Tabahkanlah Hatiku, Ya Allah
Genre: Cinta
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 06 Januari 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)
2352

Bacaan






“Aku terima nikahnya Siti Sarah binti Mohamed dengan mas kahwinnya sebanyak 80 ringgit tunai.”

Air mata yang sedari tadi ditahan akhirnya menitis jua. Aisya mengucap syukur lantas dikesat air mata supaya tidak dikelihatan orang lain. Tangan Aisya menggamit Sarah ke dalam pelukannya. Dicium kedua-dua belah pipi Sarah.

“Selamat pengantin baru, Sarah,” ucap Aisya.

“Terima kasih, kak..... Terima kasih,” balas Sarah sebak.

Aisya tersenyum. Air mata Sarah disapu dengan jemarinya. Dia melepaskan pelukan Sarah dan segera berginjak ke tepi. Memberi laluan kepada pengantin lelaki untuk menyarungkan cincin. Aisya duduk bersimpul di tepi Sarah dengan senyuman tak lekang dari bibir.

Pandangannnya jatuh ke arah lelaki itu. Mata mereka saling berbicara tetapi hanya untuk seketika apabila Aisya terlebih dahulu menunduk. Tidak berani menentang pandangan yang sayu itu. Tidak sanggup melihat mata lelaki itu yang sudah berkaca-kaca.

“Pengantin lelaki, cepat sarungkan cincin,” tegur saudara Sarah yang turut hadir.

Aisya mengangkat muka semula. Pada masa itu juga, Sarah mula menunduk mencium tangan suaminya. Perlahan-lahan Aisya bangkit dan mengundur. Senyuman masih menghiasi bibir sambil membalas sapaan saudara-mara. Tiba disebalik dinding yang memisahkan antara ruang tamu dan bilik tetamu, Aisya terus bersandar pada dinding.

Sekali lagi air matanya mengalir laju tanpa dapat ditahan. Murah sekali air matanya malam ini. Aisya menekup kuat mulutnya dengan tangan apabila tangisannya mula kuat dan kedengaran. Perlahan-lahan badan Aisya melorot jatuh bersama tangisan yang mula menggila.

“Selamat pengantin baru, abang….”

………………..

Tombol pintu dipulas dan Aisya segera meloloskan diri ke dalam bilik tetamu yang menjadi miliknya mulai malam ini. Badan direbahkan ke atas katil bagi menghilangkan lenguh-lenguh di badan. Majlis malam ini memang membuatkan badannya letih. Aisya mengeluh lega. Terasa sungguh menyeksakan membalas pandangan-pandangan simpati ke arahnya. Bibir ini tetap terenyum walaupun hatinya pedih ditoreh. Ditoreh oleh diri sendiri.

Malas melayan perasan sedih, Aisya menapak ke bilik mandi untuk membersihkan badan. Setelah selesai, Aisya melabuhkan punggung di atas kerusi rotan yang berada di beranda. Dia mendongok, memandang kepekatan malam dan bintang-bintang yang menghiasi dada langit. Serta-merta dia nampak bintang itu bersambung melakarkan muka lelaki yang dicintainya. Bibirnya tersenyum mesra.

Kemudian tercetus pula ketawa kecil dari bibir Aisya. Ah! indah sungguh kenangan lalu. Tak akan pernah dia melupakan detik-detik itu. Aisya terus hanyut dengan kenangan lalunya.

Pada malam itu, kekasihnya membawa dirinya ke restoran yang berada di atas puncak bukit. Hatinya terasa berdebar-debar memikirkan tujuan Redza membawanya ke situ. Lepas tu, menyuruhnya berpakaian cantik pula. Memang gabra habis.

“Err...Sya...” panggil Redza ketika pelayan membawa pergi pinggan yang sudah licin.

“Ya?” sahut Aisya. Dia memandang wajah Redza yang kelihatan resah. Sesekali lelaki kacukan cina itu menelan air liur berkali-kali. Peluh yang memercik di dahi juga diseka. Melihat itu, Aisya mengerutkan dahi. ‘Takkan panas kut? Bukan main sejuk lagi kat sini ni.’

“Kita dah bercinta berapa tahun?” tanya Redza.

“Err.... Dua tahun juga lah,” jawab Aisya perlahan.

Redza mengangguk sedikit. Selepas itu dia mengesat peluh di dahi dengan sampul tangan. Angin dingin di atas puncak itu tidak mampu menyejukkan badannya yang berpeluh sejak dalam kereta lagi.

“Sya….. Saya…..” Redza menelan air liur lagi. Kali ini terasa air liurnya sudah kering. Pantas sahaja tangannya mencapai gelas yang berisi air Blackcurrant dan meneguknya rakus.

“Air saya tu....”

“Uhukk....Uhukk...” Redza tersedak. Habis tersembur keluar air yang diminumnya. Nasib baik tidak mengena Aisya.

Aisya pula kalut dengan situasi itu. Tidak sangka Redza bakal tersedak sebegitu rupa. Tapi memang Redza minum airnya pun. Sampul tangan bewarna merah jambu yang ada sulaman huruf N.A dihujungnya dihulurkan kepada Redza.

“Terima kasih,” ucap Redza dan segera dilap mulutnya. Alahai, terasa berlengas pula dengan air manis itu jadi Redza meminta diri ke bilik air.

Seluar dan baju yang basah dengan air Blackcurrant dibersihkan. Redza mengeluh perlahan. Nasib baik baju kemeja yang dipakai bewarna ungu terang dan seluar slack hitam. Kalau tidak tentu meninggalkan kesan. Dia mengelap mukanya yang dibasuh dengan sampul tangan itu. Masa itu juga baru Redza terhidu haruman lembut. Haruman yang selalu dipakai Aisya. Redza tersenyum mengingatkan gadis yang dicintainya. Matanya terpandang pada sulaman N.A.

“Nur Aisya....” bisik Redza perlahan.

Redza tersedar yang dirinya sudah lama dalam bilik air. Bergegas dia keluar menuju ke arah Aisya yang setia menanti. Dilihat Aisya sedang memandang ke arah kota yang berada dibawah sana. Memang cantik apabila dilihat dari sini.

“Sorry. I’m late.” Aisya berpaling ke arah Redza.

“ It’s okey. Daijoubu?” Redza tersenyum mendengar pertanyaan Aisya yang bermaksud are you alright dalam bahasa jepun. Dari mana entah Aisya belajar dia pun tidak tahu.

Redza mengangguk. “Sejak bila pandai cakap Jepun ni?” tanya Redza.

“Awak kan pandai berbahasa Jepun jadi saya pun kena pandailah juga. Manalah tahu awak nak mengata saya dalam bahasa Jepun ke, boleh lah saya backhand awak,” seloroh Aisya. Redza ketawa senang. Hilang pula rasa gugupnya.

“Emm...Sya.... Watashi ga sukedesu ka?” terus-terang Redza.

Aisya terkedu.

Redza menarik nafas. Tak sangka dia boleh tanya do you love me begitu sahaja. ‘Aduhai, Redza…. Kenapa tak buat keluar cincin?’ marah Redza sendiri. Kalut dia mengeluarkan kotak baldu dalam poket seluar.

“Will you be my soulmate?” Tanya Redza.

Aisya tercengang.

Redza bangun dan melutut sebelah Aisya. Dibuka kotak baldu warna merah hati. Terserlah cincin belah rotan emas putih. Memang cantik!

“Nur Aisya, will you marry me?” lamar Redza sekali lagi.

Aisya menekup mulut. Air mata mula bergenang. Perlahan-lahan dia mengangguk kepala. “ Yes, I will! I will be your wife, Mohd Redza!” balas Aisya perlahan. Malu pula apabila dia terlepas cakap berkali-kali.

“Alhamdulillah.” Redza tersenyum bahagia. Akhirnya, setelah dua tahun bercinta dengan Aisya..... perasaan ingin Aisya menjadi isterinya membuak-buak. Mujur sahaja dia telah menyatakan hasratnya kepada mak ayahnya dan mereka setuju. Malah, menyuruhnya cepat-cepat bertindak.

“Sya....” panggil Redza lembut selepas dia kembali duduk diatas kerusi.

“Ya....”

“Cuba Sya tengok bintang-bintang dan bulan tu.” Redza mendongok ke atas. Begitu juga Aisya.

“Bintang dan bulan tu akan jadi saksi cinta kita. Bintang dan bulan juga menjadi saksi lamaran dan persetujuan kita malam ni. Ok?”

Aisya mengangguk. Matanya terus memandang bintang-bintang yang berkelipan dan bulan yang menyinar. Subhanallah, sesungguhnya Allah Maha besar dan Maha berkuasa.

Bunyi pintu ditutup mengejutkan Aisya. Dia berpaling ke belakang dan menjenguk kepala. Segera dia bangun apabila ternampak tubuh Redza yang sudah mendekatinya. Sekelip mata tubuh Aisya berada dalam pelukan suaminya.

“Abang rindu, Sya...” rintih Redza perlahan.

“Abang rindu isteri abang,” ucapnya lagi.

Redza menjauhkan sedikit tubuh Aisya kemudian kedua-dua belah tangannya naik mengusap lembut pipi Aisya. Sungguh dia merindui Aisya. Seharian Aisya cuba lari darinya dan hatinya meronta-ronta ingin menerpa ke arah Aisya apabila melihat senyuman di bibir Aisya. Dia tahu hati isterinya terluka.

Aisya menangkap tangan kasar Redza lalu digenggam erat. “Abang buat apa kat sini?” tanya Aisya lembut.

“Abang rindu Sya, sayang. Seharian abang tak dapat berdiri disisi Sya. Abang rindu sangat-sangat, sayang,” jawab Redza. Sekali lagi tubuh Aisya dibawa ke dalam pelukan.

Aisya membalas.

“Abang…” Aisya menolak lembut badan Redza selepas dia merasa lemas berada dalam pelukan suaminya.

“Sekarang ini, abang dah ada dua isteri. Dan malam ini abang kena tidur dengan Sarah, Sarah kan dah jadi isteri abang juga?”

“Abang ada seorang isteri je. Hanya Nur Aisya isteri abang,” pintas Redza. Dibawa tangan Aisya ke bibir.

“Abang, please.... Jangan macam ni,” rayu Aisya. Matanya sudah sarat dengan air mata. Bila-bila sahaja akan mengalir.

“Mak Su paksa Sya suruh abang kahwin kan?” serkap Redza.

Aisya terkedu.

“Jujur dengan abang, Sya,” tegas Redza.

Perlahan-lahan Aisya menggeleng. “Sya yang nak, bang. Sya tak mampu bagi abang anak. Dengan Sarah mungkin abang akan ada anak. Mungkin Sarah boleh mengandung benih abang,” nafi Aisya.

“Abang yakin ini semua ada kaitan dengan mak tiri Sya tu. Abang yakin Mak Su yang paksa Sya suruh abang kahwin dengan anak saudara dia tu kan? Please, jujur dengan abang.”

“Bet.... Betul, bang. Sya yang nak semua ni. Bukan Mak Su. Bukan orang lain,” jawab Aisya gugup.

Air mata sudah mengalir. Sedih kerana dia terpaksa menipu Redza. Kalaulah Redza tahu perkara sebenar.... tentu suaminya marah dan kecewa dengannya. Tapi dia terpaksa demi maruah keluarganya. Memikirkan hal itu, Aisya semakin takut. Mungkinkah rahsia akan terbongkar malam ini?

Redza terdiam. Entah kenapa hatinya merasa yakin bahawa perkahwinannya dengan Sarah ada kaitan dengan ibu tiri Aisya. “Abang tak percaya.... Tapi, abang anggap Sya tak sengaja bohong abang kalau memang benar ada yang memaksa perkahwinan ini berlaku.”

“Dan Sya.... Abang yakin Sya boleh lahirkan anak untuk abang. Abang hanya nak anak dari rahim Sya aje, sayang,” ujar Redza lagi. Dipegang bahu isterinya.

“Tapi bang, kan doktor cakap penyakit Sya ni semakin teruk. Peluang untuk mengandung tu sangat tipis….”

“Tapi masih ada peluang lagi kan? Bukan tidak boleh langsung. Kita berdoa supaya kita dikurniakan anak, supaya penyakit sayang cepat sembuh,” cantas Redza.

“Kalau ada rezeki kita, adalah tu. Lagipun, Sya... Kita kahwin baru empat tahun. Apa salahnya kita hidup berdua dahulu. Honeymoon puas-puas. Nanti kalau ada anak, susah dah nak buat semua tu,” sambungnya lagi sambil tersenyum nakal.

Aisya tersenyum sambil mengelap sisa air mata dipipi. Aduhai suami, saat-saat macam ni pun sempat lagi mengusik. Dipeluk tubuh Redza dan Redza membalasnya erat.

“Rindu, abang.... Sayang, abang.....” luah Aisya.

“Abang pun....” belum pun Redza membalas, ketukan pada pintu kedengaran. Aisya melepas pelukan dan membuka pintu.

“Eh, Sarah....” Aisya tersenyum kepada Sarah.

“Err.... Maaf kalau Sarah ganggu akak. Emm, abang ada kat sini tak? Dari tadi Sarah tunggu tapi abang tak muncul-muncul juga,” Tanya Sarah.

“Oh, abang ada. Abang, ni Sarah cari abang,” panggil Aisya. Dilihat Redza menapak dengan malas ke arahnya.

“Kenapa Sarah?” Tanya Redza kurang senang.

“Err… Sarah…. Emm…. Malam ni…. Abang bukan ke sepatutnya tidur dengan Sarah?” tanya Sarah sedikit berani tapi masih tergagap-gagap.

“Maaf, Sarah. Malam bersama Sarah tak ad...”

“Ya, sudah tentu abang tidur dengan Sarah malam ni. Malam ni kan malam pertama korang,” celah Aisya sambil menyakat Sarah.

Sarah tersenyum malu. Dia menjeling ke arah Redza yang memandang tajam ke arah Aisya. Aisya yang melihat situasi itu, tersenyum. Apa lagi yang boleh dikatakan? Memang itu hak Sarah.

“Nur Aisya!” panggil Redza. Aisya tahu suaminya marah.

“Sarah masuk bilik dulu ya? Sarah tunggu abang,” pinta Sarah lembut sebelum mengundur diri. Lantas pintu ditutup rapat Redza.

“Kenapa Aisya ni? Tak cukup paksa abang nikah dengan Sarah nak suruh abang tidur dengan Sarah pula? Sya tahu tak? Sya sedar tak sekarang ni Sya seperti serahkan abang kat si Sarah tu?” marah Redza.

Mana taknya kalau isterinya sendiri disuruh tidur dengan perempuan lain! Kerja gila!! Walaupun Sarah tu isterinya juga tetapi dia tetap menganggap bahawa dia hanya ada seorang isteri. Nur Aisya seorang!

“Hak Sarah, bang. Tanggungjawab abang kepada Sarah kena laksanakan. Bukan Sya seorang,” balas Aisya dengan lagak tenang.

Redza terkedu. Lidahnya kelu apabila Aisya membangkitkan hal tanggungjawab. Lama dia mendiamkan diri sebelum bersuara. “Baiklah, abang tidur dengan Sarah malam ini. Abang ikut apa yang Sya cakap. Abang akan layan Sarah macam isteri abang!”

Redza diam seketika. “Tapi ingat, Nur Aisya. Abang tak janji abang boleh bersikap adil!!”

Redza bergerak mendekati Aisya. Direnung wajah mulus itu sebelum dibawa tubuh Aisya ke dalam pelukan. Erat sekali. Pipi Aisya menjadi sasaran bibirnya sebelum beralih ke dahi Aisya.

“Abang pergi dulu.”

Dengan berat Redza melangkah keluar dari bilik itu. Dan setiap langkahnya, hati Aisya menjerit kuat menghalang Redza pergi dari situ. Tetapi mulutnya tetap terkunci kemas.

Tertutup sahaja daun pintu bilik, air mata Aisya merembas keluar. Isteri mana yang sanggup melihat suaminya melangkah ke bilik perempuan lain walaupun perempuan itu juga isteri kepada Redza. Suaminya bukan lagi miliknya seorang. Sarah juga berhak ke atas Redza.

“Astaghfirullah Al-Azim.”

Aisya meraup muka sambil beristighfar berkali-kali. Lantas dia melangkah ke bilik air untuk mengambil wuduk. Hanya kepadaNya tempat dia mahu mengadu, hatinya akan lebih tenang.

…………………..

Paginya…. Buka sahaja pintu bilik, kelibat pertama yang menyapa matanya ialah Redza. Kebetulan lelaki itu juga baru keluar dari bilik sebelah bersama Sarah. Niat ingin bertegur terbantut lalu hanya senyuman yang menjadi sapaan. Tiada balasan. Redza mahupun Sarah hanya memandang.

Melihat pandang Redza hati Aisya berdebar. Redza sudah tahukah? Marahkah Redza kepadanya? Aisya berteka-teki dihati.

Cemburu pula melihat tangan Sarah yang mesra memeluk lengan Redza. Kalau sebelum-sebelum ini, tangannya yang berbuat begitu. Malah Redza turut merangkul erat pinggangnya. Lega sedikit melihat Redza tidak berbuat begitu kepada Sarah.

Aisya meminta diri untuk turun ke bawah terlebih dahulu. Baru sahaja kaki memijak anak tangga pertama, sudah ada yang memaut pinggangnya. Redza yang rapat disisinya direnung. Redza hanya buat selamba.

Aisya menoleh kebelakang, melihat Sarah yang masih tidak berganjak. Kelat sungguh wajah madunya itu. Tentu Sarah cemburu!

“Hei, Redza! Kenapa kau tinggalkan Sarah macam tu aja? Siapa pengantin baru ni? Kau dengan Aisya ke dengan Sarah?” jerkah Puan Mariam, ibu tiri Aisya.

“Bini kau ni dah lapuk. Empat tahun kahwin tapi hasilnya langsung tak ada! Baik kau berkepit dengan Sarah aje. Sekejap je Si Sarah ni boleh bagi kau anak tahu?!” sinis Puan Mariam lagi.

Aisya diam menelan kata-kata sinis mak tirinya. Memang tajam sehingga hatinya terluka. Terasa dengan kata-kata Puan Mariam. Redza menarik nafas panjang. Tangan dikepal kuat, berharap amarah yang mula hadir mengundur.

“Saya hanya akan ada anak dengan Aisya je, Mak Su! Tidak dengan Sarah dan tidak dengan orang lain,” balas Redza tegas.

Sarah yang mendengar terasa berapi. Lengan Redza dipaut dan badannya didekatkan dengan tubuh Redza. Nyata Redza tidak senang dengan tindakan berani Sarah.

“Sarah tahu abang saja cakap macam tu. Kalau tidak tak akan abang sentuh Sarah semalam?” ujar Sarah tanpa segan-silu. Redza sudah membulatkan mata. Terkejut dengan kata-kata Sarah yang hanya bohongan.

Aisya menelan air liur yang terasa kesat. Dia menjauhkan sedikit tubuhnya dari Redza. Jadi Redza dah tahu? Tapi kenapa Redza seperti tidak mengetahui rahsia itu? Atau Sarah hanya mereka cerita?

“Apa Sarah merepek ni?” suara Redza sudah mula meninggi. Mencerlung matanya memandang Sarah.

Sarah buat selamba. Memang semalam tiada apa yang berlaku kerana Redza bukan tidur di biliknya. Tapi di ruang tamu! Redza hanya masuk ke dalam biliknya apabila azan subuh kedengaran dan selesai sahaja Redza menunaikan solat terus keluar! Sakit betul hatinya.

Tak apa, kalau guna cara lembut Redza tetap keras hati. Dia akan cuba guna cara kasar. Dan Aisya, haruslah disingkirkan! Desis Sarah.

“Alah, abang tak payah malu. Kak Sarah pun pernah lalui dengan abang kan?”

Aisya memekak kan telinga. Dia pelik, tidak malukah Sarah bercakap soal ini? Dia sendiri sudah merah muka. Aisya mengambil langkah mudah iaitu berlalu ke dapur. Puan Mariam tersenyum lalu dia turut beredar ke dapur.

Redza mendegus kasar. Dia pasti Aisya sudah tersalah faham. Tentu hati wanita itu terluka. Sarah ni pun, tak tahu malu! Sepatutnya sebagai perempuan Sarah patut malu berbicara hal dalam kain rumah tangga. Dah lah semua itu tidak terjadi antara dia dengan Sarah. Semua omolan kosong! Tubuh Sarah yang melekat pada tubuhnya ditolak kasar. Segera Redzal menuju ke dapur. Lagi lama dengan Sarah, boleh terangkat tangannya.

Aisya buat tidak tahu dengan kehadiran Redza. Sarapan pagi dihidangkan dan kerusi di hujung sekali ditarik. Sarah yang ternampak Redza menarik kerusi bersebelahan Aisya terus menghalang. Ditarik Redza berhadapan dengan Aisya dan dia pula disamping suaminya.

“Abang nak makan apa? Nasi goreng atau sandwich?” Tanya Sarah manja. Air teh dituangkan ke dalam cawan Redza.

Namun Redza menolak cawan yang dihulur Sarah. “Sayang, tolong ambilkan nasi goreng untuk abang,” pinta Redza kepada Aisya.

Aisya mengangguk dan diambil nasi goreng kepada Redza. Kemudian Aisya bangun, menghilangkan diri ke dapur basah dan kembali semula dengan segelas mug di tangan.

“Nah, ni air Nescafe abang,”

“Arigatou, ai.”

Sarah menjeling. Keluar dah bahasa Jepun dari mulut Redza. Arigatou tu dia tahu lah maksudnya terima kasih. Tapi ‘ai’ tu apa kebenda? Sudu ditangan dilepaskan dengan kasar. Berdeting bunyi sudu itu berlaga dengan pinggan. Geram dengan Redza yang tidak sudi menerima layanannya dan sakit mata melihat Redza melirik menggoda ke arah Aisya.

“Eh, nak ke mana tu?” tanya Puan Mariam tatkala melihat Sarah bangkit.

“Naik atas! Tak ada selera nak makan.” Sejurus itu Sarah berlari naik ke kamar.

Redza hanya buat tidak tahu. Tidak dipedulikan jelingan tajam Puan Mariam. Dengan selamba Redza mengangkat punggung dan berlabuh di sebelah Aisya.

..............................

Dua bulan berlalu.....

“Eh, abang! Awalnya balik?” tanya Aisya. Dia menyambut tangan Redza lalu menunduk menciumnya.Pelik Aisya melihat suaminya bersenang-lenang terbaring di atas katil. Tadi dia sedang mandi jadi tidak perasan bila suaminya pulang.

“Hari ini abang tak ada kelas petang. Sya lupa ya?” Aisya tersengih. Kerja Redza sebagai seorang pangajar di sekolah menengah membuatkan ada banyak masa terluang dengannya. Cuma sesekali ada juga Redza sibuk apabila peperiksaan hampir.

“Sya.... sini kejap,” panggil Redza. Ditepuk tilam sebelahnya, mengarah Aisya duduk di sisinya.

Aisya hanya menurut. Tubuh Aisya dipeluk erat sebelum membawa Aisya bersandar di dadanya. Redza mengusap rambut Aisya dan membenamkan hidungnya disitu. Menghidu bau wangi rambut isterinya yang baru lepas mandi.

“Sya, lusa abang kena pergi seminar tau! Peperiksaan budak-budak dah hampir,” beritahu Redza.

“Kat mana? Berapa lama?” Tanya Aisya pula.

Redza tersengih. Dicuit sekilas hidung Aisya. “Dekat Kuantan. Abang kat sana tiga hari lah kut. Sya tak apa kan bang tinggal sekejap? Ke Sya nak ikut abang?”

“Abang ni, cakap macam abang tak pernah pergi seminar je. Tak apalah. Tiga hari aje pun kan? Lagipun Sarah dengan Mak Su ada. Jangan risau ya?”

“Sebab Sarah dengan Mak Su adalah abang risau. Kalau diorang buat apa-apa yang tak baik kat Sya macam mana? Kan bahaya tu,” ujar Redza.

Jelas kedegaran suaranya sedikit bimbang dan berat hati meninggalkan isterinya. Walaupun sebelum ini dia pernah pergi seminar tapi sekarang ini lain. Sarah ada di rumah. Memikirkan layanan Sarah dan Mak Su terhadap Aisya, rasa tidak sedap hati mula melular.

Bahu Redza ditampar Aisya. “Tak baik abang cakap macam tu. Selama ni mana ada Mak Su buat apa-apa. Sarah pun tak ada kena kan Sya.”

“Hmm...” Redza membalas.

“Lagipun kan..... Mak Su tu kan mak kita juga, dan Sarah tu ist...”

Aisya tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Redza terlebih dahulu menolak bahunya sehingga dia terjatuh terbaring. Suaminya hanya senyum dan terus-menerus membelai setiap inci wajahnya.

“Kisu shite mo ii?” bisik Redza nakal.

Wajah Aisya memerah. Dia tersenyum malu lalu perlahan-lahan dia mengangguk. “Kisu shite!”

..........................

Sarah berulang-alik di hadapan pintu. Diketuk bertalu-talu pintu bilik tersebut namun tiada sahutan dari penghuni bilik tetamu. Sarah menjerit-jerit disitu tapi tetap tiada tanda-tanda pintu ingin dibuka. Seolah-olah bilik tetamu itu tiada orang.

“Sial!!” jerit Sarah sambil menendang pintu. Laju Sarah menonong ke kamarnya. Pintu dihempas sekuat hati.

“Jantan tak guna! Sial! Sial!!” amuknya lagi. Dilempar barang-barang yang berada atas meja solek.

“Ni semua betina tak guna tu punya pasal! Kalau dia tak ada, tak adanya Redza layan aku macam ni! Jaga kau perempuan. Jaga kau!!”

Sarah bagaikan dihasuk. Semua barang habis dibalingnya dan dipecahkan. Tak cukup dengan itu, dipecahkan bingkai gambar. Gambar dia bersama Redza dan Aisya semasa akad nikah ditoreh dengan pisau pemotong kertas. Mulutnya menjerit-jerit dengan sumpah seranah terhadap Aisya dan Redza.

.....................

“Aisya!!”

Aisya yang sedang membelek album gambarnya bersama Redza tersentak. Terkejut dia mendengar pintu diketuk secara tiba-tiba. Aisya bangkit dan melangkah mendekati pintu bilik yang masik diketuk bertalu-talu. Tersembur wajah kelat Sarah.

“Sarah…. Ada apa?” Tanya Aisya mesra.

Sarah mencebik. Meluat melihat senyuman Aisya. “Amboi! Redza tak ada kau goyang kaki je ya? Hei! Kau tahu tak bersepah pinggan-mangkuk kat dapur tu, baju-baju pun bertimbun! Aku nak kau pergi bersihkan sekarang!” jerkah Sarah.

Aisya tersentak. Tidak silapnya selepas sarapan pagi tadi memang dia dah basuh pinggan-pinggan yang digunakan. Tapi baju? Baju siapa? “Err.... Akak dah basuh pinggan lepas sarapan tadi. Baju-baju abang pun akak dah basuh.”

Sarah mengheret Aisya kebawah. Dibawa pulanya ke bilik kecil yang berdekatan dengan dapur basah. Terbeliak mata Aisya melihat pinggan-pinggan yang tidak terbasuh di sinki. Lagi terkejut melihat pakaian-pakain Sarah dan Puan Mariam yang bertimbun dalam bakul. Ada tiga bakul semuanya.

“Ini apa? Kertas?” sinis Sarah. Kemudian dicengkam rambut Aisya dan ditolak kasar Aisya ke dapur.

“Ini! Pinggan-pinggan ni semua, aku nak kau basuh! Aku nak kau basuh sampai kau boleh tilik muka kau kat pinggan tu. Jangan ingat Redza tak ada, kau boleh lepas tangan je,” sergah Sarah.

Ditinggalkan Aisya yang terkedu di dapur. Aisya mengucap dalam hati berkali-kali. Sarah sengaja menderanya. Tapi tak apalah, dia sudah biasa dengan kerja-kerja rumah jadi Aisya hanya menurut tanpa bunyi lagi.

…………………

Badan yang penat direbahkan di atas katil. Tiga hari suaminya tiada di rumah, tiga hari itu juga lah Sarah menderanya. Disuruh buat kerja rumah berkali-kali tanpa rehat. Dan jika Sarah tidak berpuas hati disuruhnya membuat semula. Nasib baiklah Mak Sunya tidak mendera sangat. Kalau suruh sediakan air atau makan tu adalah.

Aisya melepaskan lelah. Teringatkan Sarah yang menengkingnya kerana tidak masakkan udang goreng makan malam tadi. Bukan sengaja tapi udang tak ada dalam peti sejuk. Nak dibeli takut terlewat pula mereka makan malam. Jadi ditahan juga telinganya mendengar kata-kata kesat Sarah.

Sudahlah kebelakangan ini badannya cepat letih. Disuruh pula buat kerja-kerja berat. Telefon bimbit diatas meja dicapai. Ada tiga belas panggilan tidak dijawab dan dua mesej dari Redza.

-Sya, kenapa tak angkat phone?-

-Abang dah bertolak pulang ni. Tunggu abang balik tau, Sya. Sabishii desu. –

Aisya tesenyum membaca mesej dari Redzal. Baru sahaja ingin mendail suaminya, Sarah sudah memekik namanya. Terkocoh-kocoh Aisya mendapatkan Sarah dibilik sebelah.

“Buatkan aku air coklat panas. Cepat!” arah Sarah tanpa memandang Aisya.

Aisya turun ke bawah. Ditadah air ke dalam cerek dan kemudian dipanaskan diatas dapur. Sementara menunggu air menggelegak, Aisya mendail nombor Redza.

“Hai, Sya….”

“Hai…. Abang kat mana tu?”

“Dekat Kota Bharu dah ni, kejap lagi abang sampai.”

“Owh, okey. Tak apalah, Sya tunggu abang kat rumah.”

“Eh, kejap! Tadi kenapa tak angkat phone? Risau abang, tahu?”

“Sya dekat bawah, telefon dalam bilik. Abang jangan risau, Sya okey.”

“Sarah dengan Mak Su ada dera Sya tak?”

“Apalah, abang ni.... Mana ada. Ingat ni cerita Bawang Merah Bawang Putih ke?” nafi Aisya sambil dibuat-buat ketawa.

“Betul ni? Tak tipu?”

“Ya, abang sayang.”

“Hmm.... Tak apalah. Abang tengah drive. Nanti kena saman pula. Tunggu abang ya? Rindu, sayang...”

“Rindu abang juga.”

Talian dimatikan. Maafkan Sya, abang. Maaf sebab Sya bohong abang, rintih Aisya.

Bunyi cerek mengejutkan Aisya. Cepat-cepat dia matikan api. Cerek itu diangat dengan kain. “Hei! Kau buat air ke apa? Dah kering tekak aku ni!!” jerkah Sarah dari belakang.

Aisya yang terkejut berpaling dan secara tak sengaja cerek yang dipegang terlepas dari genggaman apabila hujung jarinya terkena cerek.

“Aaaaaaahh!!!”

Aisya melompong. Terkejut melihat Sarah yang sudah menggelupur. Air yang menggelegak tadi tertumpah di atas paha Sarah. Puan Mariam yang mendengar jeritan nyaring Sarah terus berkejar ke dapur. Terbeliak mata orang tua itu melihat paha Sarah yang melecur. Dia dapat melihatnya kerana Sarah hanya mengenakan seluar pendek.

“Ya Allah! Sarah!!” Puan Mariam menerpa ke arah Sarah. Aisya yang kaku disisi Sarah ditolak kasar sehingga menyebabkan Aisya terjatuh. Tangan Aisya yang ingin menungkat secara tak sengaja mendarat diatas cerek. Terjerit Aisya dibuatnya.

“Hei, Aisya! Kau buat apa kat Sarah, hah? Kau nak bunuh dia ke?!” Puan Mariam menyinga. Mahu sahaja menyimbah air panas itu ke muka Aisya apabila melihat paha Sarah.

“Tak…Tak, Sya tak sengaja. Cerek tu terjatuh,” nafi Aisya tergagap-gagap.

“Dia tipu Mak Su!! Kau sengaja Aisya!” teriak Sarah.

Aisya bangun lalu mencapai majerin yang berada di dalam peti sejuk. Belum pun dia ingin duduk disisi Sarah, Puan Mariam terlebih dahulu merampas bekas majerin ditangannya.

“Kau jangan nak sentuh anak saudara aku!” marah Puan Mariam.

“Kenapa ni?”

Aisya tergamam. Suara garau yang menegur itu kedengaran cukup keras membuatkan jantungnya berdengup laju.

“Abang!!” jerit Sarah.

Redza terpaku dimuka pintu dapur. Terkejut melihat paha Sarah yang melecur. Segera dia mendekati Sarah dan duduk disisi Sarah. Kepala Sarah dipangku di atas ribanya apabila Sarah bertindak memeluk pinggang Redza.

“Abang.... Sakit...” rintih Sarah sambil menangis teresak-esak.

“Kenapa ni Sarah? Mak Su? Sya?” tanya Redza dan ketiga-tiga wajah itu dipandang tajam. Perasaan simpati dan marah mula terbit di lubuk hatinya.

“Aisya yang buat!!” tuduh Puan Mariam. Jari telunjuk dihala ke arah Aisya yang berdiri kaku di tepi meja makan.

“Sya tak sengaja, bang....” jawab Aisya tersekat-sekat.

“Dia sengaja! Dia sengaja, bang!! Kak Sya simpah air dalam cerek tu kat paha Sarah. Dia marah Sarah lambat buatkan dia air.”

“Tak…” Aisya menggeleng kepala. Tangan dihayunkan ke kiri dan ke kanan. Cuba memberitahu bahawa kata-kata Sarah hanya bohongan namum suaranya bagai tersekat di kerongkong. Wajah menyinga Redza menakutkannya.

Tanpa sedar Redza bangkit dan mendekati isteri pertamanya. Dan buat pertama kalinya Redza menampar pipi mulus Aisya.

Aisya terkedu.

Redza tergamam.

Sarah dan Puan Mariam terlopong.

Aisya memegang pipi yang terasa pedih. Wajah pucat lesi Redza dipandang dengan linangan air mata. Kepala digeleng-gelengkan tanda tidak percaya dengan tindakan suaminya tadi.

Redza pula tergamam sendiri. Menggigil-gigil seluruh badannya. Perasaan menyesal dan bersalah mula menguasai diri apabila melihat pipi Aisya berbirat. Tentu sakit! “Sya... Aaaab... Abang....”

“Sya minta maaf. Tapi Sya betul-betul tak sengaja! Sya terkejut tadi sampai cerek itu terjatuh dan terkena Sarah. Sya betul-betul minta maaf,” Aisya bersuara perlahan dan tanpa menunggu lagi dia terus berpaling dan berlari ke kamarnya.

Sarah mencebik. Tangan Redza ditarik. “Abang.... Sakit,” rengek Sarah. Tiada balasan dari Redza. Redza hanya tercegak dan memandang ke tempat isterinya berdiri tadi.

“Abang!!” panggil Sarah dengan kuat.

“Hah?” Redza terkebil-kebil memandang Sarah yang sudah cemberut wajahnya.

“Sakit….”

Redza tunduk dan memapah Sarah. “Kita pergi klinik,” ujar Redza sambil membuka langkah. Tapi langkahnya terhenti apabila Sarah mengeraskan badan. Dia berpaling ke tepi, memandang hairan ke arah Sarah.

“Sarah tak boleh jalan. Sakit….” Adu Sarah mengada-ngada. Dengan teragak-agak Redza mendukung tubuh Redza dan dibawa ke kereta.

Sarah tersenyum. Peluang keemasan yang ada digunakan dengan bijak. Tangannya dililit di leher Redza dan menyembankan mukanya ke dada lelaki itu. Hatinya meloncat kegembiraan. Nampaknya Redza juga mengambil berat fasal dirinya. Kau tunggu, Aisya. Lepas ni Redza hanya jadi milik aku!

Bersambung . . . . . . . . .

Terima kasih sudi membaca. Kesudahan cerita ini akan menemui anda dalam antologi cerpen ILHAM. Insya-Allah!

MuchLove,
AinaaAzlan


Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku