

Izzaz menggalah. “Iya aku nyanyi.”

Aku mula senyum. Bersedia untuk mendengar nyanyiannya buat kali pertama.

“Seekor labah-labah cuba panjat perigi, bila hujan turun labah-labah cepat lari. Terbit matahari air tiada lagi, labah-labah boleh panjat sekali lagi.” Izzaz menyanyi tapi kedengaran malas dan tidak ikhlas di telingaku.

“Saya tak nak. Awak nyanyi tak ikhlas.” Protesku.

“Pulak.” Izzaz menepuk dahinya.

“Awak nak saya buat macam mana lagi sayang?” Izzaz mengetap bibirnya.

“Buat macam arwah mak saya buat masa saya kecik-kecik dulu. Masa tu umur saya lima tahun tapi saya masih ingat mak nyanyi lagu ni untuk saya setiap hari, banyak kali sebanyak yang saya minta sambil mak tepuk tangan dan tersenyum tanpa jemu Iz. Itu saat-saat paling gembira yang saya paling ingat sampai sekarang. Antara kenangan terakhir saya dengan mak saya belum mak saya meninggal dunia.” Ceritaku sambil aku mengesat airmata di pipi.

Aku perasan mata Izzaz nampak bergenang ketika aku menceritakan kisah itu. Dia tunduk seketika sebelum menggaris sebuah senyuman yang paling manis untukku. “Dah sedia dah ke nak dengar labah-labah buat apa?” Ujarnya riang.

Aku senyum sambil mengangguk. Kali ini Izzaz menyanyi lagu labah-labah sekali lagi sambil dia bertepuk tangan dan menggoyang-goyangkan badannya ke kiri dan ke kanan. Selesai saja Izzaz menyanyi, aku ketawa sambil aku bertepuk tangan tanda berpuas hati.

“Sedap suara awak Iz. Awak rasa saya ni sama macam labah-labah tak?” Soalku riang.

“Mana sama sebab awak mana ada banyak kaki.” Dia kembali mengusikku. Lengannya segera aku cubit geram.

“Masak aku dapat bini pelik macam ni. Iya awak memang sama sebijik macam labah-labah.” Omelnya tapi dia mengiyakan juga kata-kataku kerana mahu menjaga hatiku.

“Dulu mak selalu nyanyi lagu tu untuk saya sebab mak saya kata saya kena jadi kuat dan berani macam labah-labah tu. Walau pun perigi tu tinggi, labah-labah tetap panjat. Bila hujan turun, labah-labah cepat lari ke bawah balik untuk melindungi dan selamatkan diri. Tapi labah-labah tu masih tak berputus asa, apabila matahari terbit dia panjat sekali lagi sampai berjaya. Maksudnya walau sesukar mana hidup kita, jangan pernah berputus asa, cuba dan terus cuba lagi kerana walau susah macam mana pun, ada cahaya yang akan menanti di hari akan datang asalkan kita berani, kuat dan berusaha. Itu yang arwah mak saya pernah pesan.” Ceritaku.

Izzaz leka mendengar ceritaku itu. Aku terkesima apabila Izzaz mengusap rambutku dan sepantas kilat dia mencium ubun-ubunku. “Kau jangan nangis atau marah, aku buat tu sebab aku sayang kau tau.” Cepat dia memberi penerangan sebelum aku membuka mulut.

“Tapi betul lah kata kau tu. Kau memang hebat dan berani sama macam labah-labah tu. Tapi aku rasa kau labah-labah kecik kot tapi sengat kau berbisa. Sama macam mulut kau tu lah.” Izzaz ketawa gembira kerana dapat mengusikku.

Aku juga turut ketawa mendengar lawaknya itu. “Lain kali awak nyanyi lagi ya?” Pintaku.

Izzaz menggeleng. “Tak nak. Aku rasa dah macam cikgu tadika dah tadi tu.”

Aku senyum mendengarnya. Aku berterima kasih kepadanya di dalam hati kerana dapat membuatkan hatiku terhibur petang itu. Hilang sedikit rasa rindu pada arwah emak.

“Tapi Maya...aku tak suka labah-labah. Aku geli sebab serangga tu ada banyak kaki. Kalau mana labah-labah tak nak rasa jadi arwah dalam masa yang singkat, elakkan lalu depan aku. Jawapannya memang kena hambat dengan penyapu.” Cerita Izzaz.

“Tak baik bunuh hidupan yang tak berdosa. Dia tak usik awak, awak janganlah usik dia.” Nasihatku.

Izzaz tersengih-sengih. “Sebenarnya aku tak berani nak pukul pun. Tak pernah bunuh seekor pun sepanjang hidup aku. Kalau aku nampak serangga tu melintas, dari jauh aku yang berhenti, bukan dia. Jadi dua-dua pun akan selamat.”

“Penakut jugak awak ni rupa-rupanya. Labah-labah kecik macam tu pun sampai awak beri laluan padanya dulu. Kalau dengan saya bukan main berani lagi awak buli ya.” Aku mengejeknya.

“Aku mana ada buli kau.” Pintasnya.

“Tak ada? Tak ada ke Iz? Banyak dah rasanya. Nak saya buat senarai ke?” Balasku.

Izzaz senyum sambil menggeleng. “Tak apa lah. Tapi aku janji mulai saat ni aku takkan buli kau lagi. Apatah lagi biar orang lain buli kau. Itu janji aku.” Izzaz berikrar di hadapanku.

Aku mencebik. “Iyalah sangat tu.”

“Aku rimas lah. Badanku rasa melekit dah ni, jom mandi.” Ajaknya.

“Pergi sendiri.” Pantas aku membalas dan terus menarik daun pintu almari. Kali ini aku pegang tombol dari arah dalam dan Izzaz tidak boleh membukanya dari luar.

“Bagus lah tu. Kau kan labah-labah, takut air. Mana nak mandi.” Teriaknya yang membuatkan aku terus ketawa. Aku berdoa semoga hari-hari yang akan aku hadapi bersama dengannya selepas ini akan penuh dengan gelak tawa seperti ini. Aku juga berharap semoga hati aku ini akan ikhlas untuk memaafkannya suatu hari nanti.



Hai korang! Seronok dapat cuti raya lama? hehe...selamat hari raya ya semua. kalau sudi sila lah ke fb saya Idya Norhidayah Mohd nor or Instagram Deamohdnor ya. Boleh kita borak2 kat situ :)




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 2 - Siapa dia? | Bab 1 - Permulaan kisah | Bab 3 - Aku jadi pelakon | Bab 4 - Dia kata I Love you | Bab 5 - Aku benci dia | Bab 6 - Goodbye Mr.Pilot | Bab 7 - Adam yang teristimewa | Bab 8 - Tentang Hati | Bab 9 Hai Beautiful | Bab 10 The real Maya | Bab 11 Saya suka awak! | Bab 12 - Firqin vs Bukhary | Bab 13 - Cemburu atau marah? | Bab 14 - First Date! | Bab 15 - I am sorry | Bab 16 - :( | Bab 17 - Realiti kehidupan | Bab 18 - 100% markah buat dia | Bab 19 - Still awake princess? | Bab 20 - Dia kecewakan aku | Bab 21 - Sampai hati dia ;( | Bab 22 - Erti kawan | Bab 23 - Si Pemilik Porsche Cayenne | Bab 24 - Tuan muda sombong! | Bab 25 - Jadi isteri aku | Bab 26 - Kerana aku terpaksa | Bab 27 - Kau cantik bertudung | Bab 28 - Cinta telah berakhir | Bab 29 - Rasa nak cubit Mr. Lion King! | Bab 30 - Kontrak Izzaz | Bab 31- Izzaz berterus-terang | Bab 32 - Secret Garden :) | Bab 33 - Geram dengan Izzaz | Bab 34 - Why you keep appear? | Bab 35 - Firqin pergi | - Teaser Bab 36 - Aku tanpa cinta | - Teaser Bab 37 - Lari | - Teaser Bab 38 - Bukan mimpi indah | -Teaser Bab 39 - Ada Izzaz | -Teaser Bab 40 - Sempurna Waktu | - Teaser Bab 41 - Aku terima nikahnya! | -Teaser Bab 42- Siapa muncul? | -Teaser Bab 43 - Maya Kecewa Lagi | - Sedutan Bab 44 - Firqin vs Izzaz | -Sedutan Bab 45 - Musuhku, Encik Pilot | -Sedutan Bab 46 - Peluang buat Izzaz | -Sedutan Bab 47 - Singa vs Labah-Labah | -Sedutan Bab 48 - L.O.V.E | -Sedutan Bab 49 - Hero Filem | -Sedutan Bab 50 -Bond Girl | -Teaser Bab 51- Sweet Holiday 1 | -Teaser Bab 52- Sweet Holiday 2 | -Teaser Bab 53- Heart to Heart | -Teaser Bab 54- Salah aku? | -Teaser Bab 55- Putera Panda | -Teaser Bab 56- Baik Hati | -Sedutan Bab 57- Almari+Cinta | -Sedutan Bab 58 - Destiny Sonata- | -Sedutan Bab 59 - Tears |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku