Musuhku, Encik Pilot
-Sedutan Bab 58 - Destiny Sonata-
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 10 Februari 2015
Hai semua! Cik Dea nak bagitahu Novel Musuhku Encik Pilot yang korang tunggu-tunggu tu bakal diterbitkan tak lama lagi tau! Tapi...Cik Dea nak minta tolong korang untuk comment di dalam ruangan di bawah SAYA NAK NOVEL MUSUHKU ENCIK PILOT ya agar novel ni lebih segera akan diterbitkan hehe....LOVE korang :)
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6914

Bacaan






Aku memasukkan lobak yang aku cincang dadu tadi ke dalam periuk berisi bubur nasi yang sedang aku reneh di atas dapur. Aku kembali termenung mengingati Izzaz. Lima minit yang lalu aku naik ke bilik dan aku lihat Izzaz sedang tidur lena dan tidak berpeluh-peluh lagi seperti tadi. Itu pun setelah aku memaksanya untuk makan ubat. Aku mengambil tuala di dahinya dan aku rendamkan semula ke dalam besin berisi air di sisi katil. Setelah aku perah tuala kecil itu, aku letakkan semula ke dahinya.

Aku mencapai digital ear thermometer di dalam laci lalu aku sukat suhu di telinga Izzaz. Aku lega kerana suhu badannya sudah tidak tinggi seperti tadi tetapi aku masih perlu berjaga-jaga kerana mungkin suhu badannya akan naik kalau aku tidak memberi Izzaz makan ubat seperti yang telah ditetapkan oleh doktor.

Aku memandang wajah suamiku lama. Aku tersenyum sendiri memandang Izzaz yang sedang terbaring lena yang bagiku nampak seperti bayi kecil itu. Tidak ada sebarang bunyi dengkuran yang keluar dari mulutnya.

“Comel jugak bila tengok dia tidur diam macam ni, kalau sedar tu mulut dia macam bertih jagung.” Aku mengusik hujung bibirnya.

“Agak-agak kalau kami ada anak nanti, comel macam dia tak?” Aku mula memasang angan-angan.

Namun ianya cuma sebentar sebelum aku segera sedar dari terus berangan-angan untuk membina bahagia dengan lelaki yang baik seperti Izzaz. Aku menarik tanganku dari terus wajah menyentuh Izzaz. Aku pandang kedua-dua belah tapak tanganku lama sambil aku kembali mengingati arwah Adam.

Aku kembali memandang wajah Izzaz. Aku mula takut apabila aku kembali terfikirkan kenyataan yang aku simpan kemas dari pengetahuan suamiku iaitu tentang sejarah silamku. Aku juga takut memikirkan pada kemungkinan kebahagiaan yang aku mula rasakan ini akan tamat bila Izzaz mengetahui siapa diriku yang sebenar termasuk kisah hitamku.

Aku tidak ada kekuatan untuk bercerita pada Izzaz tentang sejarah hidupku kerana aku takut Izzaz akan pergi meninggalkan aku bila mengetahuinya kelak. Aku tak sanggup untuk menghadapinya kalau itu berlaku. Aku tidak berniat untuk terus menipu Izzaz dengan terus menyimpan kemas rahsia hidupku. Aku sayangkan dirinya dan aku kini yakin yang aku tidak boleh hidup sendiri lagi tanpa Izzaz di sisi. Aku tahu aku sedang mementingkan diri sendiri ketika itu walaupun aku sedar yang satu hari nanti mungkin Izzaz akan dengar cerita tentangku dari mulut orang lain.

Aku berdoa semoga satu hari nanti aku akan diberi kekuatan untuk bercerita sendiri pada Izzaz tentang sejarah silamku itu. Ketika itu aku berharap Izzaz dapat menerima diriku dan kekurangan yang ada pada diriku. Walau pun begitu, aku tidak akan memaksa dirinya untuk menerima aku kerana aku sedar siapa diri aku. Aku tidak sempurna seperti perempuan lain di luar sana. Aku segera mengesat airmata di pipiku ketika aku lihat Izzaz mula bergerak membetulkan selimut yang menutupi tubuhnya. Aku bangun dan perlahan-lahan aku melangkah keluar dan turun ke dapur untuk mengambil bubur yang aku masak untuk Izzaz.

“Iz...bangun. Makan dulu. Awak mesti lapar kan? Saya ada bawakan bubur untuk awak ni.” Aku membetul-betulkan rambutnya.

Izzaz membuka matanya lalu sebuah senyuman dilemparkan untukku. Aku menyuapkan bubur nasi yang aku masak tadi ke dalam mulutnya sambil aku melayaninya dengan berborak-borak tentang kerjaya, perniagaan dan macam-macam lagi. Sedar tidak sedar habis juga semangkuk bubur yang aku bawa itu.

“Maya aku rasa rimas lah. Kau tolong aku boleh?” Pinta Izzaz sambil dia membetul-betulkan rambutnya yang sedikit menggerbang itu.

“Tolong apa?” Soalku.

Izzaz tersenyum nakal. “Tolong lapkan badan aku dan syampu rambut aku.” Permintaan Izzaz itu membuatkan aku rasa malu tiba-tiba.

“Kau tak payah nak rasa malu lah. Macam kau tak pernah nampak badan aku.” Izzaz mengusikku.

“Awak ni!” Aku memukul bahunya geram.

“Apa betul lah cakap aku tu, kau tenung aku lama aje masa aku tidur tadi. Ingat aku tak perasan ke? Mesti kau sayang sangat dengan aku kan sampai kau pandang muka aku boleh menangis.” Izzaz mendekatkan wajahnya denganku.

“Mana ada. Awak ni memang perasan. Saya tak nangis pun, mata saya masuk habuk lah.” Aku memandang ke arah lain, tidak mahu bertembung mata dengannya.

“Iya iyalah kau menang. Jadi boleh tolong aku? Badan aku rasa tak selesa sangat ni Maya.” Izzaz mula merengek manja.

Setelah kami berdua berbalah tentang beberapa perkara yang remeh- temeh, akhirnya aku akur dengan memimpin Izzaz untuk ke bilik air. Izzaz membuka bajunya dan bersedia untuk ‘dibasuh’ olehku. Aku mencapai hos shower head lalu aku mula membasahkan rambutnya. Izzaz meletakkan kepalanya di tepi tab mandi bagi memudahkan aku untuk membasuh rambutnya.

“Kau beruntung tau sebab jadi perempuan pertama yang dapat basuh rambut aku yang berharga ni.” Izzaz ketawa.

Aku turut ketawa mendengarnya. Aku memicit sedikit syampu lalu aku lumurkan di kepalanya. Aku mengurut-urut rambutnya lama sambil aku melayani mulutnya yang tidak reti diam itu. 

“Iya saya beruntung sangat Iz.” Jawabku.

“Garu tu kuat sikit. Baru bersih rambut aku ni. Kau macam acah-acah aje basuh kepala aku ni.” Arahnya lagi.

Aku mengurut-urut rambut Izzaz lebih kuat dari tadi dan aku meletakkan lebih banyak syampu lagi agar lebih banyak buih menutupi rambut kepada Izzaz Rayqal yang cerewet itu.

“Maya, pedih. Mata aku rasa pedih!” Izzaz mengadu sambil dia mengisyaratkan aku supaya segera menyiram air ke wajahnya.

Aku segera membersihkan bahagian matanya yang terkena buih tadi. Aku terkejut apabila Izzaz mengangkat tubuhku dan dia mendudukkan aku di atas kabinet singki di dalam bilik air itu.

Izzaz mencapai hos shower head di atas lantai dan terus membasuh rambutnya sehingga bersih. Dia kemudian dengan selamba turut membasahkan badannya yang membuatkan mataku terus membulat.

“Iz saya keluar dulu.” Aku bersedia untuk turun dari kabinet itu.

“Duduk situ teman aku.” Izzaz berpaling ke arahku.

Aku mula rasa tidak selesa dengan situasi ini. Izzaz memanglah tak rasa apa-apa, sebab dia lelaki. Aku ni kan perempuan. Dia tahu tak betapa dup dap dup dap jantung aku ni tadi bila basuh rambut dia tu? Aku buat-buat selamba aje tadi, padahal dalam hati aku rasa macam nak lari keluar aje dari bilik air itu.

“Awak nak mandi pun nak teman ke?” Soalku tergagap-gagap sambil aku memandang ke arah lain.

“Iya lah, karang aku pengsan sorang-sorang kau yang susah. Aku ni masih lemah lagi Maya.” Izzaz beralasan.

Aku memandangnya curiga. “Betul ke lemah ni? Baru tadi awak angkat saya duduk kat atas kabinet ni. Tak nampak lemah pun.”

“Aduh...aduh sakitnya badan aku. Tangan pun rasa tak larat nak pegang hos air ni.” Izzaz buat muka sedih.

Aku tahu akan taktik sebenarnya. Izzaz sengaja berlakon lemah agar aku dapat melayani kerenah manjanya itu. Aku turun dari kabinet itu dan mendekatinya. Hos air di tangannya aku capai sebelum aku mengelap dan meletakkan sabun di badannya.

“Sayang jugak kau dekat aku ya?” Izzaz tersenyum gembira sambil pipiku diusapnya.

“Habislah muka saya kena sabun Iz.” Aku mengomel.

“Baru kena sabun sikit dah tarik muncung sedepa. Karang aku ajak mandi sama baru kau tahu.” Izzaz mula perangai gilanya.

“Awak jangan nak menggatal ya.” Aku segera mengingatkannya.

Izzaz ketawa sambil dia membasuh semula pipiku yang terkena sabun tadi. “Kau jangan risau, aku ni bukan jenis yang memaksa. Aku tak akan paksa kau buat sesuatu yang kau tak sudi. Jadi relax aje. I am gentlemen okay. Ke...kau tengah fikir sesuatu?” Izzaz menjelingku nakal.

Aku terus menyapu wajahnya dengan sabun tadi. Terasa geram dan malu dengan usikannya itu. “Maya pedih mata aku!” Izzaz mengadu sebelum dia membasuh mukanya.

Aku terus keluar dari bilik air dan mencapai tuala lalu aku lap bahagian badanku yang basah terkena air.

“Maya aku belum habis mandi lagi lah.” Izzaz berteriak dari arah bilik air.

“Saya rasa awak boleh mandi sendiri sebenarnya.” Balasku.

“Kau menjawab ya. Cepat datang sini balik. Aku tak kira.” Izzaz menjengulkan kepalanya di pintu bilik air.

Aku bangun dan mendekatinya lalu aku menyangkutkan tuala di tanganku ke lehernya. “Saya rasa awak tak lemah dan boleh mandi sendiri. Saya turun ke bawah dulu ya. Ada apa-apa awak panggil saja.” Ujarku lalu terus berlalu.

“Maya! Maya!” Panggil Izzaz.

“Iz awak sayang saya kan? Kalau sayang, awak mandi sendiri ya.” Ujarku selamba sebelum keluar dari bilik.

“Kau tunggu ya, selesai aku mandi aku turun cari kau. Kau nak lari mana? Esok kau kena teman aku mandi lagi hahahaha...” Izzaz sempat berteriak dan ketawa seperti orang hilang akal.

Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Senyuman masih tidak lekang dari bibirku. “Iz...Iz...demam demam macam tu pun masih suka mengusik orang. Nasib aku lah dapat suami yang macam pelawak dalam rancangan Maharaja Lawak Mega tu. Tapi tak apa, aku suka...” Aku tersenyum sambil terus dibuai perasaan bahagia.

Ketika aku sibuk membasuh pinggan dan peralatan dapur yang aku gunakan semasa aku memasak tadi, telefon bimbitku berbunyi. Aku segera membersihkan tanganku sebelum aku mencapai telefon bimbitku yang aku letakkan di atas kabinet dapur.

“Taufiq?” Nama lelaki itu terpacul keluar dari mulutku.

“Assalamuakaikum Maya.” Suara Amar Taufiq kedengaran di talian.

“Walaikumsalam. Taufiq ada apa you telefon I ni? Maaflah I tak ada di ofis sekarang ni.” Balasku.

Taufiq ketawa di hujung sana. “I tahu you balik awal hari ni. Aaron ada beritahu I tadi. Dont’t get me wrong. I call you ni sebab nak invite you untuk datang ke introducing event hotel and resort Golden Summit Group petang esok.”

“Err...Taufiq I minta maaf. I rasa tak dapat pergi event tu esok. Suami I tak sihat lah.” Aku berterus terang.

“Maya...I tak paksa you untuk datang, tapi Aaron pun tak dapat datang sebab anak dia ada sesi kimorerapi di hospital esok. Event ni penting untuk kenalkan hotel I dan I perlukan you untuk bercakap dengan tetamu yang akan datang tentang konsep, dekorasi perabot dan hiasan dalaman rekaan you. Please Maya, I hope you can help me.” Taufiq memujukku.

Aku rasa serba salah. Aku tahu kehadiranku penting bagi Taufiq kerana kerjasama kami masih berterusan selagi hotel itu tidak siap di bina dan siap sepenuhnya dan esok sebenarnya merupakan hari yang penting buat Taufiq dan syarikat Aaron Furniture. Tetapi dalam masa yang sama aku juga perlu menjaga kebajikan Izzaz yang masih tidak sihat.

“I tak boleh janji Taufiq. Izzaz masih demam. I minta maaf sangat ya.” Kataku.

Agak Taufiq lama diam. “Tak apa lah. Tapi I harap sangat you dapat datang. Ini penting untuk kita Maya.” Kata Taufiq sebelum dia memutuskan talian.

Aku terkejut apabila aku merasakan ada tangan yang memeluk pinggangku dari arah belakang. “Siapa call kau?” Soal Izzaz sambil dia meletakkan dagunya di bahuku.

Aku mengetap bibirku. Aku khuatir Izzaz akan marah bila aku katakan yang Taufiq yang telah menelefonku sebentar tadi.

Semakin erat tangannya memeluk pinggangku. “Siapa Maya?”

“Taufiq. Dia ingatkan saya untuk datang event petang esok untuk kenalkan hotel yang bakal dibina oleh syarikat keluarga dia.” Kataku tidak berselindung.

“Oh aku dapat kad jemputan jugak. Tapi aku tak nak pergi lah. Kau nak pergi ke?” Soal Izzaz lagi.

“Iz kalau saya pergi tak apa ke? Saya perlu beri penerangan tentang konsep perabot yang saya reka dan Taufiq minta bantuan saya untuk terangkan kepada beberapa orang penting yang akan hadir.” Aku memberanikan diri untuk meminta izin dari Izzaz.

“Pergilah.” Balas Izzaz pendek.

Aku menoleh memandangnya. “Tapi kan awak masih tak sihat lagi?”

“Maya aku dah besar, boleh jaga diri sendiri. Lagipun kau pergi tak lama kan. Kau orang penting untuk projek tu, aku faham.” Ujar Izzaz yang membuatkan aku tersenyum.

“Tapi ingat satu benda aje.” Suara Izzaz yang serius itu membuatkan senyumanku hilang.

“Kau pergi kerana kerja. Bukan pergi kerana Taufiq. Jangan rapat dengan dia. Cakap dan berjalan jauh-jauh. Jangan berdua-duan kat depan tetamu lain sebab kebanyakkan mereka semua tu aku kenal jugak.” Kata-kata Izzaz itu bagaikan satu peringatan kepadaku.

Aku mengangguk faham. “Awak tak nak ikut sama? Bila awak ada teman saya, tak ada lah yang berani jalan dekat dengan saya.”

Izzaz menggeleng. “Aku rasa tak larat nak pergi. Nanti kat sana bertambah pening kepala aku bila kawan-kawan arwah Baba datang dekat dengan aku nak bincang pasal projek-projek. Aku nak rehat.”

“Tak apa lah kalau awak dah cakap macam tu, terima kasih kerana beri kebenaran pada saya.” Ucapku.

“Tapi ingat kalau aku dengar orang cakap macam-macam pasal kau dengan Taufiq, kau tahu kan aku akan buat apa.” Izzaz nampak serius.

“Awak jangan risau. Saya pergi kerana kerja aje. Awak nak buat apa kalau saya terlupa akan pesanan awak tu?” Aku sempat menelan liur apabila aku rasakan aura Mr. Lion King yang garang sudah kembali. Aku tak nak buat Izzaz melenting seperti sebelum ini. Tapi Izzaz tidak rasa ke yang rasa cemburunya kali ini terlalu keterlaluan?

“Aku akan cari Taufiq dan tumbuk muka dia.” Ujar Izzaz selamba.

Aku memaksa bibir untuk senyum. “Iz awak ni fikir banyak sangat lah. Jangan risau ya, saya pandai jaga diri. Saya tahu saya ni isteri kepada Izzaz Rayqal. Bila orang tanya saya akan tunjuk cincin kat jari saya ni. Saya katalah yang saya dah kahwin. Kan senang.” Aku memujuknya berharap rasa cemburunya terhadap Taufiq akan hilang.

Izzaz kembali tersenyum bangga. “Pandai pun kau.”

Aku melepaskan keluhan berat. Aku takut dengan karakter Izzaz yang baru aku lihat sebentar tadi. 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 2 - Siapa dia? | Bab 1 - Permulaan kisah | Bab 3 - Aku jadi pelakon | Bab 4 - Dia kata I Love you | Bab 5 - Aku benci dia | Bab 6 - Goodbye Mr.Pilot | Bab 7 - Adam yang teristimewa | Bab 8 - Tentang Hati | Bab 9 Hai Beautiful | Bab 10 The real Maya | Bab 11 Saya suka awak! | Bab 12 - Firqin vs Bukhary | Bab 13 - Cemburu atau marah? | Bab 14 - First Date! | Bab 15 - I am sorry | Bab 16 - :( | Bab 17 - Realiti kehidupan | Bab 18 - 100% markah buat dia | Bab 19 - Still awake princess? | Bab 20 - Dia kecewakan aku | Bab 21 - Sampai hati dia ;( | Bab 22 - Erti kawan | Bab 23 - Si Pemilik Porsche Cayenne | Bab 24 - Tuan muda sombong! | Bab 25 - Jadi isteri aku | Bab 26 - Kerana aku terpaksa | Bab 27 - Kau cantik bertudung | Bab 28 - Cinta telah berakhir | Bab 29 - Rasa nak cubit Mr. Lion King! | Bab 30 - Kontrak Izzaz | Bab 31- Izzaz berterus-terang | Bab 32 - Secret Garden :) | Bab 33 - Geram dengan Izzaz | Bab 34 - Why you keep appear? | Bab 35 - Firqin pergi | - Teaser Bab 36 - Aku tanpa cinta | - Teaser Bab 37 - Lari | - Teaser Bab 38 - Bukan mimpi indah | -Teaser Bab 39 - Ada Izzaz | -Teaser Bab 40 - Sempurna Waktu | - Teaser Bab 41 - Aku terima nikahnya! | -Teaser Bab 42- Siapa muncul? | -Teaser Bab 43 - Maya Kecewa Lagi | - Sedutan Bab 44 - Firqin vs Izzaz | -Sedutan Bab 45 - Musuhku, Encik Pilot | -Sedutan Bab 46 - Peluang buat Izzaz | -Sedutan Bab 47 - Singa vs Labah-Labah | -Sedutan Bab 48 - L.O.V.E | -Sedutan Bab 49 - Hero Filem | -Sedutan Bab 50 -Bond Girl | -Teaser Bab 51- Sweet Holiday 1 | -Teaser Bab 52- Sweet Holiday 2 | -Teaser Bab 53- Heart to Heart | -Teaser Bab 54- Salah aku? | -Teaser Bab 55- Putera Panda | -Teaser Bab 56- Baik Hati | -Sedutan Bab 57- Almari+Cinta | -Sedutan Bab 58 - Destiny Sonata- | -Sedutan Bab 59 - Tears |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku